YOGYAKARTA 5 Julai - Imej pelajar tingkatan enam yang lengkap berpakaian seragam sekolah putih dan biru akan berakhir sebaik kerajaan melaksanakan penjenamaan semula pendidikan berkenaan seiring dengan sistem pendidikan prauniversiti lain seperti di kolej-kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Perubahan besar yang bakal dilakukan kerajaan ialah dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.
Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjenamaan semula sistem pendidikan tingkatan enam dibuat dengan matlamat untuk meningkatkan imej, sistem dan kualiti pendidikan tersebut sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.
Menurut beliau, selain dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza.
Kerajaan juga kata Muhyiddin, bersedia untuk mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal seperti mana yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi.
"Kita akan lihat balik struktur sistem tingkatan enam di sekolah kita yang sedia ada. Pada masa ini, pelajar tingkatan enam adalah lanjutan daripada tingkatan lima sedangkan pelajar tingkatan enam sudah lebih dewasa, kematangan mereka juga sudah berbeza.
"Kalau kita fikirkan (tingkatan enam) ini sudah sampai tahap prauniversiti tetapi belajar di sekolah yang sama, kita merancang untuk satukan mereka (pelajar tingkatan enam) dengan pakaian (seragam) berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru tak sama. Ini kategori lain sikit," kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja beliau di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, transformasi sistem pendidikan tingkatan enam juga bakal memperlihatkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu mengikuti pengajian berdasarkan jadual waktu persekolahan yang bukan konvensional seperti yang sedang dilalui pada masa ini.
Rancangan menempatkan pelajar tingkatan enam di sebuah pusat pengajian khas jelas Muhyiddin, memerlukan kajian yang komprehensif memandangkan pada masa ini kedudukan mereka bertaburan.
"Pada masa sekarang pelajar tingkatan enam berterabur. Kita harus melihat ke hadapan dan memperbaiki lagi sistem yang sedia ada untuk meningkatkan lagi pendidikan tingkatan enam" ujar beliau.
Keperluan mengubah sistem pendidikan itu juga jelas Timbalan Perdana Menteri, amat penting untuk mengubah persepsi sebilangan besar masyarakat bahawa pendidikan di peringkat matrikulasi jauh lebih baik berbanding tingkatan enam.
Menurut Muhyiddin, persepsi berkenaan harus dikikis memandangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing melanjutkan pelajaran ke universiti adalah sama.
Beliau turut menarik perhatian pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya melihat pendidikan tingkatan enam sebagai platform terbaik bagi pendidikan prauniversiti.
"Kualiti sistem pendidikan tingkatan enam setanding dengan pengajian matrikulasi selain kelulusan STPM turut mendapat pengiktirafan universiti luar negara.
"Jangan lihat seolah-olah matrikulasi sahaja ada kelebihan, tingkatan enam juga ada kelebihan," tegas Muhyiddin yang merupakan produk tingkatan enam dari Sekolah Tinggi Muar.
Muhyiddin berada di sini itu menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-7 sebelum berlepas ke Bali untuk lawatan kerja. - UTUSAN MALAYSIA Julai 2012
No comments:
Post a Comment