Apabila kita bercakap tentang peperiksaan, lazimnya buku rujukan pasti akan dibeli sebagai bahan bacaan kepada anak-anak sekolah. Tanpa buku rujukan anak-anak sukar untuk membuat ulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Walau pun kerajaan telah membekalkan buku teks sebagai pinjaman kepada hampir semua pelajar di negara ini, namun buku rujukan tetap dibeli. Bahkan setiap guru yang mengajar, pasti akan membeli dan menggunakan buku rujukan mata pelajaran yang diajarnya di sekolah. Ibu bapa pula akan berbelanja lebih membeli buku-buku rujukan PMR, SPM atau STPM, demi untuk kejayaan anaknya. Perlukah buku rujukan? Tidak cukupkah buku teks yang telah kerajaan sediakan?
Hari ini buku rujukan yang dijual di kedai-kedai buku bertambah mahal harganya.
Berdasarkan pengalaman membeli buku rujukan untuk anak saya yang akan mengambil peperiksaan PMR tahun ini, untuk tiga buah buku sahaja, saya membayar sejumlah RM78.00. Anak saya minta lagi 5 buah buku untuk melengkapkan 8 mata pelajaran yang bakal dijawab dalam peperiksaan PMR kelak. Ini bermakna setiap ibu bapa akan berbelanja lebih RM200.00.
Bayangkan jika ada anak yang akan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun yang sama. Tentulah ibu bapa akan merasa terbeban dengan harga buku rujukan yang dijual di negara ini.
Bagi pelajar yang datang dari keluarga miskin, tentulah sukar untuk ibu bapanya membeli buku-buku tersebut. Kerajaan harus menetapkan dan mengawal harga buku-buku rujukan di negara ini, agar ibu bapa yang mempunyai pendapatan sedikit tidak merasa terbeban. Walau pun kerajaan ada memberi bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa, namun tidak semua pelajar yang akan memperolehinya.
Seperkara lagi sistem peperiksaan PMR di negara ini agak menghairankan kerana pelajar yang kurang cemerlang pun pasti akan dapat meneruskan persekolahan ke tingkatan empat. Keadaan ini boleh mempengaruhi pemikiran pelajar untuk tidak menggunakan sepenuhnya buku-buku rujukan yang telah dibeli oleh ibu bapanya tadi. Harga buku mahal tetapi nilai peperiksaan PMR semakin menurun. Lulus cemerlang atau kurang cemerlang, tetap akan meneruskan persekolahan ke tingkatan empat. Lebih baik peperiksaan PMR dimansuhkan.
No comments:
Post a Comment