Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Saturday, April 30, 2011

"Sumpah Demi Allah Aku Tidak Ambil"




"Sumpah demi Allah aku tidak ambil...tadi memang aku duduk di sana, tapi aku tidak ambil guli kau" dialog yang biasa kedengaran pada waktu tahun 70-an dahulu. Setiap hari apabila ada masa yang terluang di sekolah atau selepas waktu sekolah, saya masih ingat kami sering bermain guli di halaman bangunan sekolah. Waktu itu saya bersekolah di SRK Sembulan, Kota Kinabalu. Selain bermain bola, bermain kayu tiga, bermain biji getah, permainan guli adalah antara jenis permainan yang sangat popular pada era kehidupan kanak-kanak tahun 1970-an. Suasana kampung Sembula Lama pada waktu itu sungguh aman damai, bersih dan cantik dengan pemandangan pokok kelapa yang tinggi tumbuh berselerak.

Dipendekkan cerita, "sumpah demi Allah aku tidak ambil" sengaja saya pilih sebagai tajuk isi blog saya hari ini. Mungkin ada yang menuduh saya sengaja menggunakan tajuk ini kerana situasi politik negara yang masih lagi bergolak, terutamanya keadaan kacau bilau yang dicetuskan oleh para pemimpin politik Melayu. Kerana jawatan dan pangkat, orang Melayu semakin bercelaru.

Ungkapan "sumpah demi Allah aku tidak ambil" pada saya sudah lama wujud dan menjadi kebiasaan kanak-kanak yang hidup di Kampung Sembulan Lama dan saya percaya ia juga wujud di kampung-kampung lain pada tahun 1970-an atau mungkin sehingga ke hari ini. Ungkapan ini pernah juga saya sebut ketika saya dan beberapa orang kawan sedang bermain guli. Tanpa menyebut nama, kawan saya ini menuduh saya yang ambil gulinya. Waktu itu kawan saya ini memang mempunyai banyak guli yang tersimpan dalam tin susu Nespray. Ada juga yang menyimpan dalam bakul plastik hitam. Untuk membuktikan saya benar-benar tidak bersalah dan tidak ambil guli tersebut, saya dengan secara spontan menyebut kalimah "Sumpah Demi Allah aku tidak ambil guli kau, aku pun ada guli sendiri". Sumpah yang saya lafazkan itu memberi kepuasan dan keyakinan kepada kawan saya, lalu kami pun meneruskan permainan pada hari itu.

Kalau kanak-kanak yang masih kecil sekitar umur 7 hingga 12 tahun berani bersumpah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, mengapakah pada hari ini ada orang yang tidak berani bersumpah jika benar dia tidak bersalah. Ada satu lagi kata-kata yang sudah lama wujud dalam kehidupan masyarakat Melayu iaitu "Berani Kerana Benar Takut Kerana Salah". Saya fikir manusia yang waras, berilmu pengetahuan dan yakin dengan kuasa Allah s.w.t sudah tentu mengetahui akan akibatnya. Maka adalah mustahil mereka berani bersumpah laknat dalam masjid dan pada ketika baharu sahaja selesai menunaikan solat Jumaat, jika mereka tidak yakin bahawa mereka bercakap benar.

Kita harap orang Melayu yang majoritinya beragama Islam, kembali bersatu demi mempertahakan Agama Islam, Bangsa dan Negara. Janganlah kerana perebutan kuasa kita berpecah belah yang akhirnya nanti ibarat "Menang Sorak Kampung Tergadai". Ingatlah masa depan anak-anak yang bakal meneruskan kehidupan dengan memegang nama Melayu, agama dan bangsa. Jika negara ini ditadbir oleh orang yang tidak bertanggungjawab, maka kata-kata 'Tak akan Melayu Hilang Di Dunia" akan tinggal slogan yang tidak bermakna dan sia-sia kepada kaum atau bangsa Melayu.

Wednesday, April 27, 2011

180 Minit Pengajian Am Kertas 900/2


Bahagian A = 40 Minit

Bahagian B = 40 Minit

Bahagian C = 20 Minit

Bahagian D = 40 Minit

Bahagian E = 40 Minit

Kalau pelajar mengambil masa yang lama untuk menyiapkan karangan pada bahagian A dan B, misalnya 60 minit x 2 = 120 minit. Baki untuk menjawab 3 soalan lain tinggal 60 minit sahaja. Kegagalan pelajar menggunakan masa 3 jam yang diberikan akan menyebabkan ramai yang tidak siap untuk lima soalan setiap satu daripada bahagian A,B,C,D,E. Ini adalah cadangan dan hasil pengalaman mengajar Pengajian Am kertas 2.

Tuesday, April 26, 2011

Keganasan Rumah Tangga


Keganasan rumah tangga sering dikaitkan dengan perlabagi bentuk kekerasan yang dilakukan terhadap isteri atau wanita.Contohnya, ada wanita yang ditampar, ditendang, dikurung atau dijadikan hamba seks oleh suami sendiri.

Salah satu punca keganasan rumah tangga berlaku ialah si pelaku (suami)menghadapi tekanan perasaan. Keadaan kerja yang mencabar, kos hidup yang tinggi dan persekitaran yang membosankan akan menyebabkan lelaki mudah berasa tertekan. Tekanan yang berpanjangan akan mengakibatkan kemurungan. Di rumah, tangisan anak-anak dan leteran isteri akan mengundang reaksi keras dan ganas daripada suami.

Ada juga kes yang berpunca daripada sikap cemburu si suami terhadap isterinya. Dalam situasi tertentu, gaji dan kerjaya isteri yang lebih baik daripada suami turut mengundang konflik. Sikap isteri yang lebih mementingkan kerjaya dan membelakangkan suami akan mengundang perasaan tidak puas hati si suami. Lama-kelamaan, si suami mulai rasa cemburu dan menaruh prasangka buruk terhadap isteri. Pergaduhan kecil akan bertukar besar yang akhirnya membawa kepada perceraian.

Faktor lain yang menyebabkan berlakunya keganasan rumah tangga ialah apabila suami terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti berjudi, minum arak dan menagih dadah. Pergaulan bebas si suami dengan gadis-gadis muda yang ditemui di tempat kerja atau di pusat-pusat hiburan juga menyebabkan isteri teraniaya. Suami yang suka minum arak sehingga mabuk, mudah hilang ingatan dan suka memukul isteri yang pada anggapannya suka berleter sebaik saja dia pulang ke rumah.

Pengalaman hidup masa lalu turut menjadi punca keganasan rumah tangga. Si suami mungkin pernah didera oleh ibu bapanya atau menyaksikan ibunya didera oleh bapanya semasa kecil. Kegagalan menangani perasaan marah dan dendam dalam diri menyebabkan mereka membesar dalam keadaan emosi yang kurang stabil. Tanpa disedari apabila berkeluarga, perlakuan ganas yang tersimpan dalam memori hidupnya akan diulangi semula kepada anak dan isterinya.

Keganasan rumah tangga memang berlaku di mana-mana sahaja. Langkah tertentu seperti mengadakan khidmat kaunseling kepada para suami perlu diambil untuk membendung gajala yang tidak sihat ini.Meningkatkan ilmu serta mengamalkan ajaran agama adalah perkara yang paling baik dilakukan oleh pasangan suami isteri dan anak-anak untuk membina kehidupan keluarga yang bahagia. Akhir sekali Undang-undang anti keganasan rumah tangga juga perlu dilaksankan dengan tegas kepada suami-suami yang melakukan keganasan terhadap isteri atau anak-anaknya.Jangan hanya digubal, dibahas tetapi perlaksanaannya ibarat 'hangat-hangat tahi ayam'.

Orang Melayu Keliru dan Bosan

Monday, April 25, 2011

Gred Mata Pelajaran STPM



Pengajian Am wajib lulus dan memperoleh sekurang-kurangnya gred C untuk permohonan ke IPTA secara online.

Sunday, April 24, 2011

Jenayah Berkaitan Dengan Komputer


Dengan wujudnya jaringan internet, jenayah siber boleh berlaku dengan mudah, di mana-mana dan bila-bila masa. Inilah hakikatnya yang sering berlaku dalam sebuah masyarakat yang besar tanpa dibatasi sempadan, tempat dan masa.
Begitu juga dengan jenayah komputer. Dengan memiliki komputer, tidak bererti kita selamat. Data yang disimpan di dalamnya berkemungkinan mudah dicerobohi oleh penceroboh komputer dengan melakukan pemalsuan dokumen, penipuan, penukaran data serta pengirim virus. malah komputer juga boleh digunakan sebagai alat memeras ugut.
Penjenayah boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa melalui e-mel dan mengugut mangsa agar menyerahkan apa-apa harta kepadanya. Gejala ini boleh membahayakan dari segi kewangan dan keselamatan kerana pelakunya boleh melenyapkan wang yang besar dengan segera dan secara maya. selain itu, ia juga memberi kesan kepada anak-anak dan hak persendirian.

#Untuk maklumat lanjut anda boleh baca buku yang bertajuk "Jenayah Berkaitan Dengan Komputer Perspektif Undang-Undang Malaysia" oleh Anita Abdul Rahim dan Nazura Abdul Manaf, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur,2004

Obesiti - Nasi Lemak - Kehidupan Anak-Anak - Tafsirlah Sendiri Gambar Ini


Anak-anak Malaysia
Anak-anak Afrika



Makanan Anak-anak Malaysia
Kehidupan Anak-anak Palestin
Kehidupan Anak-anak Malaysia



Bersyukurlah kepada Allah s.w.t. kerana kita hidup di bumi "Malaysia". Bantulah mereka yang kurang bernasib baik. Makan jangan terlalu banyak kerana penyakit boleh datang daripada tabiat makan yang terlalu banyak.

Saturday, April 23, 2011

Piramid Makanan


Piramid jadi panduan
Oleh DR TEE E SIONG
sumber: Utusan Malaysia April 2011

PEMAKANAN yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan.
Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.
Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.
Bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.

Karbohidrat
Sumber tenaga terbaik untuk tubuh.
Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda.
Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.

Protein
Asas binaan tulang, darah dan otot.
Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.
Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).
Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).

Lemak
Membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan.
Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.
Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.

Vitamin dan mineral
Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.
Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan.
Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.

Air
Mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.
Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).
Amalkan asas pemakanan sihat
Hanya anda yang boleh memastikan anak anda menerima yang terbaik dari segi pemakanan. Anda beruntung kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar. Prinsipnya mudah - bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul.
Jadikan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan apabila membuat pilihan makanan. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anak anda. Sentiasa berikan alternatif yang berkhasiat untuk makanan yang anak anda tidak gemari. Contohnya, hidangkan kangkung jika dia tidak gemarkan bayam; berikan ayam jika dia enggan makan ikan. Paling penting adalah memberinya gabungan makanan-makanan berkhasiat yang membekalkan pelbagai nutrien untuk menyokong keperluannya.

Berikut beberapa tip tabiat diet yang baik untuk ibu bapa amalkan di rumah:
l Pastikan anak anda makan sarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan yang berkhasiat akan memberinya permulaan hari yang baik, menggerakkan metabolismenya, serta memberikan tenaga untuknya belajar dan bermain di sekolah. Anak anda boleh pilih sarapan pagi yang ringkas seperti segelas susu bersama semangkuk bijirin sarapan atau sandwich tuna. Bagi ibu bapa yang sentiasa terburu-buru pada waktu pagi, cuba rancang dan sediakan bahan ramuan pada malam sebelumnya.
l Pastikan anak anda mempunyai tiga waktu makan utama dan dua snek setiap hari. Makan snek antara waktu makan akan membantu anak anda bertenaga sepanjang hari. Pilih snek yang berkhasiat, seperti kraker biasa, buah-buahan dan yogurt. Bagaimanapun, jangan ganti waktu makan utama dengan snek. Jangan beri snek kepada anak anda dua jam sebelum waktu makan utama bagi mengelakkan anak anda hilang selera semasa waktu makan utamanya.

l Sediakan bekalan snek yang berkhasiat (seperti sandwic, buah-buahan potong) untuk anak anda bawa ke tadika atau sekolah. Ini merupakan satu cara memastikan dia makan secara sihat walaupun di luar rumah.
l Kurangkan menggoreng dalam minyak yang banyak, guna kaedah masak yang sihat seperti stim, kacau goreng, bakar dan panggang. Had penggunaan lemak, gula, garam dan perasa dalam masakan.
l Beri anak minum susu setiap hari. Jangan berhenti hanya kerana dia telah bersekolah. Galakkan dia minum 6-8 gelas air kosong sehari. Anda juga boleh memberi anak anda sumber cecair lain seperti sup dan jus, sebaik- baik-nya yang rendah lemak dan gula.
Pemakanan yang baik bukan sekadar boleh mencegah masalah berlebihan berat atau kurang berat dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah asas ke arah membentuk kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Jadi tanamlah tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil, supaya dia akan menikmati tumbesaran dan perkembangan yang optimum, dan juga kesihatan yang baik pada masa hadapan.
PENULIS ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM).

Friday, April 22, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa



Tahniah dan syabas kepada KRU Studio kerana berjaya menghasilkan filem epik yang sangat baik pernah dihasilkan oleh anak seni Malaysia.Semoga karya-karya sastera yang lain boleh dijadikan filem agar masyarakat lebih memahami budaya sendiri.Selama ini kita banyak memuji dan menonton filem-filem Hollywood dan Bollywood.Sesungguhnya HMM boleh dijadikan pemangkin kepada pengarah-pengarah filem yang lain untuk berusaha menghasilkan cerita yang berkualiti dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Janganlah asyik buat cerita-cerita hantu. Hantu-hantu-hantu. Kalau hantu Jack Sparrow ok juga!

Hang Jebat Mengamuk : Kenangan Zaman Sekolah



Tahun 1980an ketika bersekolah saya dan juga rakan-rakan yang lain pernah membaca Hikayat Malim Deman, Hikayat Sulatus Salatin,Hikayat Hang Tuah, Novel Ranjau Sepanjang Jalan,Novel Salina, dan banyak lagi karya-karya sastera yang lain.Waktu itu kami membaca bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, namun keinginan dan minat dalam karya-karya sastera negara banyak dipengaruhi oleh kemahiran guru mengajar serta aktiviti kebudayaan yang dilakukan di sekolah.

Saya masih ingat pada hari kami diminta melaksanakan Perayaan Hari Guru, timbul idea untuk menghiburkan guru-guru kami dengan sebuah lakonan sketsa komedi yang diubah suai daripada cerita Hang Jebat mengamuk di istana.Walaupun pada waktu itu kami bukanlah pelakon yang hebat, namun dengan gerak lakon dan dialog yang melucukan, guru-guru serta rakan-rakan yang memenuhi dewan ketawa dengan gembira. Selepas selesai berlakon, ramai yang memuji dan ada yang berkata "Muka kau yang garang ini, tidak sangka pula pandai melawak...tahniah".

Apa yang ingin saya kongsi di sini bukanlah untuk memuji diri sendiri kerana siapalah saya jika dibandingkan dengan Rosyam Nor atau lebih dekat lagi Si Ampal pelakon dan penyayi yang sudah dikenali ramai. Saya sekadar ingin berkongsi kenangan dengan para pembaca sekalian. Dan yang lebih penting, hari ini saya atau mungkin juga para pembaca yang budiman, tentu merasa ada kelainan yang berlaku di sekolah. Hari ini mata pelajaran sastera tetap wujud, diajar, dibaca sedikit-sedikit, tapi memahami karya sastera itu dengan aktiviti lakonan pentas sudah hilang. Yang penting guru mengajar dan pelajar lulus cemerlang mata pelajaran sastera. Pelajar diminta membaca sinopsis, diminta menjawab banyak soalan latihan.Mungkin ini cara guru-guru sekarang mengajar. Terpaksa mengajar begitu untuk lulus peperiksaan. Terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran.

Kadang-kadang terasa pelik dengan sistem persekolahan kita, lebih mengutamakan pencapaian akademik. Guru dipaksa mengajar dengan pantas.Kalau boleh bulan Mei sudah habis sukatan pelajaran. Lepas itu guru bagi latih tubi sahaja dengan menjawab soalan-soalan percubaan. Soalan pula ada yang disalin bulat-bulat daripada buku-buku rujukan yang dibeli.Akhirnya ramai pelajar yang cemerlang akademik dari bangku sekolah sampailah ke universiti, masih menganggur. Ada ijazah tapi tidak tahu buat apa dengan ijazah itu.

-Sekadar pendapat-

Thursday, April 21, 2011

Pelajar Sekolah : Suka dan Tidak Suka


SUKA
1. Aktiviti kokurikulum
2. Guru yang baik dan memahami
3. Sekolah yang besar, bersih dan cantik
4. Tempat menimba ilmu
5. Guru yang mempercayai pelajar
6. Guru yang bertanggungjawab dan tegas
7. Guru yang adil
8. Guru yang mahir dalam kaedah mangajar yang baru
9. Pengetua yang baik dan bertanggungjawab
10. Pengawas yang bertanggungjawab
11. Sekolah yang lengkap kemudahannya
12. Persekitaran yang baik
13. Pelajar yang berdidiplin
14. Pelajar yang baik dan bertanggungjawab

TIDAK SUKA
1. Guru yang terlalu tegas, tidak adil dan tidak bertanggungjawab
2. Guru disiplin yang tidak adil
3. Peraturan yang ketat
4. Sekolah yang bising dan kotor
5. Perhimpunan sekolah
6. Pelajar yang jahat/pelajar yang bergaduh
7. Kurang penekanan kepada aktiviti kokurikulum
8. Tandas kotor
10. Kurang kemudahan sekolah
11. Guru yang tidak memahami, tidak berkemahiran, selalu mengkritik
12. Guru yang tidak masuk kelas
13. Pengetua yang tidak mesra dan terlalu tegas

Sumber dipetik daripada : Prof.Madya Datin Dr.Sharifah Md.Nor, Keberkesanan Sekolah: Satu Perspektif Sosiologi,Universiti Putra Malaysia,2000.

Masalah Komputer Padam Sendiri


Saya menggunakan PC jenis Windows ME. RAM saya 256 MB. Kadang-kadang ia terpadam dengan sendiri, kemudian PC tersebut akan restart semula.

Desktop saya dalam Safe Mode. Saya tak boleh nak pilih 1.Normal. Skrin jadi hitam.

Apabila saya matikan komputer, mesej yang tertera tidak terpadam seperti yang sepatutnya.You can switch off your computer now! Mesej tersebut tidak terpadam selama beberapa minit. Jadi saya matikan suis kotak (suis utama). Apa yang patut saya buat selain hantar ke kedai ? Kalau boleh saya nak cuba baiki sendiri.

Wan Muhammad Faiz. Kg. Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu

Apa yang saudara hadapi adalah simptom-simptom daripada masalah sebenar yang dihadapi.

Banyak perkara perlu dilihat. Sebelum saya memberi beberapa panduan secara teknikal dengan simptom-simptom yang dihadapi, perlu diketahui bahawa masalah tersebut perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

Proses untuk mengenal pasti masalah komputer ini ada beberapa peringkat atau lapisan iaitu:

* Perisian.

* Sistem pengoperasian.

* Sistem BIOS (Basic Input Output System).

* Perkakasan.

Jadi, di peringkat permulaan berkemungkinan ada masalah perkakasan kerana saya andaikan komputer saudara sudah terlalu lama disebabkan penggunaan Windows ME yang sudah tidak disokong oleh pihak Microsoft pada masa kini. Namun begitu ia tidak mustahil berpunca daripada masalah perisian, sistem BIOS atau sistem pengoperasian Windows.

Saudara juga boleh pergi ke Control Panel > System > Advance > Start Up and Recovery > Settings. Pada ruangan System Failure, kosongkan kotak bagi pilihan Automatically restart. Ini adalah untuk mengelakkan sistem Windows daripada berulang kali memulakan semula program Windows setiap kali ia dibuka.

Seterusnya untuk melihat masalah yang dihadapi kenapa sistem Windows kerap kali membuka semula atau restart programnya, sila ke My Computer > Manage > Computer Management > Event Viewer > System. Sila lihat pada simbol pangkah berwarna merah kenapa sistem Windows komputer tersebut bermasalah.

Di sini disenaraikan beberapa punca yang menyebabkan komputer saudara bermasalah dan mempunyai simptom seperti yang dinyatakan iaitu:

* Masalah virus komputer seperti lsass.exe. Jadi imbas (scan) komputer anda dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini.

* Masalah perisian pemacu perkakasan yang dipasang bermasalah. Sila semak di My Computer > Properties > Hardware > Device Manager. Sekiranya ada yang bermasalah, sila buang dan pasang semula program pemacu tersebut.

* Masalah pemasangan kad paparan atau kad bunyi pada komputer atau slot kadnya bermasalah.

* Masalah konfigurasi paparan dalam Windows seperti resolusi yang tidak sesuai dan sebagainya.

* Masalah konfigurasi pada BIOS bagi kad paparan atau kad bunyi. Ini kerana kebanyakan papan utama atau motherboard pada masa kini mempunyai kad paparan dan bunyi yang terbina di dalamnya.

Jadi, ia perlu dinyah aktifkan terlebih dahulu sekiranya mahu memasang kad paparan atau kad bunyi yang lain. Ia boleh dikonfigurasi pada jumper atau BIOS.

* Komponen memori RAM bermasalah atau slotnya yang digunakan bermasalah. Laksanakan pengujian terhadap RAM dengan program komputer yang tertentu. Terdapat program berasaskan sumber terbuka seperti memtest86+ yang boleh dimuat turun dihttp://www.memtest.org.

* Masalah kepanasan yang melampau pada CPU. Sila semak perbincangan sebelum ini.

* Masalah bekalan kuasa. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.

* Masalah pada papan utama. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.

Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perisian atau sistem penggoperasian Windows, lakukan penyelenggaraan terhadap sistem pengoperasian Windows. Seterusnya, lakukan langkah-langkah pembaikan semula Windows dengan menggunakan program baik pulih Windows, konfigurasi semula sistem Registry dan sebagainya. Sekiranya bermasalah juga, buat salinan data ke tempat lain. Format cakera keras dan pasang semula sistem pengoperasian Windows.

Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perkakasan, komponen-komponen komputer tersebut perlu digantikan dengan yang baru.

Cara untuk mengenal pastinya, boleh menggunakan program-program komputer tertentu, menggunakan alat pengesan arus elektrik dan kaedah cuba jaya.

Kaedah cuba jaya ini kita uji komponen-komponen tersebut dengan cara memasangnya pada komputer lain atau pasang tanggal pada komputer yang sedia ada.

Sumber daripada : Utusan Malaysia April 2011.

Wednesday, April 20, 2011

Melayu Kacau Bilau



Selepas Pilihan Raya Umum Ke 12, ikatan perpaduan bangsa Melayu semakin jelas menuju ke arah perpecahan. Semuanya berlaku gara-gara perebutan kuasa untuk menjadi Perdana Menteri. Pelbagai sentimen perkauman dicipta untuk menunjukkan kuasa dan pengaruh. Sentimen perkauman bukan sahaja menuduh kaum ini tidak patriotik, bangsa itu tidak ikhlas, orang ini tidak layak memimpin negara, orang itu talam dua muka, orang ini ada skandal seks, orang itu pengamal rasuah dan bermacam-macam lagi idea negatif yang dicanang ke seluruh negeri untuk menghalalkan cara demi kepentingan peribadi. Siapakah mereka ini? Anak-anak kecil sudah tentu tidak tahu apa lagi untuk memahami situasi politik negara hari ini.

Bagi individu yang sudah dewasa, mempunyai kelulusan dari serendah SPM sehingga berkeping-keping kertas ijazah yang menjadi kebangaan seisi keluarga, permainan orang-orang politik semakin hari meningkatkan kekeliruan mana satu yang benar. Orang ini mengatakan orang itu tidak benar, sebaliknya orang itu pula akan bermati-matian menafikan tuduhan. Maka pelbagai cara dan strategi dirancang serta dilaksanakan untuk menuduh pula si polan itu penipu, hipokrit, pengkhianat bangsa, pembunuh, perasuah dan bermacam-macam lagi. Apa semua ini?

Media pula hari-hari menyiarkan cerita-cerita panas. Puluhan pelbagai jenis blog wujud untuk mempertahankan pelakon-pelakon politik yang gila kuasa ini. Rakyat dipaksa mendengar, rakyat dipaksa menonton, yang akhirnya menjadi rutin harian untuk membaca dan mentafsir sendiri cerita-cerita kotor yang saban hari disiarkan dalam tv, surat khabar dan internet.

Orang Melayu berpecah, orang bumiputera kebingungan tapi orang Cina bersatu dalam perniagaan, bersatu dalam kepentingan bangsanya, manakala orang India masih lagi tercari-cari rentak untuk sama-sama bersaing dalam irama tarian politik kepimpinan sejati. Sampai bila?

Keputusan pilihan raya negeri Sarawak tahun 2011, jelas menunjukkan orang Melayu dan bumiputera masih bersatu dengan memberi kemenangan majoriti 2/3 kepada BN. Tahniah kepada orang Melayu dan bumiputera Sarawak. Semangat inilah yang perlu wujud kepada orang Melayu di Semenanjung. Bersatulah. Tidak rugi orang Melayu kalau bersatu. Apalah ertinya parti UMNO, PAS dan PKR ditubuhkan jika orang Melayu terus berpecah, bergaduh, hina-menghina. Bangsa Melayu kaya dengan peribahasa, simpulan bahasa, pantun seloka, pepatah pepatih yang mengandungi unsur-unsur nasihat, misalnya "Bersatu Teguh Bercerai Roboh" "Menyesal Dahulu Pendapatan Menyesal Kemudian Tidak Berguna" "Menang Sorak Kampung Tergadai" dan banyak lagi. Kenapa orang Melayu tidak amalkan harta pusaka bangsa yang telah diwariskan sejak zaman berzaman ini. Apakah UMNO-PAS-PKR tidak boleh bersatu demi untuk bangsa Melayu Semenanjung, Bumiputera Sabah dan Sarawak. Apakah Najib - Nik Aziz - Anuar Ibrahim mahu bangsa Melayu terus berpecah dan mundur di negara sendiri.





Monday, April 18, 2011

Kehebatan Pulau Tiga - Kesedihan Pantai Sawangan



Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang potensi sektor pelancongan yang perlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan negeri Sabah. Perkongsian ini saya rujuk berdasarkan beberapa keping gambar yang tidak perlu dibicarakan secara panjang lebar dengan kata-kata puitis. Melihat gambar – gambar di atas, sudah cukup untuk menjelaskan bahawa daerah Kuala Penyu mempunyai potensi yang amat baik untuk dimajukan khusunya dalam bidang pelancongan.

Keindahan Pulau Tiga seperti juga pulau-pulau lain yang terdapat di negeri Sabah, seperti Pulau Manukan, Pulau Memutik, Pulau Sapi, Pulau Mabul, dan Pulau Sipadan sudah terbukti menarik minat ramai pelancong dari luar Negara.

Taman Negara pulau Tiga (sekarang dikenali Taman Pulau Tiga) meliputi keluasan 39,000 ekar (15, 864 hektar). Pulau Tiga sendiri, mempunyai keluasan 1,500 ekar (607 hektar), manakala selebihnya adalah meliputi kawasan laut bunga karang termasuklah dua pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Kalampunian Besar dan Kalampunian Damit (Pulau Ular).

Taman Pulau Tiga, terletak di kawasan Teluk Kimanis, kira-kira 50 kilometer dari Kota Kinabalu. Pekan Kuala Penyu adalah merupakan pekan dan daratan yang terdekat dengan Taman Pulau Tiga, iaitu kira-kira 16 kilometer. Para pengunjung boleh datang ke Taman tersebut dengan menaiki bot dari Kuala Penyu. Biasanya perjalanan dengan bot memakan masa lebih kurang 25 minit. Para pelawat dari Kota Kinabalu atau W.P. Labuan, boleh menggunakan speed boat (bot laju) dan biasanya memakan masa 90 minit.

Daya tarikan yang terdapat di Taman Pulau Tiga

Selain daripada keunikan alam semulajadi yang masih belum tercemar, seperti hutan dara, tumbuhan bakau (mangrove), pantai-pantai yang berkilauan, di Taman Pulau Tiga memberi peluang kepada para pelawat untuk melihat lebih kurang 60 spesis burung, termasuklah burung Tambun (Megapodius freycinet) yang merupakan endemik species, di kepulauan Borneo. Selain daripada burung-burung, Taman Pulau Tiga juga turut dihuni oleh beberapa jenis binatang liar seperti Monyet (Maccaca Fasicularis), biawak (Eguana) dan berpuluh ribu ekor Keluang (Flying fox). Manakala di Pulau Kalampunian Damit (Pulau Ular), para pelawat dapat menyaksikan beratus-ratus ekor ular laut (Laticuda Calubrina) yang menjadi penghuni tetap di pulau tersebut. Pulau Ular (Snake Island) sejak kebelakangan ini telah menjadi tumpuan para pelawat dari luar negara.

Para pelawat yang berminat dengan hidupan laut (Marine life) pasti akan merasai satu kepuasan apabila menyaksikan beraneka jenis hidupan laut, termasuklah bunga karang, yang terdapat di Taman Pulau Tiga, dan adalah dipercayai terumbu karang ini di antara yang tercantik di dunia.

Turut menjadi daya tarikan pada para pelawat, ialah beberapa kawasan Gunung Berapi Lumpur (Mud Volcano) dan juga sarang-sarang Burung Tambun yang terdapat dipesisiran pantai.


Walau bagaimanapun kehebatan dan populariti Pulau Tiga masih belum dapat dibanggakan khususnya oleh penduduk di daerah Kuala Penyu sendiri. Apalah ertinya mempunyai sebuah pulau yang hebat, jika tempias kehebatan itu masih belum mampu memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia yang masih ramai tiada pekerjaan tetap.


Pantai sawangan yang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke Pulau Tiga, ibarat ‘Hidup Segan Mati Tak Mahu”. Pantai ini mempunyai pemandangan yang cantik terutamanya pada waktu pagi dan senja. Keindahan Gunung Kinabalu sungguh romantic untuk dirakam menggunakan kamera digital. Ketika ini, pantai sawangan hanya mempunyai empat bilik kecil untuk pengunjung yang ingin bermalam. Tidak ada restoran untuk sarapan pagi, jika ingin makan tengahari terpaksalah masak sendiri atau jika sanggup ke pekan, bolehlah menikmati beberapa menu yang disediakan oleh pengusaha kedai makan secara kecil-kecilan.


Alangkah baiknya jika kerajaan negeri meningkatkan kemudahan fizikal di pantai ini seperti mengadakan restoran dan hotel sekurang-kurangnya berstatus 3 bintang. Saya percaya malah seluruh penduduk Kuala Penyu juga percaya jika pantai Sawangan dimajukan, anak-anak remaja mereka tidak akan menghabiskan masa muda mereka dengan aktiviti yang tidak berfaedah .

"Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"


Sunday, April 17, 2011

Barisan Nasional (BN) Menang Di Sarawak

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK TAHUN 2011

BN 55
DAP 12
PKR 3
BEBAS 1
SNAP 0
PAS 0
PCM 0

Friday, April 15, 2011

Jangan Tersalah Undi


Esok 16 April 2011 rakyat negeri Sarawak yang layak akan mengundi untuk meneruskan agenda pembangunan yang masih belum sempurna. Undi adalah rahsia. Sebagai warganegara Malaysia yang menjadi penduduk negeri Sarawak, anda mempunyai hak untuk memilih parti yang benar-benar bekerja untuk rakyat. Sungguhpun kebebasan berparti menjadi amalan kita semua, namun ibarat pepatah orang terdahulu "Jangan menang bersorak tapi kampung tergadai" atau "Menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna". Kesilapan memilih parti yang hanya pandai menabur janji ketika berkempen, hanya akan membawa kerugian kepada rakyat keseluruhannya. Kebijaksanaan berkata-kata ketika menyampaikan ucapan kempen, bukanlah penentu kepada kewibawaan calon yang bertanding. Kejayaan, kesungguhan, kemampuan dan latar belakang parti adalah amat penting untuk dijadikan ilham untuk menanda 'X' pada kertas undi. Pilihlah calon yang boleh berkhidmat kepada rakyat terutamanya calon yang datang daripada parti yang tidak mementingkan pangkat atau jawatan. Rakyat Sarawak sudah pasti lebih bijak dan mengetahui parti mana yang harus dipilih untuk membentuk kerajaan. Saya hanya ingin berkongsi pendapat dan tidak sabar untuk melihat kejayaan rakan-rakan di Sarawak mencipta sejarah baharu dalam lanskap politik tanah air.

SELAMAT MENGUNDI.

Wednesday, April 13, 2011

Nota Bahagian E : Mentafsir Data Dalam Jadual

Bahagian E memperuntukkan 15 markah kepada calon STPM. Biasanya soalan untuk bahagian ini ialah nombor 9 . Manakala soalan nombor 10 ialah Carta Aliran atau Gambarajah.

Untuk soalan 9, calon akan ditanya berdasarkan Jadual atau Media Grafik (Carta Pai, Graf Bar atau Graf Garis). Data dalam bentuk jadual adalah soalan yang popular dan boleh dikatakan setiap tahun. Data atau isi jawapan calon berdasarkan jenis-jenis pola.

Jenis-jenis pola perubahan data:

1. Pola meningkat

2. Pola menurun

3. Pola tidak konsisten

4. Pola tidak berubah

Perbandingan data:

1. data tertinggi

2. data terendah

Untuk lebih mudah saya cadangkan pelajar menggunakan singkatan ini IBAS.

I = Isi ( merujuk kepada jenis pola )

B = Bukti data ( merujuk kepada angka atau peratus dalam data )

A = Analisis data ( merujuk kepada data yang berubah berdasarkan tahun )

S = Sebab ( beberapa sebab/alasan yang relevan dengan isu dalam jadual )


Masa menjawab soalan bahagian ini sekitar 40 - 50 minit sahaja.

Monday, April 11, 2011

Komputer 1Malaysia



Tentu seronok bila memiliki sebuah komputer "free". Saiznya pula kecil, bentuk komputer yang menjadi idaman ketika ini. Saya sendiri pun belum ada komputer bersaiz kecil, sebab waktu nak beli komputer dua tahun yang lalu, komputer 'Netbook' harganya mahal, lebih kurang RM2,000.

Ok...lah,, cerita pasal komputer, saya bagi pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia (BN)...maaf bukan kerajaan PKR. Pemberian komputer 1Malaysia pada hari Sabtu 9 April 2011 sedikit sebanyak usaha pihak sekolah dan tentulah Kerajaan sendiri untuk merealisasikan generasi celik IT kini menjadi kenyataan.

Di pihak ibu bapa dan para pelajar yang telah menerima Komputer 1Malaysia, gunakanlah komputer itu untuk tujuan yang baik. Jika selama ini banyak alasan yang diberikan apabila kerja kursus PMR tidak siap sebab tiada kemudahan komputer, maka itu sudah jadi cerita lama. Guru-guru pasti akan merasa gembira apabila pelajar bertambah minat dan bersemangat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Ibu bapa harus sentiasa memantau penggunaan teknologi canggih ini di rumah. Jangan biarkan anak-anak lalai bermain 'Game' sehingga tidak membaca buku atau menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru. Apalah gunanya komputer jika pencapaian anak-anak bertambah merosot. Tapi jika dengan adanya kemudahan yang diberikan secara percuma ini mampu melonjakkan pencapaian akademik anak-anak, sudah pasti bukan sahaja guru-guru gembira, malah kerjaan sendiri tentu akan merasa bangga kerana pemberian komputer 1Malaysia tidak sia-sia.

Begitu juga kepada pelajar SPM dan STPM, jangan salah guna pemberian ini dengan melayari laman-laman web lucah atau asyik bermain 'game'. Siapkan tugasan R&D anda. Melayari internet untuk tujuan mencari maklumat atau mencari pengetahuan, sebenarnya sudah tidak asing lagi kepada para pelajar di negara maju. Jadi dengan adanya komputer 1Malaysia in, anda juga boleh menjadi seperti pelajar di negara maju, asalkan anda bijak menggunakannya. Komputer adalah mesin yang dicipta oleh manusia, sampai masa alat ini akan rosak juga.

Saturday, April 9, 2011

Awas! Telur Tiruan

Terima kasih kepada pihak Media kerana menyiarkan laporan yang sangat berguna kepada rakyat Malaysia. Begitu juga terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang telah membuat laporan kepada persatuan pengguna Pulau Pinang (CAP) sehingga tersiarnya kes penipuan telur tiruan ini.

Bahan-Bahan Untuk Membuat Telur Tiruan:
  1. Glucolactone
  2. Asid Benzoic
  3. Kalsium Klorida
  4. Selulosa
  5. Alum
  6. Asid Amino
  7. Pewarna Makanan
  8. Sodium alginate
  9. Gelatin
Nombor 1 : ‘Magic Water’ yang mengandungi Kalsium Klorida + Pewarna Makanan = Untuk telur kuning
Nombor 2 : ‘Magic Water’ yang mengandungi Kalsium Klorida tanpa pewarna makanan = Putih telur
Nombor 3 : Acuan untuk putih telur dan kuning telur
Nombor 4 : Acuan untuk kuning telur

Step 1
Telur kuning dihasilkan daripada bancuhan Kalsium Kloride,air dan beberapa bahan kimia yang lain (‘Magic Water’) dan pewarna makanan ditambah untuk hasilkan warna kuning. Bancuhan tadi dimasukkan kedalam acuan (4) sebanyak 2/3 daripada isipadu acuan (4) tadi.
Step 2
Lepas telur kuning tadi dah beku keluar kan dan masukkan ke dalam acuan (3). Bahagian acuan (3) tadi dicelupkan kedalam bekas yang mengandungi Kalsium Klorida, air dan beberapa bahan kimia yang lain (‘Magic Water’) untuk menghasilkan lapisan putih telur. Biarkan telur selama 1jam untuk membeku dan telur boleh dibasuh selepas itu.
Step 3
Dengan menggunakan benang, telur yang tadinya dah membeku direndam dalam larutan parafin. Yang ni untuk proses membentuk cengkerang telur.
Dan ini hasilnya tapi telur tiruan ini dikatakan lebih mudah pecah berbanding dengan telur ayam biasa tu.Tapi kalau dari segi rupa memang saling tak tumpah. Rasanya pon lebih sedap dari telur ayam sebenar dan rasa sedap inilah punca keracunan makanan.

Dikatakan kos untuk membuat telur tiruan ini cuma 0.55 Yuan setiap sekilogram kalau nak dibandingkan kos untuk telur ayam sebenar ialah 5.6 Yuan sekilogram. Patut lah pon siap buat kelas buat telur tiruan sebab untung banyak kalau nak dibandingkan dengan telur ayam.

Dan khabarnya, telur tiruan ni telah menyumbang kepada masalah keracunan makanan yang semakin meningkat di China. So, hati hati lah time kita nak beli telur. Tak pasti sama ada telur tiruan ni dah ada di Malaysia atau belum. Semoga perkongsian maklumat ini dapat menghindarkan kita semua daripada manusia yang suka menipu untuk mengaut keuntungan dan kekayaan.

ANDA JUGA BOLEH MEMBACA MENGENAI TELUR TIRUAN INI DALAM BLOG YANG LAIN.

Friday, April 8, 2011

Luahan Rasa Seorang Guru


"Tegur salah tak tegus salah, kalau ditegur mereka melenting dengan kata-kata yang kasar. Kalau dibiarkan, ibu bapa akan tuduh guru-guru tidak bertanggungjawab. Inilah situasi yang berlaku di sesetengah sekolah di negara ini. Pelajar semakin berani melawan guru. Setiap sekolah ada menyediakan buku panduan peraturan disiplin yang perlu dipatuhi oleh semua pelajar, tidak kira pelajar itu anak orang kaya atau orang miskin, anak YB atau anak pemandu YB, anak Cikgu atau anak KTBM dan sesiapa juga mesti mematuhi dan menghormati peraturan sekolah.

Tidak ada sekolah di dunia ini yang tiada peraturan. Kehidupan di dalam rumah pun ada peraturan yang diselia oleh ibu bapa, setiap kampung ada peraturan, bermain dalam sukan bola sepak juga ada peraturannya. Malah kehidupan kita sebagai manusia juga ada peraturan yang terkandung dalam kitab-kitab agama. Jadi apakah pelajar merasakan peraturan yang wujud di sekolah itu sesuatu yang ganjil atau tidak perlu diadakan. Apakah pelajar hari ini beranggapan bahawa ibu bapa mereka yang bersekolah pada tahun 70-an dahulu sekolahnya tidak ada peraturan. Jika itulah anggapan pelajar, maka ia satu kesilapan yang sangat dungu.

Seingat saya ketika bersekolah pada tahun 70-an dahulu, saya pernah dirotan, diketuk kepala dengan pemadam papan hitam, telinga dipulas oleh guru. Kalau kerja sekolah tidak siap, guru akan denda dengan mencuci tandas guru, menyapu bilik guru dan sebagainya. Hari ini guru semakin malas untuk mendenda pelajar yang bermasalah. Kalau ada pun, mungkin guru tersebut sudah hilang sabar dengan kerenah pelajar yang kurang ajar dan melawan guru.

Ibu bapa dahulu kalau anaknya melawan guru, pasti akan menerima habuan daripada tangan-tangan ibu atau bapanya. Rotan, tampar, terajang malah ikat di bawah pokok adalah perkara biasa untuk menunjukkan rasa malu kerana mempunyai anak yang kurang ajar dan berani melawan gurunya.

Ingatlah kalau bukan guru... ibu bapa anda tidak akan menjadi orang yang pandai. Tanyalah ibu bapa yang anda kagumi itu, apakah dia lahir ke dunia ini terus pandai membaca, menulis dan mengira. Bill Gates yang jutawan itu pun pernah menjadi anak murid kepada gurunya. Para ulamak, para pemimpin, penyanyi pujaan dan semua manusia yang berakal dan waras akan belajar dan menuntut ilmu daripada orang yang terdahulu dan terpelajar daripadanya.

"Kalau Tidak Mahu Diajar Oleh Guru - Jangan Datang Ke Sekolah, kerana di mana ada sekolah di situ ada guru. Kecuali kalau anda pergi ke hutan memang guru tidak ada di sana... yang ada hanyalah monyet atau babi hutan".

Tuesday, April 5, 2011

Kerajaan negeri diminta tutup sekolah persendirian tidak berdaftar


ARAU 4 April - Kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran negeri diminta menutup serta-merta operasi sekolah-sekolah persendirian yang tidak berdaftar di negeri ini bagi mengelak kejadian tidak diingini terhadap murid-muridnya.

Ketua Wanita UMNO Perlis, Rela Ahmad menegaskan, tindakan itu perlu diambil agar tidak menimbulkan keraguan dalam masyarakat tentang kewibawaan golongan pendidik.

"Kita mahu sekolah-sekolah ini yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelajaran ditutup segera agar tidak mengambil kesempatan terhadap orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga murid yang meninggal dunia dipercayai dipukul oleh gurunya, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, bersama ahli pergerakan itu dan Puteri UMNO di Kampung Jejawi Hutan Buluh, Jejawi hari ini.

Turut hadir, Ketua Puteri UMNO negeri, Asmaiza Ahmad; Pengerusi Biro Kesihatan Wanita UMNO, Dr. Soraya Azmi dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Mastika Junaidah Husin.

Murid berkenaan dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah sekolah agama rakyat di sini sehingga koma minggu lalu sebelum meninggal dunia semalam.

Dalam kunjungan itu, Wanita dan Puteri UMNO Perlis turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga angkat mangsa iaitu ibu angkatnya, Hazirah Chin, 38, dan bapa angkatnya, Mohd. Zamri Shafie, 40.

Rela dan Asmaiza meminta agar kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran negeri mengambil tindakan tegas terhadap sekolah terbabit.

"Siasatan rapi perlu dilakukan terhadap pentadbiran sekolah itu supaya perkara sama tidak berulang termasuk kejadian seumpamanya yang mungkin cuba diselindungkan," tegas mereka.

Menurut mereka, kejadian tersebut juga perlu diambil iktibar oleh ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka bersekolah di sekolah yang diiktiraf oleh kerajaan dan mempunyai kokurikulum selaras dengan pendidikan arus perdana.

Sumber : Utusan Malaysia April 2011

Monday, April 4, 2011

Sistem Pilihan Raya Malaysia


1. SISTEM PILIHAN RAYA

Sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan 'First-Past-The-Post-System'. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

2. UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN PILIHAN RAYA

Bagi memudahkan pelaksanaan pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya dipatuhi sepenuhnya. Undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal adalah seperti yang berikut:

i)
Perlembagaan Persekutuan;
ii)
Perlembagaan Negeri;
iii)
Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957
iv)
Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19);
v)
Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 (Akta 5);
vi)
Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981;
vii)
Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002;
viii)
Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memain peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Antarannya termasuklah Akta Polis 1967; Akta Hasutan 1958; Akta Rahsia Rasmi 1971;
dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.


3. ELEMEN-ELEMEN PENTING PILIHAN RAYA

Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:-

i)

Bahagian Pilihan Raya

ii)

Pemilih

iii)

Calon

iv)

Proses Pilihan Raya
4. KELAYAKAN CALON

Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:

i)

warganegara Malaysia;

ii)

berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon;

iii)

tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dimana-mana dalam Malaysia bagi kerusi Parlimen; dan

iv)

tidak hilang kelayakan

Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:
i)
telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
ii)
didapati seorang bankrap; atau
iii)
memegang jawatan berkepentingan 'office of profit'; atau
iv)
gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
v)

telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak
kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau

vi)
telah memperoleh kewarganegaraan asing.
5. JENIS-JENIS PILIHAN RAYA
Terdapat dua jenis pilihan raya iaitu:
1.
Pilihan Raya Umum
2.
Pilihan Raya Kecil
Pilihan Raya Umum diadakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh 5 tahun.

Pilihan Raya Kecil pula berlaku untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di luar jangka disebabkan oleh:

i)
Kematian
ii)
Perletakan Jawatan
iii)
Hilang Kelayakan
iv)
Pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya
5. TEMPOH PILIHAN RAYA
Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, perlu diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum hendaklah diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.
Pilihan Raya Kecil juga diadakan apabila ada kekosongan dan perlu diselesaikan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang disahkan atas sebab-sebab kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
7. PERINGKAT-PERINGKAT PILIHAN RAYA
Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil di Malaysia melibatkan enam peringkat iaitu pengeluaran writ, penamaan calon, kempen pilihan raya, pengundian, penjumlahan rasmi undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.
(i)
Pengeluaran Writ

Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.

(ii)
Penamaan Calon

Pada hari penamaan calon yang ditetapkan, diantara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, Pegawai Pengurus akan menerima borang-borang penamaan dari calon, pencadang atau penyokong atau ketiga-tiga sekali. Selain dari penyerahan tiga salinan borang penamaan, calon, pencadang atau penyokong perlu juga menyertakan deposit pilihan raya dan Borang Akaun Berkanun iaitu Borang 5 untuk calon bagi ahli Dewan Rakyat dan Borang 5A untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri. Borang-borang ini perlu dimatikan setem di Pejabat Duti Setem.

Kertas-kertas penamaan yang diterima akan di pamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang terdaftar di kawasan berkenan. Apabila selesai urusan tersebut Pegawai Pengurus akan mengistiyarkan calon-calon yang layak bertanding. Jika hanya seorang saja calon yang layak, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.

(iii)
Kempen Pilihan Raya

Selepas sahaja urusan penamaan calon selesai, calon-calon atau wakilnya bolehlah memulakan urusan kempen yang terdiri daripada pemasangan poster, ceramah-ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah. Aktiviti kempen ini perlu dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.

Untuk tujuan kempen, calon-calon dikehendaki membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Begitu juga pemasangan poster ia perlu membayar sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan. Bagi membolehkan calon-calon mengadakan ceramah terbuka mereka perlu mendapat kelulusan dari pihak polis.

(iv)
Pengundian

Pada hari mengundi yang telah ditetapkan, pemilih-pemilih yang namanya ada didalam daftar pemilih akan keluar mengundi di pusat-pusat mengundi yang telah ditetapkan. Pada amnya masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR ialah antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang diseluruh negara. Namun demikian ada juga kawasan yang masa mengundinya dipendekkan atas alasan keselamatan dan kesukaran pengangkutan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Setiap pusat mengundi biasanya mempunyai lebih dari satu tempat mengundi. Ianya diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi dan dibantu oleh dua hingga empat orang pembantu.

Bagi pengundi-pengundi tidak hadir atau kalangan yang layak mengundi secara pos, mereka boleh mengundi lebih awal dari hari mengundi yang ditetapkan. Namun demikian semua kertas undi yang telah ditandakan perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus pada jam 5.00 petang hari mengundi tersebut.

(v)
Penjumlahan Rasmi Undi

Sebaik saja urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiran kertas undi. Keputusan pengiraan undi ini akan dimasukkan kedalam borang 14. Semua borang 14 ini akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk dibuat Penjumlahan Rasmi Undi. Pegawai Pengurus setelah menyemak Borang 14 ini dan jika didapati betul beliau akan mengumumkan kepada orang ramaisatu persatu dan jika terdapat keraguan beliau akan menyemak semula dengan Borang 13 – Penyata Kertas Undi.

Apabila semua keputusan Borang 14 - Penyata pengundian Selepas Pengiraan Undi dan Borang 15 - Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Kertas Undi Pos diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya.

(vi)
Pengumuman Keputusan Pilihan Raya

Setelah selesai menjumlahkan Borang 14 dan 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya yang berkenaan. Keputusannya tidak boleh dipertikaikan. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh mengemukakan di Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen pilihan raya.

Carta Proses Pilihan Raya
8. DEPOSIT PILIHAN RAYA

Bagi calon-calon yang hendak menyertai pilihan raya mereka dikehendaki membayar wang deposit pilihan raya berjumlah seperti berikut:-

  1. Pilihan Raya Parlimen – RM 10,000.00
  2. Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri – RM 5,000.00

Wang deposit ini perlu dibayar kepadaPegawai Pengurus atau Pengarah Pilihan Raya Negeri selewat-lewatnya pada jam 10.00 pagi pada hari penamaan calon. Deposit Pilihan Raya boleh dibayar dalam bentuk wang tunai atau draf bank.

Calon-calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperolehi 1/8 daripada jumlah undi yang di perolehi oleh semua calon yang bertanding di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.

Carta Deposit Pilihan Raya
9. PENGGUNAAN SIMBOL PARTI

Calon-calon boleh mengunakan simbol parti politik jika mendapat kebenaran daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon yang tidak mewakili parti boleh menggunakan simbol Bebas yang telah di sediakan oleh SPR (Sila rujuk simbol-simbol Parti).

10. PASUKAN PENGUAT KUASA KEMPEN PILIHAN RAYA

Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar, SPR mempunyai kuasa di bawah seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya 1958 dan seksyen 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguatkuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya di setiap bahagian pilihan raya Parlimen .

Keanggotaan pasukan ini adalah terdiri daripada:-

(a)
Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik di bawah seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya 1958
(b)
Seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari inspektor.
(c)
Seorang wakil pihak berkuasa tempatan.
(d)
Seorang wakil parti politik/calon.

Fungsi-fungsinya ialah:-

(a)
Mengawasi dan memantau semua aktiviti calon
(b)
Menurunkan semua bahan kempen yang bercanggah dengan undang-undang Pilihan Raya
(c)
Menghentikan ucapan dan syarahan yang melanggar undang-undang pilihan raya.
(d)
Mengawal dan menyelaras aktiviti berkempen
11. BARONG SPR

Undang-undang yang ada sekarang melarang calon daripada mendirikan sebarang barong atau pondok panas di dalam kawasan calon itu bertanding. Namun demikian calon-calon dibenarkan untuk mengadakan pejabat parti untuk urusanya di luar kawasan 50 meter dari pusat mengundi. Bagi memastikan kelancaran pengundian, SPR akan mengadakan Barong SPR di pusat-pusat mengundi. Tujuaan barong ini diadakan adalah untuk membantu pemilih menyemak nama mereka berada di dalam daftar pemilih dan penentuan pusat dan tempat mengundi mereka supaya pengundian dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

12. PERBELANJAAN PILIHAN RAYA

Calon-calon dibenarkan membelanjakan untuk urusan pilihan raya mereka berdasarkan jumlah berikut :-

(a)
Parlimen : Tidak lebih daripada RM200,000.00
(b)
Dewan Undangan Negeri : Tidak lebih daripada RM100,000.00

Calon-calon dikehendaki mengemukakan penyata perbelanjaan kepada SPR dalam tempoh 31 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Calon-calon dan ejen pilihan raya yang gagal berbuat demikian menyebabkan mereka tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun akan datang.

13. JENIS-JENIS PENGUNDIAN

Terdapat dua jenis pengundian di Malaysia:-

(a)
Pengundian biasa – ianya melibatkan pemilih-pemilih biasa yang akan mengundi pada hari yang ditetapkan sebagai hari mengundi.
(b)
Pengundian pos – ianya melibatkan pengundi tidak hadir yang terdiri daripada angkatan tentera dan pasangannya, pelajar di luar negara dan pasangannya serta kakitangan awam yang berkhidmat di luar Negara dan pasangannya.
Pengundi-pengundi lain yang dibenarkan mengundi secara pos ialah:
(i)
Petugas Pilihan Raya
(ii)
Anggota polis dan pasangan, anggota polis hutan
(iii)
Ahli panel dan Pegawai SPR
(iv)
Mana-mana kategori yang ditetapkan oleh SPR layak untuk mengundi secara pos melalui pewartaan

Pengundian pos ini akan diadakan lebih awal iaitu sebaik sahaja kertas undi di cetak dan mereka perlu mengemukakan kertas undi tersebut yang telah ditanda ke Pejabat Pegawai Pengurus selewat-selewatnya pada jam 5.00 petang pada hari mengundi.

14. ALASAN-ALASAN UNTUK PETISYEN PILIHAN RAYA

Keputusan pilihan raya hanya boleh di cabar di mahkamah pilihan raya melalui petisyen pilihan raya. Ianya hendaklah di kemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Sesuatu petisyen pilihan raya hanya boleh dibuat atas alasan-alasan berikut:-

(a)
Sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang boleh menjejaskan pilihan raya
(b)
Ketidakpatuhan peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya
(c)
Perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon-calon atau ejen-ejennya.
(d)
Calon atau ejennya didapati tidak layak untuk menyertai pilihan raya.


Untuk bacaan lanjut sila lawat laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.