Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Monday, September 27, 2010

Minuman Ajaib Rakyat Malaysia

"Nescafe Tarik Satu" "Teh Tarik Kurang Manis Satu"....ungkapan yang selalu kedengaran ketika masuk di mana-mana restoran atau warung kaki lima. Yang bestnya setiap kali minum pagi tuan kedai sudah tahu jenis minuman yang saya minta.

Cerita pasal minuman ajaib ini...yea!! memang ajaib. Satu Malaysia suka minum. Orang Melayu, Orang Cina, Orang India, bahkan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak juga setiap hari ketagih minuman ini.

Ada juga yang bagi nama "Nescafe Sabun" atau "Teh Sabun" mungkin buih yang melimpah keluar dari mulut cawan seperti yang anda lihat dalam gambar ini menyebabkan perkataan sabun dijadikan antara gelaran kepada minuman istimewa ini.

Keistimewaan minuman "Satu Malaysia" ini telah menjadi indentiti masyarakat Malaysia. Sebut saja "Nescafe Tarik" atau "Teh Tarik" agak susah untuk membezakan antara golongan kaya atau miskin, orang bandar atau orang kampung, cikgu atau pelajar malah seorang pemimpin politik seperti Perdana Menteri Malaysia juga suka dengan minuman ajaib ini.

Maka tidak keterlaluan untuk saya memberi tajuk dalam penulisan blog saya hari ini "Minuman Ajaib Rakyat Malaysia".

Sunday, September 26, 2010

Menghargai Akal





Akal adalah salah satu keistimewaan yang telah dianugarahkan oleh Tuhan bagi membezakan antara diri kita sebagai manusia dengan haiwan. Cara menghargainya adalah dengan menggunakannya dan mengisinya dengan ilmu pengetahuan. Dalam kehidupan manusia hari ini, institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti merupakan tempat yang logik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan daripada manusia yang dipanggil guru, cikgu atau pensyarah.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang dibina untuk kemajuan masyarakat, maka keselamatan dan kesejahteraan setiap penghuni yang berada di dalamnya dilindungi oleh beberapa peraturan yang telah digubal oleh mereka yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan.

Jika ada individu atau lebih tepat lagi merujuk kepada diri pelajar, perbuatan ponteng kelas atau ponteng sekolah merupakan tingkahlaku negatif yang tidak boleh dibiarkan. Apa juga alasan yang diberikan oleh pelajar, perbuatan keluar dari sekolah pada waktu sesi pembelajaran adalah menyalahi undang-undang dan peraturan sekolah.

Akal yang waras tentu tidak dapat menerima perbuatan "menipu" apabila dilakukan oleh anak-anak yang dipelihara oleh ibu bapa sejak lahir sehinggalah berusia belasan tahun. Ibu bapa pada dasarnya sentiasa mengharapkan anak-anaknya apabila berpakaian seragam sekolah, tidak menipu dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti berkumpul di dalam hutan atau lepak di kedai-kedai runcit sambil menikmati rokok yang dikongsi bersama rakan-rakan yang ponteng.

Alangkah ruginya jika daripada jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari, waktu yang sepatutnya digunakan untuk membaca buku dan mengikuti pengajaran daripada guru, dibiarkan berlalu hanya kerana mengikut nafsu "MALAS" "DEGIL" "PALUI" dan "BODOH SOMBONG"

"SEMENTARA ALLAH S.W.T MASIH MEMBERI PELUANG UNTUK KITA MENIKMATI KEHIDUPAN DI MUKA BUMI INI, GUNAKANLAH AKAL DENGAN SEBAIK-BAIKNYA UNTUK KEHIDUPAN YANG PENUH BERKAT"

Satu Borneo Punya Cerita



Diringkaskan cerita yang saya dengar daripada kawan, al-kisah maka tersebutlah suatu peristiwa yang agak lucu juga bagi mereka yang merasa lucu. Begini ceritanya...seorang kawan dari daerah pantai timur Sabah...lokasinya dirahsiakan untuk menghormati masyarakatnya. Ada seorang kawan telah bercuti dan berkunjung ke rumah kawan yang tinggal di Kota Kinabalu. Maka beginilah dialognya:

Tuan Rumah :"Bah!..apa program yang bagus kita buat malam ini" pertanyaan tuan rumah.

Dengan penuh ghairah kawan dari pantai timur tadi pantas bersuara.

Tetamu dari pantai Timur: " eh!! ajak aku jalan-jalan satu borneo"

Tuan Rumah: (nada bergurau) "woii..nah! jo..luas itu satu borneo. Tidak habis itu di raun(round).

Tetamu dari pantai Timur : (tersenyum malu)"..kau ini....bukan satu Sabah...bah...itu..bah.. shopping kompleks dekat jalan sulaman. Bukan satu borneo.. kah namanya".

Tuan Rumah: "oohh!!..ONE BORNEO (1B)..OK!..BAH KALAU KAU" bah mari kita jalan-jalan
keliling satu borneo dua jam kita habis round.( Kedua-dua kawan rapat itu ketawa sambil bergerak menuju ke pintu kereta).

Dialog perbualan ini sangat menarik didengar jika anda pandai mengajuk percakapan orang sebelah pantai timur Sabah.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA.














Thursday, September 23, 2010

Unsur-unsur keganasan mesti dibendung


MEMANDANGKAN kekerapan kejadian jenayah kekerasan termasuk pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga rakannya, persoalan yang saya mahu bangkitkan ialah adakah budaya keganasan mula menular di negara kita? Persoalan itu tidak dapat dielakkan yang mana kes pembunuhan kejam dan menakutkan masih berterusan menjadi bahan berita utama media.

Jenayah yang tidak berperikemanusiaan dilakukan, sesetengahnya bersifat zalim dan sesetengah yang lain tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Soalnya, apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita? Di mana silap kita?

Apakah kepincangan yang melanda masyarakat kita? Dengan kejadian jenayah kejam dan ganas ini, adakah kita boleh berkata bahawa kita hidup dalam era yang bertamadun?

Adakah kita telah kehilangan nilai kemanusiaan dan keinsanan? Walaupun terdapat perbalahan peribadi yang serius mengenai tiada alternatif langsung sehingga terpaksa mengambil pendekatan keganasan yang sangat kejam.

Tiada sehari pun berlalu tanpa satu bentuk keganasan dilakukan sama ada di dalam mahupun di luar rumah.

Ini kerana terdapat kecenderungan keganasan oleh individu-individu tertentu sebagai jalan penyelesaian kepada konflik. Jika ini hakikatnya, kemungkinan rakyat Malaysia termasuk remaja telah dipengaruhi dengan serius oleh budaya ganas yang menular ke segenap lapisan masyarakat.

Apakah yang telah berlaku dengan sistem nilai-nilai murni dan keprihatinan, kemanusiaan dan keinsanan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sejak dahulu.

Kekerapan kejadian jenayah kejam dan ganas adalah satu peringatan serius kepada kita bahawa sesuatu yang drastik perlu dilakukan di sebalik pendekatan undang-undang bagi menangani isu keganasan di negara kita.

Kita perlu menangani budaya ganas ini secara keseluruhannya kerana ia telah mula menular dalam masyarakat.

Aksi-aksi ganas sudah menjadi santapan harian bagi golongan muda dan kanak-kanak. Keganasan, perasaan dendam dan kezaliman sudah menjadi perkara biasa yang banyak diselitkan di dalam filem-filem dari luar negara, apatah lagi menerusi rangkaian televisyen satelit.

Aksi-aksi seperti ini sememangnya sangat menarik minat penonton. Siri kartun yang menjadi kegemaran kanak-kanak pun turut menyelitkan aksi ganas.

Oleh itu, kecenderungan dan pengaruh kepada unsur-unsur keganasan semestinya dibendung jika kita serius mahu menangani masalah ini.

Masa telah tiba bagi pihak berkuasa untuk meneliti isu jenayah ganas ini dengan mendalam dan merancang satu pelan tindakan efektif untuk menanganinya.

Dalam hubungan ini, saya ingin mencadangkan selain daripada penguatkuasaan dan hukuman terhadap pihak pesalah, kita juga melihat jenayah ganas ini dari sudut latar belakang pesalah, isu sakit mental dan soal kemiskinan.

Perkara-perkara seperti ini harus dikaji dan diselidik sebagai sebahagian pendekatan kita untuk menangani jenayah ganas.

Selain itu, jenayah ganas di negara ini tidak boleh dipandang sebagai isu perkauman. Sebaliknya, kita harus sedar jenayah boleh berlaku di mana-mana dan mangsanya boleh terdiri daripada semua kaum termasuk orang asing.

Wednesday, September 22, 2010

Kepimpinan cemerlang, sekolah terbilang

PENGETUA dan guru besar yang cemerlang dalam memimpin barisan warga pendidik di sekolah masing-masing biasanya berjaya membentuk sebuah sekolah berkualiti daripada semua aspek seperti akademik dan kokurikulum, termasuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas untuk meningkatkan penghasilan pelajar berilmu.

Berikut adalah kertas kerja Pengetua SMK Sultan Ahmad Tajuddin, Bandar Baharu, Kedah, Azizan Khasmis bertajuk Sekolah Berkualiti Melalui Kepimpinan Instruksional yang turut menyatakan bahawa hasil kajian Institut Aminuddin Baki (IAB) menunjukkan bahawa sekolah yang cemerlang adalah hasil daripada pengetua atau guru besar yang berkualiti.

Sekolah berkualiti ialah sekolah yang mencapai kejayaan melebihi sasaran dalam semua aspek terutama bidang akademik. Di Malaysia, perbincangan mengenai topik ini dibuat di satu seminar iaitu Seminar Sekolah Berkesan di IAB pada 1995. Bagaimanapun sekolah berkualiti menjadi topik perbincangan kerana ia membabitkan unsur kepuasan pelanggan. Sekolah berkualiti wujud disebabkan kepimpinannya yang berkualiti iaitu kepimpinan Instruksional.

Lazimnya sekolah yang mencapai kejayaan melebihi sasaran memiliki satu set budaya pengurusan dan amalan kepimpinan yang unggul. Peter Mortimore (1995) menggariskan bahawa sebuah sekolah berkualiti ditentukan faktor berikut:

Pemimpin sekolah bertindak secara profesional. •Mempunyai wawasan dan matlamat dikongsi bersama. •Wujud suasana dan persekitaran menyokong pengajaran dan pembelajaran. •Sekolah memberi tumpuan lebih terhadap pengajaran dan pembelajaran. •Guru mengamalkan pengajaran bermatlamat. •Sekolah mempunyai harapan tinggi terhadap murid. •Mengamalkan sistem pengukuhan positif. •Mengamalkan pemantauan sistematik. •Memberi hak dan tanggungjawab setimpal di kalangan murid. •Wujud perkongsian rumah-sekolah mantap. •Sekolah wujud sebagai sebuah organisasi pembelajaran mantap.

petikan daripada : www.pendidik.com.my

Strategi selesai masalah tingkat kualiti kepimpinan

Ditulis oleh: Ishak Ismail (Majalah Pendidik)

PENCAPAIAN murid sering dikaitkan dengan standard akademik yang tinggi, kualiti kerja guru, pengurusan kurikulum cemerlang, pembabitan positif komuniti, kepimpinan sekolah yang dinamik dan bersistem. Kejayaan seseorang pemimpin di sekolah tidak boleh diukur daripada jumlah aset yang diperolehi sekolah seperti kerusi meja, komputer, bangunan atau kepuasan ibu bapa, sebaliknya peranan guru dalam membentuk pelajar serta cara mereka membangunkan kualiti pendidikan menjadi tumpuan utama masyarakat.

Membina kualiti pendidikan bukan semudah yang dijangka sebaliknya memerlukan komitmen tinggi di samping kerjasama erat guru dan pemimpin di peringkat sekolah. Gaya kepimpinan Pengetua dan Guru Besar banyak mempengaruhi peningkatan atau penurunan kualiti sesebuah sekolah.

Dalam usaha membangunkan organisasi dan meningkatkan kualiti, pentadbir memerlukan strategi tertentu supaya matlamatnya tercapai. Tanpa strategi sudah tentu usaha membangunkan kualiti hanya akan tinggal angan-angan semata-mata. Sebelum seseorang pentadbir dapat membangunkan kualiti mereka perlunya mengetahui pendekatan dalam menyelesaikan masalah.

Beberapa ahli pendidikan barat seperti Greenwood, Gaunt, Deming, Juran, Murgatroyd, Morgan dan Buchanan pernah memperkenalkan kaedah menyelesaikan masalah dan meningkatkan kualiti. Pentadbir perlu memahami bahawa ciri utama dalam pembangunan kualiti khasnya dalam Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) ialah pendekatan kepada menyelesaikan sesuatu masalah.

Tuesday, September 21, 2010

Bulan Peperiksaan : UPSR - PMR - SPM - STPM

Bermula daripada hari ini 21 September hinggalah ke bulan Disember, pelajar Tahun Enam, Tingkatan Tiga, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas sedang dan akan menduduki kelas peperiksaan. Dimulakan oleh adik-adik Tahun Enam (Sekolah Rendah) dengan UPSR. Apa juga tafsiran yang lahir daripada pemikiran ahli akademik samada seorang guru atau pensyarah, ibu bapa sudah semestinya mahukan anaknya mendapat keputusan yang cemerlang 5A. Berat mata memandang berat lagi bahu para pelajar untuk memenuhi hasrat dan keinginan ibu bapa.
"Jika awak dapat keputusan 5A, ibu akan belikan mainan PS3"

"Kalau awak dapat keputusan 5A, ayah akan belikan Laptop baru"

"Nak! kalau kau lulus, kau akan dapat masuk sekolah berasrama penuh"

"Nak! buktikan kepada orang kampung, walaupun kita miskin kau boleh lulus cemerlang UPSR"

"Para pelajar yang lulus cemerlang 5A, pihak sekolah akan berikan anugerah iaitu RM100 bagi
setiap mata pelajar yang dapat keputusan A"

Inilah gambaran situasi yang sering berlaku ketika bulan peperiksaan berlangsung. Tumpuan dan keinginan semua pihak untuk memperolehi keputusan peperiksaan yang membanggakan, menjadikan hala tuju sistem pendidikan negara kita hanya menguntungkan ibu bapa yang mempunyai sumber kewangan yang banyak. Biarlah anak mereka tidak pandai bergaul dengan jiran rumah sebelah, asalkan anak mereka duduk di rumah siang dan malam membaca dan mengulangkaji pelajaran. Tidak cukup dengan pengajaran guru di sekolah, anak-anak dihantar ke pusat-pusat tusyen. Tambah teruk lagi jika anak jiran yang duduk sebelah rumah bukan satu kaum atau seagama dengan mereka. Sikap menunjuk-nunjuk bertambah tinggi grafnya.

Pemikiran ini bukanlah suatu yang pelik atau salah kerana setiap individu mempunyia caranya tersendiri untuk menentukan masa depan anak-anaknya. Cuma barangkali generasi muda hari ini semakin terpisah oleh kecemerlangan akademik. Dalam satu keluarga pun, berlaku situasi pilih kasih akibat keputusan peperiksaan yang berbeza antara adik beradik. Akhirnya keharmonian dan hubungan kekeluargaan bertambah longgar. Anak yang berjaya dalam pelajaran lebih disayangi dan mendapat perhatian yang lebih berbanding dengan anak yang gagal atau kurang cemerlang dalam pelajaran.




Monday, September 20, 2010

Sebab Pelajar Tidak Minat Mata Pelajaran Sejarah

Saya ingin berkongsi pengetahuan tentang tajuk di atas, yang baharu saya baca dalam Majalah Pendidik September 2010. Menurut penulis, antara beberapa sebab mengapa pelajar tidak begitu minat dengan subjek Sejarah ialah;

1. Sejarah adalah belajar tentang tokoh yang sudah mati dan tidak pernah dikenali.
2. Pelajar memberi anggapan bahawa kerjaya yang berkaitan dengan sejarah tidak menjamin
masa depan mereka.
3. Pelajar merasakan mereka dipaksa membaca dan mengingati banyak fakta yang berulang-ulang
sejak Tingkatan satu hinggalah ke Tingkatan Lima.
4. Pemberian markah folio tidak diambil kira dalam PMR. pelik tapi benar!
5. Kelas Tingkatan 4 dan 5 lebih banyak memberi tumpuan kepada membaca untuk lulus SPM.
6. Buku teks Sejarah kurang menarik untuk dibaca.
7. Cara pengajaran guru yang membosan (banyak cakap atau bercerita).

Sunday, September 19, 2010

Hari Malaysia

(Gambar Bersejarah : 16 September 1963 )

Upacara yang penuh bersejarah dan gemilnag ini, pastinya menggamit seribu kenangan
bagi anda yang berada di tempat berlangsungnya peristiwa ini. Sungguhpun sudah 47 tahun
berlalu, namun sumbangan para pemimpin terdahulu seperti Allahyarham Tun Dato' Mustapha,
Tun Fuad Stephen dan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak Hussein tidak patut dilupakan oleh genersai yang masih menikmati kesejahteraan hidup di bumi Malaysia.
Kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam gagasan Malaysia merupakan pelengkap kepada penubuhan NEGARA MALAYSIA. Kita harus berbangga menjadi anak MALAYSIA.

Wednesday, September 8, 2010

Kad Raya Digital


Kehidupan manusia di dunia ini sememangnya sentiasa mengalami perubahan. Daripada perkara yang asas sehinggalah kepada perkara yang lebih kompleks. Misalnya penggunaan kad hari raya digital. Hari ini agak sukar dilihat malah mustahil individu yang celik IT akan menggunakan kad hari raya yang berbentuk kertas. Kecanggihan aplikasi internet seperti FACEBOOK telah menyebabkan cara menyampaikan ucapan salam hari raya kepada kenalan atau pun saudara mara akhirnya mengalami evolusi yang tidak mungkin dapat dielakkan lagi. Jika ada yang masih menggunakan kad raya (kertas) mungkin sebagai suatu hobi sahaja. Perbandingan antara kad raya kertas dengan kad raya digital memang jelas.
KAD RAYA KERTAS
1. cantik
2. murah
3. boleh dipegang / digantung dalam rumah
4. kirim guna perkhidmatan pos
5. perlu ada stem/poskod yang tepat untuk sampai ke tangan penerima
KAD RAYA DIGITAL
1. lagi cantik/boleh edit apa saja yang kita suka
2. lagi murah tak perlu beli download saja dari internet
3. memang tak boleh dipegang, tak boleh gantung dalam rumah, tapi boleh baca atau bawa
ke mana-mana saja.
4. posman tak penat angkat beg sampul surat ke sana-sini...pengirim guna email saja..lagi cepat
2 saat dah sampai..
5. stem tu memang tak perlu lagi..la. Tapi bil broadband kena bayar juga.
Kesimpulannya kehidupan zaman IT memang seronok semua hobi atau minat boleh buat hanya
dengan menggunkan hujung jari. Canggihhhh....!!!