Tuesday, August 24, 2010

Buku elektronik gaya pembacaan baru


Membaca teks bukan pada kertas? Kelihatan biasa-biasa sahaja kerana ia membayangkan anda membaca mesej yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel, akhbar dalam talian, blog atau apa juga bacaan menerusi peralatan elektronik.
Sebagai contoh, anda mungkin sedang membaca artikel ini tanpa perlu memegang sehelai kertas pun, sebaliknya dengan hanya melayari laman web Utusan Online di www.utusan.com my.
Tetapi bila disebut membaca buku tanpa kewujudan buku itu secara fizikal, bunyinya agak asing bagi kebanyakan kita khususnya yang masih canggung dengan perkembangan teknologi.
Konsep yang disebutkan sebagai buku elektronik (e-buku) dan juga buku mudah alih atau m-book itu memudahkan ‘ulat buku’ membaca bahan bacaan mereka ke mana sahaja tanpa membebankan.
E-buku membolehkan sesiapa sahaja membaca sebarang dokumen digital dalam pelbagai format fail sama ada dalam format PDF, word dan html di komputer, telefon bimbit atau pembantu digital peribadi (PDA). Lebih menarik, teks yang dipaparkan, turut diringi dengan imej dan warna. Malah lebih menarik, anda boleh terus melangkau atau ke bab-bab tertentu dalam buku tersebut.
Justeru, syarikat penerbitan tempatan sudah melihat akan kemungkinan anjakan konsep pembacaan daripada secara konvensional kepada elektronik yang dipelopori akhbar, majalah dan buku biasa. Apa yang penting industri ini masih memerlukan pembaca bagi memastikan ia tidak berkubur dengan pendekatan yang lebih popular dan memudahkan.
Peminat novel misalnya, tidak lagi perlu membawa sekian banyak buku kesukaan mereka untuk mengisi waktu-waktu terluang sekiranya penerbit mampu menyediakan fail digital buku tersebut. Fail tersebut tentu boleh sahaja dimuat turun dalam telefon bimbit atau gajet lain yang nyata mengurangkan beban kepada peminat novel berkenaan. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos pencetakan dan mengurangkan bilangan pokok ditebang tetapi juga lebih mudah kerana ia boleh dipasarkan melalui Internet.
Pembaca yang berminat memiliki novel tersebut hanya perlu menghubungi penerbit untuk membuat tempahan dan buku tersebut boleh dimuat turun (download) atau dihantar dalam bentuk cakera padat (CD) kepada mereka. Sekali lagi, sistem atau teknologi elektronik menawarkan penyelesaian mudah bagi kumpulan ini sama seperti yang ditawarkan oleh sistem perbankan dan sistem lain-lain sedia ada.
Muat turun bahan bacaan melalui telefon bimbit begitu terkenal di Jepun dan penyelidikan di negara matahari terbit itu menunjukkan lima judul buku yang menduduki senarai teratas dalam carta pilihan penggemar adalah yang diterbitkan dalam bentuk m-buku.
Melalui kaedah m-buku, khalayak berpeluang melihat paparan grafik dan mendengar bunyi yang boleh mencetuskan kesan pembacaan lebih menarik serta memudahkan mereka memuat turun senarai terkini bahan bacaan di pasaran.
Selain itu, pembaca boleh menikmati paparan kertas hiasan, nada dering, nada dering bergambar, klip video, kad ucapan, animasi, karaoke, aplikasi Java, permainan Java, mesej bergambar, logo operator dan pesanan bersuara.
Kumpulan sasar m-buku adalah khalayak berusia 12 hingga 24 tahun kerana pada usia berkenaan mereka sudah berkemahiran menggunakan kemudahan elektronik terutama telefon genggam yang sudah menjadi budaya penting dalam masyarakat.
“Perkembangan maklumat dan ilmu yang bermula dengan kaedah cetakan pada 1400 mencatat perubahan pantas. “Daripada cetakan beralih kepada pawagam, radio dan televisyen, sebelum disusuli dengan laman web.
Syarikat peralatan elektrik dan elektronik terkenal, Sony pula menampilkan apa yang dikenali sebagai buku elektronik atau menerusi Sistem Pembaca Mudah Alih Sony atau Sony Portable Reader System. Ia mensimulasikan konsep buku yang mana anda membaca teks yang diformatkan dalam fail PDF misalnya, sama seperti anda membaca SMS. Produk PRS-500 itu menjanjikan simulasi buku sebenar dan membeli pengalaman baru dalam industri perbukuan.
Jika sebelum ini, fail dalam yang diformatkan dalam bentuk PDF itu (sebagai contoh) anda boleh membacanya dalam komputer peribadi dan pembantu digital peribadi (PDA), sistem yang ditampilkan Sony memudahkan segalanya bagi merealisasikan konsep buku elektronik (e-buku).
Dengan kapasiti penstoran 160 buku elektronik, pembaca malah mampu berfungsi sebagai perpustakaan bergerak anda. Model tersebut juga mempunyai ciri paparan beresolusi tinggi , malah menyerupai kertas secara fizikal, dengan penggunaan kuasa rendah.
Sebiji bateri sebagai pembekal kuasanya mampu menawarkan bacaan sehingga 7,500 muka surat tanpa henti. Sebagai tambahan kepada konsep buku elektronik, alat tersebut juga boleh menyimpan dan memaparkan dokumen peribadi dan perniagaan dalam format Adobe PDF, teks RTF, dan imej JPEG.
Dengan harga hampir RM1,000 dan dilengkapi dengan kabel USB perisian PC e-book dan penyelarasan warna, produk ini mungkin lebih penting daripada telefon bimbit anda pada masa akan datang. Dengan penggunaan alat sebegini, bersantailah di pusat peranginan ketika sedang bercuti atau duduk bersendirian menunggu penerbangan tanpa rasa bosan.


Antara kedai e-buku terkenal di Internet
- Books on Board.com (www.booksonboard.com) - mempunyai lebih 130,000 judul buku digital dari pelbagai penerbit.
- CyberRead (www.cyberread.com) - mempunyai 40,000 judul buku digital terkenal untuk dibaca di PDA atau PC.
- Diesel e-Book (www.diesel-ebooks.com) - mempunyai 35,000 e-buku yang dibahagikan kepada 50 kategori untuk memudahkan pencarian.
- E-Books.com (www.ebooks.com) - mempunyai pelbagai buku digital sama ada untuk kategori popular, profesional dan akademik.
- eFollet.com (www.efollet.com) - mempunyai pelbagai buku-buku akademik untuk kolej dan institusi pengajian tinggi.
- eBookMall.com (www.ebookmall.com) - merupakan e-penebit dan penjual e-buku dalam 10 format terkenal.

No comments:

Post a Comment