Sunday, November 21, 2010

Yakin Boleh

Hari yang ditunggu-tunggu dan mungkin juga hari yang ditakuti akhirnya datang juga pada 23 November 2010 ini. Semua calon Peperiksaan STPM dan juga SPM akan mula menjawab soalan pada hari Selasa jam 8.00 pagi. SELAMAT MENJAWAB. Jangan risau...berkat usaha dan doa daripada semua guru serta ibu bapa, ANDA PASTI BOLEH JAWAB. InsyaAllah. Yakin Boleh!

Monday, November 8, 2010

Sejarah Wajib Lulus SPM


Isu mewajibkan lulus mata pelajaran sejarah kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seharusnya tidak membimbangkan pihak yang berpandangan negatif terhadap kerajaan khususnya kepada Kementerian Pelajaran Malaysia. Cadangkan ini sebenarnya pada saya bukanlah sesuatu yang aneh atau luar biasa. Bagi anda yang bersekolah sekitar tahun 1970-an, sudah tentu masih ingat antara mata pelajaran yang kita belajar di sekolah rendah pada waktu itu ialah SEJARAH atau juga disebut TAWARIKH. Saya masih ingat pada tahun 1979 ketika bersekolah di SRK Sembulan, Kota Kinabalu, cikgu sejarah saya pada waktu itu ialah Cikgu Wahab. Kami belajar asal-usul penduduk di Tanah Melayu seperti orang asli (Senoi dan Jakun). Pengetahuan tentang sejarah asal-usul pembukaan Melaka juga kami peroleh daripada buku ini.

Cadangan KPM memperkenalkan mata pelajaran SEJARAH kepada pelajar-pelajar sekolah rendah mulai tahun 2011 seharusnya disokong oleh semua pihak. Hari ini banyak kajian yang mendapati golongan remaja di negara ini semakin lupa SEJARAH negara sendiri. Sejak kebelakanagn ini banyak peristiwa yang menunjukkan kebiadapan remaja terhadap negara sendiri boleh kita baca, lihat dan dengar dari pelbagai jenis media. Menghina lagu negaraku, memperlekehkan bendera MALAYSIA, mengutuk para pemimpin yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara, sudah menjadi perkara biasa kepada para remaja.


Friday, November 5, 2010

Terap kemahiran hidup kepada anak-anak

SEANDAINYA wujud tiga keadaan di pejabat yang mana seorang pekerja itu memiliki kelulusan tinggi dan cemerlang, tetapi apabila dia bercakap atau mengeluarkan arahan, ia membuatkan orang lain sakit hati. Kedua, seorang pekerja berpendidikan dan kemahiran tinggi, dia hanya tahu melaksanakan tugasnya dengan baik dan sering mendapat pujian dan bonus daripada majikannya. Bagaimanapun, dia kurang kebolehan bersosial. Ketiga, seorang pekerja mempunyai pendidikan dan sikap yang amat baik. Dia memiliki kemahuan belajar dan mencuba yang begitu tinggi dan mesra dengan semua orang yang bekerja dengannya.

Di antara ketiga-tiga keadaan itu, yang mana satukah kita mahu wujudkan dalam pejabat atau masyarakat kita? Sudah tentu kita menginginkan keadaan ketiga iaitu seorang insan yang baik, berpandangan positif, mahu belajar, tidak sombong dan terbuka.

Kajian yang dibuat oleh sebuah universiti terkemuka dunia, Harvard Business School mendapati kepintaran ilmu dan kemahiran hanya menyumbang kepada 10 hingga 25 peratus kejayaan sebuah institusi perniagaan. Ini bermaksud sebanyak 80 peratus kejayaan syarikat atau institusi bergantung kepada sikap pekerja yang menganggotainya.

Apa yang membezakan diri kita dengan orang lain adalah sikap. Perbezaan ketara orang-orang yang berjaya bukan sepenuhnya datang daripada pendidikan tinggi yang dimilikinya, tetapi sikap yang ada pada dirinya. Cuba kita ambil contoh ahli perniagaan berjaya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Datuk Loh Boon Siew. Mereka bukannya berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah, tetapi kejayaan yang mereka capai amat sukar ditandingi.

Mengapa? Jawapannya adalah ‘sikap’. Sikap penentu segala-galanya kerana di dalam sikap yang mulia itu, wujud keyakinan dan kemahuan yang amat tinggi. Sikap inilah yang perlu dibentuk, bukannya kelulusan akademik semata-mata. Sekiranya hanya kelulusan akademik dan kemahiran diberi perhatian sepenuhnya dalam membentuk generasi baru, suatu hari nanti banyak penyakit sosial yang kronik akan timbul.

Maka akan lahirlah generasi pekerja yang hanya fizikalnya hadir di pejabat tetapi tidak hati nuraninya. Ini kerana hidupnya hanya semata-mata untuk keadaan dan suasana pekerjaan yang dipimpin oleh majikan atau orang-orang yang tidak memiliki sikap yang mulia.

Tidak dinafikan pendidikan itu penting kerana menerusi pendidikan, lahir kemahiran. Mauduk pendidikan subjektif sifatnya, manakala memperoleh ilmu itu sifatnya berterusan. Ini kerana proses menimba ilmu boleh berlaku melalui pembacaan, pemerhatian, perasaan, pemikiran dan sebagainya.

Bagaimanapun, penekanan terhadap pendidikan seperti di sekolah hari ini yang begitu kaku akan menyebabkan generasi masa depan hilang kemahiran hidup yang diperlukan. Kehidupan bertunjangkan ‘robot’ yang tidak ada perasaan menyebabkan perkara yang senang disusahkan dan perkara yang susah bertambah sukar sehingga timbul tekanan psikologi dan hidup.

Justeru, berlakulah satu keadaan yang pernah diutarakan oleh pemikir ulung, Jacque Rousseau bahawa ‘kemodenan membuat kehidupan kita bertambah mundur’.

San Francisco di California, Amerika Syarikat terkenal dengan The Golden Gate Bridge yang panjang dan tinggi. Namun dengan kemodenan hidup, jambatan ini jugalah menjadi tempat popular untuk orang-orang yang mengalami tekanan jiwa terjun membunuh diri. Mengapa ini berlaku dalam sebuah negara yang maju, moden dan masyarakatnya ‘terdidik’?

Hakikatnya, ramai yang menjadi mangsa tekanan hidup akibat kemodenan dan kekayaan yang menghimpit kehidupan. Corak kehidupan sebegini sudah menampakkan kelibatnya di negara-negara Asia seperti Jepun, Singapura dan China. Apakah kita mahu rakyat Malaysia berhadapan dengan corak hidup sebegini? Inilah akibatnya jika umat manusia diukur atau dibentuk berlandaskan pencapaian merit akademik semata-mata sehingga menyebabkan mereka bergantung pada satu kemahiran dan kebolehan sahaja.

Media arus perdana juga ada peranan yang perlu dimainkan. Setiap kali keputusan peperiksaan utama negara seperti SPM dan STPM, pihak media membuat liputan meluas mengenai pencapaian akademik yang cemerlang. Ini menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan budaya menekan anak-anak untuk mendapat keputusan A dalam setiap pelajaran sehingga meminggirkan fakta bahawa aspek kemahiran hidup juga penting.

Kemahiran hidup seperti kemampuan bersosial dengan sopan dan penuh tatasusila, memiliki disiplin kendiri dan sikap yang baik dipinggirkan sehingga anak-anak hanya pandai dalam kaedah atas kertas semata-mata.

Kemahiran hidup sangat penting kerana di dalamnya ada elemen tambah nilai yang boleh digunakan dan bermanfaat untuk mengimbangi kehidupan biasa seorang insan dalam hidup bermasyarakat. Maka, pendidikan nasional wajar mengimbangi pendidikan berorientasikan peperiksaan dan pemarkahan dengan pendidikan berorientasikan kebolehan dan kemahiran individu.

Kerangka pendidikan dan pengajaran ini perlu bermula sewaktu sekolah rendah lagi kerana pada masa inilah, anak-anak begitu aktif dan suka mencuba perkara baru. Pembelajaran anak-anak di sekolah rendah perlu diselitkan dengan kaedah dan bahan pengajaran yang boleh membuat mereka gembira. Lawatan sambil belajar adalah satu pendekatan yang sangat baik dengan syarat adanya tempat-tempat yang sesuai untuk proses pembentukan pembelajaran ini.

Sudah tentu aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyelitkan latihan amali sukar dibuat. Ia memerlukan penglibatan sepenuhnya oleh guru. Maka guru harus menggunakan kreativiti mereka untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sebegini. Pihak sekolah dan kerajaan perlu memberi dorongan yang kuat kepada guru bukan setakat motivasi diri dan pelbagai kursus peningkatan diri, tetapi juga dana atau peruntukan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti-aktiviti kelas yang mendatangkan manfaat kepada anak-anak.

Sekiranya, elaun seperti elaun keraian, pengubahsuaian bilik pejabat, elaun kritikal dan sebagainya yang menelan belanja besar boleh diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan yang lain, mengapa tidak diberikan peruntukan kepada guru-guru yang bergelumang hidup dengan susah senang mengajar anak-anak kita, pelapis masa hadapan?

Ibu bapa juga wajar memahami bahawa selain pihak sekolah menyediakan prasarana untuk anak-anak menimba ilmu yang jelas condong ke arah pencapaian akademik, ibu bapa perlu mendedahkan sebanyak mungkin aktiviti-aktiviti amali yang dapat membantu anak-anak membina kemahiran hidup. Anak-anak perlu didedahkan dengan kesusahan dan berdikari menerusi penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sosial hujung minggu seperti gotong-royong kejiranan. Suasana kehidupan kampung sudah tentu dapat membantu proses ini.

Kemahiran hidup merupakan aspek penting bagi mengimbangi kehidupan pelajar. Melalui pembinaan aspek ini sahajalah maka terbentuknya keyakinan diri, kesungguhan, fokus, budi pekerti, hormat, dan kegembiraan. Dengan pendedahan kepada asas kemahiran hidup di peringkat awal pembesaran, anak-anak akan cerdas dan seronok menimba ilmu, bukan setakat pada apa yang ada dalam buku teks atau kelas semata-mata, malah mereka akan mampu menggunakan kebolehan berfikir, memerhati dan merasa apabila melakukan aktiviti luar darjah.

Dengan ini, bakat mereka akan terserlah mengikut keunikan diri masing-masing. Semoga apabila mereka dewasa, mereka tidak menyesal dengan apa yang mereka telah lalui dan peroleh di sekolah. Mereka inilah yang akan mampu mengharung tekanan hidup. Mereka jugalah yang akan sentiasa menambahbaik sistem pembelajaran sedia ada agar sesuai dengan zaman mereka.

Suzalie Mohamad

Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM

Monday, November 1, 2010

Laras Sains Pengajian Am Kertas 2

http://www.tutor.com.my/estidotmy

Pengetahuan Am khususnya tentang sains amat penting kepada pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan STPM. Soalan bahagian B bagi mata pelajaran Pengajian Am Kertas 2, mengemukakan dua soalan tentang isu-isu sains. Oleh yang demikian saya mencadangkan agar pelajar-pelajar calon STPM selalu membaca laman web seperti yang anda nampak di atas. Sekali lagi saya menyeru, gunakanlah kemudahan internet yang diberikan oleh ibu bapa atau pihak sekolah untuk meningkatkan tahap pengetahuan am anda. Selamat belajar.