Thursday, June 30, 2011

1 Murid 1 Sukan



Untuk maklumat yang lebih lanjut sila baca dalam laman web Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sunday, June 26, 2011

9 Julai yang menakutkan


Pengumuman pihak tertentu untuk mengadakan Demonstrasi secara besar-besaran di sekitar Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011, telah menjadikan ramai rakyat Malaysia yang cinta kepada keamanan menjadi resah dan susah hati. Saya sendiri walaupun tinggal di Negeri Sabah, juga merasa risau takut suasana huru-hara itu akan dituruti oleh penduduk Sabah yang juga terpengaruh dengan janji-janji pemimpin politik yang gila kuasa.

Sejarah masa lalu telah membuktikan bahawa 'Demonstrasi Jalanan' tidak pernah memberi kebaikan kepada kehidupan rakyat. Mungkin kebaikan itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang ada kepentingan politik. Pemimpin atau penganjur aktiviti yang berunsur jenayah ini pastinya tidak peduli akan kesan buruknya kepada kehidupan aman damai rakyat Malaysia. Bagi mereka, yang penting ialah nafsu dan cita-cita untuk menghuru-harakan negara ini tercapai. Harapan untuk melihat kerajaan yang mentadbir negara hilang pengaruh menjadi keutamaan.

Apa pun nama yang digunakan untuk mengadakan demonstrasi jalanan ini adalah tidak penting kerana kesannya nanti pasti akan membawa banyak kemusnahan daripada kemajuan. Berselindung di sebalik penggunaan 'BERSIH' sebagai tema adalah ibarat 'sambil menyelam sambil minum air' atau 'Ada udang di sebalik batu'. Kalau pilihan raya di Malaysia ini tidak bersih dan adil, sudah tentulah parti politik seperti DAP, PAS dan KEADILAN, tidak akan dapat menguasai P.Pinang, Kedah, Selangor dan seketika negeri Perak. Manakala negeri Kelantan tetap menjadi sumber rezeki para pemimpin PAS. Pada pilihan raya negeri Sarawak pula DAP berjaya menambah jumlah kerusi DUN. Ini bukan mimpi tapi kenyataan yang telah disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia.

Bantahan dan laporan yang mencecah ribuan daripada pelbagai lapisan rakyat kepada Pasukan Polis adalah bukti ramai rakyat di negara ini mahukan rancangan pihak yang gila politik ini dihentikan. Tunggulah PRU-13 yang bakal dilaksanakan kelak. Tempoh pentadbiran Barisan Nasional sebagai kerajaan masih sah sekurang-kurannya 2 tahun lagi. Kalau rakyat memang inginkan perubahan, parti PKR akan menang dan jadilah kamu Perdana Menteri beramai-ramai. Tapi jika rakyat tetap memilih Barisan Nasional sebagai parti yang baik untuk meneruskan perjuangan negara bangsa Malaysia, maka pihak yang kalah harus menerima hakikat.

Kerjaya sebagai pengamal undang-undang seharusnya digunakan untuk membela rakyat yang tertindas oleh kerajaan negeri yang zalim. Janganlah jadi seperti 'kacang lupakan kulit'. Negara ini banyak memberi peluang kepada kita untuk menjadi rakyat yang hidup harmoni. Hasil kekayaan dan kehebatan dalam bidang profesional yang diperolehi adalah hasil kepimpinan yang banyak bertolak ansur kepada semua kaum di negara ini. Hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam dan mempunyai Raja-Raja Melayu tidak mungkin dapat diubah oleh bangsa lain, melainkan oleh orang Melayu yang sudah hilang KEMELAYUANNYA. Perpaduan kaum adalah kunci kepada pembangunan Malaysia. Negara ini adalah milik semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Jika pemimpin politik tidak lagi mahu bertanggungjawab kepada keamanan dan kemakmuran negara ini, maka jalan terbaik adalah 'BERHENTILAH' daripada menjadi orang politik. Janganlah jadi penjenayah politik kerana ingin berkuasa.

Friday, June 24, 2011

Amerika Syarikat : Negara Bangkrap


Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Amerika Syarikat (AS) kini sebenarnya sudah bankrap tetapi menafikannya kerana beranggapan ia masih menjadi kuasa besar ekonomi dunia.

Berikutan itu, beliau melabelkan AS sebagai sebuah negara yang gagal di dalam ekonominya.

''AS sebenarnya sebuah negara yang gagal kerana bankrap, mencatatkan defisit berganda dan wang yang mereka ada pun adalah wang cetak.

''Tapi AS masih mahu menyangkal kedudukan mereka (bankrap),'' katanya ketika menyampaikan ucaptama di CEO Forum anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Secara sinikal Mahathir berkata, seandainya Malaysia mengalami kedudukan ekonomi yang sama seperti AS, sudah lama negara ini diisytiharkan bankrap.

Bagi menutup kelemahan mereka, AS terus sibuk memperjuangkan demokrasi liberal di Iraq, Afghanistan dan terbaharu di Libya.

Beliau berkata, negara-negara kaya selalu berada dalam radar persaingan sesama sendiri tetapi masih gagal untuk bersaing dengan negara-negara yang baru muncul.

''Negara-negara kaya ini selalu mendesak supaya negara-negara lain melakukan perubahan dan sasaran mereka adalah negara-negara kecil dan miskin.

''Tetapi, apabila melihat keadaan ekonomi negara-negara itu sekarang, nampaknya mereka juga tidak tahu untuk menguruskan kewangan mereka.

''Kegagalan mereka (kendalikan kewangan) menyebabkan negara-negara kecil turut merasai krisis ekonomi yang berpunca daripada mereka,'' tambahnya.

Sambil memberi contoh, Mahathir berkata, selain AS, Greece masih lagi dibelenggu dengan krisis hutangnya.

''Satu-satunya negara yang tidak menerima kesan daripada apa yang berlaku di negara-negara kaya ialah China.

''Sebaliknya, dengan kekayaan yang dimiliki China sekarang, negara itu mampu membeli bon-bon di AS,'' tambah beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 23 Jun 2011

Tuesday, June 21, 2011

Ebook : Rahsia Bisnes Pejabat Pos




Imej atau gambar yang anda lihat di atas adalah maklumat tentang bagaimana mencari sumber pendapatan tambahan hanya dengan menggunakan Pejabat Pos. Sebenarnya penggunaan pejabat pos sebagai medium perniagaan sudah lama wujud di Malaysia. Rakan-rakan saya bertugas di Sabah selalu menggunakan pejabat pos untuk membantu saudara-mara mereka di Semenanjung menjual barangan tekstil seperti kain dan tudung. Begitu juga peniaga-peniaga barangan perhiasan dari Sabah akan menggunakan perkhidmatan kiriman pos untuk menghantar tempahan ke Semenanjung Malaysia. Misalnya perniagaan mutiara atau kraftangan tradisional Sabah. Ebook ini sangat berguna kepada anda yang ingin memulakan perniagaan secara jarak jauh.

Sunday, June 19, 2011

Nanoteknologi: Teknologi 'seni' berimpak besar


Pada tahun 2009, kerajaan telah mengenal pasti nanoteknologi sebagai jentera pertumbuhan kepada Model Baru Ekonomi (MBE) dan menyarankan ia diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Nanoteknologi merupakan ilmu satu sains yang unik pada skala nano (1-100 nm) muncul daripada paduan semua ilmu sains kimia, fizik dan biologi. Nanoteknologi terbukti menyokong kemunculan pelbagai teknologi dan produk baru yang mampu melonjak ekonomi dan kualiti hidup sesebuah negara. Malaysia mampu bekerjasama dalam bidang nano sejak awal 2000 di peringkat global dan mengikut kemampuan serta kemahiran yang sedia ada telah menyumbang kepada rantai inovasi yang merangkumi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.
Nano berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud 'kerdil'. Dengan lebih tepat, satu nano ialah saiz yang sangat kecil iaitu satu per bilion meter. Mengikut ukuran, satu nanometer ialah 0.000000001 meter. Sudah tentu nano tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia adalah seratus ribu kali lebih kecil dari saiz sehelai rambut atau seperti manusia di bulan melihat bola sepak di bumi. Nanoteknologi ialah teknologi abad ke-21 yang dijangka memberi kesan yang ketara kepada kehidupan manusia. Selepas teknologi komputer, nanoteknologi merupakan satu lagi bidang yang akan berkembang dengan pesat dalam abad ini. Ia sememangnya telah lama wujud. Hanya manusia tidak mampu mengkajinya dalam skala yang terlalu kecil untuk diolah dengan deria yang ada pada manusia.
Walaupun nanoteknologi masih belum difahami oleh orang awam dan masih belum meluas penggunaannya, ilmu nano atau nanosains telah wujud beberapa tahun di kalangan ahli akademik dan saintis. Dengan berasaskan ilmu sains asas iaitu fizik, kimia, biologi dan matematik serta bantuan kemajuan peralatan seperti mikroskop yang sensitif, manusia kini mampu menyusun, mengubahsuai atom dan molekul dan membina sistem, bahan dan fenomena baru dengan sifat yang menakjubkan yang tidak pernah dipamerkan sebelumnya. Nanoteknologi merupakan penemuan baru yang berlaku dalam skala nano (1-100 nm) yang menghasilkan produk dengan sifat baru yang berbeza. Ia lebih berkesan daripada bahan sama ada dalam keadaan pukal yang lebih besar atau atom yang lebih kecil. Nanoteknologi merupakan satu fenomena aneh yang berlaku pada skala nano dalam keadaan yang kompleks, yang lebih penting, ialah fenomena tersebut mempunyai banyak penggunaan.
Secara ringkas, ilmu nano ialah ilmu halus. Bukan ilmu ghaib, tetapi ilmu fenomena seni yang berlandaskan fakta sains dan inovasi. Dari perspektif eksploitasi industri dan penggunaan, nanoteknologi berpotensi menghasilkan produk dan proses hijau yang lebih kecil, pantas, pintar, murah, selamat, bersih dan mesra alam sekitar daripada yang sedia ada dalam pasaran. Perkembangan nanoteknologi menghasilkan produk merentasi semua sektor. Daripada tekstil hingga ke elektronik.
Sehingga kini, terdapat lebih 1,000 produk nano dalam pasaran. Antara produk yang telah dikomersialkan ialah bahan berstruktur nano logam, polimer dan seramik, mangkin, fabrik kalis kotoran serta bahan pengadang matahari. Produk lain termasuk bahan pengikat gigi, dakwat pencetak resolusi tinggi, paparan kamera digital, televisyen paparan rata dan cakera keras komputer muatan tinggi. Penggunaan nanoteknologi dalam rawatan dan pengolahan air, penghasilan, pengubahan dan simpanan tenaga, diagnosis dan imbasan penyakit, sistem penghantaran ubat-ubatan, pemantauan kesihatan, pemulihan pencemaran udara, pemprosesan makanan, peningkatan produktiviti pertanian dan kawalan dan penentuan serangga.
Teknologi ini akan membantu negara membangun seperti mencapai lima daripada lapan Matlamat Pembangunan Milenium dan menyumbang kepada sembilan daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang telah dilancarkan baru-baru ini. Malaysia seharusnya terus menumpukan usaha ke arah pemerkasaan pendidikan dan pembangunan kepakaran, penyelidikan dan keusahawanan dalam bidang ini agar aktiviti nanoteknologi akan dapat meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat.
Semua peringkat masyarakat perlu memahami ilmu nano dan bersedia menghayati budaya nanoteknologi sepenuhnya. Kesedaran dan penghayatan nanoteknologi memakan masa kerana nanoteknologi ialah satu pelayaran saintifik untuk masa hadapan. Penubuhan Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND) di MOSTI pada tahun 2010, dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM20 juta bagi tahun 2011-2012, membuktikan komitmen kerajaan ke arah kemajuan ilmu nanoteknologi yang merentas bidang dan multidisiplin.
Hasrat dan tujuan inisiatif nanoteknologi telah diwartakan dalam Pernyataan Nanoteknologi Nasional iaitu kerajaan beriltizam menjadikan nanoteknologi sebagai jentera penggerak bagi pertumbuhan ekonomi baru, pembangunan mapan negara dan kesejahteraan masyarakat. Inisiatif pembangunan nanoteknologi akan menyediakan platform bagi penyelidikan sains dan kejuruteraan, untuk mereka cipta produk dan perkhidmatan yang inovatif dan berpotensi untuk dipasarkan.
Nanoteknologi adalah bidang ilmu pengetahuan yang inovatif dan bersepadu. Melalui lima Pernyataan Nanoteknologi Nasional iaitu pembudayaan nanoteknologi, pengukuhan penyelidikan dan inovasi nic negara, Peningkatan Kerjasama dan Jaringan Perhubungan, Penguatkuasaan Undang-undang dan Akta, serta Promosi dalam pengkomersialan dan perindustrian ia akan menjadikan ia sebagai landasan utama untuk pembangunan negara.
Kesemua inisiatif sedang dilaksanakan oleh NND melalui Program NanoMalaysia. Antara inisiatif utama ialah penubuhan Pusat NanoMalaysia (NMC) di Iskandar Malaysia yang akan meletakkan Malaysia sebagai pusat perkembangan ilmu berkaitan nanoteknologi dan aplikasinya dan melaksanakan pemasaran dan perniagaan produk nanoteknologi buatan Malaysia yang dipacu oleh syarikat tempatan. Perlaksanaan Program NanoMalaysia dijangka akan memastikan pencapaian objektif nanoteknologi untuk menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus (RM17 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2020.
Dengan kemajuan dan perkembangan yang telah bermula dalam banyak bidang penyelidikan, agak sukar untuk kita menolak potensi dan manfaat nanoteknologi. Ternyata 60 negara di dunia yang telah melancarkan dan melaksanakan inisiatif nanoteknologi di negara masing-masing tidak seharusnya dianggap silap langkah.Lumrahnya, seperti semua perubahan dan anjakan paradigma, jika berlaku, sudah pasti akan ada baik dan buruknya.Semuanya terpulang kepada kita untuk menentukan hala tujunya sama ada untuk memberi manfaat atau musibah.
Sebab itu, modal insan yang berpengetahuan dalam ilmu sains asas sangat perlu sebagai persediaan untuk kita mengendalikan nanoteknologi. Dengan pemerolehan ilmu melalui penghampiran yang betul, nanoteknologi boleh dibangunkan menggunakan panduan dan kawalan supaya teknologi ini tidak menyebabkan sebarang kemusnahan dan bahaya. Dengan perlaksanaan yang terkawal, sama seperti sebarang teknologi baru, nanoteknologi dijangka akan dapat dilaksanakan dengan selamat dan memberikan manfaat kepada manusia sejagat, seperti mana yang dijanjikan. Persoalannya, perlukah kita mengorak langkah dari sekarang untuk menikmati kesejahteraan hidup dengan nanoteknologi, atau, tunggu dan lihat dan sekali lagi ketinggalan?

Sumber : Utusan Malaysia 13 Jun 2011
Dr.Halimaton Hamdan

Friday, June 17, 2011

Realiti Sistem Pendidikan Malaysia


"Peperiksaan adalah teras sistem pendidikan Malaysia". Semua guru diminta, diarahkan, disuruh mengajar pelajar-pelajar sekolah untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Pencapaian gred A yang banyak sangat dipentingkan untuk mengukur kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru masuk ke kelas dengan membawa sekali pemikiran untuk menghabiskan sukatan pelajaran sebelum peperiksaan menjelang. Ketua Bidang diminta membuat pemantauan guru-guru yang mengajar di dalam kelas. Ketua-ketua Panitia pula diarahkan menyemak bab mata pelajaran yang diajar oleg guru mata pelajaran. Sukatan mata pelajaran mesti selesai pada bulan Jun. Kalau ada guru yang lambat menghabiskan bab, diarahkan membuat kelas tambahan pada sebelah petang.

Di pihak pentadbiran PPD, markah peperiksaan hendaklah dihantar secepat mungkin. Alasan yang diberi markah tersebut akan dibawa dan dibincangkan di peringkat Negeri. Sekali lagi pegawai yang hadir diminta menjelaskan pencapaian sekolah-sekolah yang ada di bawah pentadbiran PPD. Pentadbiran PPD yang cemerlang juga diukur dengan tahap pencapaian peperiksaan umum.

Terlalu mementingkan keputusan peperiksaan menyebabkan kualiti pengajaran guru semakin tidak penting. Sebaliknya latihan menjawab soalan-soalan peperiksaan lebih diutamakan. Guru yang banyak memberi latihan kepada pelajarnya adalah guru yang baik dan disukai oleh ibu bapa. Pelajar yang pandai memang suka dengan aktiviti ini, namun pelajar yang lemah dan kuarng pandai akan terus mengeluh kerana dipaksa menjawab soalan-soalan latihan yang banyak.

'Hari-hari masuk kelas mesti buat latihan menjawab soalan latihan. Masuk makmal sains pun bukannya buat eksperimen. Pasang LCD salin buat nota". Subjek Sejarah lagi membosankan. Hari-hari cikgu menyuruh kami membaca, salin nota dan jawab soalan latihan". Jawapan yang pernah keluar dari mulut seorang pelajar tingkatan lima sains.

Konflik guru dengan pelajar yang kurang cemerlang akademik berterusan dengan ungkapan-ungkapan negatif. Pelajar yang lulus cemerlang dipuji, diberi hadiah, diberi tumpuan agar mata pelajaran yang diajar terus cemerlang keputusannya. Ibu bapa pula sering membandingkan anaknya yang lemah itu dengan anak-anak jirannya. Kadang-kadang anak dimarahi kerana memalukan keluarga. Tekanan yang bertubi-tubi menjejaskan emosi.

Terlalu mementingkan sistem peperiksaan, menyebabkan anak-anak Malaysia hanya pandai menghafal jawapan. Membaca buku untuk lulus peperiksaan. Tiada peperiksaan tiada buku. Budaya membaca buku hanya berlaku dalam kalangan mereka yang tahu kepentingan ilmu pengetahuan.

Tuesday, June 14, 2011

Contoh Karangan Pelajar Yang Malas Membaca

Negara Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum. Perpaduan yang terjalin amat penting supaya kita dapat hidup dengan aman dan damai. Walau bagaimanapun,kehidupan berbilang kaum seperti inilah yang mempunyai banyak cabaran dan dugaan. Sehubungan dengan itu, pelbagai strategi perlu dilaksanakan agar perpaduan di Malaysia dapat dikekalkan.

Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Najib Tun Abd.Razak perlulah dilaksanakan dengan baik dan perlu sering dilakukan.Perkara ini perlu dilakukan kerana ia dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kaum di Malaysia. Konsep Satu Malaysia yang berslogan 'Menjana Transformasi Negara' penting untuk perubahan kepada perpaduan yang berbilang kaum. Pelbagai program yang berteraskan konsep satu Malaysia perlu dilaksanakan seperti program kesenian dan kebudayaan.

Sumber: Skrip Jawapan Pelajar

Surat dari PPD

Aku tidak tahu mahu cakap apa. Pagi ini aku didatangi oleh Tuan Dr.Suntik Tuin bersama beberapa orang Staff PPD Kuala Penyu menyampaikan Sur...