Monday, February 6, 2012

OKU dapat pengiktirafan


 Pelajar cacat, Muhammad Hadi Darus, 16, yang memperoleh keputusan cemerlang sembilan A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Menyifatkan dirinya amat bertuah, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, Kedah yang menulis menggunakan kaki itu memberitahu, dia amat berterima kasih kepada ibu bapanya yang banyak memberi dorongan untuk terus berjaya meskipun pernah berputus asa kerana kekurangan dirinya.
Menurutnya, ejekan yang diterima semasa kecil ketika memulakan persekolahan telah menjadikannya lebih bersemangat untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.
"Masa kecil dulu ada yang ejek saya sebab cacat tetapi ejekan mereka menjadi pembakar semangat untuk berjaya, Alhamdulillah kini saya membuktikannya kepada semua.
"Sekarang tiada lagi yang mengejek dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu sehingga berjaya dalam peperiksaan dan mendapat anugerah amat bermakna hari ini. Saya berjanji akan buat yang terbaik dalam peperiksaan akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun 1433 Hijrah.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Dengan penganugerahan tersebut, Muhammad Hadi menerima wang tunai RM20,000, sebuah plak, sijil penghargaan serta Kitab Terjemahan Fi Zilal Al-Quran.
Muhammad Hadi yang cacat pada kedua-dua belah tangan sejak kecil memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup dalam PMR 2011.
Beliau yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah berkata, individu lain yang menghadapi situasi sama dengannya tidak perlu merendah diri dan cepat berputus asa kerana setiap kejayaan tidak dinilai melalui paras rupa dan keadaan fizikal seseorang.
"Apa yang penting ialah usaha, jika tiada usaha, orang yang sihat dan cukup lengkap anggota badan juga tidak akan berjaya.
"Janganlah jadikan kecacatan kita sebagai alasan, hari ini saya sudah buktikan kepada semua bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup. Walaupun masih banyak rintangan yang akan dihadapi, saya akan tabah untuk menghadapinya." katanya.

Sumber : Utusan Malaysia 5 Feb. 2012

Saturday, February 4, 2012

Buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan dan mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar yang sejak akhir-akhir ini dirujuk sebagai budaya pemakanan yang tidak seimbang.
Buku panduan tersebut turut menyenaraikan sejumlah 227 jenis makanan dan minuman yang boleh dijual di kantin-kantin sekolah di seluruh negara manakala proses menggredkan semua tahap kebersihan premis pengendalian makanan sedang giat dilaksanakan sejak tahun lalu.
Sehingga akhir tahun 2011, lebih sepuluh peratus daripada 10,000 sekolah telah diperiksa untuk digredkan sebagaimana dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke atas premis-premis yang mengendalikan makanan kepada masyarakat umum.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap kebersihan 90 peratus ke atas akan diberikan tahap kebersihan A, memperoleh skor antara 70 hingga 89 peratus dikategorikan B, 50 hingga 69 peratus tahap C dan kurang daripada 50 peratus akan dikategorikan sebagai D.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap D akan diberikan amaran dan dalam tempoh tertentu jika tahap kebersihannya tidak berubah, pengendali kantin tersebut akan diberikan arahan tutup manakala pengendali makanan dari luar akan diberikan peluang sementara untuk menjual makanan di sekolah sebelum proses tawaran semula dilaksanakan.
Bagi mengelakkan sebarang masalah, pengendali kantin yang diarahkan tutup tidak lagi akan dipertimbangkan pada masa depan untuk mengambil bahagian dalam mengendalikan kantin di sekolah-sekolah.
Sepanjang tahun 2011, terdapat sejumlah 220 kes keracunan makanan di sekolah dan melibatkan sejumlah 8,010 pelajar di seluruh negara.
Episod keracunan makanan di sekolah telah dikesan berlaku dalam tiga keadaan iaitu ke atas program susu 1Malaysia (97 kes), kantin sekolah (45 kes) dan makanan di asrama (78 kes).
Keracunan ke atas program susu 1Malaysia paling banyak dikesan berlaku di Kelantan (24 kes), Terengganu dan Perak (masing-masing 12 kes), Selangor dan Johor (masing-masing 9 kes), Melaka (8 kes), Negeri Sembilan (7), Pahang (6), Sarawak (4), Kedah (3), Pulau Pinang (2) dan Perlis (1).
Sebahagian besar masalah keracunan program susu 1 Malaysia berlaku adalah sikap para pelajar yang tidak dapat menghabiskan sekotak susu yang dibekalkan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
Apabila kotak susu itu dibiarkan tanpa disimpan dalam peti sejuk, ia akan menyebabkan susu tersebut terkena udara dan menjadi cepat masam.
Dalam keadaan susu yang masam itu, apabila diminum untuk kali berikutnya akan menyebabkan peminumnya akan berhadapan dengan muntah-muntah dan loya. Situasi inilah yang kemudiannya dinamakan keracunan akibat meminum susu.
Ada juga yang disebabkan faktor cara penyimpanan susu yang tidak sesuai di mana premis yang dijadikan stor simpanan tidak bersih atau tidak mempunyai kemudahan bilik sejuk.
Kes keracunan yang berpunca daripada mengambil makanan yang dijual dikantin paling banyak berlaku di Johor (11 kes), masing-masing 3 kes berlaku di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan manakala di Perlis satu kes.
Faktor utama kejadian itu adalah disebabkan oleh makanan yang dijual telah basi, persekitaran kantin yang kurang bersih (termasuk peralatan memasak) dan sikap pekerja kantin yang tidak mementingkan kesihatan.
Kes-kes keracunan yang melibatkan pelajar di asrama sekolah berlaku paling banyak di Johor (13 kes), Sabah (10 kes), Sarawak (8 kes), Melaka dan Perak (masing-masing 7 kes), Selangor dan Pulau Pinang (masing-masing 6 kes), Kedah (5 kes) dan Terengganu (4 kes).
Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing satu kes.

Sumber : Utusan Malaysia Feb.2012

Friday, February 3, 2012

Siapa Perlu Dilindungi : Israel atau Palestin?

Kalau mengikut catatan sejarah, Empayar British menggalakkan penghijrahan orang Yahudi ke Palestin dari tahun 1917 - 1948 berdasarkan perjanjian Balfour 1917. British dipengaruhi oleh Zionis yang melobi bagi mendapatkan penempatan tetap di negara itu bagi melaksanakan cita-cita untuk menubuhkan negara sendiri sesudah mereka (bangsa Yahudi) tidak diterima di negara-negara lain. Perpindahan besar-besaran orang Yahudi ke Palestin terus berlaku apabila Nazi berkuasa di Jerman semasa dan selepas Perang Dunia Kedua. Kekejaman yang dilakukan oleh Nazi (Hitler) ke atas orang Yahudi menyebabkan mereka keluar dari negara Jerman. Ini bermakna Israel sepatutnya bermusuh dengan Jerman dan membunuh orang Jerman bukannya orang Palestin. Hari ini banyak negara Eropah dan juga segelintir pemimpin Islam yang sanggup menyokong keganasan Israel demi mencapai cita-cita politiknya. 

Wednesday, January 25, 2012

Penjara Mandatori Kepada Pemandu Cuai

Cadangan mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu kenderaan yang menyebabkan kemalangan maut adalah baik dan perlu kajian terperinci sebelum pelaksanaannya. Hakikat kejadian kemalangan berlaku adalah atas kecuaian pemandu tidak boleh dinafikan terutamnya jika kita fikir secara logik bahawa kenderaan adalah mesin yang dikendalikan atau dikawal oleh manusia. Tanpa pemandu tidak mungkin kenderaan tersebut boleh bergerak dengan sendirinya. Sikap dan tingkah laku pemandu di negara ini banyak mempengaruhi kadar kemalangan jalan raya. Misalnya memandu dalam keadaan tergesa-gesa untuk sampai ke destinasi yang dituju. Keinginan untuk sampai dengan cepat menjadikan seseorang itu kurang ambil peduli dengan peraturan dan undang-undang jalan raya. Perbuatan yang kerap kali dilakukan ialah melanggar isyarat lampu kuning, selagi belum merah minyak kereta terus ditekan. Ada juga yang suka memotong sebelah kiri apabila keadaan jalan raya sesak. Umumnya keadaan jalan raya di negara kita ini adalah kecil terutamanya jalan negeri. Banyak kes kemalangan yang melibatkan kematian berlaku di jalan-jalan raya yang sempit. Bagaimanapun, tidak semua pemandu bersikap negatif tetapi perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengikut arahan yang dikeluarkan pihak polis dari semasa ke sesama.

Thursday, January 19, 2012

Pengaruh Muzik ke atas Minda

Enam pemain piano jazz profesional bersetuju membenarkan otak mereka diimbas oleh sekumpulan pengkaji dari Johns Hopkins Hospital di Baltimore dan National Institute di Deafness and Other Communication Disorders di Bethesda, Md.


Maklumat ini boleh anda baca dalam "Majalah Sains". Selamat membaca.

Saturday, January 14, 2012

Sikap Suka Bertangguh Rakyat Malaysia


RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sikap suka menangguhkan sesuatu kerja sehingga ke minit akhir dan kemudian memberi pelbagai alasan bila urusan tersebut gagal diselesaikan mengikut syarat.
Contoh terbaik adalah ketika musim mengisi borang cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saman, pendaftaran kenderaan komersial dan terbaru di kalangan majikan dalam pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).
Hakikatnya, rakyat tidak boleh disalahkan sepenuhnya apabila mereka terlalu dimanjakan dengan penangguhan tindakan perundangan dan lanjutan tempoh untuk menyelesaikan saman serta urusan berkaitan oleh kementerian, agensi kerajaan mahupun majlis perbandaran.
Langkah kerajaan mengambil kira aduan dan pandangan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu keputusan atau dasar baru memang sepatutnya dipuji.
Namun, sikap berlembut itu juga boleh menjadi serampang dua mata, bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan malahan mungkin menunjukkan kurangnya ketegasan dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu keputusan, peraturan dan dasar baru.
Isu pendatang asing dan program 6P menjadi contoh kegusaran rakyat yang masih menunggu hasil konkrit dalam mengurangkan jumlah pendatang asing di negara ini dengan kebimbangan tarikh tindakan perundangan dilanjutkan lagi.
Kini, laporan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula turut menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak sama ada perancangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dibuat secara terburu-buru sehingga menerima banyak aduan.
Bagi Setiausaha Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Durrishah Idrus, tidak menjadi isu besar jika wujudnya sokongan dan tentangan terhadap penangguhan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan.
“Bila sesuatu dasar itu diumumkan dan diketahui rakyat, tentu akan ada yang memberi pendapat masing-masing.
“Jika dasar yang telah diketahui umum itu ditangguhkan pula, tentu akan wujud dua kumpulan iaitu yang menyokong dan menentang,” jelasnya.
Tegasnya, sesuatu dasar baru itu adalah polisi jangka panjang atau jangka sederhana yang bakal memberi kesan kepada ramai pihak jika dilaksanakan.
Oleh itu, katanya, sebuah dasar baru seboleh-bolehnya perlu dikaji dengan teliti dan mendalam terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai.
“Jika sudah dikaji dan diteliti dengan mendalam, mungkin penangguhan dapat dielakkan kerana masalah tidak timbul jika keputusan itu menggembirakan rakyat.
“Penangguhan pula akan menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak sementara pihak lain menyokong. Ini perkara biasa bila berlaku penangguhan dan tidak menjadi isu besar,” katanya.
Durrishah menjelaskan, jika SBPA dilaksanakan tanpa diteliti semula, sebilangan golongan sederhana dan bawahan dalam perkhidmatan awam mungkin berasa tidak puas hati dalam jangka panjang.
“Jika dahulu, perbincangan diadakan dahulu pihak berkaitan dengan kerajaan dan hanya diumumkan jika semua isu berbangkit sudah selesai.
“Saya harap kerajaan akan semakin matang kelak dalam mengendalikan situasi seperti apa yang berlaku dengan SBPA,” ujarnya.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat penangguhan SBPA bukannya menunjukkan kelemahan tetapi menonjolkan keberanian Perdana Menteri bertindak pantas terhadap keresahan mereka yang terlibat.
“Mungkin ada pihak akan mengambil kesempatan dalam isu penangguhan dasar ini tetapi tindakan segera Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan responsif terhadap isu-isu tulen dan perkara berbangkit selepas menerima maklum balas pihak yang sedar diri mereka akan terjejas.
“Bukannya kerajaan tidak bertegas dalam pelaksanaan sesuatu dasar tetapi ada isu yang tidak mendapat maklum balas di peringkat awal yang sepatutnya telah melibatkan kumpulan pembuat keputusan dan pihak berkepentingan,” katanya.
Tambahnya, sesuatu dasar baru juga perlu melihat kepada maklum balas umum dan ini boleh dicapai dengan kemajuan teknologi semasa.
Menurut beliau, Perdana Menteri sendiri mengakui kerajaan tidak mengetahui semua perkara tetapi bersedia menerima pendapat orang ramai yang boleh membawa kebaikan kepada semua.
“SBPA perlu dikaji semula bila majoriti kakitangan awam tidak berpuas hati walaupun sesetengah pihak gembira dengan apa diterima mereka.
“Kelemahan di sini adalah dari sudut pelaksanaan apabila perbincangan tidak dibuat JPA dengan pihak-pihak berkaitan terlebih dahulu sehingga mungkin menjejaskan sekitar 500,000 pekerja,” ujarnya.
Tegasnya, semakan semula yang diumumkan menunjukkan hasrat Perdana Menteri yang mahu memberi penambahbaikan dalam pelbagai aspek agar memberi manfaat dan boleh diterima baik oleh majoriti, jika tidak kesemua kakitangan awam sekalipun.
“Mengumumkan penangguhan adalah satu langkah berani dan tegas demi memberi perhatian kepada isu yang timbul dan mengelakkan masalah lain kelak.
“Perdana Menteri juga mungkin tidak menerima gambaran tepat sebelum mengumumkan SBPA dan kerana itu kakitangan awam perlu memberi maklum balas agar semua pihak dilindungi dan tiada yang menerima kesan buruk, di samping menutup peluang pihak yang mahu menangguk di air keruh,” jelasnya.
Mohamed Mustafa berpendapat matlamat skim tersebut sangat baik tetapi pelaksanaannya yang seperti tergesa-gesa mungkin menjadi punca masalah.
“Walaupun sesuatu dasar baru mempunyai matlamat yang baik, tiada maknanya jika kumpulan sasaran tidak menerima manfaatnya.
“Baguslah Perdana Menteri mendengar masalah yang dibangkitkan dan sedia menangguhkan SBPA demi kebajikan mereka yang terlibat,” katanya.
Adalah lebih baik untuk berhadapan dengan seorang yang menentang selepas memahami isu sebenar daripada dibiarkan ramai membantah tanpa memahami tujuannya.
Kewajaran penangguhan sesuatu keputusan sewajarnya dinilai demi kepentingan dan masa depan kesemua pihak yang terlibat atau sekurang-kurangnya kumpulan majoriti.
Walaupun kerajaan sewajarnya bertegas dalam pelaksanaan dasar baru agar rakyat lebih berdisiplin dan yakin dengan komitmen pentadbiran negara, kesan jangka panjang serta baik dan buruk keputusan tersebut perlu diutamakan.
Penerimaan rakyat terhadap sebarang keputusan kerajaan juga akan berubah sejajar dengan pemahaman dan perubahan yang berlaku, sama ada menerima jika kesannya positif atau membantah jika sebaliknya.
Apa yang perlu diutamakan kini adalah pemahaman rakyat terutamanya mereka yang berkepentingan dalam sesuatu keputusan tentang punca dan sasaran pelaksanaan, mahupun penangguhan, sesebuah dasar baru.

Sumber : Utusan Malaysia

Wednesday, January 4, 2012

20 minit yang tidak sepatutnya diamalkan

Hari ini saya tersenyum sinis apabila mendengar seorang menteri mengulas dan memberi cadangan tentang waktu makan (sarapan pagi) murid-murid sekolah, sepatutnya dipanjangkan lagi. Maksudnya waktu rehat. Sejak saya menjadi pelajar sekolah rendah pada tahun 70an dahulu, sehinggalah ke hari ini sebagai seorang guru, waktu rehat yang diberikan oleh pihak sekolah kepada para pelajar cuma 20 minit sahaja. Itu pun selepas jam 9.00 pagi. Biasanya pentadbiran sekolah hanya memberi kebenaran kepada para pelajar untuk makan di kantin apabila lonceng berbunyi pada jam 9.40 atau 10.00 pagi. Ini adalah waktu persekolahan sessi pagi. 

Cuba bayangkan apakah cukup 20 minit untuk para pelajar membeli makanan dengan bilangan pelajar yang ramai. Ada sekolah yang mempunyai bilangan pelajar sehingga 500 orang. Tidak keterlaluan kalau saya mengatakan bahawa sekolah yang mempunyai 500 orang pelajar, setiap pelajar hanya mempunyai sedikit masa  untuk makan dan minum. Masa yang diambil untuk berjalan ke kantin sekolah sekitar 2-5 minit. Masa berbaris mengikut giliran untuk sampai ke kaunter sekitar 5-10 minit. Kalau 7 minit adalah lagi 13 minit untuk menghabiskan makanan yang telah dibeli. Kalau 15 minit, ertinya pelajar itu cuma ada 5 minit untuk menghabiskan makanan dan minumnya. Kemudian apabila lonceng berbunyi tepat jam 10 atau 10.20, pelajar tadi akan berjalan tapi kebanyakkannya berlari untuk masuk ke kelas semula bagi menyambung pelajaran. Kadang-kadang ada yang tersungkur di tangga, kadang-kadang ada juga yang terpaksa minum air di dalam kelas kerana tidak sempat minum sewaktu makan di kantin tadi. Guru pula ada yang jenis tidak berperikemanusiaan, menengking atau memaki pelajar yang kedapatan minum di dalam kelas. 

Pada saya sudah sampai masanya pihak Kementerian Pelajaran mengubah atau menambah waktu rehat pelajar di sekolah. Janganlah terlalu mengejar keputusan peperiksaan dengan memaksa guru dan pelajar menghabiskan sukatan pelajaran pada atau sebelum bulan Julai. Otak yang banyak ilmu tidak guna juga kalau emosi dan tingkahlaku pelajar tidak stabil. Sistem pendidikan kita melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan STPM. Cemerlang dari segi akademik, tapi tidak cemerlang dari segi sahsiah dan emosi. Ramai pelajar yang semakin memberontak dan mudah terpengaruh dengan anasir jahat lantaran tekanan yang berlebihan daripada ibu bapa, guru dan pihak jabatan untuk mencapai keputusan 100% dalam peperiksaan. 

Sistem pendidikan kita hanya merujuk kepada pencapaian kognitif untuk mengikhtiraf pelajar itu cemerlang atau tidak. Berapa ramai pelajar kita yang mahir bermain muzik, memasak, melukis, mencipta peralatan sains hasil daripada sistem peperiksaan yang kita amalkan selama ini. Sistem pendidikan kita tidak banyak mengajar kemahiran berfikir dan mencipta produk. Kita hanya pandai menggunakan Samsung Tab 10.1 tapi tidak pandai menciptanya. Kita hanya pandai menggunakan Facebook, tapi kita tidak pandai mencipta programnya. Kita memberi banyak kemudahan teknologi, tapi takut guna sebab kalau rosak banyak guna duit untuk membaiki. Akhirnya makmal komputer jadi sarang ular dan kelawar. 

Realitinya..."Jangan banyak tanya...ikut saja apa yang cikgu ajar. Siapakan latihan ini dan hantar esok. Siapa yang tak siap, cikgu akan denda". Itulah beberapa dialog berbentuk arahan yang pernah saya gunakan setiap kali memberi tugasan kepada para pelajar yang saya ajar. Maklumlah kelas peperiksaan.

Terima Kasih Bossku (Dato Sri Najib Razak)

Pembebasan DSNR dari tahanan dalam penjara ke tahanan dalam rumah, adalah satu kejayaan peribadi Bossku. Ramai penyokong Bossku tidak kira l...