Monday, July 30, 2012

Najib pemimpin ke-6 paling popular di dunia


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai pemimpin keenam paling popular di dunia oleh sebuah firma perhubungan awam dan komunikasi antarabangsa yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat iaitu Burson-Marsteller.
Menurut kaji selidik Twiplomacy yang telah dijalankan oleh firma nombor satu dunia itu, Najib merupakan antara pemimpin dunia yang aktif menggunakan akaun Twitter secara tulen.
Jelas kaji selidik tersebut, Perdana Menteri ketika ini mempunyai lebih 750,000 pengikut dan jumlah itu bertambah setiap hari.
"Ini sekali gus menjadikan beliau (Najib) sebagai pemimpin negara yang paling popular di Asia di laman Twitter iaitu satu dalam 37 (per kapita) dan juga dengan selesa menduduki dalam ranking 10 pemimpin paling popular di dunia.
"Tidak dinafikan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama merupakan pemimpin paling popular dunia, namun Najib juga merupakan antara pemimpin yang tidak kurang popularnya dalam kalangan rakyat," kata Twiplomacy.
Kata Twiplomacy, kedudukan akaun Twitter Najib pula boleh dirumuskan sebagai nombor dua paling aktif di Asia dan ke-17 di dunia berbanding akaun-akaun ketua kerajaan dan institusi lain.
"Perdana Menteri Malaysia ini juga dianggap antara pemimpin terawal yang berjaya menyesuaikan diri dengan penggunaan Twitter, ini juga merupakan contoh terbaik yang menampilkan betapa maju serta kehadapan pemikiran masyarakat di Malaysia," katanya.
Baru-baru ini Universiti Oxford turut mengeluarkan kenyataan kaji selidik mereka yang menunjukkan Malaysia menguasai kedudukan ketiga paling tinggi penggunaan Twitter secara meluas berbanding negara-negara barat.

Sumber: Utusan Malaysia 29 Julai 2012

Thursday, July 19, 2012

Telefon Bimbit dan Pelajar Sekolah

Isu terbaharu yang bermain dalam fikiran para guru ketika ini ialah 'Wajarkah Pelajar Dibenarkan Membawa Telefon Bimbit atau Ipad ke Sekolah". Apakah rasionalnya lebih banyak yang baik atau terlalu banyak yang buruk. Sebagai guru, saya memang  kurang bersetuju jika dasar ini dilaksanakan. Kecanggihan teknologi seharusnya seiring dengan peningkatan tahap kematangan para pelajar. Golongan pelajar mempunyai pemikiran yang agak cetek khususnya mereka yang masih di bawah umur 18 tahun. Ramai pelajar sekolah menggunakan telefon bimbit untuk tujuan bermain 'Game', 'SMS', dan yang amat menakutkan keseronokan mereka menggunakan kemudahan kamera video. Hari ini banyak telefon bimbit yang sudah semakin canggih seperti keupayaan melayari internet khususnya yang boleh menyimpan dan menyebarkan rakaman video. Setiap hari pengguna internet bercerita tentang 'Facebook', 'Youtube", "Twitter" dan sebagainya. Alasan faktor menjaga keselamatan menjadi keutamaan untuk membenarkan para pelajar perlu membawa telefon ke sekolah, harus dikaji semula. Kalau kita lihat hampir semua sekolah dibekalkan dengan kemudahan telefon awam. Apakah pelajar tidak boleh menggunakan kemudahan tersebut jika ingin berhubung dengan ibu bapa atau penjaga. Masalah sosial dalam kalangan  remaja sekolah hari ini, bukan boleh diatasi dengan membenarkan mereka membawa telefon bimbit ke sekolah. Sebaliknya penekanan terhadap pembentukan sahsiah dan disiplin amat penting diambil perhatian oleh semua pihak. Gejala ponteng, bergaduh, merokok, membuli, merupakan masalah disiplin yang sudah menjadi perkara biasa di sekolah. Guru-guru semakin bosan dengan permasalahan ini. Buku panduan disiplin hanya simbol kepada pengurusan sekolah. Berapa ramai ibu bapa (bukan guru) yang sama-sama memberi idea untuk mengemaskini kandungan buku tersebut. Ada cadangan yang mungkin juga secara guruan, datang daripada rakan-rakan guru saya di sekolah iaitu mewujudkan jawatan Pegawai Pendidikan Siswazah gred DG41 khas untuk menjaga telefon bimbit pelajar. Bayangkan jika 500 orang pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Bunyi deringan atau 'Ringtone' lebih kuat daripada bunyi loceng sekolah. Dalam kelas akan ada nanti nada dering muzik 'Angry Bird',  'Ombak Rindu,, dan bermacam-macam lagi. Saya teringat iklan Astro...'macam-macam ada'. Memang benar tekonologi membawa kemajuan kepada kita. Sebagai rakyat Malaysia, saya memang bangga dengan perkembangan teknologi ICT yang semakin berkembang pesat hari ini. Blog yang saya tulis ini juga adalah bukti negara kita semakin maju dengan teknologi ICT. Cuma janganlah kerana terlalu ghairah berpolitik...idea-idea yang banyak memberi kesan negatif kepada para remaja diperjuangkan. Apakah akan terjadi kepada pewaris negara ini, jika masalah disiplin pelajar semakin teruk. Tidak mustahil suatu hari nanti pelajar tidak mahu ke sekolah kerana tidak dibenarkan membawa telefon bimbit. Atau mereka akan memberi syarat kepada ibu bapa untuk dibelikan telefon bimbit yang lengkap dengan MMS, Video, Bluetooth, dan ada 'Angry Birds' jika mahu mereka pergi ke sekolah. Harga telefon yang canggih ini pula  paling kurang RM500. Bertambah beban lagi ibu bapa yang berpendapatan rendah. Sekadar pandangan dari saya seorang guru sekolah. Sekian.

Saturday, July 14, 2012

Keajaiban Tubuh Manusia

Jika Allah s.w.t Si Pencipta masa dan waktu ingin menghentikan syarat masa dan tempat, maka nescaya ia melakukannya. Oleh itu, proses Israk dan Mikraj tersebut sama dengan mukjizat mana pun yang ada di dalam AlQuran.

Sesungguhnya alam ini juga adalah mukjizat. Anak kecil diciptakan dari air yang hina. Air mani yang terdiri dari 400 juta spermatozoa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Semuanya datang dari pihak lelaki di mana setiap spermatozoa itu memiliki kepala, leher, ekor, yang berlumba-lumba berenang mencapai sel telur. Di bahagian kepalanya terdapat tutup yang lembut dan halus di mana jika ia berbenturan dengan sel telur, maka tutupnya itu akan koyak. Jika sudah seperti itu, maka ia juga akan menerobos dinding sel telur hingga keduanya menyatu. Kemudian keduanya masuk ke dalam rahim dan terjadilah pembuahan hingga tercipta seorang janin. Jadi penciptaan manusia juga adalah sebuah mukjizat. Selamat membaca.

Saturday, July 7, 2012

Imej baru tingkatan enam


YOGYAKARTA 5 Julai - Imej pelajar tingkatan enam yang lengkap berpakaian seragam sekolah putih dan biru akan berakhir sebaik kerajaan melaksanakan penjenamaan semula pendidikan berkenaan seiring dengan sistem pendidikan prauniversiti lain seperti di kolej-kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Perubahan besar yang bakal dilakukan kerajaan ialah dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.
Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjenamaan semula sistem pendidikan tingkatan enam dibuat dengan matlamat untuk meningkatkan imej, sistem dan kualiti pendidikan tersebut sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.
Menurut beliau, selain dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza.
Kerajaan juga kata Muhyiddin, bersedia untuk mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal seperti mana yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi.
"Kita akan lihat balik struktur sistem tingkatan enam di sekolah kita yang sedia ada. Pada masa ini, pelajar tingkatan enam adalah lanjutan daripada tingkatan lima sedangkan pelajar tingkatan enam sudah lebih dewasa, kematangan mereka juga sudah berbeza.
"Kalau kita fikirkan (tingkatan enam) ini sudah sampai tahap prauniversiti tetapi belajar di sekolah yang sama, kita merancang untuk satukan mereka (pelajar tingkatan enam) dengan pakaian (seragam) berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru tak sama. Ini kategori lain sikit," kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja beliau di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, transformasi sistem pendidikan tingkatan enam juga bakal memperlihatkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu mengikuti pengajian berdasarkan jadual waktu persekolahan yang bukan konvensional seperti yang sedang dilalui pada masa ini.
Rancangan menempatkan pelajar tingkatan enam di sebuah pusat pengajian khas jelas Muhyiddin, memerlukan kajian yang komprehensif memandangkan pada masa ini kedudukan mereka bertaburan.
"Pada masa sekarang pelajar tingkatan enam berterabur. Kita harus melihat ke hadapan dan memperbaiki lagi sistem yang sedia ada untuk meningkatkan lagi pendidikan tingkatan enam" ujar beliau.
Keperluan mengubah sistem pendidikan itu juga jelas Timbalan Perdana Menteri, amat penting untuk mengubah persepsi sebilangan besar masyarakat bahawa pendidikan di peringkat matrikulasi jauh lebih baik berbanding tingkatan enam.
Menurut Muhyiddin, persepsi berkenaan harus dikikis memandangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing melanjutkan pelajaran ke universiti adalah sama.
Beliau turut menarik perhatian pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya melihat pendidikan tingkatan enam sebagai platform terbaik bagi pendidikan prauniversiti.
"Kualiti sistem pendidikan tingkatan enam setanding dengan pengajian matrikulasi selain kelulusan STPM turut mendapat pengiktirafan universiti luar negara.
"Jangan lihat seolah-olah matrikulasi sahaja ada kelebihan, tingkatan enam juga ada kelebihan," tegas Muhyiddin yang merupakan produk tingkatan enam dari Sekolah Tinggi Muar.
Muhyiddin berada di sini itu menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-7 sebelum berlepas ke Bali untuk lawatan kerja. - UTUSAN MALAYSIA Julai 2012

Wednesday, July 4, 2012

Kerajaan sasar 90 peratus perkhidmatan dilaksana secara online pada 2015


PUTRAJAYA 3 Julai - Kerajaan mensasarkan 90 peratus daripada perkhidmatannya dilaksanakan secara online menjelang 2015, menurut Ketua Setiausaha Negara yang baharu Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata, sasaran itu penting bagi memastikan agensi-agensi kerajaan beralih menjadi kerajaan pintar bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Untuk mencapai sasaran itu, Ali berkata, satu kajian kes untuk berkongsi projek Pusat Sehenti (OSC) yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia baru-baru ini, telah meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan.
"Sehingga Mac 2012, sebanyak 1,957 permohonan projek pembangunan diterima menerusi sistem itu," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Digital Kebangsaan 2012 di sini hari ini.
Beliau percaya, menerusi inisiatif itu, pelbagai proses yang terlibat dalam permohonan itu boleh dilakukan serentak manakala masa pemprosesan dikurangkan kepada kira-kira empat hingga enam bulan berbanding satu hingga dua tahun sebelum ini. - BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia Julai 2012

Tuesday, July 3, 2012

Kegilaan kepada gajet membebankan?


SEBUT sahaja pasal gajet, terlintas di fikiran tentang produk teknologi sofistikated seperti telefon pintar, komputer riba, komputer tablet, kamera digital, pemain MP3 dan bermacam-macam lagi.
Secara asasnya, kesemua peranti tersebut dicipta dengan binaan kompak selain mempunyai kelebihan fungsi komunikasi dan multimedia lengkap serta moden.
Aplikasinya pula menyeluruh untuk memudahkan pengguna melaksana pelbagai urusan harian mereka secara lebih mudah dan mobiliti.
Hari ini, kita dapat lihat ahli masyarakat terutama golongan remaja tidak terlepas membawa bersama gajet-gajet berkenaan ke mana sahaja bagi memastikan mereka sentiasa berhubung dan berhibur.
Namun, di sebalik pemilikan gajet-gajet itu, terdapat persoalan adakah mereka benar-benar memerlukan dan mengaplikasi keseluruhan fungsinya secara maksimum.
Atau sekadar memenuhi kehendak nafsu yang obses dan ingin mengikut trend terkini memiliki produk-produk baru teknologi yang tidak pernah berhenti memasuki pasaran.
Jika benar begitu, sikap tersebut sebenarnya merupakan 'penyakit' yang perlu ditangani segera kerana tanpa disedari, ia memberi banyak impak buruk.
Antaranya seperti berlakunya pembaziran setiap kali mereka menukar model gajet baru walhal fungsi yang ditawarkan adalah lebih kurang sama.
Jika ada pun, ia hanya melibatkan penambahbaikan versi dan pastinya tidak akan mengganggu proses komunikasi atau hiburan sedia ada.
Dari sudut lain pula, apabila seseorang pengguna memiliki lebih daripada satu peranti komunikasi, sudah tentu mereka akan melanggan pelan-pelan data dengan total kos yang tinggi.
Jadi, jika difikirkan secara logik, mereka yang sanggup berhabis semata-mata mengejar gajet keluaran terbaru sebenarnya boleh dikatakan sebagai mangsa teknologi.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna BlackBerry Malaysia, Nelson Rizal Radzmi, trend itu sebenarnya bergantung kepada keperluan dan kepuasan pengguna dengan syarat mereka memahami pengoperasian gajet itu secara mendalam.
''Jika dimanfaatkan sepenuhnya, ia dapat memberi banyak kemudahan dan penjimatan kos jaringan yang perlu dibayar kerana terdapat pelbagai tawaran aplikasi komunikasi secara percuma.
''Di pihak pengeluar pula, mereka juga kini semakin memahami kehendak pengguna dan sentiasa mengikut aliran teknologi semasa.
''Justeru, pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli gajet tanpa objektif khusus atau kerap menukar peranti pintar hanya disebabkan pengaruh gaya atau persekitaran,'' jelasnya.
Bagi tujuan itu, Nelson memberitahu, pengguna perlu mengutamakan keperluan-keperluan lain sebelum membeli gajet yang diingini selain membuat perbandingan harga terlebih dahulu.
Sementara itu, Pengasas Ada Vista Sdn. Bhd. Azli Paat berkata, untuk menggunakan peranti pintar, seseorang itu juga perlu pintar dalam membuat keputusan atau pilihan.
''Ini termasuk mengenalpasti keperluan gajet-gajet itu dalam penggunaan harian selain menilai kemampuan mereka.
''Contohnya, jika mereka seorang pelajar, pastikan gajet yang dipilih boleh membantu dalam aktiviti pengajian dan kosnya pula tidak membebankan,'' jelasnya.
Azli memberitahu lagi, elemen utama yang perlu diberi perhatian adalah memahami caj perkhidmatan yang dikenakan supaya tidak tertipu.
''Jangan terlalu ghairah untuk menjadi pengikut gajet terkini sehingga mengabaikan perkara penting ini.
''Selain itu, pengguna juga perlu sedar, di samping peranti, mereka sebenarnya perlu mengambil kira beberapa komitmen yang berkaitan seperti langganan data, membeli aplikasi dan juga aksesori,'' jelasnya.

oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN dan NOOR DIANA AZIS

Sumber : Utusan Malaysia Julai 2012