Oleh kerana aku bertugas sebagai seorang guru, maka kawan-kawan lebih suka dan mudah memanggil namaku Cikgu Jup. Wow! Cikgu Jup. Jarang-jarang orang pakai nama ini. Aku ok saja. Setelah tamat STPM pada tahun 1988 di Smk Menggatal, aku mula menceburkan diri dalam bidang perguruan pada tahun 1990, apabila diberi peluang menjawat jawatan GSTT di Smk Tandek, Kota Marudu. Kemudian rezeki Allah datang pada pertengahan tahun 1991, aku ditawarkan mengikut kursus perguruan asas selama dua tahun setengah di Maktab Perguruan Gaya bagi sesi 1991/1993. Harapan untuk bertugas di daerah Tawau tidak tercapai, sebaliknya aku dihantar ke daerah Tuaran setelah tamat kursus pada penghujung tahun 1993.
Jodohku telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dengan gadis daerah Kuala Penyu. Maka untuk mencari kehidupan yang baharu aku pun berhijrah ke daerah Kuala Penyu pada Jun 1995.Bertugas di Smk Menumbok sehinggalah aku dapat tawaran untuk menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Geografi/Sejarah pada April 2000. Yang seronoknya isteri pun dapat sambung belajar sekali di universiti yang sama. Susah juga belajar bila sudah berkeluarga. Gaji pula kena potong separuh. Nasib baik ada duit Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Anak yang kecil terpaksa ditinggalkan di kampung. Namun berkat usaha dan keyakinan tinggi untuk mencapai cita-cita yang tertangguh, akhirnya kami berdua berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan kepujian pada penghunjung tahun 2003.Kini aku dan isteriku menyambung kembali tugas mengajar di daerah Kuala Penyu.
No comments:
Post a Comment