Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Saturday, February 5, 2011

80 tahun penjara, 40 sebatan akibat rogol anak sendiri


KUALA LUMPUR 2 Feb. - "Tugas bapa melindungi dan menjaga anak, sebaliknya kamu telah merosakkan masa depan zuriat sendiri."

Demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini, sebelum menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 80 tahun dan sebatan 40 kali ke atas seorang peniaga gerai makan yang mengaku bersalah atas empat tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya, tahun lalu.

Mohamad Sekeri Mamat memerintahkan bapa sembilan anak itu menjalani hukuman penjara secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Tertuduh yang berusia 47 tahun itu hanya menundukkan kepalanya selepas mendengar hukuman, seperti tiada apa yang berlaku.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anak kelimanya berusia 15 tahun di rumah mereka di Cheras pada pukul 2 petang, 23 Januari lalu.

Dia mengulangi perbuatan terkutuk itu sebanyak tiga kali antara bulan November dan Disember tahun lalu di rumah yang sama.

Lebih memalukan, dia tergamak menodai mangsa di sebelah isterinya walaupun dihalang oleh wanita itu dan apabila keinginannya disekat, tertuduh akan memukul ibu mangsa.

Selain itu, tertuduh pernah memaksa mereka berdua meraba alat sulitnya di dalam bilik utama.

Setelah sekian lama, isteri tertuduh meminta pertolongan jiran untuk membuat laporan polis pada malam terakhir kejadian itu.

Dia yang berjaya diberkas oleh polis, didakwa pertama kali hari ini mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan maksimum 10 kali.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, lelaki yang berjambang dan nampak lemah itu, merayu hukuman ringan kerana menghidap penyakit darah tinggi, gout dan lemah jantung.

Dia yang tidak diwakili peguam, mendakwa bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan dan memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Loon Jia Yin memohon hukuman berat kerana ia kesalahan yang serius selain menghancurkan masa depan mangsa.

Di samping itu, beliau memohon supaya kesan trauma yang dialami mangsa sepanjang hidupnya, diambil kira dalam menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Sumber Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment