Thursday, June 30, 2011

1 Murid 1 Sukan



Untuk maklumat yang lebih lanjut sila baca dalam laman web Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sunday, June 26, 2011

9 Julai yang menakutkan


Pengumuman pihak tertentu untuk mengadakan Demonstrasi secara besar-besaran di sekitar Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011, telah menjadikan ramai rakyat Malaysia yang cinta kepada keamanan menjadi resah dan susah hati. Saya sendiri walaupun tinggal di Negeri Sabah, juga merasa risau takut suasana huru-hara itu akan dituruti oleh penduduk Sabah yang juga terpengaruh dengan janji-janji pemimpin politik yang gila kuasa.

Sejarah masa lalu telah membuktikan bahawa 'Demonstrasi Jalanan' tidak pernah memberi kebaikan kepada kehidupan rakyat. Mungkin kebaikan itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang ada kepentingan politik. Pemimpin atau penganjur aktiviti yang berunsur jenayah ini pastinya tidak peduli akan kesan buruknya kepada kehidupan aman damai rakyat Malaysia. Bagi mereka, yang penting ialah nafsu dan cita-cita untuk menghuru-harakan negara ini tercapai. Harapan untuk melihat kerajaan yang mentadbir negara hilang pengaruh menjadi keutamaan.

Apa pun nama yang digunakan untuk mengadakan demonstrasi jalanan ini adalah tidak penting kerana kesannya nanti pasti akan membawa banyak kemusnahan daripada kemajuan. Berselindung di sebalik penggunaan 'BERSIH' sebagai tema adalah ibarat 'sambil menyelam sambil minum air' atau 'Ada udang di sebalik batu'. Kalau pilihan raya di Malaysia ini tidak bersih dan adil, sudah tentulah parti politik seperti DAP, PAS dan KEADILAN, tidak akan dapat menguasai P.Pinang, Kedah, Selangor dan seketika negeri Perak. Manakala negeri Kelantan tetap menjadi sumber rezeki para pemimpin PAS. Pada pilihan raya negeri Sarawak pula DAP berjaya menambah jumlah kerusi DUN. Ini bukan mimpi tapi kenyataan yang telah disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia.

Bantahan dan laporan yang mencecah ribuan daripada pelbagai lapisan rakyat kepada Pasukan Polis adalah bukti ramai rakyat di negara ini mahukan rancangan pihak yang gila politik ini dihentikan. Tunggulah PRU-13 yang bakal dilaksanakan kelak. Tempoh pentadbiran Barisan Nasional sebagai kerajaan masih sah sekurang-kurannya 2 tahun lagi. Kalau rakyat memang inginkan perubahan, parti PKR akan menang dan jadilah kamu Perdana Menteri beramai-ramai. Tapi jika rakyat tetap memilih Barisan Nasional sebagai parti yang baik untuk meneruskan perjuangan negara bangsa Malaysia, maka pihak yang kalah harus menerima hakikat.

Kerjaya sebagai pengamal undang-undang seharusnya digunakan untuk membela rakyat yang tertindas oleh kerajaan negeri yang zalim. Janganlah jadi seperti 'kacang lupakan kulit'. Negara ini banyak memberi peluang kepada kita untuk menjadi rakyat yang hidup harmoni. Hasil kekayaan dan kehebatan dalam bidang profesional yang diperolehi adalah hasil kepimpinan yang banyak bertolak ansur kepada semua kaum di negara ini. Hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam dan mempunyai Raja-Raja Melayu tidak mungkin dapat diubah oleh bangsa lain, melainkan oleh orang Melayu yang sudah hilang KEMELAYUANNYA. Perpaduan kaum adalah kunci kepada pembangunan Malaysia. Negara ini adalah milik semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Jika pemimpin politik tidak lagi mahu bertanggungjawab kepada keamanan dan kemakmuran negara ini, maka jalan terbaik adalah 'BERHENTILAH' daripada menjadi orang politik. Janganlah jadi penjenayah politik kerana ingin berkuasa.

Friday, June 24, 2011

Amerika Syarikat : Negara Bangkrap


Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Amerika Syarikat (AS) kini sebenarnya sudah bankrap tetapi menafikannya kerana beranggapan ia masih menjadi kuasa besar ekonomi dunia.

Berikutan itu, beliau melabelkan AS sebagai sebuah negara yang gagal di dalam ekonominya.

''AS sebenarnya sebuah negara yang gagal kerana bankrap, mencatatkan defisit berganda dan wang yang mereka ada pun adalah wang cetak.

''Tapi AS masih mahu menyangkal kedudukan mereka (bankrap),'' katanya ketika menyampaikan ucaptama di CEO Forum anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Secara sinikal Mahathir berkata, seandainya Malaysia mengalami kedudukan ekonomi yang sama seperti AS, sudah lama negara ini diisytiharkan bankrap.

Bagi menutup kelemahan mereka, AS terus sibuk memperjuangkan demokrasi liberal di Iraq, Afghanistan dan terbaharu di Libya.

Beliau berkata, negara-negara kaya selalu berada dalam radar persaingan sesama sendiri tetapi masih gagal untuk bersaing dengan negara-negara yang baru muncul.

''Negara-negara kaya ini selalu mendesak supaya negara-negara lain melakukan perubahan dan sasaran mereka adalah negara-negara kecil dan miskin.

''Tetapi, apabila melihat keadaan ekonomi negara-negara itu sekarang, nampaknya mereka juga tidak tahu untuk menguruskan kewangan mereka.

''Kegagalan mereka (kendalikan kewangan) menyebabkan negara-negara kecil turut merasai krisis ekonomi yang berpunca daripada mereka,'' tambahnya.

Sambil memberi contoh, Mahathir berkata, selain AS, Greece masih lagi dibelenggu dengan krisis hutangnya.

''Satu-satunya negara yang tidak menerima kesan daripada apa yang berlaku di negara-negara kaya ialah China.

''Sebaliknya, dengan kekayaan yang dimiliki China sekarang, negara itu mampu membeli bon-bon di AS,'' tambah beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 23 Jun 2011

Tuesday, June 21, 2011

Ebook : Rahsia Bisnes Pejabat Pos




Imej atau gambar yang anda lihat di atas adalah maklumat tentang bagaimana mencari sumber pendapatan tambahan hanya dengan menggunakan Pejabat Pos. Sebenarnya penggunaan pejabat pos sebagai medium perniagaan sudah lama wujud di Malaysia. Rakan-rakan saya bertugas di Sabah selalu menggunakan pejabat pos untuk membantu saudara-mara mereka di Semenanjung menjual barangan tekstil seperti kain dan tudung. Begitu juga peniaga-peniaga barangan perhiasan dari Sabah akan menggunakan perkhidmatan kiriman pos untuk menghantar tempahan ke Semenanjung Malaysia. Misalnya perniagaan mutiara atau kraftangan tradisional Sabah. Ebook ini sangat berguna kepada anda yang ingin memulakan perniagaan secara jarak jauh.

Sunday, June 19, 2011

Nanoteknologi: Teknologi 'seni' berimpak besar


Pada tahun 2009, kerajaan telah mengenal pasti nanoteknologi sebagai jentera pertumbuhan kepada Model Baru Ekonomi (MBE) dan menyarankan ia diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Nanoteknologi merupakan ilmu satu sains yang unik pada skala nano (1-100 nm) muncul daripada paduan semua ilmu sains kimia, fizik dan biologi. Nanoteknologi terbukti menyokong kemunculan pelbagai teknologi dan produk baru yang mampu melonjak ekonomi dan kualiti hidup sesebuah negara. Malaysia mampu bekerjasama dalam bidang nano sejak awal 2000 di peringkat global dan mengikut kemampuan serta kemahiran yang sedia ada telah menyumbang kepada rantai inovasi yang merangkumi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.
Nano berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud 'kerdil'. Dengan lebih tepat, satu nano ialah saiz yang sangat kecil iaitu satu per bilion meter. Mengikut ukuran, satu nanometer ialah 0.000000001 meter. Sudah tentu nano tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia adalah seratus ribu kali lebih kecil dari saiz sehelai rambut atau seperti manusia di bulan melihat bola sepak di bumi. Nanoteknologi ialah teknologi abad ke-21 yang dijangka memberi kesan yang ketara kepada kehidupan manusia. Selepas teknologi komputer, nanoteknologi merupakan satu lagi bidang yang akan berkembang dengan pesat dalam abad ini. Ia sememangnya telah lama wujud. Hanya manusia tidak mampu mengkajinya dalam skala yang terlalu kecil untuk diolah dengan deria yang ada pada manusia.
Walaupun nanoteknologi masih belum difahami oleh orang awam dan masih belum meluas penggunaannya, ilmu nano atau nanosains telah wujud beberapa tahun di kalangan ahli akademik dan saintis. Dengan berasaskan ilmu sains asas iaitu fizik, kimia, biologi dan matematik serta bantuan kemajuan peralatan seperti mikroskop yang sensitif, manusia kini mampu menyusun, mengubahsuai atom dan molekul dan membina sistem, bahan dan fenomena baru dengan sifat yang menakjubkan yang tidak pernah dipamerkan sebelumnya. Nanoteknologi merupakan penemuan baru yang berlaku dalam skala nano (1-100 nm) yang menghasilkan produk dengan sifat baru yang berbeza. Ia lebih berkesan daripada bahan sama ada dalam keadaan pukal yang lebih besar atau atom yang lebih kecil. Nanoteknologi merupakan satu fenomena aneh yang berlaku pada skala nano dalam keadaan yang kompleks, yang lebih penting, ialah fenomena tersebut mempunyai banyak penggunaan.
Secara ringkas, ilmu nano ialah ilmu halus. Bukan ilmu ghaib, tetapi ilmu fenomena seni yang berlandaskan fakta sains dan inovasi. Dari perspektif eksploitasi industri dan penggunaan, nanoteknologi berpotensi menghasilkan produk dan proses hijau yang lebih kecil, pantas, pintar, murah, selamat, bersih dan mesra alam sekitar daripada yang sedia ada dalam pasaran. Perkembangan nanoteknologi menghasilkan produk merentasi semua sektor. Daripada tekstil hingga ke elektronik.
Sehingga kini, terdapat lebih 1,000 produk nano dalam pasaran. Antara produk yang telah dikomersialkan ialah bahan berstruktur nano logam, polimer dan seramik, mangkin, fabrik kalis kotoran serta bahan pengadang matahari. Produk lain termasuk bahan pengikat gigi, dakwat pencetak resolusi tinggi, paparan kamera digital, televisyen paparan rata dan cakera keras komputer muatan tinggi. Penggunaan nanoteknologi dalam rawatan dan pengolahan air, penghasilan, pengubahan dan simpanan tenaga, diagnosis dan imbasan penyakit, sistem penghantaran ubat-ubatan, pemantauan kesihatan, pemulihan pencemaran udara, pemprosesan makanan, peningkatan produktiviti pertanian dan kawalan dan penentuan serangga.
Teknologi ini akan membantu negara membangun seperti mencapai lima daripada lapan Matlamat Pembangunan Milenium dan menyumbang kepada sembilan daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang telah dilancarkan baru-baru ini. Malaysia seharusnya terus menumpukan usaha ke arah pemerkasaan pendidikan dan pembangunan kepakaran, penyelidikan dan keusahawanan dalam bidang ini agar aktiviti nanoteknologi akan dapat meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat.
Semua peringkat masyarakat perlu memahami ilmu nano dan bersedia menghayati budaya nanoteknologi sepenuhnya. Kesedaran dan penghayatan nanoteknologi memakan masa kerana nanoteknologi ialah satu pelayaran saintifik untuk masa hadapan. Penubuhan Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND) di MOSTI pada tahun 2010, dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM20 juta bagi tahun 2011-2012, membuktikan komitmen kerajaan ke arah kemajuan ilmu nanoteknologi yang merentas bidang dan multidisiplin.
Hasrat dan tujuan inisiatif nanoteknologi telah diwartakan dalam Pernyataan Nanoteknologi Nasional iaitu kerajaan beriltizam menjadikan nanoteknologi sebagai jentera penggerak bagi pertumbuhan ekonomi baru, pembangunan mapan negara dan kesejahteraan masyarakat. Inisiatif pembangunan nanoteknologi akan menyediakan platform bagi penyelidikan sains dan kejuruteraan, untuk mereka cipta produk dan perkhidmatan yang inovatif dan berpotensi untuk dipasarkan.
Nanoteknologi adalah bidang ilmu pengetahuan yang inovatif dan bersepadu. Melalui lima Pernyataan Nanoteknologi Nasional iaitu pembudayaan nanoteknologi, pengukuhan penyelidikan dan inovasi nic negara, Peningkatan Kerjasama dan Jaringan Perhubungan, Penguatkuasaan Undang-undang dan Akta, serta Promosi dalam pengkomersialan dan perindustrian ia akan menjadikan ia sebagai landasan utama untuk pembangunan negara.
Kesemua inisiatif sedang dilaksanakan oleh NND melalui Program NanoMalaysia. Antara inisiatif utama ialah penubuhan Pusat NanoMalaysia (NMC) di Iskandar Malaysia yang akan meletakkan Malaysia sebagai pusat perkembangan ilmu berkaitan nanoteknologi dan aplikasinya dan melaksanakan pemasaran dan perniagaan produk nanoteknologi buatan Malaysia yang dipacu oleh syarikat tempatan. Perlaksanaan Program NanoMalaysia dijangka akan memastikan pencapaian objektif nanoteknologi untuk menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus (RM17 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2020.
Dengan kemajuan dan perkembangan yang telah bermula dalam banyak bidang penyelidikan, agak sukar untuk kita menolak potensi dan manfaat nanoteknologi. Ternyata 60 negara di dunia yang telah melancarkan dan melaksanakan inisiatif nanoteknologi di negara masing-masing tidak seharusnya dianggap silap langkah.Lumrahnya, seperti semua perubahan dan anjakan paradigma, jika berlaku, sudah pasti akan ada baik dan buruknya.Semuanya terpulang kepada kita untuk menentukan hala tujunya sama ada untuk memberi manfaat atau musibah.
Sebab itu, modal insan yang berpengetahuan dalam ilmu sains asas sangat perlu sebagai persediaan untuk kita mengendalikan nanoteknologi. Dengan pemerolehan ilmu melalui penghampiran yang betul, nanoteknologi boleh dibangunkan menggunakan panduan dan kawalan supaya teknologi ini tidak menyebabkan sebarang kemusnahan dan bahaya. Dengan perlaksanaan yang terkawal, sama seperti sebarang teknologi baru, nanoteknologi dijangka akan dapat dilaksanakan dengan selamat dan memberikan manfaat kepada manusia sejagat, seperti mana yang dijanjikan. Persoalannya, perlukah kita mengorak langkah dari sekarang untuk menikmati kesejahteraan hidup dengan nanoteknologi, atau, tunggu dan lihat dan sekali lagi ketinggalan?

Sumber : Utusan Malaysia 13 Jun 2011
Dr.Halimaton Hamdan

Friday, June 17, 2011

Realiti Sistem Pendidikan Malaysia


"Peperiksaan adalah teras sistem pendidikan Malaysia". Semua guru diminta, diarahkan, disuruh mengajar pelajar-pelajar sekolah untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Pencapaian gred A yang banyak sangat dipentingkan untuk mengukur kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru masuk ke kelas dengan membawa sekali pemikiran untuk menghabiskan sukatan pelajaran sebelum peperiksaan menjelang. Ketua Bidang diminta membuat pemantauan guru-guru yang mengajar di dalam kelas. Ketua-ketua Panitia pula diarahkan menyemak bab mata pelajaran yang diajar oleg guru mata pelajaran. Sukatan mata pelajaran mesti selesai pada bulan Jun. Kalau ada guru yang lambat menghabiskan bab, diarahkan membuat kelas tambahan pada sebelah petang.

Di pihak pentadbiran PPD, markah peperiksaan hendaklah dihantar secepat mungkin. Alasan yang diberi markah tersebut akan dibawa dan dibincangkan di peringkat Negeri. Sekali lagi pegawai yang hadir diminta menjelaskan pencapaian sekolah-sekolah yang ada di bawah pentadbiran PPD. Pentadbiran PPD yang cemerlang juga diukur dengan tahap pencapaian peperiksaan umum.

Terlalu mementingkan keputusan peperiksaan menyebabkan kualiti pengajaran guru semakin tidak penting. Sebaliknya latihan menjawab soalan-soalan peperiksaan lebih diutamakan. Guru yang banyak memberi latihan kepada pelajarnya adalah guru yang baik dan disukai oleh ibu bapa. Pelajar yang pandai memang suka dengan aktiviti ini, namun pelajar yang lemah dan kuarng pandai akan terus mengeluh kerana dipaksa menjawab soalan-soalan latihan yang banyak.

'Hari-hari masuk kelas mesti buat latihan menjawab soalan latihan. Masuk makmal sains pun bukannya buat eksperimen. Pasang LCD salin buat nota". Subjek Sejarah lagi membosankan. Hari-hari cikgu menyuruh kami membaca, salin nota dan jawab soalan latihan". Jawapan yang pernah keluar dari mulut seorang pelajar tingkatan lima sains.

Konflik guru dengan pelajar yang kurang cemerlang akademik berterusan dengan ungkapan-ungkapan negatif. Pelajar yang lulus cemerlang dipuji, diberi hadiah, diberi tumpuan agar mata pelajaran yang diajar terus cemerlang keputusannya. Ibu bapa pula sering membandingkan anaknya yang lemah itu dengan anak-anak jirannya. Kadang-kadang anak dimarahi kerana memalukan keluarga. Tekanan yang bertubi-tubi menjejaskan emosi.

Terlalu mementingkan sistem peperiksaan, menyebabkan anak-anak Malaysia hanya pandai menghafal jawapan. Membaca buku untuk lulus peperiksaan. Tiada peperiksaan tiada buku. Budaya membaca buku hanya berlaku dalam kalangan mereka yang tahu kepentingan ilmu pengetahuan.

Tuesday, June 14, 2011

Contoh Karangan Pelajar Yang Malas Membaca

Negara Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum. Perpaduan yang terjalin amat penting supaya kita dapat hidup dengan aman dan damai. Walau bagaimanapun,kehidupan berbilang kaum seperti inilah yang mempunyai banyak cabaran dan dugaan. Sehubungan dengan itu, pelbagai strategi perlu dilaksanakan agar perpaduan di Malaysia dapat dikekalkan.

Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Najib Tun Abd.Razak perlulah dilaksanakan dengan baik dan perlu sering dilakukan.Perkara ini perlu dilakukan kerana ia dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kaum di Malaysia. Konsep Satu Malaysia yang berslogan 'Menjana Transformasi Negara' penting untuk perubahan kepada perpaduan yang berbilang kaum. Pelbagai program yang berteraskan konsep satu Malaysia perlu dilaksanakan seperti program kesenian dan kebudayaan.

Sumber: Skrip Jawapan Pelajar

Saturday, June 11, 2011

Main 'Forex' : Halal atau Haram?



PASTINYA ramai di antara kita pernah mendengar dan terjebak dalam perdagangan matawang asing atau lebih dikenali sebagai 'forex'.

Sememangnya perniagaan tersebut cukup popular di kalangan masyarakat hari ini kerana pulangannya yang cukup lumayan sehingga mampu mencecah ribuan ringgit sebulan.

Forex ialah aktiviti yang melibatkan urusniaga satu matawang kepada matawang yang lain. Para peniaga matawang asing mendapat keuntungan melalui perbezaan harga beli dan harga jual sesuatu matawang.

Secara umumnya aktiviti tersebut dilakukan dengan beberapa kaedah. Antaranya melabur dalam syarikat yang menjalankan forex di mana suatu jenis perdagangan atau transaksi yang memperdagangkan matawang sesuatu negara terhadap matawang negara yang lain selama 24 jam secara berterusan.

Atau kaedah lain pula ia dijalankan secara sendirian. Iaitu dengan melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan simpan.

Namun, tidak ramai yang mengetahui hukum menyertai perniagaan tersebut sama ada dibolehkan atau sebaliknya.

Sebenarnya banyak pakar kewangan Islam ada membincangkan berkenaan menyertai aktiviti tersebut. Bagaimanapun akibat tiada fatwa khusus yang dikeluarkan.

Berdasarkan Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam Malaysia yang bersidang baru-baru ini ada membincangkan secara langsung hukum perniagaan itu.

Muzakarah tersebut dibahaskankan oleh dua kumpulan melalui tiga pembentangan iaitu kumpulan pertama terdiri daripada penyelidik Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Profesor Madya Dr. Muhammad Som, Dr. Marjan Muhammad, Luqmanul Hakim Hussain dan Wan Norhaziki Wan Abdul Halim.

Kumpulan kedua pula dianggotai penyelidik dari Universiti Utara Malaysia iaitu Profesor Madya Dr. Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib dan Dr. Muhammad Nasri Hussain.

Hasil daripada pembentangan kedua-dua kumpulan itu telah membangkitkan beberapa isu penting yang menyebabkan aktiviti tersebut tidak dibenarkan dari segi hukum syarak kerana terdapat unsur-unsur riba dan perjudian yang jelas dilarang dalam Islam.

Muzakarah oleh kumpulan pertama itu membincangkan mengenai perdagangan matawang individu secara lani (individual spot forex) yang dijalankan melalui platform Internet.

Secara umumnya, untuk seseorang individu memulakan perdagangan matawang asing secara dalam talian (online), beberapa perkara perlu disediakan iaitu talian Internet, platform matawang asing dan akaun kewangan.

Lalu isu syariah yang timbul daripada spot forex itu apabila diperincikan kepada syarat-syarat jual beli matawang asing antaranya pinjaman (leverage atau qard), caj broker (rollover interest), penerimaan (Qabd), menjual matawang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian ternyata ia tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan berhubung jual beli matawang (bay' al-Sarf).

Di dalam feqah (ilmu yang menerangkan segala hukum syarak yang diambil daripada Al-Quran dan Sunnah Rasululllah s.a.w.), ia meletakkan syarat akad jual beli lain tidak boleh disekalikan dengan akad pinjaman. Ia dikenali dengan permasalahan 'bayn wa salaf' iaitu jual beli berserta dengan pinjaman.

Pengharaman jual beli itu disepakati seluruh ulama berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tidak halal salaf (pinjaman) beserta jual beli". (riwayat Abu Daud).

Hadis itu secara nyata menunjukkan haram menghimpunkan antara akad pinjaman dan akad jual beli dalam satu akad.

Di dalam konteks perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum larangan ini kerana broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage kepada pedagang yang membuka posisi di platformnya sahaja.

Dan dimaklumi bahawa perdagangan forex adalah satu bentuk jual beli iaitu pertukaran wang dengan wang, yang dinamakan 'bay Sarf', dan ia termasuk dalam umum jual beli yang disebut dalam hadis.

Unsur kombinasi antara dua akad tersebut dikemukakan sebagai hujah oleh Akademi Fiqh Islam yang memutuskan tidak membenarkan perniagaan berdasarkan margin dalam satu resolusi yang dibuat pada persidangan ke-18 pada 12 April 2006.

Isu yang yang timbul daripada kewujudan unsur pinjaman daripada broker ialah terdapatnya riba yang jelas melalui faedah atau bunga.

Selain itu, persidangan tersebut juga memutuskan bahawa caj rollover yang dikenakan oleh penyedia platform spot forex terdapat unsur riba melalui penerimaan atau pemberian faedah rollover oleh pedagang forex.

Selain isu halal dan haram, perdagangan matawang asing juga melibatkan undang-undang Malaysia.

Sejak dahulu lagi, Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah.

Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1), (2) dan (3) Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang melarang individu berurus niaga matawang asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia.

Manakala, muzakarah oleh kumpulan kedua pula merumuskan mengenai perdagangan matawang asing dalam talian (forex online) adalah tidak dibenarkan dalam Islam kerana terdapat perkara yang menyalahi hukum iaitu pembelian wang tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan kontrak sarf (perdagangan matawang asing) dan mengandungi unsur riba.

Unsur pemberian pinjaman yang terdapat dalam forex online oleh broker turut tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur riba apabila broker itu mendapat manfaat daripada pinjaman seperti syarat yang dikenakan.

Dalam masa sama, didapati juga urusniaga tersebut mengandungi unsur perjudian apabila ia secara jelas bergantung kepada turun naik harga atau angka yang ternyata dilarang oleh syarak.

Melalui perbincangan ilmiah itu kesedaran mengenai bahaya perniagaan yang mempunyai unsur-unsur riba adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam daripada memperoleh sumber rezeki yang meragukan dan bukannya berdasarkan perasaan iri hati atau pun mempunyai kepentingan peribadi.

Sumber : Utusan Malaysia
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

Friday, June 10, 2011

Kelemahan Calon dalam Bahagian A dan B


Saya percaya ramai pelajar sudah membeli buku-buku rujukan STPM. Harganya pun boleh tahan. Ada yang murah dan juga yang terlalu mahal. Tapi demi unutk berjaya dalam peperiksaan STPM, harga tak jadi masalah besar, "Ada duit semua boleh beli". Bapa atau ibu boleh tolong bayar. Kalau yang ada biasiswa tu, faham-faham sajalah... kerajaan bagi biasiswa bukan untuk beli "psp" atau "iphone4".

Ok...ceritanya begini, saya selalu ingatkan pelajar saya tentang beberapa tips atau panduan yang penulis buku berikan dalam setiap buku-buku rujukan yang mereka hasilkan. Cuba tengok dalam buku pengajian am2 yang anda beli.

Menurut penulis buku, antara kelemahan calon dalam bahagian A dan B ialah:
1. Sukar mengenal pasti idea atau isi utama
2. Penghujahan tidak bernas dan tidak kukuh
3. Huraian kekurangan fakta dan maklumat
4. Tidak menepati kehendak soalan
5. Pendahuluan dan kesimpulan yang tidak menarik dan tidak relevan
6. Tulisan yang sukar dibaca dan tidak kemas.

Antara kelemahan yang tersenarai di atas, saya selalu mendapat karangan yang lemah penghujahannya. Idea tidak bernas dan tidak kukuh. Sebabnya pelajar kurang membaca isu-isu berat seperti yang selalu dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan. Karangan yang ditulis kurang fakta dan maklumat.Pelajar hari ini sungguh bertuah kerana kecanggihan teknologi komputer (internet), banyak pengetahuan am yang boleh diakses dan disimpan dalam otak. Malangnya masih ramai yang lebih suka bersantai dengan melayari laman sosial facebook. Sikit-sikit bolehlah...(dialog filem ali baba bujang lapok).

Karangan bahagian A dan B dalam kertas pengajian am 2 amat besar impaknya kepada markah keseluruhan yang diperolehi oleh pelajar STPM. Jumlahnya adalah separuh daripada markah 100. Kalau pelajar tidak serius untuk memperbaiki mutu karangan, pelajar tidak akan dapat Gred A untuk mata pelajaran pengajian am. Salah media dalam bahagian D pula sudah tentu pelajar cuma dapat 1 markah daripada 15. Jadi macamana nak dapat gred A kalau malas membaca dan membuat latihan.

Thursday, June 9, 2011

Bahasa SMS Bukan Untuk Menulis Karangan


PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat dan penggunaan gajet serba moden lagi canggih sejak akhir-akhir ini bukan saja merubah cara manusia berkomunikasi menjadikannya lebih pantas biar pun di mana berada, malah ia juga mampu merubah gaya hidup mereka. Satu daripada perubahan ketara yang berlaku sehingga menjadi satu fenomena terutama di kalangan generasi muda kini ialah penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber. Memandangkan ia sudah menjadi amalan kehidupan seharian golongan muda, penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber didapati semakin mempengaruhi kehidupan dan urusan harian mereka terutama pelajar termasuk dalam menyiapkan tugasan sekolah dan tesis pada peringkat pengajian tinggi. Bahasa yang digunakan dicampur aduk dan diringkaskan sehingga hilang ejaan, struktur ayat dan kosa kata asalnya menjadikan golongan bukan sebaya sukar memahaminya. Penggunaan singkatan SMS menerusi telefon bimbit atau laman sosial memang bukan satu kesalahan, namun kesannya terhadap pelajar jika sudah terbiasa sehingga terbawa-bawa dalam penulisan karangan atau menulis jawapan dalam peperiksaan yang mereka duduki boleh menjejaskan masa depan. Menyedari kesan negatif ini, mereka harus lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan gaya penulisan tidak beretika ini dalam setiap urusan rasmi. Tentunya tidak wajar bahasa singkatan ini digunakan bagi tujuan penulisan karangan di sekolah mahupun tesis atau tugasan di pusat pengajian tinggi. Pelajar harus bijak membezakan bila mereka patut menggunakan bahasa singkatan dan bila pula menggunakan bahasa rasmi standard.

Guru juga tidak harus menggunakan bahasa singkatan ini ketika menulis nota, membuat catatan atau menjawab mesej daripada pelajar kerana ia boleh menjadi alasan bagi mereka terus mengguna pakai bahasa singkatan SMS dalam pelajaran. Anggaplah pendedahan yang dibuat menerusi laporan akhbar ini semalam dan kelmarin sebagai peringatan semua pihak termasuk pelajar supaya lebih berwaspada ketika membuat tugasan tertentu. Gejala bahasa singkatan SMS ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti bahasa Melayu dalam peperiksaan. Oleh itu ia harus dibendung segera dan disekat dengan berkesan sebelum menjadi semakin kronik. Pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini dan sentiasa mengingatkan pelajar agar tidak menggunakan bahasa tidak rasmi ketika menulis karangan, termasuk tesis di peringkat pengajian tinggi. Oleh kerana gejala ini berlaku secara berleluasa di kalangan pelajar Melayu khususnya, kita khuatir satu hari nanti pencapaian pelajar Melayu bagi subjek Bahasa Melayu akan lebih teruk berbanding bukan Melayu. Kegagalan pelajar menulis bahasa standard kerana sudah terbiasa menggunakan bahasa singkatan SMS atau chatting ini pada peringkat sekolah akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan mereka menghasilkan penulisan bermutu apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Justeru, adalah wajar pelajar sendiri mempunyai kesedaran untuk menggunakan bahasa betul dan tidak terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS dan siber ketika membuat tugasan sekolah sejak peringkat awal lagi.

Wednesday, June 8, 2011

Teknik Meningkatkan Daya Ingatan


Daya ingatan anda sungguh luar biasa! Apabila seluruh maklumat di alam semesta dimasukkan ke dalam otak anda, otak anda tidak akan penuh. Bahkan seorang ilmuwan mengatakan,

“Jika 10 maklumat dimasukkan ke dalam otak kita setiap detik, selama seratus tahun otak kita belum terisi sepenuhnya.”

Namun kenyataannya, ramai orang merasa daya ingatan mereka kurang atau lemah. Itu terjadi kerana mereka belum menemui teknik atau cara yang tepat untuk mengingat maklumat-maklumat yang diperlukan tersebut. Buku ini menawarkan cara-cara sederhana dan praktis untuk mengingat pelbagai hal dan dengan metode itu daya ingatan anda akan meningkat dalam waktu yang singkat.

Buku ini ditulis oleh seorang warga Indonesia yang bernama Irwan Widiatmoko, dan sudah ada di pasaran Malaysia. SELAMAT MEMBACA.

Monday, June 6, 2011

Erti Sebuah Perkahwinan



Hari ini bila saya buka dan baca blog sendiri, rupa-rupanya sudah lebih seminggu saya tidak 'update' blog cikgu jup. Banyak cerita dan peristiwa menarik yang boleh kita kongsi. Ada yang suka dan ada juga yang duka. Tapi hari ini saya lebih suka kongsi cerita yang gembira-gembira. Tak mau sedih-sedih. Ahh...cerita pasal kahwin, maklumlah cuti sekolah ada saja undangan majlis kahwin. Kepada yang menjemput tapi tidak dapat dihadiri, harap dimaafkan. Gambar yang anda lihat adalah koleksi gambar anak saudara saya yang baharu sahaja selesai mengadakan majlis kahwin pada 4 Jun yang lalu.

Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama.

Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahawat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah.

Kerna itulah, setiap muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.

Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah.

Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh.

Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah SAW. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku".

Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas.

Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.

Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan Al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga.

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.

Wednesday, June 1, 2011

Tiada kemahiran punca ramai graduan gagal dapat kerja


Generasi muda yang mempunyai pendidikan yang agak baik tetapi masih gagal mendapat pekerjaan disaran meningkatkan diri mereka dengan kemahiran yang diinginkan oleh majikan.
Pengetua Institut Generasi, Adam Govindasamy berkata, masalah gagal mendapatkan pekerjaan bukan sahaja berlaku kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi juga graduan universiti.
Menurutnya, statistik Kementerian Sumber Manusia menunjukkan, seramai 32,000 graduan gagal mendapatkan pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian dari institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
"Graduan wanita lebih ramai gagal mendapatpekerjaan iaitu sebanyak 21,760 berbanding lelaki seramai 10,240 orang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan lepasan SPM dan STPM mengikuti program kemahiran peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) bagi meningkatkan peluang dan daya pasaran diri mereka.
Katanya, di Institut Generasi, antara kursus yang ditawarkan termasuk pengaturcaraan komputer, pembangunan laman web, kesetiausahaan dan pentadbiran pejabat yang mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran pekerjaan.
Govindasamy berkata, program bagi tempoh enam bulan untuk peringkat SKM itu berpandukan kepada Standard Piawaian Kemahiran Kebangsaan (NOSS).
"Mereka yang memiliki kelayakan NOSS layak bekerja serta memiliki tahap kemahiran seperti yang diperlukan oleh majikan dalam bidang pekerjaan masing-masing," katanya.
Bagi yang berminat, hubungi talian 03-20704081 atau lawati laman web www.generasi.edu.myuntuk keterangan lanjut terutama sebelum tarikh tutup pendaftaran pada 5 Jun ini.

Sumber : Utusan Malaysia 31 Mei 2011