Sebuah filem berdasarkan kisah benar peristiwa perang dunia
kedua ini bermula dengan pertemuan dua pemuda dari dua Negara. Jun-Shik (Jang
Dong-Gun), pemuda Korea yang bercita-cita ingin menjadi seorang jaguh marathon
seperti idolanya dan Hasegawa Tatsuo (Joe Odagiri), pemuda Jepun yang mempunyai
kehebatan larian seperti Jun-Shik. Mereka bertemu sebagai musuh pada zaman
kanak-kanak lagi apabila masing-masing mahu menunjukkan kehebatan larian
mereka. Namun segalanya berubah apabila Jun-Shik dan rakan baiknya Kim In-Kwon
(Lee Jong-Dae) dikerah menjadi tentera Jepun akibat rusuhan yang mereka lakukan
ketika kemenangan yang sepatutnya milik Jun-Shik, diberikan kepada Tatsuo dalam
pemilihan marathon Olimpik Tokyo. Lebih menyakitkan apabila Tatsuo pula
mengetuai tentera Jepun sebagai Kolonel.
Penglibatan
mereka berdua dalam peperangan dunia kedua telah merapatkan jurang permusuhan,
lebih-lebih lagi apabila tentera Jepun kalah kepada tentera Soviet dan memaksa
Tatsuo melucutkan jawatannya dan menjadi tawanan perang tentera soviet bersama
Jun-Shik. Mereka dikerah bersama tawanan perang yang lain untuk berperang
dengan tentera Jerman sehingga menyebabkan perpisahan terjadi antara keduanya
dalam peperangan paling teruk dalam era perang dunia kedua.
Tatsuo yang
mula menyedari sikapnya yang mementingkan diri akhirnya berjaya bertemu kembali
dengan Jun-Shik apabila mereka sama-sama berada di kem tentera Jerman di
Normandy, Perancis. Kali ini mereka sepakat untuk melarikan diri dari kem
tentera tersebut dan kembali ke Korea untuk meneruskan cita-cita mereka menjadi
jaguh marathon. Berjayakah misi mereka? Saksikan perjalanan perit yang
diharungi oleh dua pemuda ini yang dahulunya musuh kini bergantung harapan
sesama sendiri demi mencapai impian mereka yang satu.
No comments:
Post a Comment