PAPARAN kisah Mashalizah minggu lalu menarik perhatian seorang guru dari kawasan luar bandar untuk turut memberikan pandangan tentang masalah anak tidak sah taraf yang ramai di sekolah-sekolah sekarang ini.
Cikgu Nordarlina dalam e-mel yang dikirimkan dan ketika kami berbual panjang di telefon Isnin lalu turut melahirkan harapan agar pihak tertentu terutama ibu, penjaga, sekolah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara turut memberi perhatian serius terhadap isu ini.
"Saya mengajar di luar bandar. Setiap tahun terdapat seorang, dua mungkin juga tiga orang murid yang tak sah taraf didaftar oleh penjaga di sekolah. Biasanya oleh nenek dan ibu kandung. Kita tahu anak-anak ini menerusi status maklumat tentang nama ayahnya, pekerjaan dan kad pengenalan yang ditulis "tidak diperolehi".
"Benar kata Mashalizah murid ini akan memencilkan diri, tidak berkawan dan bila ini terjadi sudah pasti pembelajaran mereka amat lemah. Bukan dia tak mahu berkawan, tetapi kawan-kawan yang menjauhkan diri daripadanya. Mungkin mereka sekampung atau kampung berhampiran dan kenal satu sama lain. Apabila jiran tetangga bersikap meminggirkan keluarga mereka secara tidak langsung ia menjadi ikutan.
"Lebih teruk lagi apabila nasib anak-anak malang ini juga menjadi bualan dan cemuhan masyarakat setempat.
"Jadi apabila di sekolah terpulanglah kepada guru-guru untuk mendekati, mendidik, merangsang dan mengasah potensi anak-anak ini. Mereka bukan bodoh, tetapi terpinggir dan tidak dipedulikan menyebabkan mereka tercicir dalam pembelajaran. Yang sedihnya ada kalangan guru sendiri memburukkan keadaan langsung tidak bersimpati, mencemuh dan membiarkan mereka duduk bersendirian di belakang kelas dan melabelkan anak itu bodoh.
"Sebagai contoh seorang guru di sekolah saya bukan sahaja mencerca murid tak sah taraf ini, malah menghebahkan keburukan ibu dan keluarganya kepada guru-guru lain dengan menggelarkannya "anak harimau". Secara kebetulan beliau kenal dengan keluarga anak tersebut. Maka perasaan buruk sangka dan melabelkan anak itu bodoh dan tak berguna tertanam di minda guru-guru.
"Saya pernah menasihatkan guru tersebut supaya berhenti memburukkan anak malang itu.
"Tidak dinafikan memang anak-anak ini lembap dalam pelajarannya, mungkin kerana tidak dibimbing dengan baik oleh ibu atau penjaganya. Mungkin ibu dan datuk nenek tidak dapat menerima kehadirannya menyebabkan anak ini bertambah tertekan hidupnya. Oleh kerana dia masih kecil pasti dia tidak berani meluahkan perasaan apa lagi bersuara.
"Keadaan bertambah buruk bila anak ini semakin besar dan terus naik kelas sudah pasti surat beranaknya akan berpindah dari satu guru kelas ke guru kelas yang lain. Pastilah maruahnya semakin tercemar dan mengaibkannya lagi.
"Satu masalah lagi terdapat penjaga enggan memberikan surat beranak kepada guru apabila diminta sebab malu dengan keadaan anak yang tak sah taraf selain bimbang jatuh ke tangan orang lain, sudah pasti memalukan keluarga.
"Jadi kalau boleh saya nasihatkan penjaga supaya mengubah surat beranak anak tak sah taraf ini apabila anak itu mencapai usia dua tahun atau sebelum dia masuk ke tadika.
"Kepada Jabatan Pendaftaran Negara juga janganlah menyulitkan urusan tersebut sebaik sahaja menerima permohonan daripada penjaga demi masa depan anak tersebut. Guru juga boleh memainkan peranan menasihati penjaga yang bermasalah dan memberitahu bagaimana masalah itu boleh diatasi.
"Cuba anda bayangkan jika anak ini besar masuk ke sekolah menengah, apa perasaan dia bila tahu keadaan dirinya?
"Bukankah keadaan ini lebih memalukan dan menyulitkan. Ini merupakan salah satu masalah besar yang saya lihat akan timbul dalam masyarakat satu hari nanti terutama di sekolah luar bandar. Ingatkan sekolah bandar teruk, luar bandar pun sama teruknya.
"Satu lagi masalah pemberian komputer notebook kepada pelajar. Ada satu kes, pengawas perempuan jadi kebencian pelajar kerana kuat disiplin. Dia ditangkap dan dibogelkan gambarnya diambil dan disebarkan melalui Internet. Kes itu memang boleh ditutup, dipadam dan dihapuskan dari pengetahuan umum, tetapi bagaimana pula dengan perasaan pengawas malang itu? Bagaimana dia hendak menghadapi keadaan setelah dimalukan? Macam mana dia nak berdepan dengan masyarakat, kawan-kawan sekolah termasuk juga kumpulan remaja yang menganiaya dia, yang sudah pasti diterima kembali menyambung belajar di sekolah tersebut? Sudah pasti dia menghadapi tekanan perasaan.
"Saya bukan membantah tujuan baik kerajaan, tetapi kajilah dulu baik buruknya. Sekali-sekala turun padang lihat hasil pemberian tersebut adakah menepati kehendak. Jika tidak, cari jalan lain demi kebaikan bersama.'' Demikian cerita Nordarlina panjang lebar.
Sumber dipetik dan dipinjam daripada Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment