Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Saturday, July 30, 2011

Kemelut Bahasa Melayu


LEBIH separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut. Sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar? Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Jika diambil kira senario ratusan tahun lampau, malah hampir dua alaf lalu, nasib bahasa Melayu tidaklah seburuk itu. Bahasa Melayu diiktiraf bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa.

Begitu tingginya martabat bahasa ibunda tetapi mungkin ramai yang sudah lupa dan alpa.

Di samping menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan, bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dahulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.

Justeru apabila kemampuan tinggi Bahasa Melayu kembali dipersoal selepas lebih setengah abad negara merdeka dan dasar penggunaannya seperti air laut yang pasang surut, sudah tentu isu itu meruntun hati, terutamanya pejuang bahasa seperti Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing.

Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga 90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari.

Dr. Awang bagaimanapun optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di mayapada ini.

"Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamaddun, terutama sebagai bahasa ilmu.

"Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar, sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara," keluhnya.

Sejak abad ketujuh pada zaman Sriwijaya (di Sumatera), Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya.

Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.

Begitu tinggi kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan melalui pelbagai dokumen dan penulisan jika mahu digarap dari sudut sejarah.

Antaranya catatan pengembara Cina, I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan bahasa Melayu.

I-Ching dalam misi penjelajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ketujuh.

Dr. Awang turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamaddun tinggi.

"Van Linschottenmenyatakan mereka yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu boleh dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu," jelasnya.

Menurut Dr. Awang, seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah.

"Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu.

"Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.

"Jadi ertinya nilai orang asing, termasuk orang Barat kepada Bahasa Melayu cukup tinggi, sedang ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah," kata Dr. Awang.

Zaman kesultanan Melayu (meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera, Pasai) sekitar abad ke-13 hingga ke-19 sesudah kedatangan agama Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa tamaddun Melayu.

Seperti kata Dr. Awang, peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik.

"Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamaddun ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun ke-15 ke atas, seperti Hukum Kanun Melaka yang amat terkenal itu, di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor, Undang-undang Siak dan sebagainya," kata Dr. Awang.

Beliau merujuk kepada seorang ulama besar dari Gujerat, Nuruddin al-Raniri yang datang ke alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik sebagai mufti oleh Sultan Acheh.

"Yang menariknya Nuruddin al-Ranini ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun dia bukan orang Melayu.

"Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang datang ke alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu, hendak mentadbir pun dalam Bahasa Melayu, hendak berhubung dalam perdagangan pun dalam Bahasa Melayu dan hendak menjadi ulama pun dalam Bahasa Melayu," kata Dr. Awang yang pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).

Kegemilangan Bahasa Melayu beransur pudar dengan penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas Tanah Melayu dan wilayah lain di alam Melayu.

Soal peminggiran Bahasa Melayu ini semakin ketara ketika penjajahan Inggeris dan nilainya diturunkan ke darjat yang rendah.

"Kalau dulu Bahasa Melayu merentas semua bidang tetapi dalam kes pendidikan, misalnya, Bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa vernakular Cina dan India.

"Kurikulum untuk sekolah Melayu pun sangat terbatas dan matlamat pendidikan Inggeris untuk sekolah Melayu tidak lebih daripada menjadikan anak-anak Melayu itu lebih pandai sedikit daripada ibu bapanya sebagai petani dan nelayan. Hal ini disuratkan dalam dokumen penjajah Inggeris.

"Ada juga catatan lain yang mengatakan paling tinggi anak-anak Melayu ini cukup jika dapat menjadi kerani atau peon, itu sahaja. Tidak ada satu rancangan penjajah Inggeris hendak menjadikan sekolah Melayu sebagai batu loncatan untuk peningkatan masyarakat atau mobiliti sosial orang Melayu," kata Dr. Awang.

Jadi katanya, fasa pertama peminggiran Bahasa Melayu ialah kerana penjajahan.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu melalui Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua) menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 kemudian memperkukuh dasar itu.

Itulah dasar negara terawal yang memartabatkan Bahasa Melayu.

Dasar itu sebenarnya menjadi satu daripada asas penggubalan Akta Pendidikan 1961 dan kemudian akta itu dipinda dan diperkukuh pada tahun 1996.

Menurut Dr. Awang, Bahasa Melayu juga dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Bahasa Kebangsaan bermakna bahasa untuk semua rakyat. Ini cukup jelas dalam perlembagaan, iaitu bahasa yang digunakan bagi semua maksud rasmi, maksudnya segala urusan seperti mesyuarat, perhimpunan, surat rasmi, pekeliling, penggunaan bahasa di tempat awam dan juga dalam sistem pendidikan.

"Urusan negara meliputi pentadbiran persekutuan (kementerian, jabatan dan semua agensi kerajaan), kerajaan negeri serta pihak penguasa awam seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan-badan berkanun," katanya.

Jika sudah jelas kedudukan tinggi Bahasa Melayu dalam perlembagaan, lalu mengapa masih ada yang memperlekehnya?

Bagi Dr. Awang, ibu kepada masalah ini ialah apabila perlembagaan tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan natijahnya tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.

"Ia tinggal sebagai dokumen bertulis sahaja sedangkan salah satu prinsip Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan.

"Jadi apa ertinya Keluhuran Perlembagaan apabila pelaksanaan itu tidak menepati peruntukan perlembagaan," katanya sinis.

Jika Bahasa Melayu masih menjadi isu debat dan bahas, senario di negara-negara seperti Jerman, Jepun, China, Rusia mahu pun negara jiran terdekat Indonesia dan Thailand ternyata jauh berbeza.

Pengamatan yang dibuat pejuang bahasa ini menunjukkan mana-mana bahasa ternyata mempunya potensi untuk maju dengan syarat ada usaha untuk memajukannya.

Cuma seperti kata Dr. Awang, untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perlu dipastikan tidak ada gangguan dan dasar yang sering berubah.

"Kadang-kadang ada aspek Bahasa Melayu tinggi yang sudah mula terbudaya melalui sistem pendidikan dan penyiaran, tetapi dicantas. Contohnya sebutan bahasa baku yang dimansuhkan pada 2000, sedangkan semua bahasa yang maju memiliki satu bentuk sistem sebutan rasmi yang merentas pelbagai dialek dan ragam bahasa. Salah satu tugas DBP sendiri, seperti dalam Akta DBP ialah membakukan ejaan, istilah dan sebutannya.

"Jadi Bahasa Melayu yang digunakan, malangnya dalam sebahagian sektor rasmi seperti dalam mesyuarat dan beberapa program penyiaran (seperti wawancara) adalah Bahasa Melayu pasar untuk hubungan komunikasi biasa sahaja.

"Usaha membudayakan Bahasa Melayu tinggi atau Bahasa Melayu yang rasmi masih memerlukan lonjakan yang bersungguh-sungguh oleh semua sektor, baik pentadbiran, penyiaran, media cetak, pendidikan dan yang lain," katanya.

Dr. Awang melihat bidang pendidikan sebagai teras untuk pemajuan bahasa dan Bahasa Melayu perlu dikembalikan peranannya sebagai bahasa penghantar utama bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi.

Sehingga ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar bahasanya, sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu.

Bahkan, katanya, menurut Akta Pendidikan 1996, institusi pengajian tinggi swasta juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Beliau turut menekankan supaya pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu kembali dilaksanakan seperti yang diuar-uarkan tanpa sebarang penangguhan.

Adakah Bahasa Melayu akan hanya layak dikenal sebagai bahasa pasar? Adakah kegemilangan bahasa tamadun Melayu dan negara ini akan tinggal sekadar kenang-kenangan? Setakat gah di atas lembaran dokumen dasar atau gemilang dalam lipatan sejarah?

Sumber : Utusan Malaysia Julai 2011

Monday, July 25, 2011

Eco-Pelancongan Sumber Rezeki Lumayan






Gambar yang anda lihat di atas adalah kenangan blogger mengikuti rombongan lawatan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Penyu ke Daerah Ranau Sabah. Pengunjung atau pengemar eco pelancongan tetap datang berkunjung untuk menikmati suasana sejuk dan yang paling seronok apabila kaki menerima gigitan ikan-ikan yang sangat jinak. Aktiviti urutan kaki yang sangat menyegarkan. Itulah keistimewaan kampung Luanti Baru Ranau. Ikan-ikan yang sudah serasi dengan habitat Sg.Moroli kini menjadi sumber rezeki yang lumayan kepada penduduk kampung. Kalau nak rasa kenikmatan gigitan ikan-ikan yang jinak ini, datanglah ke Ranau Sabah. Sebenarnya setiap negeri di Malaysia mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. "Cintailah Negara Malaysia".

Monday, July 18, 2011

Penolong Kanan Disiplin Gred DG44


Sejak KPM memperkenalkan perjawatan baru kepada guru-guru yang mengajar kelas Tingkatan 6 (Guru Akademik Tg.6 Gred DG44 - DG48),ramai guru DG41(kelas PMR & SPM) terus kecewa kerana melihat kegembiraan rakan-rakan guru yang mendapat kenaikan pangkat. Paling kecewa ialah guru disiplin. Apa tidaknya menjadi guru disiplin bukanlah tugas yang mudah. Banyak cabaran dan gangguan emosi yang terpaksa dihadapi oleh guru disiplin. Pelajar merokok dalam tandas, guru disiplin kena siasat, pelajar ponteng kelas, guru disiplin yang panggil, pelajar bergaduh dalam sekolah,guru disiplin jugalah yang akan meleraikannya dan kalau terpaksa menghubungi pihak ibu bapa atau polis. Guru yang paling dibenci GURU DISIPLIN. Guru yang dilabel "Guru Garang. Guru Ganas, Guru Jahat" ialah guru disiplin.

Sudah sampai masanya pihak berwajib memberi perhatian kepada sumbangan guru-guru disiplin di seluruh negara. Saya fikir jika guru yang mengajar kelas Tingkatan 6 dapat kenaikan pangkat walaupun baharu 5 tahun berkhidmat, apakah guru disiplin yang sudah 7 tahun berkhidmat tidak layak mendapat kenaikan pangkat. Tanpa guru disiplin persekitaran sekolah tidak akan aman damai. Jika sebaliknya keadaan sekolah sudah tidak selesa lagi kepada pelajar-pelajar yang berdisiplin, itu bermakna guru disiplin sudah bosan dengan kerjanya.

Tidak semua guru mahu menjadi guru disiplin. Guru disiplin sering terdedah dengan pelbagai ancaman buruk. Guru disiplin dipukul, kereta guru disiplin dicalar, nama guru disiplin ditulis dalam tandas dengan ayat-ayat lucah dan sebagainya. Akhirnya guru disiplin adakalanya berkata "Pedulikan...biar mereka mampus...menyusahkan aku saja, suruh pengetua ambil tindakan, aku bukan pengetua untuk menjatuhkan hukuman".

Makna DISIPLIN


Umumnya para ahli akademik bersetuju bahawa dalam sesebuah institusi persekolahan, aspek disiplin merupakan perkara yang amat penting jika ingin cemerlang dalam pencapaian akademik dan kegiatan ko-kurikulum. Sekolah yang tidak diurus dengan baik adalah cerminan tahap disiplin para penghuninya yang rendah. Persoalan disiplin bukan sahaja merujuk kepada tingkah laku pelajar, sebaliknya di kalangan guru juga harus melihat disiplin itu sebagai sesuatu yang secara langsungnya wujud dalam peribadi masing-masing.

Banyak sekolah mencipta slogan-slogan yang menjurus kepada soal pentingnya disiplin dalam kehidupan manusia. Misalnya "Disiplin Teras Kejayaan" "Disiplin Asas Kecemerlangan" dan sebagainya. Apakah disiplin hanya wujud di dalam sekolah. Apakah disiplin tidak perlu di rumah, di pejabat, di jalan raya. Banyak perkara yang manusia lakukan di dunia ini memerlukan tahap disiplin yang tinggi untuk memperoleh kejayaan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendidikan (1979) menjelaskan bahawa disiplin itu bermakna:

1. Kesanggupan seseorang itu bekerja ataupun membuat sesuatu dengan cukup tertib.
2. Kesanggupan menghormati hak individu lain.
3. Kesanggupan mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.
4. Kesanggupan menghormati antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong.
5. Kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat.

Sunday, July 17, 2011

Tahun Penggalakkan Sains dan Matematik

Dalam menghadapi cabaran era globalisasi seterusnya bersaing dengan negara-negara maju, Malaysia memerlukan masyarakat yang memiliki tahap kesedaran dalam bidang sains dan matematik yang tinggi.Melalui pembudayaan sains dan matematik dalam diri setiap rakyat, Malaysia mampu menghasilkan kekayaan, menjana ilmu serta menjadikan negara semakin maju dan berpendapatan tinggi.

Selaras dengan hasrat itu, MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pelajaran baru-baru ini telah melancarkan program Tahun Penggalakkan Sains dan Matematik (TPSM) 2011.
Ia bertujuan memupuk minat serta mempertingkatkan kesedaran dan pembudayaan sains dan matematik di segenap lapisan masyarakat.
Bidang sains dan matematik adalah sesuatu yang menarik, mencabar, penting dan mampu menyelesaikan pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi manusia.
Malaysia telah mencatatkan kejayaan dalam sistem pendidikan sejak 50 tahun lalu, namun kejayaan pendidikan negara telah ketinggalan berbanding dengan negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Korea.Terdapat perbezaan jurang kejayaan pendidikan yang membimbangkan di antara pelajar negara ini.

Pada tahun 2007, 20 peratus daripada pelajar negara ini gagal mencapai tahap minimum dalam Trends In International Mathematics and Science Study (TIMSS) dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut berbanding lima hingga tujuh peratus pada tahun 2003.
Manakala laporan enrolmen peringkat menengah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pada 30 Jun 2010 mencatatkan terdapat nisbah perbezaan yang besar mengikut komposisi jantina dan aliran pilihan pembelajaran.

Sumber : Dipetik dan diubahsuaikan daripada Utusan Malaysia,2011.

Monday, July 11, 2011

Perhimpunan Haram 'BERSIH" hanya menyusahkan rakyat


KESUDAHANNYA,Seperti yang dijangka, perhimpunan berkenaan mengundang seribu macam masalah kepada orang ramai terutama warga kota dan penduduk Lembah Klang. Hari Sabtu yang sepatutnya boleh dihabiskan bersiar-siar bersama keluarga atau rakan-taulan atau melakukan urusan kerja yang lainnya, menjadi satu hari yang 'lumpuh' disebabkan perhimpunan haram ini.

Sekatan dan penutupan jalan raya yang terpaksa dilakukan oleh pihak polis bagi mengagalkan perhimpunan itu menjelang dan semasa hari perhimpunan, membuatkan ramai warga kota terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan tidak kurang juga yang 'mati akal' untuk mencari jalan alternatif ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Kedai-kedai di sekitar lokasi perhimpunan turut ditutup, dan mereka terpaksa menanggung kerugiannya bukan penganjur.

Dalam pada itu, operasi pengangkutan awam juga terganggu dan mengakibatkan beribu-ribu orang awam terkandas di ibu kota. Beberapa majlis perkahwinan yang berlangsung turut terjejas kerana kesukaran tetamu untuk datang berikutan penutupan jalan.

Begitulah kesukaran yang terpaksa dilalui oleh rakyat disebabkan oleh agenda pihak yang tidak bertanggungjawab. Pun begitu, penghimpunan tersebut sebenarnya tidak langsung menarik minat warga kota untuk menyertainya.

Kelompok penganjur terpaksa 'mengimport' peserta luar untuk berarak dan membuat kecoh. Rata-ratanya adalah orang Melayu, berapa kerat sahaja kaum Cina dan India terbabit dalam perhimpunan itu.

Secara tidak langsung peristiwa Sabtu lalu, memperlihatkan wajah sebenar pembangkang yang suka mencetuskan kekecohan dan tidak mengambil kira kepentingan serta ketenteraman awam. Ia sebenarnya tidak pun menguntungkan gerakan pembangkang ini, kerana rakyat sememangnya tidak merestui dan mengutuk tindakan mereka membuat kacau ini.

Rakyat sudah tentunya percaya dan yakin, pemimpin yang mereka pilih, penentuannya adalah di peti undi bukan dengan mengheret rakyat melakukan demonstrasi di jalan raya. Dalam perkara ini, rakyat yang sebelum ini diminta oleh Bersih dan parti-parti pembangkang atas nama demokrasi untuk menyertai perhimpunan ini, harus dipuji kerana menolak perhimpunan ini.

Dan terima kasih juga kepada rakyat terutamanya warga kota yang dengan sabar melalui saat-saat kepayahan ini dengan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka mententeramkan Kuala Lumpur.

Pihak polis sewajarnya diberikan pujian kerana berjaya menghalang perhimpunan ini daripada menjadi kecoh dan terpaksa diumumkan darurat. Bahkan peserta-peserta yang ditahan oleh pihak polis juga diberikan layanan baik termasuk makan minum dalam khemah khas ala kenduri kahwin. Kosnya, sudah pasti tidak ditanggung oleh penganjur.

Dan kita berharap dengan berakhirnya perhimpunan ini, tidak akan menyebabkan pihak polis 'menutup buku' siasatan terhadap Bersih.

Pihak berkuasa seharusnya terus menyiasat secara habis-habisan. Banyak keraguan dan kemusykilan terhadap gerakan Bersih ini. Ini termasuk dakwaan mengenai sumbangan dana asing yang melimpah masuk untuk tujuan perhimpunan ini.

Thursday, July 7, 2011

Cerita guru sekolah

Kehidupan Pelajar Sekolah Menengah Di Malaysia



Isnin - Khamis - Jumaat

4.30-5.30 pagi : Bangun,mandi,sembahyang Subuh ( kalau buat ),sarapan pagi (kalau ada)

5.30-6.30 pagi : Bertolak ke sekolah ( naik kereta, naik bas, naik motor,jalan kaki )

7.00-1.20 tghari : Belajar (Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran)

2.00-4-00 petang : Aktiviti (Kelas tambahan, kokum, satu sukan satu murid,ponteng)

4.00-7.00 petang : Balik rumah (Tunggu kereta, tunggu bas, jalan kaki,jalan raya sesak)
Main bola, lepak sekejap, mandi, makan, sembahyang (kalau buat)

8.00-10.00 malam : Belajar (kemahuan sendiri,menyiapkan kerja sekolah,dipaksa belajar), boring...main game. Lapar.. cari makanan di dapur (rumah orang kaya)

10.00-11.00 malam : Tidur ( kalau mengantuk )tengok tv, cari makan,

12.00-4.30 malam/subuh : tidur...bangun...ulang semula

Monday, July 4, 2011

Titah khas Yang di-Pertuan Agong kepada 'Bersih'


KUALA LUMPUR 3 Julai — Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

"Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”. Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara". — BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 4 Julai 2011

Friday, July 1, 2011

Pendidikan Jasmani perlu suntikan baharu



Berbeza dengan mata pelajaran lain yang hanya menumpukan kepada aspek pengetahuan sahaja, Pendidikan Jasmani (PJ) boleh meningkatkan keupayaan minda, psikomotor dan nilai sosial seseorang pelajar.
Hal ini boleh dibuktikan apabila seseorang pelajar itu melakukan sesuatu aktiviti fizikal. Perbuatan itu bukan sahaja melibatkan keupayaan fizikalnya, malah ia juga dapat meningkatkan tahap keyakinan, pengetahuan dan keseronokan melakukan aktiviti berkenaan.
Justeru PJ merupakan mata pelajaran yang mempunyai kekuatan dan berpotensi untuk melengkapkan pelajar dalam semua aspek jasmani, intelektual, rohani dan sosial, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, penulis mendapati PJ tidak dapat dijalankan dengan berkesan kerana kekangan masa, kekurangan peralatan, kemudahan yang tidak mencukupi, guru yang tidak berkelayakan atau kurang berpengalaman yang mengajar subjek itu.
Kesemua faktor berkenaan membawa kepada kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran ini. Ditambah pula dengan keadaan yang tidak selesa untuk belajar kerana panas dan berpeluh semasa di dalam kelas selepas PJ. Ia disebabkan tiada kemudahan bilik mandi yang sempurna untuk pelajar membersihkan tubuh badan.
Bagi memastikan keberkesanan PJ, Kementerian Pelajaran perlu mempertimbangkan pelbagai aspek yang meliputi peruntukkan jumlah jam dalam seminggu, peralatan, kemudahan, guru yang berkelayakan, dan kandungan kurikulum yang mudah untuk dilaksanakan secara berkesan bukannya hanya di atas kertas.
Dibimbangi jika PJ dilaksanakan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga akan memberi impak negatif kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dan seterusnya akan menjejaskan perlaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.
Oleh sebab itu, dicadangkan tiga langkah baharu untuk memastikan PJ dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Langkah pertama ialah dengan mengadakan satu sesi persekolahan dan ia boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Dalam konteks ini, PJ sesuai dilaksanakan pada sebelah petang.
Hal ini membolehkan pelajar terus pulang ke rumah tanpa perlu masuk semula ke dalam kelas selepas PJ. Jika ia dilaksanakan, kemungkinan besar akan dapat menarik semula minat pelajar untuk menjalankan aktiviti fizikal.
Jumlah waktu untuk PJ juga boleh ditambah tanpa mengganggu mata pelajaran lain.
Usaha murni Kementerian Pelajaran yang telah dan sedang membina sekolah di setiap kawasan perumahan menjadi pemangkin proses untuk melaksanakan kelas PJ pada sebelah petang.
Di samping itu, pelbagai masalah sosial yang serius akan dapat diatasi kerana pelajar akan lebih menumpukan kepada aktiviti fizikal yang banyak membawa ke arah kebaikan.
Langkah kedua ialah menempatkan lebih ramai graduan PJ di setiap sekolah, sekurang-kurangnya empat orang guru - dua guru lelaki dan dua guru wanita - bagi sekolah yang ada pelajar perempuan.
Bilangan ini bukan satu masalah besar kerana setiap tahun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mengeluarkan graduan PJ yang berkelayakan.
Langkah ketiga adalah dengan melihat semula alatan dan kemudahan yang sedia ada di setiap sekolah sebelum merangka kurikulum PJ. Ketika ini terdapat juga sekolah yang gagal untuk mengikuti silibus yang ditetapkan.
Perkara ini disebabkan sekolah tidak ada atau kurang alatan dan kemudahan untuk melaksanakan kemahiran-kemahiran tersebut. Oleh itu, ia hanya menjadi sebagai sesuatu yang ideal tetapi tidak boleh dipraktikkan.
Diharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan walaupun secara berperingkat-peringkat sebagai satu suntikan baharu kepada mata pelajaran PJ ke arah melahirkan individu yang berketerampilan dari segi intelektual, jasmani dan sahsiah.


Oleh DR. MOHAR KASSIM
PENULIS ialah Pensyarah Sains Kejurulatihan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.