Friday, November 30, 2012

PBS: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) baru diperkenalkan dalam sistem pentaksiran pendidikan negara ini. PBS dirancang, dibina, ditadbirkan, diskor dan dilaporkan oleh guru. Perubahan kepada sistem pentaksiran ini memberikan cabaran yang besar kepada guru. Penerbitan buku ini diharapkan dapat membantu guru menghadapi cabaran ini dalam menjalankan tugas mereka sebagai pengajar dan pentaksir dalam bilik darjah. Kandungan buku ini memperkenalkan konsep-konsep dalam PBS, iaitu kesahan, kebolehpercayaan, item, instrumen, standard pembelajaran, standard prestadi, instruksi pengajaran dan rubrik penskoran. Selain itu, guru juga dibimbing untuk merancang pengajaran dan pentaksiran terutamanya dalam kaedah pembinaan item yang sesuai untuk mentaksir murid dan mengumpulkan evidens. Melalui pendedahan ini, diharapkan guru dapat meningkatkan kualiti PBS dan membantu menjayakan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah di sekolah.

Dr Zainuriyah Abdul Khatab


Wednesday, November 28, 2012

Aku bukan orang politik tapi aku suka politik

Keghairahan memberi komen politik dalam facebook semakin meningkat terutamanya individu yang suka tentang politik. Namun komen-komen yang bernas dan matang harus menjadi keutamaan kepada mereka yang gemar bercerita hal-hal politik negara. Janganlah berbalas komen dengan kata-kata yang kasar, lucah dan perkauman. Memang benar kita bebas memberi pendapat, namun kebebasan itu janganlah sampai menggugat hubungan persaudaraan sesama kita rakyat Malaysia. Keharmonian dan keamanan adalah sangat penting dikekalkan.


Monday, November 26, 2012

Status Jurulatih dalam bola sepak profesional

Sukan bola sepak merupakan sukan yang sangat popular di dunia. Pasukan-pasukan handalan seperti Brazil, Sepanyol, Kelab Manchester United, Barcelona dan banyak lagi. Malaysia juga sudah lama menganjurkan kejohanan liga bola sepak sendiri. Dari zaman Allahyarham Mokhtar Dahari hinggalah ke generasi Safiq Rahim. Peminat di negara ini terus menyokong pasukan kebangsaan, walaupun pencapaian pasukan negara sejak kebelakangan ini hanya peringkat Asia Tenggara sahaja. Kalau dahulu Jepun dan Korea adalah pasukan yang mudah kita kalahkan. Tapi kini gergasi Asia ini sudah jauh meninggalkan pasukan Malaysia. Dari segi ranking dunia pun kita sudah jauh ketinggalan. Diringkaskan cerita, kekalahan 3-0 kepada pasukan Singapura semalam dalam pembukaan kumpulan B Kejohanan Asia Tenggara, sungguh memalukan. Seperti biasa ada saja alasan yang diberikan oleh jurulatih. Boring...!! betul dengar alasan yang sama diulang-ulang. Berbeza dengan pasukan bertaraf dunia, bila pasukan kalah teruk jurulatih akan segera mohon maaf dan berjanji akan memperbaiki persembahan pasukan pada perlawanan yang seterusnya. Kalau kalah juga untuk kali kedua dan ketiga atau gagal mempertahankan kejuaraan, tanpa dipaksa jurulatih tersebut akan letak jawatan. Lihat saja pasukan-pasukan seperti dalam Liga Inggeris, Liga Itali atau pasukan kebangsaan Brazil, Belanda, England. Jurulatihnya letak jawatan sebaik sahaja tamat  kejohanan. Kita tunggu dan lihat apakah pengurusan sukan di negara kita ini khususnya bola sepak akan bertambah profesional atau rosak sampai bila-bila.

Wednesday, November 21, 2012

Kejayaanmu kejayaan kami

Tahniah..! usaha dan kerajinanmu akhirnya menghasilkan satu sejarah dalam hidupmu. Kejayaan memperoleh 5A dalam UPSR amat mengembirakan kami sekeluarga. Semoga pencapaian yang cemerlang ini akan berterusan sehingga ke menara  gading. Ucapan terima kasih juga kepada semua guru Sk.St.Peter Bundu Kuala Penyu atas tunjuk ajar yang telah diberikan kepada Khairina anak kebanggaan kami ini.Semoga kita semua terus cemerlang dalam profesion guru.

Thursday, November 15, 2012

Berasa Mulia dengan Ajaran Islam

Sempena Awal Muharam atau orang Islam di negara ini lebih suka menyebutnya Maal Hijrah, izinkan saya memetik satu petikan yang dicetuskan oleh pemikiran Dr.Danial Zainal Abidin dalam bukunya bertajuk "Tip-tip cemerlang daripada Quran". Ajaran Islam mempunyai kekuatan tersendiri. Umat Islam perlu berasa mulia dengan agamanya kerana ajaran Islam adalah ajaran yang agung, dibawa oleh seorang nabi yang agung. Gottfried Wilhelm Leibniz di dalam Theodize (1710) memuji Nabi Muhammad kerana menyebarkan agama fitrah untuk manusia sejagat. Pada tahun 1756, Voltaire menerbitkan Essai sur les Moeurs. Di dalamnya terdapat sebuah bab berkenaan Nabi Muhammad yang bertajuk de l' Arabie et de Mahomet. Beliau berpendapat, Nabi Muhammad adalah seorang yang bijaksana, mempunyai visi yang jauh serta seorang panglima perang yang agung.

Islam sudah memimpin dunia dalam bidang ilmu dan tamadun. Tanpa Islam, barat tidak dapat mengecap Era Kebangkitan atau Renaissance. Hal ini dinyatakan tanpa segan silu oleh Carleton S. (Carly) Fiorina, mantan pengerusi (CEO) Hewlett-Packard Company, semasa beliau menyampaikan ucapan yang bertajuk Technology, Business and Our Way of Life: What's Next  pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnestoa. Beliau berkata, "Pada suatu masa dahulu, wujud satu tamadun yang terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kekuasaannya terdapat ratusan juta manusia dari pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua penggemar buku-buku motivasi. Sekian...Salam Maal Hijrah semoga hijrah kali ini membawa sejuta rahmat kepada kita semua.

Friday, November 2, 2012

Selamat Berjuang

Mulai 5 Nov 2012 (Isnin) semua pelajar sekolah dan juga calon persendirian akan menjawab soalan peperiksaan SPM dan STPM. Selamat berjuang dan semoga anda semua tenang serta sihat fizikal dan mental. Baca betul-betul arahan soalan, jangan gelojoh bro..! fahamkan apa yang ditanya oleh soalan. Tapi kalau dah beku tak boleh fikikir lagi..."hentam saja...lah". Kalau anda yakin boleh lulus...InsyaAllah boleh lulus. Dunia belum kiamat...walaupun sudah banyak tanda-tanda kiamat berlaku. Peperiksaan adalah markah semata-mata. Kecemerlangan dalam hidup bergantung kepada kebijaksanaan akal dan usaha yang berterusan. Ok...itu saja, kepada anak-anak murid yang saya ajar...mohon maaf kalau ada tersalah ajar, terkurang ilmu...saya doakan anda semua akan lulus cemerlang. Sekian.

Utusan Malaysia, ADaP sumber rujukan tingkat prestasi akademik


Akhbar Utusan Malaysia dan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) menjadi rujukan utama warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara, dalam usaha meningkatkan prestasi akademik pelajarnya.
Ketua Panitia Bahasa Melayu Menengah Rendah sekolah itu, Sapiah M. Sultan berkata, penulisan berita, rencana dan artikel dalam akhbar banyak membantu memantapkan lagi penggunaan bahasa warga sekolah yang mempunyai seramai 1,203 pelajar itu.
Menurutnya, penggunaan akhbar semasa proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) terutamanya subjek Bahasa Melayu turut menggalakkan para pelajar terutamanya calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melihat contoh untuk karangan, ulasan, berita dan sebagainya.
"Banyak maklumat dalam akhbar yang boleh digunakan sebagai rujukan para pelajar untuk mempelajari kaedah penulisan yang baik sekali gus menjadi nilai tambah kepada mereka dalam memperoleh keputusan cemerlang.

Sumber : Utusan Malaysia 2012