Tuesday, June 26, 2012

Kemahiran Maklumat Pelajar STPM


Kemahiran Maklumat sangat penting kepada pelajar pra universiti (STPM). Tugasan kerja kursus  memerlukan pelajar mencari maklumat yang terperinci. Antara objektif kerja kursus yang wajib dilakukan oleh para pelajar pra universiti adalah untuk menilai keupayaan pelajar dalam aspek kemahiran kognitif, kemahiran manipulatif dan kemahiran insaniah (soft skills).

Kemahiran Kognitif merujuk kepada:
·         Mengenal pasti dan menghuraikan masalah serta mencadangkan langkah penyelesaian.
·         Mengaplikasi teori dan kaedah yang diajar di dalam bilik kulih dengan tugasan yang diberikan.
·         Mentafsir, mensintesis dan merumus data serta maklumat berkaitan dengan isu yang dikaji.

Kemahiran Manipulatif merujuk kepada:
·         Mencari dan mengumpul pelbagai jenis data atau maklumat dari pelbagai sumber.
·         Membuat pemerhatian, merekod, menemu bual dan kaji selidik.
·         Mendapat maklumat melalui kajian literatur.
·         Mempersembahkan data dan maklumat yang diperoleh dalam bentuk grafik, jadual, carta dan tulisan.

Kemahiran Insaniah (Soft Skills) merujuk kepada:
·         Boleh berkomunikasi secara lisan dan tulisan.
·         Berkebolehan untuk bekerjasama dalam kumpulan, mengorganisasi tugas, dan bekerja sebagai satu pasukan.
·         Berupaya menyelesaikan masalah.
·         Berkebolehan menjalankan kajian secara jujur, amanah dan beretika.
·         Berupaya meningkatkan keyakinan diri dan bermotivasi.

Sumber: Wang Hong keng, Mohammed Hashim, Goh Xuan Hui
                Teks STPM Pengajian Am, Penggal 1, Pelangi 2012

Saturday, June 23, 2012

Virus Trojan Zitmo Menyerang Pengguna Android


Makmal Kaspersky melaporkan mereka telah berjaya mengesan sejenis trojan yang menyerang peranti Android baru-baru ini. Dikesan sebagai HEUR:Trojan-Spy.AndroidOS.Zitmo.a , ianya dicipta untuk mencuri mesej yang masuk dalam telefon Android yang dijangkiti. Trojan ini dikesan pada 4, 8, 13 dan 14 Jun yang lepas di dalam 6 fail APK yang bersaiz 207kb.
Jika anda terus memasang fail aplikasi ini pada telefon anda, ianya akan menyamar sebagai aplikasi sekuriti untuk Android anda dengan nama ‘ Android Security Suite Premium ‘  yang akan berada di ‘drawer’ aplikasi Android anda. Sekiranya anda melancarkan aplikasi berkenaan, ianya hanya akan menunjukkan ‘activation code’ pada anda.
Untuk makluman juga, aplikasi dijangkiti ini selain berkeupayaan mencuri mesej yang masuk, ianya juga dapat menerima arahan secara kawalan untuk membuang dirinya sendiri dari telefon anda ( Uninstall ), mencuri maklumat sistem dan kawalan sepenuhnya pada aplikasi mencurigakan.
Anda diminta berhati-hati dengan pemasangan aplikasi pada telefon anda terutamanya dengan fail APK yang didapati dari luar Google Play. Untuk langkah berjaga-jaga, anda disyorkan untuk memasang aplikasi antivirus yang boleh didapati dengan percuma.

Pelajar, pelancong atau penjenayah?


MEREKA dikatakan masuk dengan visa pelajar, tapi gaya tak macam pelajar universiti atau kolej pun.
Tiada buku, fail atau beg yang digalas. Ke hulu ke hilir berpeleseran tidak kira siang atau malam. Jadi, masa bila pula mereka masuk kelas?
Difahamkan ‘pelajar Awang Hitam’ ini juga mampu berbelanja mewah, boleh menyewa kenderaan yang beribu-ribu ringgit sebulan. Boleh selalu duduk melepak di pub-pub dan kelab-kelab setiap malam.
Dan kalau bekerja, tak juga nampak seperti pekerja. Hari-hari mereka boleh dilihat ‘bersidai’ di tempat-tempat awam. Jadi apa mereka buat di sini?
Kita tidak mempersoalkan sekiranya mereka memang belajar dan melancong di sini. Tetapi macam mana hendak pastikan mereka benar-benar pelajar, pekerja profesional atau pelancong.
Mungkinkah mereka masuk sebagai pelajar tetapi buat kerja lain? Ini yang pihak berkuasa kena selalu periksa dan pantau.
Lambakan warga Afrika terutamanya di sekitar Lembah Klang dan bandar-bandar di negara ini sudah di tahap cukup merimaskan. Kalau mereka ini duduk diam tidak mengapa. Ini banyak masalah sosial yang ditimbulkan golongan ini termasuk kes jenayah. Janganlah kerana hendak mengaut keuntungan, para pendukung IPTS sanggup mengorbankan keselamatan penghuni kota Malaysia.

Sunday, June 17, 2012

Tua tak semestinya produktiviti kerja menurun!


Oleh Fauziah Arof

APABILA Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat kelmarin, ia menjadi satu topik hangat dan menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya syarikat swasta.
Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja pada usia warga emas itu untuk meneruskan perkhidmatan selamalima tahun lagi.
Selain itu, ada yang berhujah lanjutan usia persaraan itu bakal menyebabkan ramai golongan muda profesional tidak dapat naik pangkat dan pada masa sama boleh meningkatkan kadar pengangguran lepasan diploma dan ijazah mahupun sijil di negara ini.
Saya akui wujud pro dan kontra terhadap cadangan ini. Namun dalam kita asyik menilai kepada hanya kesan yang buruk-buruk sahaja, kita juga harus memikirkan nasib golongan yang terpaksa bekerja walaupun sudah pencen kerana masih mempunyai banyak tanggungan hutang dan menyara keluarga.
Adakah golongan seperti ini boleh dibilang dengan jari di negara ini? Kita boleh lihat ramai dalam usia emas ini terpaksa berniaga kecil-kecilan, ada yang membuat kerja-kerja sampingan di rumah, bekerja sebagai pengawal keselamatan, bekerja di restoran-restoran dan sebagainya terutamanya yang hidup di bandar. Ini secara langsung m engakibatkan bertambahnya golongan miskin bandar di negara ini.
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat golongan ini tidak mampu hidup ‘goyang kaki’ selepas pencen kerana terpaksa meneruskan kelangsungan hidup.
Anak-anak pula tidak boleh digantungkan harapan kerana masih kecil dan bersekolah. Trend kahwin lewat di negara ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara ini.
Peningkatan kos perubatan turut membuatkan pesara akan lebih tersepit apabila terpaksa mendapatkan rawatan untuk diri sendiri dan keluarga. Sekiranya mereka masih bekerja, syarikat boleh menanggung kos perubatan mereka termasuk keluarga.
Oleh itu, lanjutan usia persaraan ini akan memberi peluang kepada pekerja-pekerja swasta ini mengumpul lebih wang. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan, 73 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 sewaktu bersara manakala hanya 17 peratus mempunyai simpanan melebihi RM100,000.
Maka, bagaimanakah pekerja ini boleh menyara kehidupan selepas bersara dengan simpanan sebanyak RM50,000 itu dalam tempoh mungkin 20 tahun lagi? Jangka hayat penduduk di negara ini dianggarkan 75 tahun. Dengan hutang piutang yang masih berkepuk, anak yang masih bersekolah dan ada juga yang masih belajar di peringkat pengajian tinggi, hari tua akan dilalui dengan keperitan.
Sebenarnya di seluruh dunia, agak sukar untuk kita menemui negara yang menetapkan umur persaraan di bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Eropah telah lama menetapkan 65 sebagai umur persaraan. Negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman pula menetapkan 67 tahun. Thailand pun sudah menetapkan 60 sebagai umur persaraan.
Jadi kenapa pekerja swasta di negara ini tidak boleh bekerja dalam usia itu. Adakah kita sudah membuat setting sendiri, apabila mencapai usia 50-an produktiviti kita bekerja mulai menurun? Dan apakah kita pasti dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an kita mempunyai produktiviti yang tinggi dan menunjukkan kerajinan yang luar biasa?
Kita pun maklum, dalam usia muda, ada juga yang tidak memberi sumbangan kepada syarikat dan bekerja secara ala kadar hanya menunggu gaji pada akhir bulan. Golongan ini ibarat ‘tua sebelum waktunya’ dan jika di pejabat hanya menunggu waktu tamat bekerja dan bila habis waktu, tergesa-gesa pulang ke rumah. Maka tidak adil kita menilai golongan warga emas ini sebagai tidak produktif.
Dengan lanjutan usia persaraan, syarikat menerima manfaatnya dengan membolehkan pekerja-pekerja berpengalaman dan berkemahiran dipanjangkan lagi khidmat mereka. Golongan ini adalah aset kepada syarikat dan negara, kepakaran mereka tidak boleh dibiarkan habis begitu sahaja.
Jadi, janganlah terlalu menyimpulkan langkah ini dengan cara yang simplistik dengan mengaitkan lanjutan usia persaraan ini dengan belia menganggur, kemudian menjadi mat rempit dan melakukan jenayah. Banyak penyumbang lain kepada faktor pengangguran dan peningkatan jenayah.
Untuk berlaku adil, seharusnya kita melihat cadangan lanjutan usia persaraan ini sebagai peluang dan pada masa sama cabaran kepada semua.

Sumber : Utusan Malaysia Jun 2012

Friday, June 8, 2012

Euro 2012 dan Nazmi Faiz

Sejak dua hari lepas, ramai kawan bercerita tentang bola sepak Euro 2012 dalam Facebook. Ada yang sudah pilih pasukan kegemaran masing-masing untuk jadi juara. Antara pasukan pilihan kali ini sudah tentulah Sepanyol (Juara bertahan dan Juara Piala Dunia 2010). Finalis dan Naib Juara 2004 Portugal juga menjadi pilihan, terutamanya kepada peminat Nazmi Faiz. Cerita pasal bola ni...saya memang tidak pernah ketinggalan untuk menjadi penonton setia terutamanya kejohanan-kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Euro. Tapi penonton depan TV sajalah. Nak datang ke stadium utama...tak mampu bayar tiket. Kejohanan Euro yang paling saya suka dan masih ingat ialah kejohanan tahun 1984 dan tahun 1988. Masa tu...masih lagi jadi budak sekolah menengah. Kalau anda yang seumur atau lebih tua daripada saya (yang suka tengok bola)...tentu suka dengan corak permainan pasukan Perancis (1984) dan Belanda (1988). Kehebatan Michel Platini (France) dan Marco Van Basten (Holland) menjadi sejarah sepanjang zaman kejohanan Euro. Kedua-dua pemain ini menjadi tonggak kejayaan pasukan masing-masing. Kali ini siapa pula yang bakal menjadi hero. Tahun 2008 Fernando Torres menjaringkan gol tunggal untuk membawa pasukan Sepanyol muncul juara setelah menanti 44 tahun. Wow!! lama...Apa pun semua pasukan yang layak adalah pasukan yang hebat-hebat belaka. Setiap pasukan ada pemain bintang. Dan antara berpuluh pemain tersebut, Christiano Ronaldo merupakan pemain yang menjadi tumpuan. Kehebatannya dalam pasukan Real Madrid pasti ditagih oleh penyokong dan peminat pasukan Portugal. Tahun 2004 ketika menjadi tuan rumah kejohanan, pasukan C.Ronaldo tewas dalam perlawanan akhir kepada Greece (upset). Mampukah C.Ronaldo menebus kekecewaan 8 tahun lalu. Sama-sama kita tunggu dan saksikan nanti.

Cerita pasal budak Nazmi Faiz pula, umumnya ramai peminat bola sepak di Malaysia rasa teruja dan berbangga dengan kejayaannya menyertai pasukan Liga Portugal. Sebagai rakyat dan peminat sukan No.1 dunia ini, turut bangga dan kita berharap Nazmi akan menjadi bintang terkenal suatu masa nanti. Kejayaan Nazmi Faiz akan menjadi contoh dan ikutan para remaja khususnya pelajar sekolah supaya lebih yakin pada diri sendiri serta kuat berusaha untuk mencapai impian menjadi pemain bola sepak bertaraf dunia. Kalau remaja di negara Jepun dan Korea boleh maju, tidak mustahil anak-anak muda di negara ini juga boleh berjaya. Yang penting semangat, rajin berlatih, hormat dengan orang tua (jurulatih), ibu bapa (restu) dan cinta kepada negara. Nazmi telah membuktikan kepada kita bahawa anak-anak Malaysia mampu bersaing dengan sesiapa juga di dunia ini. MALAYSIA BOLEH.

Saturday, June 2, 2012

Jangan perjudi keharmonian negara - Tuanku Abdul Halim


KUALA LUMPUR 1 Jun - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah bertitah keamanan dan keharmonian negara bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan malah tidak wujud istilah peluang kedua untuk keamanan sesebuah negara.
Seri Paduka bertitah jika sekali keamanan negara hancur dan hilang, nescaya rakyat akan hidup dalam keadaan mundur dan porak-peranda.
"Menyedari hakikat ini, beta menyeru kepada sekalian rakyat supaya lebih berhati-hati dan berfikir secara lebih matang.
"Keamanan dan keharmonian bukanlah sesuatu yang boleh kita perjudikan. Maka, sebagai sebuah bangsa merdeka lagi bertamadun, salurkanlah apa jua kritikan malah bantahan sekali pun dengan cara berhemah dan berhikmah," titah Tuanku Abdul Halim sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka yang disiarkan menerusi TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Seri Paduka turut melahirkan rasa amat dukacita dengan tindak-tanduk dan angkara sesetengah pihak yang dilihat sengaja ingin meruntuhkan asas keamanan negara yang telah dicipta secara bersusah payah.
Tuanku Abdul Halim bertitah perbuatan sedemikian jelas memperlihatkan niat tidak murni dan ketidakjujuran mereka dalam menjalankan peranan siasah mahu pun organisasi.
"Sepatutnya, mana-mana kumpulan, dalam menjalankan peranan siasah mahu pun organisasi masing-masing, hendaklah memberikan kritikan yang membina dan kondusif, bukannya memperalatkan rakyat yang tidak bersalah sehingga memesongkan pemikiran mereka," titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah tindakan golongan tertentu yang mendakwa berjuang atas nama kebebasan dan hak asasi manusia dilihat hanya bertujuan menimbulkan provokasi dan meletakkan keamanan negara dalam situasi yang berbahaya.
Tuanku Abdul Halim mengingatkan bahawa rakyat tidak boleh alpa dan leka dengan anasir luar yang tidak berputus asa mahu menceroboh benteng kedamaian negara.
"Menyedari hakikat ini, amat penting bagi kita memperkukuhkan jati diri serta semangat cintakan negara. Setelah lebih setengah abad mengecap nikmat merdeka, janganlah kita terpedaya dengan dakyah atau apa jua propaganda luar yang tidak lain dan tidak bukan, hanya mahu menguasai dan mengganggu-gugat negara kita.
"Penjajahan bentuk baru terhadap politik dan ekonomi Malaysia yang cuba dilakukan ini haruslah disekat dan ditentang bersama. Mahu tidak mahu, kedaulatan tanah air tercinta mestilah terus dipertahankan," titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim turut memuji falsafah gagasan '1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan Seri Paduka sebagai semakin berjaya menyatukan serta memupuk kerjasama semua pihak dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai negara yang masih muda, Seri Paduka bertitah usaha gigih serta perancangan padu oleh kerajaan yang cekap telah mampu melonjakkan negara ke tahap yang membanggakan pada hari ini.
"Namun, walau secantik mana strategi yang telah dirangka kerajaan, hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju tidak akan tercapai jika tidak disokong dengan persekitaran yang kondusif, stabil dan harmoni.
"Demi masa depan Malaysia, unsur-unsur tidak sihat yang sedang menular dalam cara gaya rakyat Malaysia di semua aspek tidak kira politik, sistem nilai yang dipegang atau kehidupan seharian hendaklah sentiasa dibendung.
"Sebagai masyarakat yang cintakan negara, kita perlu bertindak rasional dengan meletakkan kepentingan umum melebihi kepentingan peribadi dalam apa jua situasi serta keadaan," titah Seri Paduka.
Seri Paduka meminta rakyat supaya melihat kesan daripada pergeseran dan kekacauan yang timbul di beberapa negara luar akibat pemberontakan dan tunjuk perasaan yang tidak berkesudahan terutamanya pada aspek ekonomi yang menjadi gawat dan bermasalah.
Seri Paduka turut mengingatkan supaya detik hitam dan peristiwa berdarah yang pernah menguji negara seperti darurat, pemberontakan Parti Komunis Malaya, era konfrantasi serta pergeseran kaum perlu dielakkan daripada berulang.
"Persoalannya, apakah rakyat mahu melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kita sendiri? Ternyata jika itu berlaku, ikhtiar untuk memulihkan kembali keadaan akan mengambil masa yang sangat panjang.
"Sebab itu, janganlah sampai ia terjadi. Bak kata orang, sudah terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna lagi," titah Seri Paduka. - BERNAMA/Utusan Malaysia 2012