Wednesday, January 4, 2012

20 minit yang tidak sepatutnya diamalkan

Hari ini saya tersenyum sinis apabila mendengar seorang menteri mengulas dan memberi cadangan tentang waktu makan (sarapan pagi) murid-murid sekolah, sepatutnya dipanjangkan lagi. Maksudnya waktu rehat. Sejak saya menjadi pelajar sekolah rendah pada tahun 70an dahulu, sehinggalah ke hari ini sebagai seorang guru, waktu rehat yang diberikan oleh pihak sekolah kepada para pelajar cuma 20 minit sahaja. Itu pun selepas jam 9.00 pagi. Biasanya pentadbiran sekolah hanya memberi kebenaran kepada para pelajar untuk makan di kantin apabila lonceng berbunyi pada jam 9.40 atau 10.00 pagi. Ini adalah waktu persekolahan sessi pagi. 

Cuba bayangkan apakah cukup 20 minit untuk para pelajar membeli makanan dengan bilangan pelajar yang ramai. Ada sekolah yang mempunyai bilangan pelajar sehingga 500 orang. Tidak keterlaluan kalau saya mengatakan bahawa sekolah yang mempunyai 500 orang pelajar, setiap pelajar hanya mempunyai sedikit masa  untuk makan dan minum. Masa yang diambil untuk berjalan ke kantin sekolah sekitar 2-5 minit. Masa berbaris mengikut giliran untuk sampai ke kaunter sekitar 5-10 minit. Kalau 7 minit adalah lagi 13 minit untuk menghabiskan makanan yang telah dibeli. Kalau 15 minit, ertinya pelajar itu cuma ada 5 minit untuk menghabiskan makanan dan minumnya. Kemudian apabila lonceng berbunyi tepat jam 10 atau 10.20, pelajar tadi akan berjalan tapi kebanyakkannya berlari untuk masuk ke kelas semula bagi menyambung pelajaran. Kadang-kadang ada yang tersungkur di tangga, kadang-kadang ada juga yang terpaksa minum air di dalam kelas kerana tidak sempat minum sewaktu makan di kantin tadi. Guru pula ada yang jenis tidak berperikemanusiaan, menengking atau memaki pelajar yang kedapatan minum di dalam kelas. 

Pada saya sudah sampai masanya pihak Kementerian Pelajaran mengubah atau menambah waktu rehat pelajar di sekolah. Janganlah terlalu mengejar keputusan peperiksaan dengan memaksa guru dan pelajar menghabiskan sukatan pelajaran pada atau sebelum bulan Julai. Otak yang banyak ilmu tidak guna juga kalau emosi dan tingkahlaku pelajar tidak stabil. Sistem pendidikan kita melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan STPM. Cemerlang dari segi akademik, tapi tidak cemerlang dari segi sahsiah dan emosi. Ramai pelajar yang semakin memberontak dan mudah terpengaruh dengan anasir jahat lantaran tekanan yang berlebihan daripada ibu bapa, guru dan pihak jabatan untuk mencapai keputusan 100% dalam peperiksaan. 

Sistem pendidikan kita hanya merujuk kepada pencapaian kognitif untuk mengikhtiraf pelajar itu cemerlang atau tidak. Berapa ramai pelajar kita yang mahir bermain muzik, memasak, melukis, mencipta peralatan sains hasil daripada sistem peperiksaan yang kita amalkan selama ini. Sistem pendidikan kita tidak banyak mengajar kemahiran berfikir dan mencipta produk. Kita hanya pandai menggunakan Samsung Tab 10.1 tapi tidak pandai menciptanya. Kita hanya pandai menggunakan Facebook, tapi kita tidak pandai mencipta programnya. Kita memberi banyak kemudahan teknologi, tapi takut guna sebab kalau rosak banyak guna duit untuk membaiki. Akhirnya makmal komputer jadi sarang ular dan kelawar. 

Realitinya..."Jangan banyak tanya...ikut saja apa yang cikgu ajar. Siapakan latihan ini dan hantar esok. Siapa yang tak siap, cikgu akan denda". Itulah beberapa dialog berbentuk arahan yang pernah saya gunakan setiap kali memberi tugasan kepada para pelajar yang saya ajar. Maklumlah kelas peperiksaan.

1 comment:

  1. ..Terasa juga di hati apabila hal tempoh waktu rehat pelajar yang hanya 20 minit. Kalau difikir-fikrkan, memang itulah berlaku di sekolah terutama di sekolah rendah yang mana mereka lebih cenderung untuk bermain apabila keluar dari kelas untuk berehat, apabila terasa dahaga, lapar di saat-saat akhir, barulah mereka pergi membeli makanan dan minuman.

    Sebaik saja loceng berbunyi, berkumpul sebelum masuk ke kelas, memang terdapatlah pelajar yang makan sambil berjalan, sambil beratur dan ada yang mencuri-curi menghabiskan makanan dalam kelas. Seperkara lagi, ada yang minta izin keluar lagi untuk ke tandas. Memanglah kena tengking dan rasa terganggu guru untuk memlulakan P & P.

    Bagaimana untuk tambahkan waktu rehat itu agaknya? Waktu belajar bagi sekolah rendah berakhir pada jam 1.30 (tahap 2) dan 12.30 untuk tahap 1. Mungkin boleh dilewatkan sedikit waktu tamat P&P, lewatkan waktu KAFA ..lewatlah mereka pulang ke rumah..! Semua warga pihak keena berkorbanlah. Atau fikirkan sesuatu supaya pelajar hargai masa. Tidak terkecuali juga pengusaha kantin mesti memberi kerjasama supaya pelajar dapat membeli makanan dengan segera..

    ReplyDelete