Monday, July 18, 2011

Makna DISIPLIN


Umumnya para ahli akademik bersetuju bahawa dalam sesebuah institusi persekolahan, aspek disiplin merupakan perkara yang amat penting jika ingin cemerlang dalam pencapaian akademik dan kegiatan ko-kurikulum. Sekolah yang tidak diurus dengan baik adalah cerminan tahap disiplin para penghuninya yang rendah. Persoalan disiplin bukan sahaja merujuk kepada tingkah laku pelajar, sebaliknya di kalangan guru juga harus melihat disiplin itu sebagai sesuatu yang secara langsungnya wujud dalam peribadi masing-masing.

Banyak sekolah mencipta slogan-slogan yang menjurus kepada soal pentingnya disiplin dalam kehidupan manusia. Misalnya "Disiplin Teras Kejayaan" "Disiplin Asas Kecemerlangan" dan sebagainya. Apakah disiplin hanya wujud di dalam sekolah. Apakah disiplin tidak perlu di rumah, di pejabat, di jalan raya. Banyak perkara yang manusia lakukan di dunia ini memerlukan tahap disiplin yang tinggi untuk memperoleh kejayaan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendidikan (1979) menjelaskan bahawa disiplin itu bermakna:

1. Kesanggupan seseorang itu bekerja ataupun membuat sesuatu dengan cukup tertib.
2. Kesanggupan menghormati hak individu lain.
3. Kesanggupan mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.
4. Kesanggupan menghormati antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong.
5. Kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat.

Sunday, July 17, 2011

Tahun Penggalakkan Sains dan Matematik

Dalam menghadapi cabaran era globalisasi seterusnya bersaing dengan negara-negara maju, Malaysia memerlukan masyarakat yang memiliki tahap kesedaran dalam bidang sains dan matematik yang tinggi.Melalui pembudayaan sains dan matematik dalam diri setiap rakyat, Malaysia mampu menghasilkan kekayaan, menjana ilmu serta menjadikan negara semakin maju dan berpendapatan tinggi.

Selaras dengan hasrat itu, MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pelajaran baru-baru ini telah melancarkan program Tahun Penggalakkan Sains dan Matematik (TPSM) 2011.
Ia bertujuan memupuk minat serta mempertingkatkan kesedaran dan pembudayaan sains dan matematik di segenap lapisan masyarakat.
Bidang sains dan matematik adalah sesuatu yang menarik, mencabar, penting dan mampu menyelesaikan pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi manusia.
Malaysia telah mencatatkan kejayaan dalam sistem pendidikan sejak 50 tahun lalu, namun kejayaan pendidikan negara telah ketinggalan berbanding dengan negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Korea.Terdapat perbezaan jurang kejayaan pendidikan yang membimbangkan di antara pelajar negara ini.

Pada tahun 2007, 20 peratus daripada pelajar negara ini gagal mencapai tahap minimum dalam Trends In International Mathematics and Science Study (TIMSS) dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut berbanding lima hingga tujuh peratus pada tahun 2003.
Manakala laporan enrolmen peringkat menengah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pada 30 Jun 2010 mencatatkan terdapat nisbah perbezaan yang besar mengikut komposisi jantina dan aliran pilihan pembelajaran.

Sumber : Dipetik dan diubahsuaikan daripada Utusan Malaysia,2011.

Monday, July 11, 2011

Perhimpunan Haram 'BERSIH" hanya menyusahkan rakyat


KESUDAHANNYA,Seperti yang dijangka, perhimpunan berkenaan mengundang seribu macam masalah kepada orang ramai terutama warga kota dan penduduk Lembah Klang. Hari Sabtu yang sepatutnya boleh dihabiskan bersiar-siar bersama keluarga atau rakan-taulan atau melakukan urusan kerja yang lainnya, menjadi satu hari yang 'lumpuh' disebabkan perhimpunan haram ini.

Sekatan dan penutupan jalan raya yang terpaksa dilakukan oleh pihak polis bagi mengagalkan perhimpunan itu menjelang dan semasa hari perhimpunan, membuatkan ramai warga kota terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan tidak kurang juga yang 'mati akal' untuk mencari jalan alternatif ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Kedai-kedai di sekitar lokasi perhimpunan turut ditutup, dan mereka terpaksa menanggung kerugiannya bukan penganjur.

Dalam pada itu, operasi pengangkutan awam juga terganggu dan mengakibatkan beribu-ribu orang awam terkandas di ibu kota. Beberapa majlis perkahwinan yang berlangsung turut terjejas kerana kesukaran tetamu untuk datang berikutan penutupan jalan.

Begitulah kesukaran yang terpaksa dilalui oleh rakyat disebabkan oleh agenda pihak yang tidak bertanggungjawab. Pun begitu, penghimpunan tersebut sebenarnya tidak langsung menarik minat warga kota untuk menyertainya.

Kelompok penganjur terpaksa 'mengimport' peserta luar untuk berarak dan membuat kecoh. Rata-ratanya adalah orang Melayu, berapa kerat sahaja kaum Cina dan India terbabit dalam perhimpunan itu.

Secara tidak langsung peristiwa Sabtu lalu, memperlihatkan wajah sebenar pembangkang yang suka mencetuskan kekecohan dan tidak mengambil kira kepentingan serta ketenteraman awam. Ia sebenarnya tidak pun menguntungkan gerakan pembangkang ini, kerana rakyat sememangnya tidak merestui dan mengutuk tindakan mereka membuat kacau ini.

Rakyat sudah tentunya percaya dan yakin, pemimpin yang mereka pilih, penentuannya adalah di peti undi bukan dengan mengheret rakyat melakukan demonstrasi di jalan raya. Dalam perkara ini, rakyat yang sebelum ini diminta oleh Bersih dan parti-parti pembangkang atas nama demokrasi untuk menyertai perhimpunan ini, harus dipuji kerana menolak perhimpunan ini.

Dan terima kasih juga kepada rakyat terutamanya warga kota yang dengan sabar melalui saat-saat kepayahan ini dengan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka mententeramkan Kuala Lumpur.

Pihak polis sewajarnya diberikan pujian kerana berjaya menghalang perhimpunan ini daripada menjadi kecoh dan terpaksa diumumkan darurat. Bahkan peserta-peserta yang ditahan oleh pihak polis juga diberikan layanan baik termasuk makan minum dalam khemah khas ala kenduri kahwin. Kosnya, sudah pasti tidak ditanggung oleh penganjur.

Dan kita berharap dengan berakhirnya perhimpunan ini, tidak akan menyebabkan pihak polis 'menutup buku' siasatan terhadap Bersih.

Pihak berkuasa seharusnya terus menyiasat secara habis-habisan. Banyak keraguan dan kemusykilan terhadap gerakan Bersih ini. Ini termasuk dakwaan mengenai sumbangan dana asing yang melimpah masuk untuk tujuan perhimpunan ini.

Thursday, July 7, 2011

Cerita guru sekolah

Kehidupan Pelajar Sekolah Menengah Di Malaysia



Isnin - Khamis - Jumaat

4.30-5.30 pagi : Bangun,mandi,sembahyang Subuh ( kalau buat ),sarapan pagi (kalau ada)

5.30-6.30 pagi : Bertolak ke sekolah ( naik kereta, naik bas, naik motor,jalan kaki )

7.00-1.20 tghari : Belajar (Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran)

2.00-4-00 petang : Aktiviti (Kelas tambahan, kokum, satu sukan satu murid,ponteng)

4.00-7.00 petang : Balik rumah (Tunggu kereta, tunggu bas, jalan kaki,jalan raya sesak)
Main bola, lepak sekejap, mandi, makan, sembahyang (kalau buat)

8.00-10.00 malam : Belajar (kemahuan sendiri,menyiapkan kerja sekolah,dipaksa belajar), boring...main game. Lapar.. cari makanan di dapur (rumah orang kaya)

10.00-11.00 malam : Tidur ( kalau mengantuk )tengok tv, cari makan,

12.00-4.30 malam/subuh : tidur...bangun...ulang semula

Monday, July 4, 2011

Titah khas Yang di-Pertuan Agong kepada 'Bersih'


KUALA LUMPUR 3 Julai — Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

"Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”. Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara". — BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 4 Julai 2011

Friday, July 1, 2011

Pendidikan Jasmani perlu suntikan baharu



Berbeza dengan mata pelajaran lain yang hanya menumpukan kepada aspek pengetahuan sahaja, Pendidikan Jasmani (PJ) boleh meningkatkan keupayaan minda, psikomotor dan nilai sosial seseorang pelajar.
Hal ini boleh dibuktikan apabila seseorang pelajar itu melakukan sesuatu aktiviti fizikal. Perbuatan itu bukan sahaja melibatkan keupayaan fizikalnya, malah ia juga dapat meningkatkan tahap keyakinan, pengetahuan dan keseronokan melakukan aktiviti berkenaan.
Justeru PJ merupakan mata pelajaran yang mempunyai kekuatan dan berpotensi untuk melengkapkan pelajar dalam semua aspek jasmani, intelektual, rohani dan sosial, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, penulis mendapati PJ tidak dapat dijalankan dengan berkesan kerana kekangan masa, kekurangan peralatan, kemudahan yang tidak mencukupi, guru yang tidak berkelayakan atau kurang berpengalaman yang mengajar subjek itu.
Kesemua faktor berkenaan membawa kepada kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran ini. Ditambah pula dengan keadaan yang tidak selesa untuk belajar kerana panas dan berpeluh semasa di dalam kelas selepas PJ. Ia disebabkan tiada kemudahan bilik mandi yang sempurna untuk pelajar membersihkan tubuh badan.
Bagi memastikan keberkesanan PJ, Kementerian Pelajaran perlu mempertimbangkan pelbagai aspek yang meliputi peruntukkan jumlah jam dalam seminggu, peralatan, kemudahan, guru yang berkelayakan, dan kandungan kurikulum yang mudah untuk dilaksanakan secara berkesan bukannya hanya di atas kertas.
Dibimbangi jika PJ dilaksanakan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga akan memberi impak negatif kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dan seterusnya akan menjejaskan perlaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.
Oleh sebab itu, dicadangkan tiga langkah baharu untuk memastikan PJ dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Langkah pertama ialah dengan mengadakan satu sesi persekolahan dan ia boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Dalam konteks ini, PJ sesuai dilaksanakan pada sebelah petang.
Hal ini membolehkan pelajar terus pulang ke rumah tanpa perlu masuk semula ke dalam kelas selepas PJ. Jika ia dilaksanakan, kemungkinan besar akan dapat menarik semula minat pelajar untuk menjalankan aktiviti fizikal.
Jumlah waktu untuk PJ juga boleh ditambah tanpa mengganggu mata pelajaran lain.
Usaha murni Kementerian Pelajaran yang telah dan sedang membina sekolah di setiap kawasan perumahan menjadi pemangkin proses untuk melaksanakan kelas PJ pada sebelah petang.
Di samping itu, pelbagai masalah sosial yang serius akan dapat diatasi kerana pelajar akan lebih menumpukan kepada aktiviti fizikal yang banyak membawa ke arah kebaikan.
Langkah kedua ialah menempatkan lebih ramai graduan PJ di setiap sekolah, sekurang-kurangnya empat orang guru - dua guru lelaki dan dua guru wanita - bagi sekolah yang ada pelajar perempuan.
Bilangan ini bukan satu masalah besar kerana setiap tahun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mengeluarkan graduan PJ yang berkelayakan.
Langkah ketiga adalah dengan melihat semula alatan dan kemudahan yang sedia ada di setiap sekolah sebelum merangka kurikulum PJ. Ketika ini terdapat juga sekolah yang gagal untuk mengikuti silibus yang ditetapkan.
Perkara ini disebabkan sekolah tidak ada atau kurang alatan dan kemudahan untuk melaksanakan kemahiran-kemahiran tersebut. Oleh itu, ia hanya menjadi sebagai sesuatu yang ideal tetapi tidak boleh dipraktikkan.
Diharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan walaupun secara berperingkat-peringkat sebagai satu suntikan baharu kepada mata pelajaran PJ ke arah melahirkan individu yang berketerampilan dari segi intelektual, jasmani dan sahsiah.


Oleh DR. MOHAR KASSIM
PENULIS ialah Pensyarah Sains Kejurulatihan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.