Saturday, October 19, 2013

Sekolah Kluster Kecemerlangan

Kementerian Pelajaran akan meningkatkan jumlah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) daripada 300 kepada 500 buah menjelang 2015.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, kini terdapat lebih daripada 500 sekolah yang telah dikenal pasti berpotensi untuk mendapat pengiktirafan tersebut.
Katanya, pihak kementerian mempunyai matlamat untuk meningkatkan bilangan SKK supaya dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah lain.
"Sehingga kini sejumlah 213 sekolah telah dinobatkan sebagai SKK. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 SKK telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
"Pada hari ini, saya bersyukur 50 buah sekolah lagi mendapat pengiktirafan untuk SKK bagi fasa ketujuh," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pengiktirafan SKK fasa ketujuh di sini hari ini.
Pada majlis tersebut seramai 29 guru besar dan 21 pengetua menerima sijil pengiktirafan SKK serta wang insentif bernilai RM250,000.
Abd. Ghafar berkata, 50 sekolah yang mendapat pengiktirafan SKK itu terdiri daripada 29 sekolah rendah dan 21 sekolah menengah.
Katanya, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.
"Pengiktirafan tersebut juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dari dalam dan luar negara," katanya.
Antara sekolah rendah yang mendapat pengiktirafan SKK ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tebrau, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Rem, Johor; SK Kubang Kerian, Kelantan; SK Subang Jaya, Selangor; serta SK Agama Bintulu, Sarawak.
Sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor; SMKA Kedah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling Pulau Pinang dan SMKA Tok Jiring, Terengganu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130406/pe_01/Sasar-500-sekolah-kluster-menjelang-2015#ixzz2i7mN8iET
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, October 13, 2013

Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP)

Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) adalah satu kaedah penilaian yang menilai kompetensi dan potensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) berdasarkan konsep Tugas dan Tempat Bertugas (Job-Based and Work Place) mengikut standard prestasi yang ditetapkan selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.
PBPPP merupakan penilaian baru bagi menggantikan PTK yang lebih memfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan bagaimanapun tertakluk kepada garis panduan JPA.
Berdasarkan keputusan mesyuarat Pra-DTF (Delivery Task Force) bertarikh 18 September 2013, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah bersetuju bahawa PBPPP kumpulan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) akan dilaksanakan sepenuhnya bermula pada tahun 2015.

 
Matlamat PBPPP adalah untuk membuat penilaian menyeluruh yang menggabungjalinkan kompetensi dan keberhasilan PPP dalam usaha meningkatkan kecekapan dan komitmen bagi melahirkan PPP berprestasi tinggi untuk mendukung aspirasi ke arah pendidikan berkualiti tinggi serta negara maju.
PBPPP diasaskan daripada Standard Prestasi yang merupakan dokumen piawai kompetensi teras dan profesional yang perlu dicapai oleh PPP mengikut bidang/tugas berdasarkan satu penanda aras yang ditetapkan.
Komponen PBPPP terbahagi kepada dua iaitu Penilaian Kompetensi dan Keberhasilan. Penilaian kompetensi terdiri daripada 4 dimensi iaitu Nilai Profesional, Pengurusan Aktiviti, Sumbangan dan Kemahiran serta digabungkan dengan keberhasilan bagi melibatkan dimensi keberhasilan sahaja.