KUALA LUMPUR 28 Ogos - Orang ramai dinasihatkan tidak perlu takut terhadap pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 kerana ia dibuat semata-mata untuk melindungi golongan yang teraniaya di alam siber.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee berkata, hanya golongan yang cenderung menyalahgunakan teknologi maklumat (IT) dan internet yang akan takut terhadap pindaan akta berkenaan.
Pindaan akta itu dilihat dapat mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak tersebut iaitu golongan yang menyalahgunakan Internet dan golongan yang teraniaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas isu pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang heboh diperkatakan di alam maya sehingga menyebabkan Kabinet kembali meneliti pindaan akta tersebut selepas diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbuat demikian.
Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang digazet Julai lalu dan mendapat pelbagai reaksi para pengguna internet.
Menurut Zulfakar, peruntukan dalam bentuk andaian itu bukan perkara baru dalam undang-undang malah telah diguna pakai dalam akta-akta lain juga.
Dalam kesalahan lain tidak ada pula orang hendak pertikaikan sedangkan isu tahap pembuktian (standard of proof) tetap sama di akhir sesuatu kes pendakwaan iaitu tahap pembuktian melampaui sebarang keraguan yang munasabah sebagaimana di dalam kes kesalahan-kesalahan jenayah yang lain adalah diperlukan," katanya.
Katanya, pindaan terhadap akta berkenaan tidak bermaksud untuk menzalimi suspek kerana andaian atau dakwaan itu boleh disangkal dengan tahap pembuktian yang ringan.
Sebaliknya kata beliau, pihak berkuasa atau pendakwaraya yang pada akhirnya memikul beban membuktikan kesalahan tersebut melampaui keraguan munasabah.
Pihak polis akan membuat siasatan terlebih dahulu, selepas mendapat kepastian bahawa entri atau posting yang menyalahi undang-undang itu dihantar atau ditulis oleh suspek, barulah pendakwaan akan dibuat," ujarnya.
Sementara itu, peguam Khairul Mukhtar pula berkata, pelaksanaan akta itu perlu bagi mengawal pengguna Internet khususnya daripada mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya yang bercanggah dengan prinsip undang-undang.
Sumber : Utusan Malaysia 2012
No comments:
Post a Comment