Wednesday, September 16, 2026

Guru! Hentikan Guru!

 

Guru! Guru! hentikan guru

kami tidak ingin berdosa

dahulu kata-kata disimpan di pentas

hari ini terbang di TikTok

dipotong, disambung dijadikan bahan ketawa

lalu sampai ke dewan politik

dengan tepukan yang panjang


Guru! Guru! hentikan guru

kami tidak ingin berdosa

cukuplah guru!

katanya ini MADANI

katanya rakyat harus mengerti

angka ekonomi naik di layar

pelaburan datang membawa khabar

tetapi di meja makan rakyat tetap menghitung

berapa yang tinggal selepas bil dibayar


Di sebelah sana

penyokong bersorak,

di sebelah sini

penyokong membalas

satu sindiran dibayar sindiran

satu TikTok dibalas TikTok

satu ucapan dipotong menjadi bahan

lalu politik kita seemakin pandai mencipta hiburan


Guru! Hentikan Guru!

Rakyat bukan anak kecil

yang hanya perlu diajar mendengar

Rakyat juga guru

yang mengajar melalui undi,

mengajar melalui teguran,

mengajar bahawa kuasa tidak pernah menjadi milik

sesiapa untuk selama-lamanya.


PMX juga manusia

menteri juga manusia

pembangkang juga manusia

dan penyokong parti 

jangan sampai terlupa

merah, biru, hijau atau jingga

apabila harga barang meningkat,

dompet rakyat tidak pernah bertanya

kita mengundi siapa sebenarnya

Maka bersindirlah

kalau sindiran itu membuka mata,

kritiklah

kalau kritikan membina negara.

Tapi jangan kerana politik,

jiran menjadi musuh,

sahabat menjadi lawan,

fitnah menjadi hiburan,

dan kebencian dianggap perjuangan


Guru! Guru!

Hentikan guru..

bukan kerana kami membenci guru,

bukan kerana kami mahu menjatuhkan sesiapa

Kami cuma mahu

yang memerintah sudi mendengar,

yang membangkang tahu menawarkan,

yang menyokong berani menegur,

dan yang berbeza

masih mampu duduk semeja.

kerana pada akhirnya

PMX akan berlalu

kerajaan akan berganti

pemimpin akan datang dan pergi

parti akan kekal atau dihapuskan

tetapi Malaysia

tetap rumah kita

dan rakyatlah 

murid yang paling lama belajar

daripada kesilapan guru-guru politik

tanpa rakyat politik tidak berguna

tanpa agama manusia kacau bilau

Guru! Hentikan Guru!

Kami tidak ingin berdosa


Karya : Jupilin Rangin

             Kuala Penyu, Sabah

             15.9.2026


 

 

No comments:

Post a Comment

Guru! Hentikan Guru!

  Guru! Guru! hentikan guru kami tidak ingin berdosa dahulu kata-kata disimpan di pentas hari ini terbang di TikTok dipotong, disambung dija...