Sunday, September 22, 2013

Menjana kepakaran guru

Pada alaf ini, pendidikan di sekolah tidak harus memencilkan diri dan bergerak tanpa hala tuju yang jelas dan selaras. Sekolah perlu melihat kejayaan sekolah lain untuk dijadikan model melalui perkongsian bestari.
Demikian juga, guru sebagai petugas pendidikan tidak seharusnya berpuas hati dengan kemahiran yang diterima semasa di kampus. Sebaliknya, mereka perlu menggali dan mencari kepakaran dalam bidang mereka melalui perkongsian bestari.
Mereka boleh membentuk kumpulan rakan sekerja untuk membangunkan program di sekolah. Aktiviti ini dapat meningkatkan kepakaran mereka dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.
Setiap sekolah mudah mengakses maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapat maklumat. Pengetua atau guru besar selaku pengurus sekolah mempunyai peranan penting untuk memilih hala tuju masing-masing dan tidak hanya menunggu arahan daripada pihak lain.
Pengetua atau guru besar harus melakukan perkongsian bestari di sekolah dengan institusi pendidikan di tempat lain.
Perkongisn bestari dapat difahamkan sebagai pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagainya di sekolah atau tempat lain untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.
Program perkongsian ilmu dapat dilaksanakan oleh kumpulan pemimpin dan pelaksana pendidikan di sekolah. Tegasnya, mereka tidak boleh berseorangan untuk membina kecemerlangan sekolah.
Perkongsian bestari harus dimulakan secara mikro hingga peringkat makro.
Mikro melibatkan sekumpulan guru di sekolah. Contohnya program lesson study iaitu sekumpulan guru yang merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama-sama.
Akhirnya, mereka bukan sahaja mendapat hasil yang cemerlang, malah memperoleh kepakaran yang menjadi rujukan pihak lain.
Sementara program makro melibatkan guru dan pelajar di sekolah dengan guru-guru sekolah lain di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa.
Selain mengakses media massa, mereka boleh mengadakan lawatan ke negara lain untuk mengadakan perkongsian bestari. Langkah ini membolehkan mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman orang lain.
Sekolah telah melaksanakan program Kumpulan Mutu Kerja (KMK), kajian tindakan dan sebagainya yang diubah suai dengan ukuran pendidikan untuk mencari jalan meningkatkan kecemerlangan di sekolah.
Mereka membuat kajian serta pelaksanaan aktiviti di sekolah berdasarkan kekuatan dan ancaman yang terdapat di sekolah. Penemuan mereka sudah pasti boleh menjadi rujukan guru-guru lain atau sekolah-sekolah lain.
Sekolah juga boleh membuat perkongsian bestari dengan sekolah berhampiran. Mereka duduk bersama dengan mengadakan seminar, pembentangan kertas kerja atau sebagainya. Mereka boleh memanfaatkan guru cemerlang di sekolah masing-masing atau menggunakan kepakaran dan kejayaan sekolah untuk dikongsi bersama dengan sekolah berhampiran.
Sekolah juga boleh mengadakan lawatan penanda aras di sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program mereka. Lawatan tersebut boleh dijadikan asas untuk dilaksanakan di sekolah mereka selaras dengan keperluan dan kekuatan yang ada di sekolah masing-masing.
Sementara sekolah yang telah terbukti dan diiktiraf mencapai kecemerlangan dengan penganugerahan sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah yang mendapat bai'ah, seharusnya menguar-uarkan program mereka melalui media massa atau blog agar dapat dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain.
Sekolah kluster cemerlang ini boleh menjemput sekolah lain untuk datang ke sekolah mereka bagi melihat program yang telah dilaksanakan. Langkah ini secara tidak langsung membantu negara untuk meningkatkan mutu pendidikan.
Guru yang kreatif boleh merancang dan melaksanakan program kecemerlangan dengan memilih aktiviti yang sesuai di sekolah masing-masing berdasarkan latar belakang dan persekitaran sekolah.
Situasi sekolah di bandar berbeza dengan sekolah di luar bandar, sekolah asrama, sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah harian. Kepakaran guru di sekolah berkenaan masih boleh diterapkan di sekolah lain melalui usaha kreatif guru.
Melalui perkongsian bestari dapat membuka minda guru melaksanakan sesuatu di sekolah serta meningkatkan kepakaran mereka. Langkah ini amat dituntut demi melahirkan lebih ramai guru yang benar-benar menguasai pedagogi pendidikan. Pengalaman mereka amat diperlukan untuk melaksanakan program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang akan dilaksanakan menjelang 2014.
SMK Ledang, Johor


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130916/pe_01/Menjana-kepakaran-guru#ixzz2faLMm5Dg
© Utusan Melayu (M) Bhd