Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal
menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila
perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam
pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain
itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar
kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun mengikut
gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.
Bagi
pesara pula, beliau berkata, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati
pelarasan pencen melibatkan peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan
akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun
tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
Di
dalam bajet kali ini, Najib turut mengumumkan had umur baru bagi persaraan
wajib iaitu daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan
pegawai perkhidmatan awam.
"Pelanjutan
ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor
awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru," ujar
Perdana Menteri.
Selain
itu, Najib juga mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum
RM500 kepada kakitangan awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain
bayaran khas RM500 kepada semua pesara kerajaan.
Dalam
perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, penyelarasan gaji serta
kenaikan kadar kenaikan gaji tahunan itu merupakan salah satu daripada empat
elemen Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan
dalam bajet tahun ini.
"SBPA
merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia
(SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam
Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan
berorientasikan prestasi," ujarnya.
Menghuraikan
lebih lanjut tiga elemen lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan
gred berdasarkan time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan
daripada tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.
Beliau
berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan
dan gred 48 pada tahun ke-16.
"Jika
mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10
tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja,"
katanya lagi.
Satu
lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam
gred ditingkatkan lebih 30 peratus.
"Sebagai
contoh di dalam SSM bagi seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39
tetapi di dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan
pertambahan itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710," ujarnya.
Menurut PM lagi elemen terakhir di dalam SBPA ialah wujudnya dasar pemisah atau 'exit
policy' bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih
untuk meninggalkan perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment