Thursday, July 19, 2012

Telefon Bimbit dan Pelajar Sekolah

Isu terbaharu yang bermain dalam fikiran para guru ketika ini ialah 'Wajarkah Pelajar Dibenarkan Membawa Telefon Bimbit atau Ipad ke Sekolah". Apakah rasionalnya lebih banyak yang baik atau terlalu banyak yang buruk. Sebagai guru, saya memang  kurang bersetuju jika dasar ini dilaksanakan. Kecanggihan teknologi seharusnya seiring dengan peningkatan tahap kematangan para pelajar. Golongan pelajar mempunyai pemikiran yang agak cetek khususnya mereka yang masih di bawah umur 18 tahun. Ramai pelajar sekolah menggunakan telefon bimbit untuk tujuan bermain 'Game', 'SMS', dan yang amat menakutkan keseronokan mereka menggunakan kemudahan kamera video. Hari ini banyak telefon bimbit yang sudah semakin canggih seperti keupayaan melayari internet khususnya yang boleh menyimpan dan menyebarkan rakaman video. Setiap hari pengguna internet bercerita tentang 'Facebook', 'Youtube", "Twitter" dan sebagainya. Alasan faktor menjaga keselamatan menjadi keutamaan untuk membenarkan para pelajar perlu membawa telefon ke sekolah, harus dikaji semula. Kalau kita lihat hampir semua sekolah dibekalkan dengan kemudahan telefon awam. Apakah pelajar tidak boleh menggunakan kemudahan tersebut jika ingin berhubung dengan ibu bapa atau penjaga. Masalah sosial dalam kalangan  remaja sekolah hari ini, bukan boleh diatasi dengan membenarkan mereka membawa telefon bimbit ke sekolah. Sebaliknya penekanan terhadap pembentukan sahsiah dan disiplin amat penting diambil perhatian oleh semua pihak. Gejala ponteng, bergaduh, merokok, membuli, merupakan masalah disiplin yang sudah menjadi perkara biasa di sekolah. Guru-guru semakin bosan dengan permasalahan ini. Buku panduan disiplin hanya simbol kepada pengurusan sekolah. Berapa ramai ibu bapa (bukan guru) yang sama-sama memberi idea untuk mengemaskini kandungan buku tersebut. Ada cadangan yang mungkin juga secara guruan, datang daripada rakan-rakan guru saya di sekolah iaitu mewujudkan jawatan Pegawai Pendidikan Siswazah gred DG41 khas untuk menjaga telefon bimbit pelajar. Bayangkan jika 500 orang pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Bunyi deringan atau 'Ringtone' lebih kuat daripada bunyi loceng sekolah. Dalam kelas akan ada nanti nada dering muzik 'Angry Bird',  'Ombak Rindu,, dan bermacam-macam lagi. Saya teringat iklan Astro...'macam-macam ada'. Memang benar tekonologi membawa kemajuan kepada kita. Sebagai rakyat Malaysia, saya memang bangga dengan perkembangan teknologi ICT yang semakin berkembang pesat hari ini. Blog yang saya tulis ini juga adalah bukti negara kita semakin maju dengan teknologi ICT. Cuma janganlah kerana terlalu ghairah berpolitik...idea-idea yang banyak memberi kesan negatif kepada para remaja diperjuangkan. Apakah akan terjadi kepada pewaris negara ini, jika masalah disiplin pelajar semakin teruk. Tidak mustahil suatu hari nanti pelajar tidak mahu ke sekolah kerana tidak dibenarkan membawa telefon bimbit. Atau mereka akan memberi syarat kepada ibu bapa untuk dibelikan telefon bimbit yang lengkap dengan MMS, Video, Bluetooth, dan ada 'Angry Birds' jika mahu mereka pergi ke sekolah. Harga telefon yang canggih ini pula  paling kurang RM500. Bertambah beban lagi ibu bapa yang berpendapatan rendah. Sekadar pandangan dari saya seorang guru sekolah. Sekian.

2 comments:

  1. GK setuju jangan bagi budak2 nie bawa telefon bimbit ke sekolah...bukan berfaedah pun...

    ReplyDelete
  2. tujuannya baik...tp pasti lebih banyak yg buruk dr yg baik...

    ReplyDelete