Wednesday, September 28, 2011

Zina punca jenayah buang bayi berleluasa


SECARA fitrah, manusia berkembang biak melalui proses persenyawaan telur antara benih lelaki dan wanita, yang kemudiannya menghasilkan segumpal darah dan membesar dalam rahim seorang wanita. Fitrah itu juga mensyaratkan agar benih yang lahir itu mestilah zuriat yang sah dan proses pengesahannya adalah dengan perkahwinan.
Pada zaman dahulu, jika seseorang wanita melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan yang sah, akan menerima kutukan dan seksaan budaya masyarakat. Kerana itulah ramai ahli masyarakat menjadi takut sehingga cepat-cepat melangsungkan perkahwinan anak perempuan sebaik sahaja melepasi umur baligh.
Kebimbangan itu berasaskan kepada tanggungjawab untuk membesarkan anak yang dilahirkan. Jika tanpa dipagari oleh keabsahan keluarga, anak tersebut akan menderita sepanjang hayat. Perkembangan pemikiran manusia telah menyebabkan peraturan moral sedemikian semakin diketepikan, kerana ada menganggap bahawa perkahwinan mengongkong dan proses pembubarannya menempuh liku dan tempoh yang panjang.
Perkembangan pemikiran secara liberal dan bebas itu telah menyemarakkan satu pandangan baru, bahawa atas persetujuan bersama lelaki dan wanita, boleh tinggal sebumbung selama mana mereka mampu bertahan tanpa ikatan perkahwinan. Pelenturan pandangan moral dan agama itu menyebabkan amalan tinggal serumah atau bersekedudukan menjadi pola budaya masyarakat negara-negara maju. Kini, pola itu turut berkembang dan menjadi tempias masyarakat negara-negara membangun sehingga bersekedudukan itu adalah satu amalan biasa.
Paling menyedihkan apabila bersekedudukan tanpa tanggungjawab itu mencarum pula kepada permasalahan membuang bayi. Oleh kerana tekanan masyarakat di negara-negara membangun masih besar terhadap nilai moral, budaya dan agama, maka bayi yang dilahirkan oleh pasangan tanpa pernikahan menimbulkan masalah baru. Di Malaysia, kisah pembuangan bayi telah berlaku sekian lama, tetapi akhir-akhir ini ia menjadi satu kegilaan yang paling kejam.
Kesan perlakuan zina menyaksikan anak gadis atau wanita paling berat menanggung bahana. Apabila mendapati diri mengandung, mereka hanya mempunyai dua pilihan iaitu meneruskan kandungan atau menggugurkannya dengan pelbagai cara, sama ada menemui dukun tradisional, doktor atau cuba melakukan sesuatu termasuk membunuh diri. Bagi yang merasakan kandungan itu adalah darah dagingnya, akan timbul persoalan dan kebimbangan iaitu setelah kelahirannya, di manakah akan disorokkan bayi itu.
Islam amat melarang bersekedudukan kerana ia akan mengakibatkan perlakuan zina. Perlakuan zina bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk, tidak bermoral malah mencabar hakikat keinsanan itu sendiri.
Zina merupakan perbuatan membunuh dari awal-awal lagi. Ini kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukan tempatnya yang sebenar dan diikuti pula oleh keinginan mahu menghindarkan diri daripada kesan-kesannya dengan membunuh janin sebelum ia membentuk rupa atau selepas ia membentuk rupa, sama ada sebelum atau selepas ia dilahirkan di dunia.
Andai kata janin itu dibiarkan hidup, maka biasanya ia dibiarkan hidup dalam satu kehidupan yang buruk atau kehidupan yang hina, iaitu satu kehidupan yang disia-siakan dalam masyarakat. Zina itu juga merupakan satu bentuk pembunuhan terhadap masyarakat, di mana berkembangnya kejahatan zina yang menyebabkan kehilangan hubungan keturunan dan percampuran darah keturunan dan seterusnya kehilangan kepercayaan terhadap kehormatan dan anak serta mengakibatkan kehancuran ikatan-ikatan masyarakat dan akhirnya membawa keruntuhan seluruh masyarakat.
Zina turut dilihat sebagai satu bentuk pembunuhan dan penyebaran benih kemasyarakatan yang tempang, merendahkan martabat manusia, dan hilangnya rasa bangga terhadap keturunan dan jurai keluarga. Bayangkan, apabila seseorang itu tidak mengetahui asal usul atau jurai keturunan, pasti jiwa berasa tersisih dan dilanda gundah.
Keserakahan nafsu yang menjadikan nilai kehidupan semakin tidak selamat. Apabila dikuasai nafsu, manusia sangat mudah berkonflik, berbalah dan seterusnya berperang. Telah banyak tragedi berdarah yang berlaku disebabkan perbuatan zina, termasuk membunuh sesama manusia.
Imam Ahmad berkata: "Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar daripada dosa zina setelah (dosa) membunuh manusia."
Bagi membendung perbuatan zina, Islam melarang pergaulan bebas bukan muhrim kerana ia mendorong lelaki dan perempuan berada dalam suasana mencurigakan dan ia dimulakan dengan khalwat. Menghias diri dengan wangian dan bersolek turut dilarang jika ia dilakukan untuk tontonan umum. Wanita digalakkan menghias diri semasa bersama suaminya, kerana ia bakal membangkitkan ghairah dalam keadaan halal.
Berhias dan kelihatan anggun dalam kelompok bukan muhrim akan menjerumuskan wanita dalam pelbagai masalah. Keinginan lelaki kepada wanita seksi akan menjadikan gelora nafsu tidak terkawal dan mendorong perbuatan rogol atau percubaan menggoda yang akhirnya menjurus kepada zina.
Islam menggalakkan perkahwinan kepada yang mampu, berpuasa kepada yang tidak mampu, melarang mengadakan halangan-halangan yang boleh menyekat perkahwinan seperti meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi. Islam menafikan ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan kerana mempunyai anak-anak yang ramai.
Adalah digalakkan supaya diberikan subsidi atau bantuan kepada orang-orang yang ingin berkahwin agar dapat memelihara kesucian diri. Islam menjatuhkan hukuman paling berat ke atas pelaku zina, juga ke atas mereka yang menuduh perempuan baik tanpa bukti melakukan zina.

Wednesday, September 21, 2011

1M1S : Saya yang menurut perintah


Sikap sesetengah pentadbir sekolah yang tidak begitu serius tentang sukan menyebabkan perlaksanaan Dasar satu Murid Satu Sukan masih belum teratur dan sentiasa menimbulkan perdebatan di kalangan guru-guru sekolah. Ibarat pepatah Melayu "asal ada saja" atau "hangat-hangat tahi ayam" aktiviti tersebut sering menimbulkan rasa bosan bukan sahaja kepada guru yang terlibat, malah di kalangan para pelajar sendiri.

Ramai yang mengeluh kerana waktu yang digunakan untuk aktiviti 1M1S ini sangat tidak sesuai. Bayangkan semua pelajar dikehendaki bersedia di tengah padang atau di gelanggang permainan pada jam 2.00 petang. Sedangkan waktu pengajaran dan pembelajaran harian berakhir pada jam 1.20. Ini bermakna semua pelajar dan juga guru hanya mempunyai masa sebanyak 30 - 40 minit untuk mengurus peribadi seperti makan tengahari, sembahyang Zohor bagi yang beragama Islam dan menghantar anak ke sekolah agama.

Begitu juga bagi pelajar yang tinggal di asrama, waktu makan ialah antara jam 1.30 - 2.00 petang. Bayangkan apakah yang berlaku kepada makanan yang masih belum hadam di dalam perut. Ini yang dapat makan tengahari. Apakah nasib pelajar harian yang mempunyai latar belakang pendapatan ibu bapa yang tidak sama. Duit belanja antara RM1.00 - RM3.00 sehari tidak cukup untuk membeli makanan sehingga ke waktu petang. Sepatutnya pihak sekolah khusunya pentadbir sekolah menetapkan aktiviti satu murid satu sukan ini pada waktu pagi iaitu pada hari Jumaat atau Sabtu. Apalah ertinya dasar ini diperkenalkan jika pemikiran 'asal ada saja" menjadi azimat sepanjang tahun. Kebajikan para pelajar juga harus diambil kira. Pada saya cukuplah empat hari (Isnin - Khamis) untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Kemudahan alat sukan juga wajib diambil perhatian oleh pihak pentadbiran sekolah. Mana mungkin aktiviti hoki dapat dilaksanakan jika kayu hoki tidak ada. Mana mungkin aktiviti bermain bola baling dapat dilaksanakan jika padang bola cuma satu dan berkongsi dengan permainan bola sepak serta olahraga. Setiap sukan mempunyai antara 40-50 orang ahli. Jika berlaku kecederaan seperti patah kaki atau kepala terhantuk semasa bermain, guru juga yang disalahkan. Asyik-asyik guru juga yang dipertanggungjawabkan. Nasib seorang guru "Saya yang menurut perintah"

Friday, September 16, 2011

ISA dimansuhkan : Undang-undang Baru Akan Digubal


KUALA LUMPUR 15 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Berucap dalam perutusan khas Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurutnya, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

“Pokoknya, akta-akta itu nanti bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

“Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa saya mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa ISA akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa ISA akan dimansuhkan terus,’’ kata Perdana Menteri.

Najib berkata, melalui undang-undang baru itu kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara.

“Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang baru ini juga akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah,’’ ujarnya

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

Di dalam ucapannya itu beliau berkata, kerajaan turut memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

“Kuasa untuk melanjutkan penahanan juga akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan,’’ katanya lagi.

Beliau menambah, kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak relevan.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kajian semula terhadap beberapa undang-undang negara secara lebih komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan sebaliknya akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga ia dibatalkan,’’ katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan,

Namun katanya, kebenaran berhimpun diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Tuesday, September 6, 2011

Menilai jenis pemimpin


Artikel ini saya pinjam sebagai perkongsian kepada semua pembaca, semoga ia dapat memberi pengetahuan tentang kepimpinan yang seharusnya kita pilih.

MEMINJAM kerangka analisis kepimpinan yang dirumuskan oleh Dr. Azizan Bahari, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia memberikan kita ilham bagi memilih jenis pemimpin yang bakal memimpin kita.
Dalam bukunya, Menjadi Pemimpin (2008), Dr. Azizan memberikan pengukuhan konsep pemimpin kepada empat jenis utama iaitu pemimpin karismatik, pemimpin transaksi, pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah memenangkan dirinya sendiri dan pemimpin transformasi.
Seorang pemimpin karismatik merupakan pemimpin yang popular dan menjadi pujaan pengikutnya. Pemimpin jenis ini, walaupun adakalanya membuat kesilapan, kesilapan yang dilakukan itu tidak dinilai sebagai satu kesilapan. Malah, setiap kali percubaan untuk mendedahkan keburukannya akan dianggap sebagai satu helah, kemudiannya akan dirumuskan sebagai konspirasi. Penyokong setianya tidak boleh menerima kesalahan tersebut, dan sebarang percubaan menjatuhkan pemimpin itu akan ditentang kerana mereka sanggup "mati dan berjuang" mempertahankannya.
Menjadi lebih keutamaan ialah pemimpin karismatik bukan sahaja mampu menghimpunkan ramai pengikut bahkan orang sanggup mendengar ucapannya dengan tekun tanpa menilainya sebagai sesuatu yang bertentangan. Pemimpin jenis ini amat bijak menggunakan lisan dan bahasa badan sehingga ia dilihat hebat, mampu menyelesaikan masalah masyarakat dan gaya retoriknya mempunyai ritma "mega mendung." Pemimpin jenis ini tahu membangkitkan resah melalui kata-kata dan mampu pula memberikan solusi walaupun secara rasionalnya ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.
Pemimpin transaksi tidak mempunyai kehebatan berpidato, tetapi ia merupakan pemimpin yang sanggup bekerja keras untuk memenuhi tanggungjawabnya. Pemimpin jenis ini mempunyai idea yang praktikal dan tidak akan membuat janji seandainya tidak mampu dilaksanakan. Pemimpin transaksi mengamalkan gaya kepimpinan sederhana, tidak meninggi diri dan sentiasa berkorban untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.
Pemimpin ketiga ialah pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah untuk menang sendiri. Pemimpin ini akan menggunakan apa sahaja kaedah dan cara yang difikirkan sesuai asal sahaja kedudukannya dapat dipertahankan. Sifat ini amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Nicollo Micheavelli dan bagi Dr. Azizan ia dikenali sebagai pemimpin ‘Halsca’ (halal segala cara). Fitnah bukan dilihat sebagai kaedah jijik, malah dianggap sebagai satu strategi politik.
Pemimpin keempat ialah pemimpin transformasi. Pemimpin jenis ini bukan sahaja memberikan ilmu kepada pengikutnya malah turut berusaha membentuk budaya berfikir secara rasional. Ia ikut membudayakan percambahan ilmu dan tidak mudah berjanji untuk menempatkan dirinya sebagai populis.
Pemimpin transformasi adakalanya dilihat mempunyai gaya karismatik, tetapi bukan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan secara peribadi. Pemimpin transformasi tidak berusaha membentuk kelompok penyokong yang fanatik, tetapi lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran penyokongnya secara rasional agar mampu membuat keputusan dengan bijak dan berkesan. Pemimpin jenis ini bercakap dengan menggunakan fakta dan bukannya gemar membuat kesimpulan secara tergesa-gesa.
Seorang pemimpin transformasi sentiasa memberikan fokus selaras dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Pemimpin jenis ini meletakkan amanah sebagai pemandu arah dan berusaha sepenuh daya untuk memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Pemimpin transformasi tidak menjadikan kedudukannya sebagai keistimewaan, sebaliknya mengutamakan setiap peluang dan fikirannya untuk memenuhi tuntutan masyarakat.
Perspektif kepimpinan transformasi merupakan sifat kepimpinan yang banyak diberikan penekanan dalam al-Quran. Pemimpin jenis ini akan sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan bila membuat sesuatu keputusan, ia berdasarkan kepada prinsip keadilan.
Konsep keadilan tidak dicampuradukkan dengan konsep sama rata. Konsep keadilan ialah meletakkan hak ditempat yang sepatutnya, maka dalam memenuhi tuntutan tersebut, ia tetap bersandarkan kepada peraturan dan etika yang telah melembagakan sesuatu perkara. Bagi perkara-perkara yang belum dilembagakan sebagai satu bentuk peraturan dan etika, akan dicari pula satu rumusan yang boleh diterima secara umum.
Dalam konteks ini, pemimpin transformasi tidak akan meminggirkan kelompok minoriti walaupun dalam konteks demokrasi, majoriti menjadi kuasa penentu. Kepentingan minoriti akan dilihat secara saksama, kerana mereka juga mempunyai hak selagi hak tersebut tidak melanggar hak orang lain.
Dalam konteks kepimpinan Islam, menunaikan tanggungjawab, menjaga amanah dan menegakkan keadilan adalah beban yang disandarkan ke atas bahu seseorang pemimpin. Sebagai pemerintah (ulil amri), setiap pengikut pula diwajibkan mentaatinya selagi setiap tingkah laku dan kaedah pemerintahan tersebut tidak menjurus kepada kebongkakan, menolak keyakinan dan melanggar perintah Allah SWT serta mendusta Rasulullah (Surah al-Nisa' ayat 48).
Kekuasaan yang diperoleh seseorang pemimpin adalah atas keizinan-Nya. Seseorang itu tidak boleh menganggap kuasa yang ada padanya adalah hak mutlaknya, kerana sehebat mana manusia cuba mendapatkannya, melalui apa cara sekalipun, jika tanpa restu Allah SWT ia tidak akan memperolehnya. Sejarah manusia yang lupa mengenai kekuasaan Allah SWT banyak berlaku meskipun seseorang itu dilihat hebat – dari jenis pemimpin karismatik – tapi akhirnya kecundang dan jika sempat menjadi pemimpin, di akhir pemerintahannya diselubungi tragedi.
Kita mungkin boleh mengambil contoh Muammar Gadafi sewaktu permulaannya dilihat sebagai wira. Setelah lebih 40 tahun memimpin Libya, Gadafi menjadi musuh dan rakyatnya sedang berjuang untuk menyingkirkannya secara tidak terhormat. Begitu juga dengan nasib yang diterima oleh Hosni Mubarak, terpaksa hidup dalam buangan dan menjadi umpatan.
Di dalam kitab Musnad (jilid 3 halaman 154), Imam Ahmad bin Hanbal memetik hadis Rasullullah SAW yang bermaksud: Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya. (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Berdasarkan prinsip tersebut, menjadi pemimpin bukanlah bermakna mendapatkan jawatan yang tertinggi. Kedudukan jawatan itu perlu disusuli dengan usaha memenuhi tanggungjawab dan amanah. Ingatan itu perlu sentiasa menjadi gagasan yang wahid bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin sebagai mana maksud hadis: Tidak ada seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati mereka melainkan Allah SWT haramkan ke atasnya syurga. (Riwayat Syaikhan).
Berdasarkan kerangka analisis kepimpinan jelaslah bahawa pemimpin transformasi amat diperlukan berbanding lain-lain jenis pemimpin. Rasulullah saw diakui dunia sebagai seorang pemimpin yang jujur. Bila berjanji kepada masyarakat yang dipimpinnya, ia tunaikan janji sesuai dengan tuntutan Allah SWT.
Rakyat Malaysia semakin matang menilai pemimpin. Rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindak tanduk pemimpin kerana rakyat Malaysia semakin sedar, berilmu dan dapat membaca tingkah laku seseorang pemimpin. Rakyat semakin bijak, tetapi dalam kecerdikan itu jangan tersalah pilih, terlalu banyak musang berbulu ayam yang hanya mencari peluang dengan berlakon dan bersandiwara. Hakikatnya, ayam sereban habis, reban bersepah dengan bulu-bulu ayam, musang hilang setelah kekenyangan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah
Islamiyah Malaysia (Yadim)

Friday, September 2, 2011

Imbas kembali : Darurat 1948


Darurat yang telah diisytiharkan pada 16hb Jun 1948, pada mulanya dihadkan di kawasan sungai siput, perak dan Kawasan Tengah Johor sahaja.Bagaimanapun, pada 17hb Julai 1948 darurat diisytiharkan di seluruh Semenanjung Tanah Melayu kerana pemberontakan dan tindakan ganas oleh Parti Komunis Malaya (PKM)telah berleluasa dan mengancam keselamatan penduduk.

Selama 12 tahun darurat mencengkam hidup rakyat dengan pelbagai masalah dan pahit maungnya. Rakyat bukan sahaja hidup dalam kesusahan dan ketakutan akibat ancaman pengganas komunis, tetapi mereka juga mengalami banyak kesusahan kerana mereka terpaksa mematuhi pelbagai peraturan ketat demi langkah-langkah keselamatan.Akhirnya pada 31hb Julai 1960 Yang Dipertuan Agong mengisytiharkan darurat tamat.

Thursday, September 1, 2011

Sejarah : Wajib Lulus SPM 2013


Mulai 2013, mata pelajaran Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus sebagai syarat untuk layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mata pelajaran Bahasa Melayu.

Subjek Sejarah akan mula diperkenalkan dalam SPM Ulangan mulai tahun 2014.

Format pentaksiran mata pelajaran Sejarah akan menggunakan sukatan pelajaran sedia ada bermula dari tahun 2013 sehingga 2017. Bermula SPM 2018, ia akan menggunakan sukatan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Mengikut format pentaksiran yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat pada April lalu, subjek Sejarah akan diuji dalam tiga kertas yang melibatkan soalan aneka pilihan, struktur dan esei serta tugasan.

Kertas 1 mengandungi 40 soalan objektif yang perlu dijawab oleh calon dalam tempoh satu jam. Ia menyumbang 30 peratus daripada markah keseluruhan.

Manakala Kertas 2 pula merupakan soalan subjektif yang dibahagikan kepada Bahagian A untuk soalan berbentuk struktur dan Bahagian B untuk esei.

Semua calon wajib menjawab empat soalan yang terdapat dalam Bahagian A. Sepuluh markah untuk setiap soalan.

Bahagian B mengandungi tujuh soalan dan calon hanya perlu menjawab tiga soalan sahaja. Dua puluh markah untuk setiap soalan.

Jumlah markah ialah 100 tetapi secara keseluruhan Kertas 2 menyumbang sebanyak 50 peratus. Tempoh ujian untuk Kertas 2 ialah selama dua jam setengah.

Kertas 3 yang merupakan soalan berbentuk tugasan menyumbang sebanyak 20 peratus daripada markah keseluruhan. Ujian bagi kertas ini dijalankan dalam tempoh tiga jam tetapi calon akan diberi tema atau tajuk umum sebulan lebih awal dari tarikh peperiksaan.

Tajuk tugasan dan panduan menjawab Kertas 3 akan diberi pada hari peperiksaan.

Dari segi aras kesukaran soalan, ia digubal sesuai dengan tahap pembelajaran Sejarah pelajar pada hujung tingkatan lima.

Semua soalan dibina mengikut sukatan pelajaran tingkatan empat dan lima.

Konstruk untuk setiap soalan berbeza mengikut Kertas. Bagi Kertas 1, soalan menjurus kepada keupayaan mengingat, memahami dan menganalisis.

Kertas 2 pula memerlukan pelajar mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan menjana idea.

Tugasan dalam Kertas 3 pula bertujuan memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai, menjana idea dan nilai.

Sumber : Utusan Malaysia