Wednesday, May 23, 2012

Sikap tak kisah kikis identiti bangsa


BIARPUN dianggap bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak dalam kehidupan masyarakat moden masa kini cukup ketara.
Penggunaan yang semakin meluas terutama di kalangan generasi muda juga dikhuatiri bakal mengikis nilai identiti bangsa tanpa disedari.
Berilah pelbagai alasan, isu bahasa rojak seharusnya ditangani segera bagi mengelakkannya terus melarat apatah lagi sikap masyarakat yang lebih mementingkan konsep mudah dan praktikal boleh mengancam kewibawaan bahasa standard.

Persoalannya, mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah kelebihannya?

Ketua Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata, penggunaan bahasa rojak yang ‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia menjadi pilihan.
Menurutnya, konsep kehidupan masyarakat terutama generasi muda hari ini yang ‘malas’ untuk berfikir juga menjaga standard menjadikan mereka lebih selesa dengan penggunaan bahasa itu.

“Masyarakat hari ini lebih mementingkan penampilan, bukan saja gaya tapi bahasa juga perlu sofistikated dan mengikut perkembangan semasa.

“Bahasa rojak tidak memerlukan unsur peraturan, justeru mudah diterima ramai menjadikan masyarakat sangat selesa menggunakannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap mencemarkan identiti bahasa dan budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa.

Menurutnya, setiap bangsa di dunia dihakimi melalui peradaban bahasa dan sosial, justeru penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan keunikan identiti sesuatu bangsa.

“Bahasa adalah imej yang melambangkan keperibadian dan ketinggian budaya bangsa, justeru biarlah bahasa digunakan bersesuaian.
 

“Ramai menganggap isu ini picisan namun kesedaran untuk menggunakan bahasa standard perlu ada. Jika tidak ia akan mengikis penggunaan bahasa sedia secara perlahan-lahan.

“Sekali gus membunuh nilai identiti bangsa hingga mencacatkan perjalanan bahasa untuk generasi akan datang pula,” katanya.

Pusat Rujukan Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa rojak sebagai bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya.

Dengan kata lain, percampuran penggunaan bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh menjadikan struktur ayat tunggang-langgang.

Penggunaan bahasa berkenaan juga lebih sinonim kepada generasi muda yang dikaitkan dengan sikap ‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda institusi bahasa negara.

Mengulas mengapa bahasa rojak pantas berkembang dan menjadi pilihan, beliau berkata penggunaan yang ringkas, mudah serta senang difahami menjadikan ia dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Malah, akuinya, bahasa ini tidak mengenal usia, latar belakang serta status penutur menyebabkan masyarakat mudah menerimanya.

“Lazimnya, masyarakat memang mudah tertarik dengan sesuatu yang mudah kerana hari ini semuanya perlu serba pantas tidak terkecuali bahasa.

“Penggunaannya tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah isu yang perlu diperbesarkan. Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di kalangan pelajar sekolah boleh memberi impak negatif dalam peperiksaan.

“Bayangkan jika mereka menulis karangan menggunakan bahasa rojak. Bukan guru saja pening malah memberi kesan terhadap pemberian markah sedangkan bahasa Melayu adalah subjek wajib lulus,” katanya.

Beliau tidak menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam pertuturan seharian biarpun boleh memberi kesan jangka panjang.

“Ia mungkin menyakitkan telinga segelintir orang namun kesannya tidaklah mendalam berbanding penggunaannya dalam penulisan peperiksaan. Fokus utama ialah golongan pelajar.
 

“Ini yang perlu diteliti dan diambil tindakan kerana saling berkait rapat dengan kepentingan sistem pemarkahan peperiksaan. Bahasa rojak tidak diterima.

“Ini satu kerugian sedangkan mereka boleh memperoleh markah yang baik dengan penggunaan bahasa teratur. Inilah bahayanya bahasa rojak jika tindakan proaktif tidak diambil,” katanya.
 

Akuinya, bahasa rojak juga sudah dinilai standard sebagai bahasa Melayu campur sedangkan kerana bahasa lain tidak menghadapi masalah serupa.

Menurutnya, bahasa Melayu senang dimanipulasi berbanding bahasa lain kerana penggunaan bahasa itu dipenuhi pelbagai perkataan dan kota kata indah serta puitis.

“Biarpun bahasa Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang dimanipulasi kerana struktur ayatnya kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga ringkas dan terus pada maksud.

“Berbanding bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh namun penggunaan perkataannya sangat luas, panjang, indah, berbunga dan melankolik.
 

“Menyebabkan mereka yang kurang sabar bertindak mencari perkataan paling mudah untuk mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’ berbanding ‘sayangkan awak’,” katanya.

Perkembangan pantas teknologi juga pada masa sama memberi kesan terhadap penggunaan bahasa rojak.

“Penggunaan bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui pertuturan namun kini sudah biasa digunakan dalam komunikasi maya menyebabkan ia semakin merebak tanpa kekangan.

“Pada masa sama, mereka yang mempertahankan penggunaan bahasa juga mungkin sudah ‘penat’ dan gagal bersaing dengan tempias teknologi menyebabkan bahasa rojak semakin mendominasi.

“Sekali gus mencacatkan usaha dilakukan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu standard yang menjadi kebanggaan generasi dulu,” katanya.

Tidak menolak juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh rakan, beliau berkata, perlu disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan bahasa yang betul.

“Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal tidak ada gaya atau sebagainya, sebaliknya kualiti dan standard yang sudah ditetapkan.

“Justeru, perlu wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi muda supaya tidak terlalu mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.

Antara mekanisme boleh dilakukan ialah dengan mengadakan bengkel deklamasi sajak, penulisan pantun, karangan, cerita pendek dan sebagainya bermula di peringkat sekolah rendah.

“Walaupun usaha ini terpaksa bersaing dengan teknologi, sekurang-kurangnya kepekaan asas terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah ada dan boleh diasah serta dipraktikkan.

“Langkah awal perlu disusun supaya mereka tahu menyusun rentak penggunaan antara bahasa rojak dan keperluan bahasa standard.
 

“Sekali gus menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mempertahankan penggunaan bahasa yang betul sekali gus tidak teraba-raba mencari nilai identiti diri dan bangsa,” katanya.

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Sunday, May 20, 2012

Oh My English

Tahniah kepada Tv Astro kerana berjaya menyiarkan satu program pendidikan yang sangat berguna kepada semua penonton, terutamanya kepada mereka yang lemah dalam bahasa Inggeris...macam saya juga "my english is not so good, just a little-little. I'm sorry...!" Ibu bapa harus bijak memilih rancangan tv yang memberi faedah kepada anak-anak. Janglah asyik menonton drama Indonesia..."nanti... bisa ngomong indon ko..lebih bagus dari english". Kualiti rancangan tv harus menjadi keutamaan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi sepeti stesen tv berbayar. Jika ia mampu meningkatkan tahap pengetahuan para penonton...saya fikir bayaran tidak menjadi masalah lagi. Terima kasih kepada oh my english...anak-anak saya sangat suka dengan rancangan ini. Harap-harap english mereka akan bertambah baik.

Thursday, May 17, 2012

Hadiah Hari Guru 2012 : 24,053 guru naik pangkat


KUALA KANGSAR 16 Mei - Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan menikmati kenaikan pangkat mulai 1 Jun hingga 31 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan pangkat tersebut melibatkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
‘‘Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran; Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selaras dengan usaha menambah baik skim perkhidmatan pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.
Beliau menarik perhatian, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41 hanya memerlukan lapan tahun untuk kenaikan ke DG44, lapan tahun (DG44 ke DG48), enam tahun (DG48 ke DG52) manakala hanya tiga tahun (DG52 ke DG54).
Menurutnya, bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma pula, pemegang gred DGA29 hanya memerlukan lapan tahun untuk ke DGA32, lapan tahun (DGA32 ke DGA34) dan lima tahun (DGA34 ke DGA38).
Muhyiddin berkata, lanjutan pengumuman Perdana Menteri itu, 390 guru telah dinaikkan pangkat ke gred DG54, 676 (DG52), 3,938 (DG48) dan 19,805 (DG44).
‘‘Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 dinaikkan ke gred DGA38 manakala 2,639 (DGA34) dan 9,519 (DGA32)," katanya.
Selain itu, kata beliau, proses kenaikan pangkat pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan penolong kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.
Setakat ini, kata beliau, 854 pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 manakala 4,270 penolong kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48.
Kenaikan pangkat itu kata Timbalan Perdana Menteri, melibatkan pengetua dan penolong kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011 serta yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.
‘‘Bagi penyandang jawatan penolong kanan gred DG48 ke gred DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan penolong kanan gred DG44 ke gred DG48 iaitu seramai 2,655 akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah memenuhi syarat ditetapkan," katanya.
Menurut Muhyiddin, peruntukan sebanyak RM934 juta bagi urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan berpersonaliti unggul.

Monday, May 14, 2012

My May : Kisah Benar yang banyak pengajaran


Sebuah filem berdasarkan kisah benar peristiwa perang dunia kedua ini bermula dengan pertemuan dua pemuda dari dua Negara. Jun-Shik (Jang Dong-Gun), pemuda Korea yang bercita-cita ingin menjadi seorang jaguh marathon seperti idolanya dan Hasegawa Tatsuo (Joe Odagiri), pemuda Jepun yang mempunyai kehebatan larian seperti Jun-Shik. Mereka bertemu sebagai musuh pada zaman kanak-kanak lagi apabila masing-masing mahu menunjukkan kehebatan larian mereka. Namun segalanya berubah apabila Jun-Shik dan rakan baiknya Kim In-Kwon (Lee Jong-Dae) dikerah menjadi tentera Jepun akibat rusuhan yang mereka lakukan ketika kemenangan yang sepatutnya milik Jun-Shik, diberikan kepada Tatsuo dalam pemilihan marathon Olimpik Tokyo. Lebih menyakitkan apabila Tatsuo pula mengetuai tentera Jepun sebagai Kolonel.

Penglibatan mereka berdua dalam peperangan dunia kedua telah merapatkan jurang permusuhan, lebih-lebih lagi apabila tentera Jepun kalah kepada tentera Soviet dan memaksa Tatsuo melucutkan jawatannya dan menjadi tawanan perang tentera soviet bersama Jun-Shik. Mereka dikerah bersama tawanan perang yang lain untuk berperang dengan tentera Jerman sehingga menyebabkan perpisahan terjadi antara keduanya dalam peperangan paling teruk dalam era perang dunia kedua.

Tatsuo yang mula menyedari sikapnya yang mementingkan diri akhirnya berjaya bertemu kembali dengan Jun-Shik apabila mereka sama-sama berada di kem tentera Jerman di Normandy, Perancis. Kali ini mereka sepakat untuk melarikan diri dari kem tentera tersebut dan kembali ke Korea untuk meneruskan cita-cita mereka menjadi jaguh marathon. Berjayakah misi mereka? Saksikan perjalanan perit yang diharungi oleh dua pemuda ini yang dahulunya musuh kini bergantung harapan sesama sendiri demi mencapai impian mereka yang satu.

Saturday, May 12, 2012

Untuk Ibu Tersayang

Assalamualaikum ibu...
semoga ibu sihat dan murah rezeki
semoga ibu sentiasa mendapat rahmat dari Allah s.w.t
ampun dan maaf anakanda pinta
andai selama ini anakanda pernah menyinggung perasaan ibu
restuilah kehidupan anakanda sekeluarga

Ibu..... aku sayang dengan ibu
Ibu..... aku rindu dengan ibu
I Love You Ibu




Wednesday, May 9, 2012

76,200 siswazah menganggur tidak mahir


KUALA LUMPUR 8 Mei - Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah siswazah yang menganggur di negara ini adalah seramai 76,200 orang disebabkan tidak memiliki kemahiran untuk mencari pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, hasil kajian Jabatan Tenaga Kerja menerusi portal Jobstreet Malaysia ke atas 1,994 responden mendapati 77.14 peratus mengaku memerlukan bimbingan bagi mencari pekerjaan.
"Hasil kajian itu juga mendapati hanya 42.59 peratus bersetuju sepatutnya siswazah tidak menghadapi masalah untuk mencari kerja berbanding 57.41 peratus mengaku mempunyai masalah untuk berbuat demikian.
"Ini jelas menunjukkan ketiadaan kemahiran mencari pekerjaan telah menyebabkan ramai daripada siswazah gagal mendapat kerja," katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Senator Khoo Soo Seang mengenai tindakan yang telah diambil bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah yang semakin meningkat setiap tahun.
Maznah turut menjelaskan bahawa kadar pengangguran di negara ini sekarang ialah 3.1 peratus dan menunjukkan ia terkawal serta masih boleh diuruskan.
"Untuk makluman semua, kadar pengangguran di Jepun adalah 4.5 peratus, Amerika Syarikat (8.1 peratus) dan Kanada (7.2 peratus) menunjukkan masalah ini tidak begitu serius di Malaysia.
"Bagaimanapun, kementerian sentiasa prihatin dengan masalah pengangguran ini dengan menjalankan pelbagai program untuk memastikan semua rakyat mempunyai pekerjaan," ujarnya.
Jelasnya, antara program yang dilaksanakan untuk tujuan tersebut ialah menyediakan kemudahan pendaftaran serta mencari pekerjaan secara percuma melalui portal JobsMalaysia.
"Perkhidmatan itu bukan saja untuk kemudahan penganggur tetapi juga boleh digunakan oleh pekerja yang mahu mencari kerja yang lebih baik," katanya.


Sumber : Utusan Malaysia Mei 2012

Wednesday, May 2, 2012

Tanah Runtuh


Kawasan tanah runtuh boleh berlaku:
  • di kawasan dimana tanah runtuh sudah berlaku, sama ada baru atau lama
  • di kaki atau permukaan atas cerun
  • di kaki atau permukaan atas cerun timbun yang lama
  • di kaki atau permukaan atas cerun potong yang menegak

Kawasan yang selamat daripada tanah runtuh :
  • di kawasan keras, batu-batan tidak bersambung dan tiada pergerakan pada masa lampau
  • di kawasan datar jauh daripada cerun dan sungai

Tanda-tanda sebelum berlakunya tanah runtuh :
  • Penjelmaan mata air atau tanah basah yang melampau yang tidak pernah terdapat atau terjadi
  • Retakan baru serta pembengkakan tanah, jalan atau kaki lima
  • Ketandusan tanah pada "foundation" sesuatu pembinaan
  • Struktur sampingan seperti kaki lima atau ruang lain senget / bergerak daripada struktur utama rumah
  • Keretakan ketara dan mendadak pada lantai konkrit
  • Kepecahan serta kebocoran pada paip air
  • Kecondongan pada tiang telefon/letrik, pokok, dinding penahan atau pagar
  • Garisan lurus pagar menjadi bengkang-bengkok
  • Pemendapan ketara permukaan jalan
  • Pintu serta tingkap rumah tidak boleh ditutup dengan rapat seperti biasa

Sistem Modular Pengajian Am STPM

SKIM PENTAKSIRAN

Peperiksaan bagi mata pelajaran Pengajian Am terdiri daripada empat kertas, iaitu Kertas 900/1, Kertas 900/2, Kertas 900/3, dan Kertas 900/4.

Kertas 900/1
Kertas ini merupakan kertas peperiksaan pada penggal pertama. Kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A terdiri daripada 15 soalan aneka pilihan, Bahagian B terdiri daripada empat soalan struktur dan Bahagian C terdiri daripada tiga soalan esei. Calon dikehendaki menjawab semua soalan dalam Bahagian A dan Bahagian B, dan dua soalan dalam Bahagian C.

Kertas 900/2
Kertas ini merupakan kertas peperiksaan pada penggal kedua. Kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A terdiri daripada empat soalan struktur, Bahagian B terdiri daripada dua soalan alih bentuk komunikasi, dan Bahagian C terdiri daripada dua soalan esei. Calon dikehendaki menjawab semua soalan dalam Bahagian A, satu soalan dalam Bahagian B dan satu soalan dalam Bahagian C.

Kertas 900/3
Kertas ini merupakan kertas peperiksaan pada penggal ketiga. Kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A terdiri daripada 15 soalan aneka pilihan, Bahagian B terdiri daripada dua soalan analisis data/carta/gambar, dan Bahagian C terdiri daripada tiga soalan esei. Calon dikehendaki menjawab semua soalan dalam Bahagian A, satu soalan dalam Bahagian B, dan dua soalan dalam Bahagian C.

Kertas 900/4
Kertas ini merupakan kerja projek yang wajib dilaksanakan oleh calon STPM sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Kerja projek ini akan dilaksanakan pada penggal kedua dan menjadi sebahagian komponen pentaksiran penggal kedua. Calon mesti melaksanakan semua aspek berkaitan kerja projek seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Pentaksiran bagi kertas ini untuk calon sekolah kerajaan dan calon sekolah bantuan kerajaan akan dijalankan oleh guru sekolah, manakala pentaksiran untuk calon sekolah swasta dan calon persendirian individu akan dijalankan oleh pemeriksa yang dilantik oleh MPM.

Wajaran pentaksiran bagi komponen kerja projek ini adalah sebanyak 20% daripada markah keseluruhan kertas Pengajian Am.

Tuesday, May 1, 2012

'Demokrasi tulen' ciptaan pembangkang


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

ISU menggerakkan satu 'perhimpunan' terancang oleh pakatan pembangkang Sabtu lepas hanyalah sekadar 'pancing' untuk memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ia sebenarnya telah 'disusuli' kononnya dengan janji-janji yang mahu 'dikotakan' yang sebenarnya adalah janji-janji tambahan daripada apa yang sudah mereka sebut dalam Buku Jingga - melibatkan janji politik, janji ekonomi dan janji pentadbiran.
Pembangkang menguar-uarkannya kepada janji empat kerangka asas iaitu untuk mewujudkan demokrasi yang telus dan tulen, memacu ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial dan perhubungan persekutuan dan negeri.
Jika direnung, diteliti dan dikaji secara berfakta dengan mata hati, keempat-empat kerangka asas ini tidak pun berlaku walaupun setelah hampir empat tahun pembangkang memerintah empat negeri.
Misalnya, kita dapat lihat bagaimana 'demokrasi tulen' yang dimaksudkan itu tidak terserlah dalam pemilihan parti mereka sendiri. Pemilihan PKR tempoh hari bergolak. Bayangkan bilangan kertas undi lebih daripada perwakilan yang mengundi.
Kejujuran DAP, Pas dan PKR tidak terserlah juga dalam menerima teguran-teguran daripada badan-badan bukan kerajaan. Mereka menyekat kehadiran akhbar-akhbar tertentu daripada menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri. Mereka tidak memberikan kebebasan bersuara dalam TV Selangor, dalam liputan perbahasan bekas Exco kerajaan negeri itu, Datuk Dr. Hasan Ali yang tidak ada ruang buat penjelasan, sidang dewan tertutup, tidak mengimbangi laporan dalam Harakah dan Suara Keadilan yang mana semuanya berat sebelah.
Sebab itu, asas-asas kerangka tersebut khususnya demokrasi tulen yang dicanangkan pakatan pembangkang sebenarnya jauh daripada pelaksanaan.
Demikian juga soal memacukan ekonomi berprestasi tinggi yang mana hal itu merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang hanya sekadar disebut, tetapi tidak pernah diperincikan dalam mana-mana ucapan sama ada bertulis atau lisan. Hanya yang ditekankan lebih kepada pengagihan atau pun disebut sebagai keadilan sosial.
Pengagihan yang tidak berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi berprestasi tinggi ini menunjukkan bahawa menerusi angka-angka, ia hanyalah bersifat sesuatu yang tidak praktikal dan sukar dilaksanakan.
Begitu juga soal hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang mana rakyat melihat bagaimana setiap satunya tidak dilaksanakan. Dalam konteks Selangor dan Persekutuan, banyak keputusan Persekutuan yang dirombak dan dirungkai dengan tidak ada pendekatan mencari jalan keluar dalam isu air, pelupusan sampah serta pembersihan sampah selain isu pelaburan.
Isu urusan pentadbiran antara negeri-negeri yang ditadbir pembangkang juga nampak semakin kusut daripada apa yang sepatutnya digerakkan. Sebab itu rakyat melihat banyak ucapan yang dibuat adalah bersifat populis - satu godaan pilihan raya.
Ironisnya, banyak janji yang disebut dan ditambah oleh kepimpinan pembangkang, baik daripada Pas, DAP dan PKR dari semasa ke semasa, antaranya janji-janji PTPTN dan pendidikan percuma yang tidak ada dalam Buku Jingga. Ia adalah perbelanjaan tambahan daripada prinsip-prinsip Buku Jingga yang mana akan menambah cepatkan lagi kemerosotan ekonomi negara ke arah kebankrapan.
Akibat PRU-13 yang cukup dekat, maka banyak longgokan janji yang tidak munasabah diberikan. Dan pembangkang berasaskan kepada andaian. Antaranya, andaian tentang kerapuhan sistem kerajaan sekarang, andaian tentang keadaan ekonomi yang krisis, andaian negara ini kucar-kacir iaitu tidak ada perpaduan rakyat.
Ini semua adalah andaian institusi negara yang kononnya telah rosak dengan rakyatnya menderita dan hari-hari rakyatnya bergaduh. Malangnya andaian ciptaan ini tidak disertai dengan fakta. Atau pun andaian bahawa sektor pendidikan bakal menghadapi krisis yang maha dahsyat.
Andaian-andaian yang pembangkang berikan sebenarnya adalah andaian ciptaan mereka sendiri.
Kenyataan yang sebenarnya adalah mereka sendiri tidak melaksanakan manifesto pilihan raya 2008 dalam skop yang lebih kecil daripada sebuah negara ke negeri. Di Selangor kalau dilihat, wujud isu pasir, cukai pintu yang naik, air tercemar dan penjualan aset kerajaan negeri yang tidak terkawal.
Di Pulau Pinang, masih banyak isu tol Jambatan Pulau Pinang dan Sungai Nyior yang tidak ditunaikan. Berlaku kenaikan kadar air 25 peratus dan belum dihapuskan pula caj letak kereta untuk hari Sabtu dan Ahad.
Di kedah, belum lagi dipotong elaun Menteri Besarnya, belum berlaku lagi zon industri petroleum dan belum dihapuskan lesen arak di negeri itu. Maka, tak usah cakaplah soal demokrasi yang telus, di tempat mereka sendiri tidak lagi dilaksanakan.
Tidak juga terdapat di mana pembangkang berbicara soal pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi tidak juga dijelaskan tentang peranan sektor swasta. Dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) contohnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun menjelaskan bahawa rakyat perlu mencipta kekayaan negara melalui peranan sektor swasta berikutan kerajaan tidak boleh membuat kekayaan secara langsung tanpa penglibatan sektor tersebut.
Ternyata, sektor swasta boleh membina kekayaan tetapi itu tidak diperjelaskan langsung dalam mana-mana ucapan dan cadangan pemimpin pembangkang.
Dan kalau diamati tentang andaian pembangkang berkaitan ekonomi. Mereka menyatakan bahawa kononnya berlaku rasuah dan ketirisan sebanyak RM28 bilion. Ya, memang isu negara rasuah itu popular dan 'kalau RM28 bilion itu kita boleh selamatkan, maka kita boleh berikan kepada rakyat'.
Namun, hakikatnya RM28 bilion itu adalah perangkaan Bank Dunia dalam soal ketirisan atau rasuah. Tetapi tidak semestinya berlaku rasuah. Ia ketirisan yang berasaskan kepada pelbagai faktor dan bukan satu faktor.
Ketirisan pertama mungkin disebabkan pengaliran wang keluar akibat daripada pengaliran wang keluar kerana keadaan mata wang jatuh, kerana keadaan turun naik nilai mata wang. Orang bawa duit keluar atau memang betul ada rasuah sebahagian daripadanya atau mungkin faktor-faktor lain kerana tidak ada perincian tentang RM28 bilion ini.
Dan RM28 bilion itu bukan perangkaan setiap tahun. Ia one-off dan mengikut keadaan ekonomi. Bagaimana keadaan one-off RM28 bilion itu jika benar, ia hendak dijadikan pengukuran untuk menampung belanja sepanjang zaman. One-off RM28 bilion kononnya nak menampung untuk perbelanjaan dan kebajikan rakyat sepanjang zaman, maka 'tentulah ia sedap disebut kepada rakyat'.
Kerana itu, 'benda-benda semacam ini' yang diuar-uarkan oleh pembangkang memerlukan penjelasan secara fakta. Banyak sebenarnya perbelanjaan tambahan yang dicanangkan pembangkang di luar janji Buku Jingga. Dahulu, mereka berjanji hendak bagi imbuhan kepada guru sebanyak RM500 sebulan seorang. Dengan itu sahaja pun, RM500 sebulan x 12, 6,000 x 400,000 > RM2.4 bilion. Apakah dalam perkhidmatan awam, cuma hanya ada cikgu?
Relevankah perhimpunan yang ditaja pembangkang Sabtu lepas. Fikir-fikirkanlah.

Sumber : Utusan Malaysia 1 Mei 2012