Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Sunday, September 30, 2012

BAJET 2013 : Apa yang paling saya suka

Sebagai kakitangan kerajaan secara jujurnya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Abd Razak atas pengumuman bajet 2013. Berikut antara kandungan bajet yang paling saya suka:

1. BONUS 1 bulan setengah untuk kakitangan kerajaan
2. BANTUAN RM100 untuk pelajar sekolah
3. BR1M  RM500 untuk isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000
4. BAUCER BUKU RM250 untuk pelajar IPT dan Tingkatan Enam
5. CUKAI INDIVIDU pengurangan 1% kadar cukai pendapatan
6. PINJAMAN PTPTN 20% diskaun untuk bayaran sekali gus dan 10% untuk bayaran secara konsisten
7. RM1.9 bilion untuk projek rumah mampu milik


TERIMA KASIH DAUN KELADI TAHUN DEPAN MESTI DAPAT LAGI

Sunday, September 23, 2012

Demam Iphone 5


BARU-BARU ini, pengeluar jenama iPhone, Apple mengumumkan model iPhone terbaru mereka iaitu iPhone 5 yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat di seluruh dunia.
Namun, apakah ciri-ciri menarik yang ditampilkan oleh iPhone 5 berbanding model sebelum ini iPhone 4s? Adakah harga yang akan diumumkan kelak di Malaysia boleh dimiliki oleh peminatnya di sini atau terlalu mahal untuk sebuah telefon pintar.
Apakah ciri-ciri menarik yang terdapat dalam iPhone 5 ini? Apakah kelebihan dan kekurangan yang mungkin terdapat dalam telefon kegilaan ramai ini?
iPhone 5 menampilkan rekaan yang jauh lebih ringan, nipis dan pantas berbanding model sebelum ini dengan hanya memiliki ketebalan 7.6 mm dan berat 112 gram.
Sistem operasi turut dinaik taraf oleh Apple dengan memperkenalkan iOS6 bagi menggantikan iOS5 sebelum ini yang turut disertakan dengan 200 ciri-ciri tambahan lain dalam iPhone 5.
Selain itu, ciri lain yang ditambah dalam iPhone 5 adalah seperti kamera bersaiz 8 megapiksel dengan mode panorama dan mengambil gambar ketika kurang pencahayaan.
Apple juga memperkenalkan cip terbaru mereka A6 yang menggantikan cip A5 sebelum ini yang memberi dua kali kuasa kelajuaan dan 22 peratus lebih kecil berbanding cip sebelum ini.
Bagi menyaingi model-model pesaingnya yang tampil dengan paparan yang lebih besar, iPhone 5 turut memperkenalkan paparan Retina bersaiz 4 inchi (10.16cm) dengan resolusi 1136x640.
Bagi kelajuan capaian Internet pula, Apple turut memperkenalkan LTE dalam iPhone 5 keluaran mereka ini membolehkan pengguna melayari Internet dengan lebih pantas dengan iPhone mereka.
Selain itu, ciri-ciri baru yang ditampilkan oleh iPhone 5 adalah kamera iSight, paparan peta 3 dimensi, penambahan jawapan bagi Siri dan penggunaan penyambungan Lightning.
Bagi penyambungan Lightning pengguna dapat menggunakan kedua-dua bahagian ketika proses pemindahan data mahupun mengecas bateri berbanding satu permukaan pada penyambungan 30 pin yang lama.
Namun begitu, bagi pengguna iPhone sebelum ini yang mempunyai kemudahan mengecas ataupun pemain iPod di kereta atau di rumah terpaksa membeli penyambungan tambahan menyebabkan pengguna iPhone 5 terpaksa mengeluarkan belanja tambahan.
Sementara itu, disebabkan oleh reka bentuknya yang nipis, Apple turut memperkenalkan kad sim nano yang mana ia 40 peratus lebih kecil berbanding kad sim mikro yang diperkenalkan dahulu.
Ini akan memberi pro dan kontra kepada pemilik iPhone apabila terpaksa menukar kad sim mereka apabila hendak menggunakan iPhone 5 ini.
Secara keseluruhannya, iPhone 5 tidak banyak memberi ciri-ciri menarik yang diharapkan, namun ia masih lagi sebuah telefon pintar yang dapat memberi kepuasan kepada peminatnya.
Harga di Amerika Syarikat adalah USD199 (RM610) dengan penggunaan plan syarikat telekomunikasi di sana dan mari kita tunggu harga dari syarikat telekomunikasi di Malaysia pula.

Monday, September 17, 2012

Kebebasan bersuara AS tak boleh diterima

Kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton yang mendakwa negaranya tidak berupaya bertindak terhadap pihak yang mencetuskan keganasan anti-Islam atas alasan kebebasan bersuara tidak boleh diterima umat Islam di seluruh dunia. pembikinan filemInnocence of Muslims itu bukan lagi tertakluk dalam konteks kebebasan bersuara tetapi telah menyalahgunakan kebebasan tersebut untuk menghasilkan filem bertujuan menghina agama Islam. Kebebasan bersuara ada hadnya dan bukannya bermaksud kita boleh sesuka hati menghina, memperlekeh dan membuat fitnah terhadap orang lain. Apatah lagi ia menghina ketokohan Nabi Muhammad SAW dan Islam. Kebebasan bersuara sepatutnya digunakan untuk melahirkan pandangan dan pendapat untuk kebaikan dan bukannya memperlekehkan agama dan bangsa lain.

Wednesday, September 12, 2012

Pentaksiran secara holistik

Ekoran rungutan dan dakwaan pelbagai pihak bahawa sistem pendidikan negara terlalu berpaksikan peperiksaan maka kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.

Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.

Matlamat itu seperti yang terkandung pada capaian Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

Sistem PBS ini mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang dianggap berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.

Namun, apakah sebenar objektif PBS? Umum mengetahui pelaksanaan sistem baru ini ialah mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu, memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu dan membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.

Ia mengandungi proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Harus ditegaskan bahawa Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.

Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

PBS memberi autonomi kepada guru melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid kerana tujuan sistem ini diperkenalkan ialah untuk membantu guru dan murid mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Wajar diingatkan bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain malah kejayaan murid diukur bersandarkan standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran.

Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju.

Apa yang penting, PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, ia bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan beban tugas guru.

Lebih jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi suatu bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.

Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my