MALAYSIA, sebagai sebuah negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa telah lama menjadi contoh terbaik di pentas dunia dalam mengamalkan hidup bermasyarakat yang bertoleransi, saling menghormati dan memahami antara satu kaum dengan kaum lain.
Apa yang negara kita nikmati sekarang amat jauh berbeza dengan negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum tetapi rakyatnya tidak pernah hidup aman lantaran perbezaan tersebut. Malah, ada negara yang memiliki penduduk daripada satu kaum sahaja tetapi masih gagal mengekalkan keamanan yang diingini kerana perpaduan rakyatnya yang rapuh.
Justeru, keunikan negara kita yang mempunyai penduduk pelbagai kaum yang dapat hidup dalam keadaan aman damai sentiasa menjadi perbualan masyarakat dunia. Itulah yang kita banggakan selama ini, tetapi soalnya apakah keadaan itu dapat dikekalkan?
Jawapan yang pasti adalah ia boleh dikekalkan dengan syarat setiap rakyat terutama pemimpin politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin kumpulan yang ditubuhkan berasaskan kaum saling bekerjasama erat dengan kerajaan dalam memastikan keamanan dan perpaduan yang dikecapi hari ini dapat kekal selamanya.
Itulah juga yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu apabila beliau menyeru setiap warga negara ini agar saling bekerjasama dalam mengeratkan perpaduan antara kaum. Najib ketika berucap pada majlis bertemu pengundi Cina, India dan Orang Asli di pekan Kerdau, Pahang, semalam, menegaskan betapa perpaduan perlu diperkukuhkan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara yang hebat dan disegani pada abad ke-21.
Usaha mengukuhkan perpaduan perlu bermula di rumah dan sekolah rendah. Ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya, selain kanak-kanak itu diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mana segala corak pada kain itu ditentukan oleh ibu bapa, penjaga dan guru-guru di sekolah.
Tidak kira sama ada anak-anak itu mengikuti persekolahan aliran kebangsaan, Cina, Tamil, Inggeris atau sekolah antarabangsa, tugas memperkukuhkan perpaduan terletak pada bahu ibu bapa dan guru. Merekalah yang bertanggungjawab sepenuhnya membentuk sikap anak- anak agar saling menerima perbezaan dan akhirnya membesar sebagai rakyat yang sanggup bertolak ansur, bertoleransi dan menghormati perasaan antara satu kaum dan kaum lain.
Memang diakui sukar untuk memuaskan hati semua kaum lantaran ledakan teknologi maklumat dan jaringan yang hebat sekarang, sehinggakan ada dalam kita lebih mempercayai apa yang ditulis blogger. Tetapi jika jiwa setiap rakyat sudah terdidik supaya menerima perbezaan yang ada, maka apa saja yang dipaparkan akan dianggap sebagai bahan bacaan ringan sahaja.
Dalam pada itu, kita sedih kerana perpaduan erat yang telah lama dijalin mahu dirosakkan oleh tindakan segelintir kumpulan kaum yang ekstrem. Berlakulah demonstrasi haram, tetapi kita bernasib baik kerana anggota polis bertindak pantas membendung gejala yang tidak diingini itu daripada merebak menguasai kota raya, bandar raya dan setiap ceruk pekan dan desa.
Maka dengan itu, marilah kita saling bekerjasama mengukuhkan perpaduan, bertindak reaktif, proaktif dan ikhlas menerima perbezaan di antara kaum.
m/s ape?
ReplyDelete