Apabila anak mula bersekolah, ibu bapa berkongsi anak mereka dengan guru. Anak kita menjadi 'ANAK MURID" guru di sekolah, tetapi kekal sebagai anak kita sampai bila-bila. Malah, apabila kita meninggalkan anak yang soleh, mereka menjadi aset kita hingga ke hari akhirat seperti Hadis Nabi yang berbunyi, "Apabila matinya anak Adam, yang menjadi bekalan hanya tiga perkara, iaitu amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan kedua-dua ibu bapanya."
Apabila dinyatakan berkongsi, maksudnya ibu bapa tidak terlepas daripada tugas dan tanggungjawab walaupun anak telah didaftarkan bersekolah. Cuma bezanya kini, apabila anak memulakan persekolahan, tugas membentuk anak-anak menjadi tanggungjawab bersama dengan guru dan pihak sekolah. Nisbah anak berada di rumah dan sekolah ialah 2:1, iaitu 16 jam di rumah dan 8 jam di sekolah. Berdasarkan nisbah masa, ibu bapa dan keluarga memegang saham lebih besar daripada guru dan sekolah.
Pihak sekolah memang sentiasa mengharapkan kerjasama yang baik daripada ibu bapa. Pihak sekolah dan guru inginkan ibu bapa melibatkan diri dalam kebanyakan hal berkaitan dengan pendidikan anak-anak. Guru sentiasa berharap ibu bapa tahu dan memahami perkara yang anak-anak mereka lakukan di sekolah.
Ibu bapa harus faham dalam budaya sekolah, peraturan dan undang-undang sangat penting bagi menjaga seluruh pelajar yang bilangannya kadang-kadang mencecah ribuan orang. Kepentingan bersama bukan individu menjadi prioriti.
Selain daripada memberikan kerjasama yang sebaik mungkin, ibu bapa juga wajib memahami visi dan misi sekolah. Dengan memahami visi dan misi sekolah, ibu bapa mempunyai matlamat dan cita-cita yang sama dengan pihak sekolah. Visi dan misi ini selalunya digubal berpandukan Falsafah Pendidikan Negara dan aspirasi kerajaan dari masa ke semasa. Apabila ibu bapa faham visi dan misi sekolah serta falsafah pendidikan negara (FPN), ibu bapa tidak memberikan fokus kepada pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan aspek kerohanian, emosi dan moral.
Kita tidak mahu anak-anak mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang, tetapi dari segi moral dan kerohaniannya tidak stabil. Individu yang tidak stabil emosi dan rohani tidak dapat memberikan sumbangan terbaik kepada keluarga dan negara, walaupun mempunyai kelulusan atau pencapaian akademik yang cemerlang. Kita ingin menghindarkan pembentukan anak yang berilmu pengetahuan tinggi, tetapi tidak beriman, bermoral dan bermaruah.
Kerjasama dengan ibu bapa yang dalam erti kata sebenar perlu terjalin dengan pihak sekolah. Ibu bapa dan guru perlu saling bantu membantu dan saling hormat-menghormati. Yang mendapat manfaat daripada jalinan kerjasama ini ialah anak-anak kita khususnya dan masyarakat amnya.
No comments:
Post a Comment