Tuesday, February 28, 2012

Sistem Pentaksiran Baharu STPM 2012

Portal Rasmi Majlis Peperiksaan Malaysia telah mengumumkan bahawa mulai sesi pengambilan 2012/2013, Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan sistem pentaksiran STPM yang baharu bagi menggantikan sistem yang lama. Secara ringkasnya sistem pentaksiran yang baharu ini dilaksanakan mengikut sistem penggal. Comtohnya bagi mata pelajaran Pengajian Am, bilangan kertas telah bertambah kepada empat. Kertas 1 (900/1), Kertas 2 (900/2), Kertas 3 (900/3) dan Kertas 4 (900/4). Walau bagaimanapun sistem baharu ini tidak melibatkan pelajar Tingkatan 6 Atas yang sedia ada yang menjadi kumpulan terakhir mengambil peperiksaan STPM format lama pada bulan November 2012. Untuk maklumat yang lebih lanjut sila baca laman web Majlis Peperiksaan Malaysia.

Wednesday, February 22, 2012

Had kemasukan pelajar asing langkah wajar


Langkah yang diambil oleh Kementerian Pelajaran Tinggi untuk menghadkan  kemasukan pelajar asing ke Malaysia dengan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial adalah langkah yang baik serta wajar dilaksana. Peningkatan kes-kes jenayah seperti pelacuran, merompak dan penipuan wang yang dilakukan oleh "Awang Hitam' amat membimbangkan banyak pihak terutamanya masyarakat bandar. Perkembangan semasa seperti yang dilaporkan oleh media massa, ramai gadis warga China yang mengaku menjadi pelajar dalam sebuah universiti swasta di negara ini, ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran. Situasi ini perlu diambil tindakan segera kerana sudah kedengaran protes daripada mahasiswa dan mahasiswi tempatan berhubung dengan masalah tersebut. Mereka tidak mahu "akibat perbuatan pelajar asing" imej dan maruah pelajar tempatan tercemar. Budaya hidup bebas yang dibawa oleh pelajar asing juga kini semakin berleluasa. Sikap pengurusan universiti swasta (IPTS) yang lebih mengutamakan keuntungan melalui yuran pengajian, juga amat dikesali. Janganlah kerana wang, nilai moral dan tanggungjawab sosial untuk membentuk sahsiah para pelajar diabaikan. 

Friday, February 17, 2012

Benarkah sikap penentu keseronokan bekerja?


BENARKAH kunci kecemerlangan dalam organisasi itu adalah keseronokan bekerja? Ini mungkin ada kebenarannya apabila gambaran keseronokan bekerja terhasil daripada sikap yang ditunjukkan oleh para pekerjanya dalam bentuk keceriaan, ketenangan, kegembiraan dan keselesaan apabila melaksanakan tugas seharian sehingga memberi kesan kepada kerja yang berkualiti, peningkatan produktiviti dan mutu perkhidmatan yang memuaskan.
Sudah tentu keseronokan bekerja yang dicapai inilah akan menjadi nadi serta tonggak kepada kecemerlangan organisasi. Slogan 'pekerja gembira adalah pekerja yang produktif' seringkali dikaitkan dengan situasi di mana pekerja yang menyukai atau berasa seronok dalam kerjayanya.
Suasana kerja yang didukung oleh sikap dan nilai keseronokan bekerja mampu mewujudkan amalan positif yang menjadikan kerja yang dibuat itu sebagai ibadat, komitmen yang tinggi di kalangan pekerja, dapat menyuntik semangat seharian bekerja serta sedia bekerjasama antara majikan dan pekerja.
Hubungan baik ini juga mampu menyelesaikan kerja secara bermuafakat dan bekerjasama. Pepatah Melayu menyebut, 'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'.
Pun begitu, dalam keseronokan bekerja jangan kita lupa nasihat-menasihati rakan sejawat dan budaya tegur-menegur (budaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran) lakukannya secara berhikmah supaya rakan sejawatan dapat menerima teguran dengan baik.
Apabila para pekerja berjaya mewujudkan suasana yang seimbang, dalam kehidupan di tempat kerja secara tidak langsung ia akan memberi kesan baik juga kepada kesihatan mental dan fizikal, pekerja tidak akan berasa tertekan apatah lagi dalam memenuhi tuntutan hidup yang semakin mencabar.
Walau bagaimanapun, di sebalik keseronokan bekerja ini ada pekerja yang tidak selama-lamanya berada dalam keadaan seronok dalam pekerjaan. Ini kerana sudah menjadi satu trend perilaku manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan seperti malas, jemu, segan, bosan dan sebagainya terhadap kerja mereka.
Jika ditanya berkaitan dengan diri pekerja terhadap kerja yang dilakukan, tentu sekali ada yang menyatakan bahawa mereka sangat meminati kerja yang dilakukan. Tidak kurang juga ada yang menganggap kerja itu satu bebanan dan membosankan. Malah ada berfikir untuk mendapat pekerjaan yang baharu. Kesemua perkara ini adalah berkaitan dengan sikap terhadap kerja.
Barangkali perasaan ini dialami ekoran sikap terhadap pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi. Bagi sesetengah pekerja yang telah menghabiskan setengah usianya dalam organisasi sering dapat kita lihat tiga situasi yang berbeza.
Yang pertama, apabila pekerja itu dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan nilai komitmen yang cemerlang dalam organisasi manakala kategori pekerja yang berikutnya ialah pekerja yang semakin menurun prestasi serta nilai komitmennya, manakala satu lagi kategori, pekerja yang masih berada pada tahap sama sejak awal penglibatan sebagai pekerja.
Persoalannya mengapa keadaan ini berlaku? Barangkali sikap negatif terhadap kerja ini berpunca dari sikap pekerja itu sendiri terhadap majikan atau sikap pekerja sesama rakan sejawatan atau pendirian mereka terhadap gaji dan imbuhan yang diberi tidak setimpal dengan kerja yang diusahakan, kebajikan terabai, penghargaan yang tidak diiktiraf atau kemungkinan skim persaraan yang tidak menarik dan macam-macam lagi.
Lazimnya, sikap itu berkaitan dengan komponen penilaian yang boleh menggambarkan sejauh mana perasaan pekerja terhadap kerjayanya.
Hasil sikap negatif ini maka akan lahirlah pekerja yang bersikap menentang dan mula berasa tidak lagi seronok untuk bertugas. Dan di sinilah menunjukkan perkaitan yang jelas tentang sikap dan perilaku.
Apabila ini berlaku maka kita akan dapat melihat kesan kepada penghasilan kerja yang kadang-kalanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa sikap terhadap kerja adalah merupakan satu-satunya punca yang menentukan nilai keseronokan bekerja. Barangkali ada yang tidak seronok bekerja antara lain kerana faktor kesesakan; perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, dan sebagainya.
Begitu juga, kesan persekitaran kerja turut mengundang persepsi terhadap keseronokan di tempat kerja.
Apabila persekitaran di tempat kerja tidak kondusif, sesak, gelap, dan kualiti peredaran udara tidak baik ia menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja.
Malah menurut satu kajian, terdapat perkaitan antara keseronokan dan kepuasan terhadap persekitaran mampu mempengaruhi perilaku pekerja dalam organisasi dalam mewujudkan kesan terhadap hubungan sosial dan kerjasama.
Justeru, bagi mewujudkan keseronokan bekerja kita sebagai pekerja Muslim cubalah mulakan dengan memupuk nilai dan sikap keseronokan bekerja dalam diri kita terlebih dahulu.
Kesimpulannya, memang benar sikap, tindakan dan amalan kita menjadi penentu kepada keseronokan bekerja di samping beberapa faktor persekitaran lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan organisasi serta mampu meletakkan pekerja maju dalam pelbagai bidang diceburinya.

Sumber : Dipetik daripada Utusan Malaysia 17 Feb 2012

Wednesday, February 15, 2012

Nasib Golongan Pelajar Tercicir


Golongan pelajar tercicir boleh menjadi beban sekiranya tidak “dijaga” dan “dipantau” dengan sebaik-baiknya. “Dijaga” dalam konteks ini bermaksud membimbing mereka menjadi insan yang berguna kepada negara dan bukannya mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat.
Jika dibiarkan mereka terus tercicir, natijahnya buruk kepada masyarakat dan negara. Masakan tidak, kes jenayah yang berlaku sering kali melibatkan golongan pelajar yang tercicir dalam pelajaran. Oleh sebab ingin cepat hidup mewah dan ditambah pula dengan pengaruh rakan sebaya, mereka berisiko tinggi melakukan jenayah.
Namun, tidak dinafikan ada juga mereka yang tidak menamatkan pelajaran di peringkat asas atau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading, berjaya dalam kerjaya yang diceburi. Contohnya salah seorang bilionair Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mampu membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau boleh berjaya tanpa melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Malangnya, “klon” Syed Mokhtar bukan mudah dicari. Tanpa usaha, iltizam diri yang tinggi, bukan mudah mereka yang tercicir dalam pelajaran berjaya dalam hidup.
Pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan formal dianggap berada dalam keadaan yang berisiko. Golongan ini memerlukan bimbingan serta pendidikan alternatif bagi menggantikan pendidikan formal yang tidak diteruskan.
Menurut Pelan Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada 1999 dianggarkan sebanyak 106 juta orang kanak-kanak tidak bersekolah. Manakala pada 2008, jumlah ini menurun kepada 69 juta orang. Di Amerika Syarikat (AS), dianggarkan setiap tahun sebanyak 1.2 juta orang belia tidak menamatkan persekolahan di sekolah tinggi (menengah).
Di Malaysia, laporan yang dikemukakan oleh Cawangan Pencegahan Jenayah, Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, pada 2010 menunjukkan bahawa sebanyak 1.43 peratus kes disiplin direkodkan di sekolah seluruh negara. Sebanyak 0.30 peratus daripada kes disiplin ini melibatkan kes jenayah seperti pergaduhan dan kes kecurian. Majoriti pelajar yang terlibat dalam kes disiplin yang serius dikenakan tindakan tatatertib seperti dibuang sekolah.
Angka yang diberikan bukan sahaja membimbangkan, malah mampu menggugat sistem pendidikan yang berperanan sebagai mangkin melahirkan masyarakat yang berguna. Walaupun ada segelintir pihak menganggap jumlah mereka yang tercicir dalam pelajaran di negara ini masih dalam kawalan, harus diingatkan bahawa jumlah kecil inilah sebenarnya perlu ditangani dengan segera agar tidak menjadi lebih serius.
___
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat September 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Sunday, February 12, 2012

Pengurusan Sukan Sekolah dengan SPPO


Perisian ini boleh membantu setiausaha sukan sekolah mengurus para peserta yang akan mengambil bahagian dalam setiap acara yang dipertandingkan dalam kejohanan olahraga. SPPO  dihasilkan dengan menggunakan perisian Microsoft Access. Jika anda berminat sila hubungi Cikgu Jup.

Guru Usah Bersikap Apologetik

Penjawat awam termasuk warga pendidik di negara ini tidak wajar bersikap apologetik dalam menangkis tohmahan pembangkang yang sedaya upaya mahu menidakkan segala sumbangan besar kerajaan membangunkan negara selama ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun tiada polisi menuntut penjawat awam berpolitik, warga pendidik wajar memikul tanggungjawab mempertahankan kebenaran berasaskan fakta bagi menjelaskan segala dakyah yang dilemparkan.

"Sebab itu kita lihat peranan guru yang berpengaruh membantu kerajaan menjelaskan perkara yang haq (benar) dan kita tidak harus bersikap apologetik tentang apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan.

"Walaupun kita penjawat awam, kita perlu ada rasa tanggungjawab, kalau ada yang diperkatakan pembangkang itu salah maka kita sama-sama jelaskan. Jika kita tidak mempertahankan yang benar maka bagi saya itu adalah satu kegagalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog sempena Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam Bersama Warga Pendidik Perak yang dihadiri kira-kira 3,000 pegawai pendidikan, pengetua, guru besar serta guru di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Zahir Abdul Khalid.

Dalam sesi interaktif itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ditanya oleh seorang guru mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam menangkis tohmahan pembangkang yang dilihat semakin keterlaluan.

Muhyiddin berkata, dalam keadaan kerajaan berdepan serangan bertubi-tubi pembangkang yang membuat fitnah dan tohmahan tidak berasas, penjawat awam wajar memberi penjelasan sekiranya menganggap ia berada di luar batasan kebenaran.

"Rakyat digambarkan dalam papa kedana, kita digambarkan daif seolah-olah tiada kemajuan yang dicapai, seolah-olah tiada satu nikmat yang mampu dikecapi oleh rakyat hasil perjuangan BN selama ini.

"Sebab itu ketika kerajaan diserang bertubi-tubi pembangkang dengan fitnah dan tohmahan, jika kita berasakan ia tidak benar, maka kita boleh memberikan penjelasan," katanya.

Dalam hubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh membantu dalam menyediakan bahan berbentuk fakta berhubung dasar-dasar kerajaan dalam membela nasib rakyat selain yang menyentuh polisi pembangunan ekonomi.

Sumber : Utusan Malaysia

Monday, February 6, 2012

OKU dapat pengiktirafan


 Pelajar cacat, Muhammad Hadi Darus, 16, yang memperoleh keputusan cemerlang sembilan A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Menyifatkan dirinya amat bertuah, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, Kedah yang menulis menggunakan kaki itu memberitahu, dia amat berterima kasih kepada ibu bapanya yang banyak memberi dorongan untuk terus berjaya meskipun pernah berputus asa kerana kekurangan dirinya.
Menurutnya, ejekan yang diterima semasa kecil ketika memulakan persekolahan telah menjadikannya lebih bersemangat untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.
"Masa kecil dulu ada yang ejek saya sebab cacat tetapi ejekan mereka menjadi pembakar semangat untuk berjaya, Alhamdulillah kini saya membuktikannya kepada semua.
"Sekarang tiada lagi yang mengejek dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu sehingga berjaya dalam peperiksaan dan mendapat anugerah amat bermakna hari ini. Saya berjanji akan buat yang terbaik dalam peperiksaan akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun 1433 Hijrah.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Dengan penganugerahan tersebut, Muhammad Hadi menerima wang tunai RM20,000, sebuah plak, sijil penghargaan serta Kitab Terjemahan Fi Zilal Al-Quran.
Muhammad Hadi yang cacat pada kedua-dua belah tangan sejak kecil memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup dalam PMR 2011.
Beliau yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah berkata, individu lain yang menghadapi situasi sama dengannya tidak perlu merendah diri dan cepat berputus asa kerana setiap kejayaan tidak dinilai melalui paras rupa dan keadaan fizikal seseorang.
"Apa yang penting ialah usaha, jika tiada usaha, orang yang sihat dan cukup lengkap anggota badan juga tidak akan berjaya.
"Janganlah jadikan kecacatan kita sebagai alasan, hari ini saya sudah buktikan kepada semua bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup. Walaupun masih banyak rintangan yang akan dihadapi, saya akan tabah untuk menghadapinya." katanya.

Sumber : Utusan Malaysia 5 Feb. 2012

Saturday, February 4, 2012

Buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan dan mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar yang sejak akhir-akhir ini dirujuk sebagai budaya pemakanan yang tidak seimbang.
Buku panduan tersebut turut menyenaraikan sejumlah 227 jenis makanan dan minuman yang boleh dijual di kantin-kantin sekolah di seluruh negara manakala proses menggredkan semua tahap kebersihan premis pengendalian makanan sedang giat dilaksanakan sejak tahun lalu.
Sehingga akhir tahun 2011, lebih sepuluh peratus daripada 10,000 sekolah telah diperiksa untuk digredkan sebagaimana dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke atas premis-premis yang mengendalikan makanan kepada masyarakat umum.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap kebersihan 90 peratus ke atas akan diberikan tahap kebersihan A, memperoleh skor antara 70 hingga 89 peratus dikategorikan B, 50 hingga 69 peratus tahap C dan kurang daripada 50 peratus akan dikategorikan sebagai D.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap D akan diberikan amaran dan dalam tempoh tertentu jika tahap kebersihannya tidak berubah, pengendali kantin tersebut akan diberikan arahan tutup manakala pengendali makanan dari luar akan diberikan peluang sementara untuk menjual makanan di sekolah sebelum proses tawaran semula dilaksanakan.
Bagi mengelakkan sebarang masalah, pengendali kantin yang diarahkan tutup tidak lagi akan dipertimbangkan pada masa depan untuk mengambil bahagian dalam mengendalikan kantin di sekolah-sekolah.
Sepanjang tahun 2011, terdapat sejumlah 220 kes keracunan makanan di sekolah dan melibatkan sejumlah 8,010 pelajar di seluruh negara.
Episod keracunan makanan di sekolah telah dikesan berlaku dalam tiga keadaan iaitu ke atas program susu 1Malaysia (97 kes), kantin sekolah (45 kes) dan makanan di asrama (78 kes).
Keracunan ke atas program susu 1Malaysia paling banyak dikesan berlaku di Kelantan (24 kes), Terengganu dan Perak (masing-masing 12 kes), Selangor dan Johor (masing-masing 9 kes), Melaka (8 kes), Negeri Sembilan (7), Pahang (6), Sarawak (4), Kedah (3), Pulau Pinang (2) dan Perlis (1).
Sebahagian besar masalah keracunan program susu 1 Malaysia berlaku adalah sikap para pelajar yang tidak dapat menghabiskan sekotak susu yang dibekalkan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
Apabila kotak susu itu dibiarkan tanpa disimpan dalam peti sejuk, ia akan menyebabkan susu tersebut terkena udara dan menjadi cepat masam.
Dalam keadaan susu yang masam itu, apabila diminum untuk kali berikutnya akan menyebabkan peminumnya akan berhadapan dengan muntah-muntah dan loya. Situasi inilah yang kemudiannya dinamakan keracunan akibat meminum susu.
Ada juga yang disebabkan faktor cara penyimpanan susu yang tidak sesuai di mana premis yang dijadikan stor simpanan tidak bersih atau tidak mempunyai kemudahan bilik sejuk.
Kes keracunan yang berpunca daripada mengambil makanan yang dijual dikantin paling banyak berlaku di Johor (11 kes), masing-masing 3 kes berlaku di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan manakala di Perlis satu kes.
Faktor utama kejadian itu adalah disebabkan oleh makanan yang dijual telah basi, persekitaran kantin yang kurang bersih (termasuk peralatan memasak) dan sikap pekerja kantin yang tidak mementingkan kesihatan.
Kes-kes keracunan yang melibatkan pelajar di asrama sekolah berlaku paling banyak di Johor (13 kes), Sabah (10 kes), Sarawak (8 kes), Melaka dan Perak (masing-masing 7 kes), Selangor dan Pulau Pinang (masing-masing 6 kes), Kedah (5 kes) dan Terengganu (4 kes).
Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing satu kes.

Sumber : Utusan Malaysia Feb.2012

Friday, February 3, 2012

Siapa Perlu Dilindungi : Israel atau Palestin?

Kalau mengikut catatan sejarah, Empayar British menggalakkan penghijrahan orang Yahudi ke Palestin dari tahun 1917 - 1948 berdasarkan perjanjian Balfour 1917. British dipengaruhi oleh Zionis yang melobi bagi mendapatkan penempatan tetap di negara itu bagi melaksanakan cita-cita untuk menubuhkan negara sendiri sesudah mereka (bangsa Yahudi) tidak diterima di negara-negara lain. Perpindahan besar-besaran orang Yahudi ke Palestin terus berlaku apabila Nazi berkuasa di Jerman semasa dan selepas Perang Dunia Kedua. Kekejaman yang dilakukan oleh Nazi (Hitler) ke atas orang Yahudi menyebabkan mereka keluar dari negara Jerman. Ini bermakna Israel sepatutnya bermusuh dengan Jerman dan membunuh orang Jerman bukannya orang Palestin. Hari ini banyak negara Eropah dan juga segelintir pemimpin Islam yang sanggup menyokong keganasan Israel demi mencapai cita-cita politiknya.