Monday, May 30, 2011

Sejarah Penyakit Kencing Manis


Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, Hindu, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 BC. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua semenjak abad ke lima lagi.

Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat samada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis.

Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glokos dalam darah.

Insulin

Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel kelenjar pankreas yang dikenali sebagai Langerhans islets (kepulauan kecil). Insulin bertugas untuk menceranakan glukos dan bertindak membenarkan glukos dalam darah menembusi dinding sel.

Tanda-tanda kencing manis adalah seperti berikut :-

Sering dahaga dan sering perlu minum air.
Sering ke tandas.
Terasa badan lemah.
Berat badan turun dengan cepat
Penglihatan semakin kabur.
Terasa pening kepala.
Kadang-kala pengidap kencing manis tidak menunjukkan sebarang tanda. Hanya dengan pemeriksaan doktor dapat menunjukkan dan mengesan kencing manis pada peringkat awal. Bagi mereka yang berisiko tinggi, mereka perlu menjalani pemeriksaan untuk mengesan kencing manis sekali setiap tahun.

#Untuk maklumat yang lebih, sila baca laman web http://pmr.penerangan.gov.my

Tuesday, May 24, 2011

Gegaran Lemah : Isyarat Untuk Penduduk Sabah

TAWAU 24 Mei – Gegaran akibat gempa bumi lemah berukuran 2.4 pada skala Richter yang dilaporkan berlaku jam 4.32 petang di kedudukan 4.1 darjah utara dan 117.6 darjah timur, tidak dirasai oleh ramai penduduk Tawau.

Tinjuan mendapati rata-rata penduduk yang ditemui memaklumkan bahawa mereka tidak merasai apa-apa gegaran dan masing-masing menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan menyebut, pusat gempa berkenaan berlaku 52 kilometer di barat daya Tawau.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa gegaran akibat gempa lemah itu mungkin dirasai di beberapa kawasan di bahagian Tawau. – Bernama

Monday, May 23, 2011

Kenapa Jadi Begini : Tolong Jawab


Sekolah Menengah Harian (Tiada Kelas STPM)

Guru A: Tarikh lantikan DG41 ialah 1.10.2002
Mengajar kelas SPM sehingga tahun 2011


Sekolah Menengah Harian (Ada Kelas STPM)

Guru B : Tarikh lantikan DG41 ialah 1.10.2002
Mengajar kelas SPM sehingga tahun 2004
Mengajar kelas STPM sejak tahun 2005 hingga 2011
Mendapat lantikan Guru Akademik Tingkatan 6 Gred DG44 bermula 1.1.2008

Rumusan :
Guru A = rugi kerana terpaksa menunggu 10 tahun untuk mendapat gred DG44 Time based
Guru B = untung kerana dalam tempoh 6 tahun sudah mendapat gred DG44 atas kapasiti mengisi perjawatan Guru Akademik Tingkatan 6

Saturday, May 21, 2011

Tanah Berlari di Kundasang



Fenomena 'tanah berlari' di Kundasang
Oleh Dr Ibrahim Komo
ikomoo@yahoo.com

Gelinciran sejak 1990 hantui penduduk di kaki Gunung Kinabalu

SETIAP kali gelinciran tanah atau tanah runtuh berlaku di Bukit Antarabangsa, warga Malaysia dihebahkan dengan berita negara sedang diancam bencana alam gelinciran tanah. Dalam beberapa hari berikutnya masyarakat dimaklumkan akhbar mengenai ahli politik dan pihak berkuasa sedang berusaha mengatasi ancaman ini, memberikan perhatian kepada mereka yang terbabit dan mengemaskan dasar serta peraturan yang berkaitan dengan usaha pengurangan risiko tanah runtuh.
Di pekan Kundasang, Sabah peristiwa gelinciran tanah sudah menghantui penduduknya sejak lebih 20 tahun lalu. Penduduk di pekan dan kampung di sekitarnya terpaksa menghadapi risiko gelinciran tanah sepanjang masa. Malah mereka mengambil sikap berserah dan beradaptasi dengan bahaya gelinciran tanah.
Oleh kerana kebanyakan rumah diperbuat daripada kayu, mereka akan memperbaiki rumah mereka atau membina yang baru setiap kali mengalami kerosakan oleh gelinciran tanah, atau dalam bahasa komuniti mereka dipanggil ‘tanah berlari’. Pihak berkuasa tempatan pula sentiasa memperbaiki jalan, tiang elektrik dan paip air yang rosak akibat gelinciran tanah.

Beberapa peristiwa gelinciran tanah lampau telah menggugat pekan Kundasang, ada peristiwa yang menyebabkan kematian, dan sebahagian besar gelinciran tanah menyebabkan harta awam seperti sekolah, bangunan kerajaan dan infrastruktur kemudahan asas musnah. Sebahagiannya terpaksa ditinggalkan terbengkalai. Keadaan pekan dan perkampungan di sekitar Kundasang sangat menyedihkan, seolah-oleh baru dilanda bencana alam yang dahsyat!

Pada April 2011, sekali lagi Kundasang dilanda gelinciran tanah. Tiga kawasan terjejas teruk, Kampung Lobo-Lobo, Kampung Dumpiring Atas dan Kampung Kundasang Lama. Bagaimanapun, gelinciran tanah di Kampung Kundasang Lama adalah yang paling serius dan mengerikan. Kawasan cerun yang panjangnya lebih 500 meter dan lebar 200 meter tergelincir sekitar 25 meter dengan jatuhan menegak di bahagian kepala gelinciran mencapai 15 meter. Pergerakan gelinciran pada kadar 0.2 hingga 0.5 meter sehari terus berlaku hingga saat ini.

Gelinciran tanah Kundasang Lama mengakibatkan lebih 80 unit chalet di Resort Zen Garden musnah, sekitar 10 rumah penduduk kampung tergelincir dan terangkat sehingga rosak teruk, dan jalan yang menghubungi kawasan kampung runtuh menyebabkan perhubungan terputus. Sehingga kini pengusaha chalet dan penduduk kampung masih dalam keadaan tertekan dan berserah apakah harta benda dan rumah mereka dapat diselamatkan?
Akibat gelinciran tanah ini, satu fenomena baru berlaku. Sebahagian daripada penduduk kampung berasakan risiko yang dihadapi terlalu tinggi dan membuat keputusan tidak mampu beradaptasi lagi dengan gelinciran tanah. Mereka keluar beramai-ramai meninggalkan perkampungannya, dan meneroka tanah kerajaan yang dipercayai lebih selamat. Oleh itu kerajaan negeri berada dalam keadaan serba salah, sama ada mahu membiarkan pemindahan tidak terancang ini atau mengambil tindakan positif dengan menyediakan kawasan perkampungan baru.

Kawasan Kundasang yang berada di perbukitan bercerun landai di kaki Gunung Kinabalu memang diketahui lama kawasan yang berhadapan dengan risiko gelinciran tanah. Sebahagian besar Kundasang berada dalam zon gelinciran tanah yang bergerak pelahan (purata 0.5 hingga 1m setahun).

Pihak berkuasa tempatan sudah mengetahui Kundasang berada dalam kawasan gelinciran tanah sejak awal 2000 lagi. Apabila sebuah bangunan sekolah patah dua dan terpaksa dimusnahkan, dan jalan utama merentasi Kundasang mendap beberapa kali, mereka dimaklumkan bahawa kerosakan disebabkan gelinciran tanah. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah mengambil pelbagai langkah mitigasi, tetapi tindakan mereka hanya tertumpu kepada menstabilkan jalan raya utama Tamparuli-Ranau. Kawasan perkampungan di Kundasang belum mendapat perhatian.

Apa yang sebenarnya berlaku di Kundasang? Dari perspektif geologi, Kundasang terletak di kawasan yang memiliki batuan dasar yang sensitif terhadap gelinciran tanah. Batuan yang dikenali sebagai Formasi Trusmadi, terbentuk daripada batuan yang mengandungi tanah liat, apabila tepu air menjadi lembut dan mudah bergerak. Kawasan ini juga berada pada zon sesar aktif menyebabkan sebahagian besar batuannya bersifat hancur dan mempunyai kekuatan tampungan yang rendah. Inilah punca gelinciran tanah mudah berlaku di kawasan ini, lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

Penulis ialah Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli, Majlis Profesor Negara

Friday, May 20, 2011

Guru Patut Menghasilkan Blog Mata Pelajaran


Blog ialah sebutan ringkas bagi weblog. Blog ialah sebuah laman web, tetapi dibina menggunakan perisian yang telah diformat bagi membolehkan sesiapa sahaja membinanya walaupun tidak memiliki pengetahuan teknikal yang mendalam tentang bahasa komputer.
Blog mengandungi maklumat yang menggambarkan minat, pemikiran atau pendapat seseorang yang menerbitkan blog itu. Dengan ciri ini, blog sesuai dijadikan sebagai medium pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh seorang guru. Penggunaan blog akan mengurangkan rasa bosan para pelajar untuk mengikuti pengajaran guru. Jika pada hari itu, guru tidak dapat masuk kelas kerana ada mesyuarat atau berkursus, atau pelajar tidak dapat masuk belajar kerana sibuk dengan latihan sukan, pengajaran dan pembelajaran akan berterusan melalui blog kerana ia disampaikan melalui internet.
Di internet, blog dilihat hampir menyerupai laman web. Ia lebih mudah dikemaskini tanpa memerlukan kemahiran teknik pengaturcaraan. Blog juga lebih interaktif di mana guru sebagai pengendali blog boleh berkomunikasi secara interaktif dengan pelajar yang sedang membaca blog guru tersebut. Guru dan pelajar boleh saling bertanya atau menjawab persoalan dengan mengunakan ruangan komen atau email. Sesuai dengan tema hari guru pada tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” maka adalah wajar guru mengaplikasikan kemudahan blog untuk mengajar. Kalau tidak mahir menghasilkan blog, bertanyalah dengan rakan-rakan guru yang sudah memiliki blog mata pelajarannya sendiri, atau carilah panduan yang begitu banyak di internet. Berusahalah untuk menjadi guru yang kreatif dan berinovasi agar para pelajar tidak bosan dengan kaedah pengajaran yang kita laksanakan.

Wednesday, May 18, 2011

Prinsip Lead Up 9: Jadikan Diri Kita Hari Ini Lebih Baik dari Semalam

"Sesiapa yang dua harinya (semalam dan hari ini) sama sahaja, dia rugi.Sesiapa yang hari ini lebih teruk dari semalam, dia celaka(mal'un)" Abu Sulaiman ad-darani.

"Kita tidak dapat mengubah di mana tempat kita bermula, tetapi kita dapat ubah arah tempat yang kita tuju." Napoleon Hill.

Saya seorang guru yang bertugas di Sabah. Saya diberikan tanggungjawab sebagai ketua bidang bahasa di sekolah setelah mendapat kenaikan pangkat secara Timed Based gred DG44. Tiga hari menjawat jawatan ketua bidang, saya diberikan pula tugas sebagai pengarah program Majlis Kecemerlangan Pelajar. Pada mulanya saya agak tertekan kerana tempoh persediaan program begitu singkat iaitu 4 minggu. Jemputan perasmi pula bukan calang-calang orang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Mujurlah perasmi yang dicadangkan tidak dapat hadir. Bukan apa, menjemput pemimpin besar dengan persediaan yang kurang teratur, akan membawa keburukan kepada sekolah juga akhirnya. Banyak protokol perlu difikir dan dirancang dengan teliti.

Waktu ini pula peperiksaan semester pertama sedang dijalankan. Ramai guru yang sibuk menyiapkan soalan mata pelajaran masing-masing. Kadang-kadang timbul persoalan dalam hati, apakah program yang bakal dilasanakan pada 26 Mei ini nanti hanya saya saja yang ambil tahu. Mujurlah ia tidak jadi begitu. Setelah berjaya mengendalikan mesyuarat pertama, kini saya telah bersedia untuk menjadikan program yang dirancang menjadi kenyataan. Itu pun setelah rakan-rakan guru yang lain memberi sokongan dan kerjasama kepada saya. Dari semasa ke semasa saya belajar mengurus kerja dan memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan guru yang lain. Setiap hari saya perlu lebih baik dari hari semalam.

Walau bagaimanapun pada saya apa juga program yang bakal dipertanggungjawabkan kepada mana-mana guru, hendaklah wujud dalam takwim tahunan sekolah. Maksudnya telah dinyatakan dengan jelas dalam takwim bahawa guru berkenaan akan menjadi ketua atau pengarah program, agar persedian dapat dirancang dengan baik dan kualiti program dapat dicapai.

Tuesday, May 17, 2011

Hadiah Hari Guru Daripada PM

KUCHING 16 Mei - Warga pendidik kini boleh menikmati lonjakan gred dalam perkhidmatan melalui kaedah kenaikan pangkat yang diberi nafas baru melibatkan pengenalan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru bermula 1 Januari 2012.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi kaedah itu guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
Menurutnya, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru, laluan kerjaya guru yang terlibat dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PDP) akan diperluaskan sehingga ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.
"Kewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 yang dilancarkan oleh Timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Sambutan bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta 4,000 warga pendidik dan tetamu jemputan.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa mana-mana guru yang menunjukkan kecemerlangan seperti ditetapkan oleh lembaga tersebut boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
Katanya, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.
"Untuk itu, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan PDP sebanyak 100 peratus menjadi 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.
Beliau turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.
Katanya, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 pula dinaikkan ke Gred DG48, melibatkan 6,585 jawatan.
"Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan," katanya.

Selamat Hari Guru

GURU OH GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Saturday, May 14, 2011

Malaysia hadapi risiko kenaikan inflasi

LUXEMBOURG 13 Mei – Malaysia sedang berhadapan dengan risiko kenaikan inflasi, sementara zon Eropah berhadapan dengan krisis hutang dan peningkatan harga tenaga yang boleh mengugat pertumbuhan stabil ekonomi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

‘‘Terdapat kecenderungan terhadap risiko kenaikan inflasi, namun ia sebaliknya bagi pertumbuhan,’’ katanya kepada agensi berita Reuters di Persidangan Perbankan Islam di sini hari ini.

‘‘Terdapat risiko peningkatan inflasi. Ia merupakan fenomena sejagat apabila harga komoditi dan tenaga akan ditafsirkan kepada kenaikan harga makanan dan minyak.

‘‘Ia adalah sesuatu yang kami pantau secara dekat. Pada masa ini penilaian masih lagi di sekitar jangkaan iaitu pada paras 2.5 hingga 3.5 peratus,’’ katanya.

Ditanya mengenai pembuat dasar Malaysia yang sedang menimbang menaikkan unjuran inflasi pada mesyuarat yang lepas, Zeti berkata,‘‘ Tidak pada masa ini. Walaupun risiko ada, tetapi tidak terdapat maklumat lanjut untuk menukarnya,’’ jelas beliau.

Bank pusat Malaysia telah menaikkan penanda aras kadar faedah kepada tiga peratus pada April berbanding 2.75 peratus.

Penganalisis melihat mata asas akan dinaikkan lagi sekitar 25 hingga 50 mata asas pada separuh kedua tahun ini.

Zeti berkata, kesan ekonomi kepada Malaysia berikutan bencana gempa bumi di Jepun adalah terhad manakala kesan terhadap krisis Timur Tengah tidak dapat dielakkan.

Sumber: Utusan Malaysia 14 Mei 2011

Monday, May 9, 2011

Peperiksaan Semester Sudah Bermula


BULAN MEI adalah bulan peperiksaan bagi seluruh sekolah di negara ini. Ada yang panggil peperiksaan semester dan juga yang masih menggunakan peperiksaan penggal pertama. Walau apa pun gelarannya, ia tetap peperiksaan. Setiap pelajar akan diuji dengan pelbagai soalan dariapada mata pelajaran yang diajar di sekolah. Selalunya guru akan memerhatikan gelagat pelajar-pelajar yang sedang menjawab soalan. Ada yang tenang, ada yang tersenyum-senyum membaca soalan,ehmm!! mungkin apa yang dibaca keluar dalam soalan. Tapi ada juga yang gelisah, mata terkebil-kebil melihat sekeliling. Soalan dibaca berulang-ulang, tapi tangan yang memegang pen masih belum menyentuh permukaan kertas A4 "writing pad" dalam istilah bahasa Inggeris. Sesekali mata menjeling ke arah kawan di sebelah yang asyik menulis.Masa terus berlalu. "Kenapalah aku tak belajar, kalau aku dengar nasihat cikgu,tentu tak jadi macam ni".

Sunday, May 8, 2011

Lapan Pembohongan Seorang Ibu


Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : "Makanlah nak ibu tak lapar." - PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" - PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.
Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran
ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali. Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu...SELAMAT HARI IBU.

#Cerita ini adalah warisan daripada orang tua-tua dahulu. Jadikan sebagai pengajaran kepada kita semua. Sekian.

Saturday, May 7, 2011

Mutiara Kata Pencetus Minda

"Merangkak tetapi berjaya mencapai cita-cita lebih baik daripada berlari, tetapi putus di tengah jalan"

"Berfikir ialah tanda hidup dan berlainan pendapat ialah alamat wujudnya kemajuan pada diri masing-masing"

"Orang yang membinasakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri telah melakukan kejahatan yang amat keji"

"Dengki adalah perosak, merosakkan hubungan bangsa dan keluarga walaupun bersaudara kandung"

"Malu, lemah lembut dan tawaduk ialah sebaik-baik perhiasan bagi kaum wanita"

"Mahkota adab dan sopan santun lebih tinggi nilainya daripada mahkota yang bertakhtakan ratna mutu manikam"

Friday, May 6, 2011

Pentingnya membuat keputusan yang bijak.


Kita perlu membuat keputusan setiap hari. Malah kebanyakan kita membuat berpuluh-puluh keputusan sehari tanpa disedari secara langsung. Keadaan ini akan menjadi bertambah nyata sekiranya kita terlibat dengan pengurusan sesuatu operasi di tempat kerja. Sekiranya kita terlibat dengan kelompok pembuat keputusan, maka lebih banyak proses membuat keputusan akan dialami. Namun, adakah kita menyedari tentang proses ini?

Antara keputusan penting yang dibuat, sebahagianya akan mempengaruhi kehidupan seseorang sepanjang hayat. Keputusan dalam hal pendidikan, kerjaya, perkahwinan, kediaman, pelaburan dan persaraan adalah penting dan memerlukan pertimbangan yang teliti.

Suatu hakikat yang perlu disedari ialah kenyataan bahawa masalah untuk membuat keputusan bukan berpunca daripada keputusan itu sendiri. Sebaliknya masalah timbul mengikut cara kita mentafsirkan keputusan. Apabila terpaksa membuat keputusan, kita biasanya akan teraba-raba mencari jawapan. kadangkala dalam pencarian itu, kita akan hilang pertimbangan dan mengambil keputusan yang kita sendiri tidak yakini. Akhirnya masalah yang kecil akan menjadi bertambah besar dan sering kali membawa kerugian yang berlipat ganda.

Wednesday, May 4, 2011

Pemikiran Orang Melayu


Mampukah orang Melayu atau bumiputera di Sabah dan Sarawak memiliki rumah idaman jika tahap ekonomi masih jauh ketinggalan. Apakah kita merasa seronok untuk terus tinggal dalam rumah yang kecil, sempit dan berstatus setinggan bandar. Apakah kita tidak mampu untuk berjaya sepertimana mereka yang mampu mencari dan menghasilkan kekayaan. Apakah kita hanya layak untuk menjadi kuli, pembeli, pemiutang, sedangkan kita sudah merdeka. Apakah kita hanya pandai menjual nasi lemak, karipap atau pisang goreng, sedang orang lain menjual rumah, menjual kereta, membina kilang atau supermarket di atas tanah peninggalan nenek moyang sendiri. Mengapa mereka boleh berjaya, mengapa kita banyak alasan untuk tidak mahu berjaya.

Tuesday, May 3, 2011

Soalan Karangan Laras Sains Tahun 2010


Pengajian AM Kertas 2 STPM 2010
Soalan No.3

Pelbagai spesies serangga yang wujud sejak dahulu lagi sering dianggap sebagai perosak.
Tanggapan ini sepatutnya diubah kerana spesies ini juga terbukti penting kepada manusia.
Jelaskan pernyataan ini.


Apa yang ingin saya kongsi dengan para pelajar STPM sekalian, bahawa terdapat banyak maklumat yang berguna kepada pelajar boleh diakses oleh pelajar melalui internet. Misalnya soalan karangan laras sains tahun 2010, sumber idea untuk menulis karangan soalan ini ialah akhbar Utusan Malaysia.Jika para pelajar perhatikan gambar di atas, ruangan arkib adalah amat penting untuk dibaca, kerana ruangan ini menyimpan maklumat-maklumat yang boleh dijadikan sumber rujukan untuk menggubal sesuatu soalan. Pada kebiasaannya artikel-artikel 2 atau 3 tahun yang lepas.Selain akhbar, para pelajar juga mesti membaca majalah-majalah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka seperti Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, dan sebagainya. Tidak rugi jika kita rajin membaca kerana "Banyak Membaca Luas Pengetahuan".

Monday, May 2, 2011

Obes,Buncit,Gendut atau Edema?


Isu kegemukan atau obes terutamanya di kalangan murid sekolah menjadi perbincangan hangat masyarakat di Malaysia. Sesuatu yang positif mungkin boleh dikaitkan dengan perkembangan ini apabila sikap prihatin masyarakat tentang kesihatan dan perubatan semakin meningkat.
Walaubagaimanapun, sebelum kita melihat isu obes secara objektif dalam rencana akan datang lebih baik kita tinjau sedikit aspek-aspek perubatan lain secara ringkas yang membincangkan perihal penyakit-penyakit yang berkaitan dengan kegemukan.
Dari gambar di atas mungkin seseorang akan mengenalinya sebagai buncit, boroi atau obes. Sebenarnya tanggapan ini adalah tidak benar.

#Kalau nak tahu lebih lanjut tentang tajuk ini saya syorkan anda baca sendiri dalam laman web majalah sains. Pautan atau links ada saya letakkan di sudut kanan bawah blog ini. Selamat membaca.

Sunday, May 1, 2011

Pimpin Diri Sendiri Dengan Cemerlang


Menurut Maxwell dalam bukunya "The 360 degree Leader" edisi bahasa Melayu, "Pimpinlah diri saudara sendiri dahulu. Itulah permulaannya.Lagipun, sekirannya saudara tidak mahu mengikut diri saudara sendiri, mengapa pula orang lain mahu mengikut saudara?"

Bos menyenangi orang-orang di bawah pimpinannya yang bijak mengurus dirinya sendiri. Sekiranya bos banyak menghabiskan masa mengurus orang bawahannya seperti memberi teguran, arahan, dan bimbingan yang berulang-ulang, menunjukkan orang bawahan itu tidak bijak mengurus dirinya sendiri.

Maxwell menegaskan, Pemimpin 360 darjah yang bijak mengurus dirinya adalah pemimpin yang mengurus emosi, masa, keutamaan, tenaga, fikiran, ucapan, dan kehidupan peribadinya yang baik.

-SELAMAT HARI PEKERJA-