BENARKAH
kunci kecemerlangan dalam organisasi itu adalah keseronokan bekerja? Ini
mungkin ada kebenarannya apabila gambaran keseronokan bekerja terhasil daripada
sikap yang ditunjukkan oleh para pekerjanya dalam bentuk keceriaan, ketenangan,
kegembiraan dan keselesaan apabila melaksanakan tugas seharian sehingga memberi
kesan kepada kerja yang berkualiti, peningkatan produktiviti dan mutu
perkhidmatan yang memuaskan.
Sudah
tentu keseronokan bekerja yang dicapai inilah akan menjadi nadi serta tonggak
kepada kecemerlangan organisasi. Slogan 'pekerja gembira adalah pekerja yang
produktif' seringkali dikaitkan dengan situasi di mana pekerja yang menyukai
atau berasa seronok dalam kerjayanya.
Suasana
kerja yang didukung oleh sikap dan nilai keseronokan bekerja mampu mewujudkan
amalan positif yang menjadikan kerja yang dibuat itu sebagai ibadat, komitmen
yang tinggi di kalangan pekerja, dapat menyuntik semangat seharian bekerja
serta sedia bekerjasama antara majikan dan pekerja.
Hubungan
baik ini juga mampu menyelesaikan kerja secara bermuafakat dan bekerjasama.
Pepatah Melayu menyebut, 'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat'.
Pun
begitu, dalam keseronokan bekerja jangan kita lupa nasihat-menasihati rakan
sejawat dan budaya tegur-menegur (budaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah
kemungkaran) lakukannya secara berhikmah supaya rakan sejawatan dapat menerima
teguran dengan baik.
Apabila
para pekerja berjaya mewujudkan suasana yang seimbang, dalam kehidupan di
tempat kerja secara tidak langsung ia akan memberi kesan baik juga kepada
kesihatan mental dan fizikal, pekerja tidak akan berasa tertekan apatah lagi
dalam memenuhi tuntutan hidup yang semakin mencabar.
Walau
bagaimanapun, di sebalik keseronokan bekerja ini ada pekerja yang tidak
selama-lamanya berada dalam keadaan seronok dalam pekerjaan. Ini kerana sudah
menjadi satu trend perilaku manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan
seperti malas, jemu, segan, bosan dan sebagainya terhadap kerja mereka.
Jika
ditanya berkaitan dengan diri pekerja terhadap kerja yang dilakukan, tentu
sekali ada yang menyatakan bahawa mereka sangat meminati kerja yang dilakukan.
Tidak kurang juga ada yang menganggap kerja itu satu bebanan dan membosankan.
Malah ada berfikir untuk mendapat pekerjaan yang baharu. Kesemua perkara ini
adalah berkaitan dengan sikap terhadap kerja.
Barangkali
perasaan ini dialami ekoran sikap terhadap pelbagai faktor dalaman dan luaran
atau persekitaran organisasi. Bagi sesetengah pekerja yang telah menghabiskan
setengah usianya dalam organisasi sering dapat kita lihat tiga situasi yang
berbeza.
Yang
pertama, apabila pekerja itu dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan nilai
komitmen yang cemerlang dalam organisasi manakala kategori pekerja yang
berikutnya ialah pekerja yang semakin menurun prestasi serta nilai komitmennya,
manakala satu lagi kategori, pekerja yang masih berada pada tahap sama sejak
awal penglibatan sebagai pekerja.
Persoalannya
mengapa keadaan ini berlaku? Barangkali sikap negatif terhadap kerja ini
berpunca dari sikap pekerja itu sendiri terhadap majikan atau sikap pekerja
sesama rakan sejawatan atau pendirian mereka terhadap gaji dan imbuhan yang
diberi tidak setimpal dengan kerja yang diusahakan, kebajikan terabai,
penghargaan yang tidak diiktiraf atau kemungkinan skim persaraan yang tidak
menarik dan macam-macam lagi.
Lazimnya,
sikap itu berkaitan dengan komponen penilaian yang boleh menggambarkan sejauh
mana perasaan pekerja terhadap kerjayanya.
Hasil
sikap negatif ini maka akan lahirlah pekerja yang bersikap menentang dan mula
berasa tidak lagi seronok untuk bertugas. Dan di sinilah menunjukkan perkaitan
yang jelas tentang sikap dan perilaku.
Apabila
ini berlaku maka kita akan dapat melihat kesan kepada penghasilan kerja yang
kadang-kalanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Walau
bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa sikap terhadap kerja adalah
merupakan satu-satunya punca yang menentukan nilai keseronokan bekerja.
Barangkali ada yang tidak seronok bekerja antara lain kerana faktor kesesakan;
perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, arahan kerja
tidak jelas dan di luar kemampuan, masalah kesihatan, masalah dengan rakan
sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, dan sebagainya.
Begitu
juga, kesan persekitaran kerja turut mengundang persepsi terhadap keseronokan
di tempat kerja.
Apabila
persekitaran di tempat kerja tidak kondusif, sesak, gelap, dan kualiti
peredaran udara tidak baik ia menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja.
Malah
menurut satu kajian, terdapat perkaitan antara keseronokan dan kepuasan
terhadap persekitaran mampu mempengaruhi perilaku pekerja dalam organisasi
dalam mewujudkan kesan terhadap hubungan sosial dan kerjasama.
Justeru,
bagi mewujudkan keseronokan bekerja kita sebagai pekerja Muslim cubalah mulakan
dengan memupuk nilai dan sikap keseronokan bekerja dalam diri kita terlebih
dahulu.
Kesimpulannya,
memang benar sikap, tindakan dan amalan kita menjadi penentu kepada keseronokan
bekerja di samping beberapa faktor persekitaran lain yang turut menyumbang
kepada kecemerlangan organisasi serta mampu meletakkan pekerja maju dalam
pelbagai bidang diceburinya.
Sumber : Dipetik daripada Utusan Malaysia 17 Feb 2012
No comments:
Post a Comment