Friday, August 31, 2012

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Walaupun kita menyokong parti politik yang berlainan, namun kita semua adalah Rakyat Malaysia. Hargai kemerdekaan negara kita. Bermula dari 31 Ogos 1957 hingga 16 September 1963 Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bebas dari penjajahan British. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Wednesday, August 29, 2012

Jangan takut Seksyen 114A Akta Keterangan 1950


KUALA LUMPUR 28 Ogos - Orang ramai dinasihatkan tidak perlu takut terhadap pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 kerana ia dibuat semata-mata untuk melindungi golongan yang teraniaya di alam siber.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee berkata, hanya golongan yang cenderung menyalahgunakan teknologi maklumat (IT) dan internet yang akan takut terhadap pindaan akta berkenaan.

“Pindaan akta itu dilihat dapat mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak tersebut iaitu golongan yang menyalahgunakan Internet dan golongan yang teraniaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas isu pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang heboh diperkatakan di alam maya sehingga menyebabkan Kabinet kembali meneliti pindaan akta tersebut selepas diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbuat demikian.

Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang digazet Julai lalu dan mendapat pelbagai reaksi para pengguna internet.

Menurut Zulfakar, peruntukan dalam bentuk ‘andaian’ itu bukan perkara baru dalam undang-undang malah telah diguna pakai dalam akta-akta lain juga.

“Dalam kesalahan lain tidak ada pula orang hendak pertikaikan sedangkan isu tahap pembuktian (standard of proof) tetap sama di akhir sesuatu kes pendakwaan iaitu tahap pembuktian melampaui sebarang keraguan yang munasabah sebagaimana di dalam kes kesalahan-kesalahan jenayah yang lain adalah diperlukan," katanya.

Katanya, pindaan terhadap akta berkenaan tidak bermaksud untuk menzalimi suspek kerana andaian atau dakwaan itu boleh disangkal dengan tahap pembuktian yang ringan.

Sebaliknya kata beliau, pihak berkuasa atau pendakwaraya yang pada akhirnya memikul beban membuktikan kesalahan tersebut melampaui keraguan munasabah.

“Pihak polis akan membuat siasatan terlebih dahulu, selepas mendapat kepastian bahawa entri atau posting yang menyalahi undang-undang itu dihantar atau ditulis oleh suspek, barulah pendakwaan akan dibuat," ujarnya.

Sementara itu, peguam Khairul Mukhtar pula berkata, pelaksanaan akta itu perlu bagi mengawal pengguna Internet khususnya daripada mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya yang bercanggah dengan prinsip undang-undang.

Sumber : Utusan Malaysia 2012

Saturday, August 25, 2012

Rumah Terbuka Aidilfitri

Konsep rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya.

Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok. Ada pihak menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat politik sempit sehingga sanggup mengkritik dengan beranggapan apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya tidak betul. Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak.

Monday, August 13, 2012

GST mampu jadi tarikan pelancong

AMBANG Aidilfitri semakin menjelma. Umat Islam di seluruh dunia kini sibuk melakukan persiapan untuk menyambut hari istimewa di samping tidak ketinggalan meningkatkan amalan di akhir-akhir bulan Ramadan.

Apa yang menarik, setiap kali munculnya Syawal, aktiviti berkaitan pelancongan juga akan meningkat kerana ramai daripada kita yang akan memanfaatkan cuti panjang sempena hari raya.

Hotel-hotel kebiasaannya akan penuh ketika itu kerana ramai yang akan melancong bersama keluarga, sama ada di dalam atau ke luar negara.

Menyentuh mengenai pelancongan, terutamanya di luar negara, tahukah anda kebanyakan negara-negara di seluruh dunia telah menawarkan skim pemulangan cukai kepada pelancong yang membeli-belah di negara mereka.

Bagaimana mereka melakukannya? Jawapannya mudah sahaja iaitu negara-negara itu telah memperkenalkan skim cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau VST (cukai nilai tambah) yang mana melalui skim itu, setiap pelancong mendapat keistimewaan bayaran balik cukai bagi barangan yang dibeli.

Menarik bukan? Perkara ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan GST dijangka dapat memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara, terutama ke atas eksport dan sektor pelancongan.

Najib dilaporkan berkata, seperti mana-mana negara lain yang telah melaksanakannya, Malaysia juga akan memperkenalkan skim bayaran balik pelancong yang mana mereka boleh menuntut kembali GST yang dibayar ke atas pembelian barangan.

"Langkah ini akan turut menarik mereka membeli barangan bebas cukai di Labuan, Langkawi dan Tioman yang statusnya sebagai pulau bebas cukai akan dikekalkan," kata beliau.

Bagaimanapun setakat ini, Malaysia masih belum melaksanakan GST atau VAT dan kita hanya dapat melihat bagaimana ia berfungsi apabila melancong ke negara-negara yang telah melaksanakannya.

Menuntut pemulangan cukai

Sebenarnya, ramai juga daripada kita masih tidak mengetahui mengenai kelebihan yang ditawarkan sebagai pelancong ketika membeli-belah di negara yang telah melaksanakan GST/VAD.

Sebagai contoh, setiap tahun, pelancong yang melawat negara-negara Eropah telah meninggalkan berjuta-juta dolar cukai yang tidak dituntut selepas membeli barangan di negara-negara yang melaksanakan GST/VAT itu.

Sebenarnya sebagai pelancong, apabila berada di lapangan terbang atau sempadan ketika hendak keluar dari negara itu, kita boleh menuntut kembali cukai GST/VAT yang dibayar ketika membeli barangan tertentu.

Terdapat prosedur mudah yang perlu diikuti untuk menuntut cukai yang telah dibayar itu.

1. Bawa pasport - Sebaik-baiknya bawa pasport ketika berjalan di negara orang, terutama jika anda ingin mendapatkan pulangan cukai dari barangan yang dibeli.

2. Beli barang di kedai-kedai yang mengambil bahagian - Kebiasaannya peruncit boleh memilih untuk menyertai skim pemulangan GST/VAT dan ia dipaparkan di kedai mereka. Bagaimanapun, adalah lebih baik mendapatkan kepastian dengan bertanya dahulu sebelum membeli.

3. Lengkapkan dokumen - Sebaik sahaja membeli, pastikan pekedai mengisi dokumen pemulangan cukai dikenali sebagai 'cek' dengan lengkap dan kemudian kepilkan bersama resit dan simpan.

Bagi kedai yang mempunyai pelekat 'Rangkaian Beli-belah Bebas Cukai', ia akan lebih mudah kerana pekedai boleh menghantar dokumen bagi pihak anda dan seterusnya wang pemulangan cukai dimasukkan terus ke akaun kad kredit anda.

4. Bawa dokumen, resit dan barangan yang belum digunakan bersama apabila hendak keluar dari negara itu.

5. Copkan dokumen anda di pejabat kastam di lapangan terbang dan pastikan bawa barangan yang dibeli. Sebaik-baiknya jangan pakai dahulu pakaian atau kasut baru anda itu.

6. Menuntut wang - Anda hanya perlu mencari perkhidmatan bayaran balik seperti pejabat Blue Global atau Premier Bebas Cukai (EU) di lapangan terbang atau sempadan.

Selepas menyemak dokumen, mereka boleh memberikan anda bayaran balik secara tunai atau mengkreditkan bayaran balik ke kad kredit anda dalam tempoh bil yang seterusnya.

Jika anda tidak dapat mencari perkhidmatan seperti di atas, ini bermakna kedai yang anda beli barangan mengendalikan bayaran balik VAT/GST secara langsung dan anda perlu menghantar dokumen dari lapangan terbang atau sempadan melalui sampul surat yang disetemkan kepada alamat dibekalkan oleh pekedai.

Kemudian, wang itu akan dikreditkan ke kad kredit anda.

GST atau VAT merupakan salah satu daripada pelbagai jenis cukai yang diperkenalkan di sesebuah negara. Ia telah diperkenalkan di lebih 140 negara dan negara kita juga tidak ketinggalan akan memperkenalkannya tidak lama lagi.

Apabila diperkenalkan kelak, GST akan menggantikan skim cukai perkhidmatan dan cukai jualan yang dilaksanakan masa kini.

Jika kadar GST ialah 4 peratus atau 5 peratus, sudah tentu ia jauh lebih rendah daripada kadar cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus yang dikenakan sekarang.

Apabila diperkenalkan kelak, sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada kita dan juga para pelancong yang boleh mendapat rebat GST apabila berbelanja di negara ini.


Sumber : Utusan Malaysia, Ogos 2012

Wednesday, August 1, 2012

Persamaan Dalam Politik


Ada dua pendapat dalam persamaan politik, iaitu kepentingan sistem politik berubah dan sistem politik boleh diubahsuai mengikut kehendak seseorang. Sebab-sebab mengapa sistem politik tidak sama rata disebabkan terdapatnya fungsi-fungsi yang istimewa dalam masyarakat di mana ia membawa kepada perbezaan sumber-sumber politik.

Warisan yang berbeza di mana tidak semua orang menggunakan sumber-sumber yang sedia ada, iaitu secara biologi atau sosial dalam kehidupan mereka. Pengalaman yang berbeza berupa rangsangan atau tujuan dalam masyarakat, perbezaan dalam tujuan dan rangsangan yang menggalakkan masyarakat menjadi individu yang sempurna dan istimewa.

Pembahagian pengaruh politik adalah tidak sama rata antara ahli-ahli kerana kawalan yang dikenakan ke atas sumber-sumber politik tersebut. Ahli-ahli politik sering mempunyai pendapat yang bercanggah dengan pihak kerajaan. Dalam sistem politik persetujuan dan bantahan merupakan perkara yang penting. Kerajaan biasanya menggunakan kuasa dan legitimasi untuk mengawal keadaan. Dapatlah disimpulkan bahawa kuasa dan pengaruh berkait rapat. Kuasa dan pengaruh memainkan peranan agar seseorang pemimpin terus berkuasa atau sebaliknya. Memang seseorang itu tidak dapat lari daripada menggunakan pengaruh apabila dia berkuasa kerana pengaruh penting untuk meninggikan lagi tingkat kuasa yang dimilikinya.

Sumber : K.Ramanathan, Asas Sains Politik, Fajar Bakti Sdn.Bhd.2002