Monday, February 28, 2011

Pencapaian Pengajian Am Pelajarku STPM 2010

Beginilah keputusan pengajian am stpm beberapa orang pelajarku tahun 2010. Apakah target anda untuk tahun ini.

Sunday, February 27, 2011

Bahaya Bahan Plastik Terhadap Kesihatan Manusia



Kecenderungan penduduk negara ini menggunakan botol air mineral plastik secara berulang kali untuk menjimatkan kos, sebenarnya boleh mengundang maut.

Ini kerana kajian menunjukkan penggunaan botol dan pembungkus plastik polyvinyl chloride (PVC) berulang kali akan mendedahkan penggunanya terhadap unsur kimia seperti ‘vinyl cloride monomer’ (VCM) dan ‘phthalates’. VCM dikenalpasti mengandungi karsinogen yang boleh menyebabkan barah.

Pensyarah Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jamal Hisham Hashim, berkata botol plastik air mineral atau minuman ringan hanya boleh digunakan semula sekali atau dua sebelum dibuang.

Selain VCM dan phthalates, bekas plastik mengandungi bahan logam berbahaya seperti kadmium yang digunakan sebagai ‘plastisizer’ iaitu untuk meningkatkan kualiti plastik supaya warnanya cerah dan tidak kekuningan biarpun lama digunakan. Penggunaan secara berulang boleh menyebabkan kadmium di dalamnya terhakis dan mencemarkan makanan atau minuman,” katanya.

“Pembungkus makanan daripada bahan PVC sepatutnya tidak boleh mengandungi lebih daripada satu miligram per kilogram (mg/kg) VCM.

“Makanan yang dibungkus dengan PVC dan dicemari VCM melebihi 0.05mg/kg tidak sesuai dimakan kerana boleh mendatangkan kesan mudarat pada kesihatan,” katanya.

Dr Jamal berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE) dan PE tidak mengandungi VCM. Jadi penggunaannya tidak menyebabkan barah, namun masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.

Katanya, botol minuman diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET) selamat digunakan dalam keadaan biasa, namun memanaskannya boleh mengeluarkan ‘phthalates’.

Phthalates disyaki boleh meniru hormon manusia, tetapi ia tidak menyebabkan barah, namun ia boleh mengganggu fungsi hormon manusia.

“Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna. Peraturan mengenai pembungkus dan bekas makanan daripada PVC terkandung di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

“Namun tidak ramai menyedarinya kerana kesedaran terhadap penggunaan barangan plastik untuk pembungkusan atau menyimpan makanan atau air masih rendah,” katanya.

Dr Jamal berkata, penggunaan botol plastik mengundang bahaya lain seperti jangkitan kuman kerana bakteria boleh membiak berikutan bahan itu sukar dicuci bersih dan melekat daki.

“Jika ragu-ragu mengenai jenis plastik yang boleh digunakan secara berulang untuk menyimpan makanan, sila rujuk kepada Bahagian Kawalan Mutu Kementerian Kesihatan,” katanya.

Kenyataan Dr Jamal mengesahkan laporan Buletin Pengguna mengenai bahaya penyalahgunaan botol plastik serta bekas makanan diperbuat daripada stirofom dan polisterin.

Buletin itu diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Pengarah Komunikasi Fomca yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang Buletin Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya mengetengahkan bahaya penggunaan botol plastik berulang kali kerana ramai menggunakan botol air mineral sebagai bekas minuman di dalam peti sejuk.

“Lebih berbahaya, ramai menjadikan botol itu sebagai bekas minuman anak ke sekolah, bekal ke pejabat atau untuk beriadah. Sedangkan botol berkenaan hanya boleh digunakan sekali atau dua atau paling lama seminggu sebelum perlu dibuang,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kurang pengetahuan dan kesedaran menyebabkan banyak lagi amalan rakyat negara ini mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit kronik.

Katanya, penggunaan kertas akhbar dan majalah, selain bekas makanan diperbuat daripada stirofom atau polisterin, juga boleh mengakibatkan tersebarnya logam ke dalam tubuh.

“Kertas akhbar dan majalah mengandungi timah hitam melebihi had dibenarkan. Apabila timah hitam ini ada dalam tubuh, ia masuk ke saluran pernafasan dan pencernaan, seterusnya sistem peredaran darah sebelum tersebar ke bahagian lain seperti ginjal, hati, otak, saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya dan tidak boleh dijadikan pembungkus makanan.

“Bahan pembungkus stirofom dan polisterin pula kini cukup popular, tetapi kajian mendapati ia mengandungi bahan unsur karsinogen,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohamed Siraj Razack, turut memberi amaran mengenai bahaya penggunaan botol plastik, bekas menyimpan makanan serta bahan pembungkus jenis stirofon atau polisterin yang disifatkannya pembunuh senyap.

“Bahan berasaskan plastik itu boleh digunakan sekali dua saja. Jika dibasuh berulang kali, bahagian dalamnya terhakis dan mengeluarkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, bahan kimia dalam bekas plastik mudah terhasil apabila terkena cahaya matahari, misalnya botol mineral bagi mengisi air minuman yang ditinggalkan dalam kereta.

“Bekas plastik terbabit sepatutnya dikitar semula untuk dijadikan barangan berasaskan plastik lain yang tiada kaitan dengan makanan.

“Sebaiknya, untuk menyimpan makanan atau minuman, gunakan bahan dibuat khusus untuk digunakan berulang kali, misalnya termos atau jenis plastik tahan panas dan khusus untuk menyimpan makanan,” katanya.

Mohamad Siraj berkata, kepanasan makanan atau minuman yang disimpan dalam bekas plastik tertentu juga boleh menghasilkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan, misalnya amalan minum teh tarik bungkus.

“Teh tarik seeloknya diminum menggunakan cawan kerana wap yang keluar daripada plastik pembungkus yang bercampur dengan teh boleh menyebabkan tindak balas kimia.

“Kari panas dibungkus menggunakan bahan plastik juga amalan tidak baik dan kesannya sama seperti teh tarik bungkus,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, semua barangan plastik diterima oleh pusat kitar semula. Sehubungan itu, kesedaran terhadap bahaya penggunaan bekas plastik secara berulang akan mengalihkan perhatian pengguna untuk mengitar semula barangan terbabit dalam menjaga alam sekitar.

Rujukan/sumber: Harian Metro 22 Januari 2006

Monday, February 21, 2011

Yang Mana Satu Pilihan Anda


Setiap kali keputusan peperiksaan PMR, SPM atau STPM diumumkan suasana seperti ini seringkali ditunjukkan oleh pelajar yang lulus dan yang gagal. Sebagai manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran oleh Allah s.w.t, buatlah pilihan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga anda. Ingatlah pepatah orang tua "Menyesal Dahulu Pendapatan, Menyesal Kemudian Tidak Berguna".

Friday, February 18, 2011

Andainya Tidur Tiada Erti Lagi


Mimpilah kematian

andainya tidur tiada erti lagi

kerana malam yang indah

dengan cahaya terang bulan di langit

hanyalah untuk mereka yang tahu

bersyukur atas nikmat Tuhan

Tuesday, February 15, 2011

Atas Dasar "Kasih Sayang"


Saya bangga jadi ANAK MALAYSIA. Hidup di negara ini sungguh istimewa. Banyak perkara yang dapat dikongsi oleh pelbagai kaum yang mempunyai gaya hidup berbeza terutamanya dari segi pegangan agama, namun tetap kekal hidup aman damai dalam satu negara MALAYSIA. Walau bagaimanapun, tidak semua aktiviti sosial yang boleh disertai rakyat Malaysia lantaran kerana disiplin agama itu sendiri. Kebebasan beragama di negara ini bukan bermakna rakyat Malaysia khususnya yang beragama ISLAM bebas turut serta menyambut perkara-perkara yang yang dilarang oleh agama ISLAM. Misalnya "PERAYAAN HARI KEKASIH" atau lebih popular disebut Valentine's Day. Memang benar semua agama mengajar penganutnya berkasih sayang. Namun janganlah kerana atas dasar kasih sayang...amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama ISLAM menjadi ikutan atau kegilaan nafsu untuk menunjukkan betapa sayangnya kita kepada seseorang itu sehingga sanggup melakukan dosa.

Friday, February 11, 2011

Kebaikan dan Keburukan Telefon Bimbit



Dahulu telefon bimbit dianggap sebagai satu barangan mewah, di mana telefon jenis ini dimiliki oleh orang kaya sahaja. Kini, telefon bimbit dijual dengan harga murah dan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Kebaikan penggunaan telefon bimbit adalah memudahkan seseorang membuat panggilan. Di samping itu, pengguna telefon bimbit dapat menghantar SMS (Short Messages System) dan MMS (Multimedia Messages System) kepada orang lain dengan mudah dan cepat. Kemudahan ini sebenarnya dapat merapatkan hubungan antara manusia. Misalnya, syarikat Celcom, Digi dan Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit untuk menghubungi sesiapa sahaja di mana juga dia berada dan pada bila-bila masa.

Penggunaan telefon bimbit ini juga membantu seseorang mendapatkan informasi terkini. Contohnya, masa. Selain itu, telefon bimbit membolehkan muat turun (download) pesanan secara langsung dalam beberapa minit sahaja. Misalnya, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mewajibkan semua kenderaan berat untuk melekatkan nombor SMS (no 39900 bagi JPJ Pulau Pinang) di belakang kenderaan supaya mereka akan mendapat informasi mengenai pemandu yang berbahaya di jalan raya. Cara ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sebaliknya, penggunaan telefon bimbit ini juga mempunyai keburukan. Sering terdapat gangguan daripada pihak yang tidak dikenali dan berlaku penyebaran khabar angin. Di samping itu, terdapat juga pesanan atau panggilan berunsur lucah mengganggu pengguna telefon bimbit, terutama pengguna wanita. Kelakuan sedemikian boleh menyebabkan keruntuhan moral di kalangan generasi muda.

Penggunaan telefon bimbit yang keterlaluan akan menyebabkan pembaziran wang. Kadar setiap panggilan menggunakan telefon bimbit adalah tinggi. Perbualan yang tidak penting membolehkan pengguna membazir wang. Ada pula pelajar merugikan wang ibu bapa berbual kosong dengan kawan-kawan. Apabila wang ‘prepaid’ sudah habis, mereka akan meminta wang daripada ibu bapa untuk ‘top-up’. Kadangkala mereka meminta ibu bapa membelikan set telefon bimbit yang mahal semata-mata untuk berlagak di hadapan kawan sedangkan tujuannya adalah untuk komunikasi.

Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit ada kebaikan dan keburukan. Ia perlu digunakan sebaik-baiknya mengikut keperluan.

Sunday, February 6, 2011

Jurugambar:Minat atau Kerjaya?



Jurugambar atau jurufoto adalah seseorang yang mengambil gambar foto menggunakan kamera. Mereka ini adalah seniman kerana hasil karya mereka dihargai sebagaimana lain-lain artis visual. Seseorang boleh menjadi seorang jurugambar amatur atau seorang jurugambar profesional jika dia menggunakan bidang fotografi bagi menyara hidupnya.

Kerjaya jurugambar tidak terhad untuk penggambaran dengan peralatan kamera sahaja. Sebenarnya jurugambar terlibat dalam pembangunan imej sehingga persembahan produk akhir. Sekeping gambar mungkin kerja seorang atau satu pasukan. Paling biasa pasukan ini dibentuk dari seorang jurugambar hingga kepada di dalam makmal fotografi. Kerja-kerja di makmal ini (pemprosesan fotografi, pemprosesan imej dan lain-lain) boleh menukar sama sekali penampilan sesuatu gambar.

Jurugambar sering dikategorikan berdasarkan subjek kesukaan mereka. Antara subjek kegemaran jurugambar ialah landskap, alam benda, potret, dokumentari, jurufoto komersil, dan sebagainya. Beberapa jurugambar membuat pengkhususan kepada sesuatu subjek sahaja. Sementara yang lain lebih kepada fotografi artistik dan kewartawanan foto.

Kerjaya jurugambar boleh dilakukan oleh mana-mana profesional lain umpamanya jurutera boleh menghasilkan gambar berdasarkan bidang tugasnya. Begitu juga seorang saintis boleh menjadi jurugambar yang baik untuk mengeluarkan produk gambar sains kerana mereka mahir menilai habitat haiwan contohnya.

Tahap piawaian untuk digelar sebagai Jurugambar adalah bergantung pada kemahiran seseorang Jurugambar. Jurugambar tidak seperti profesional lain yang mempunyai KPI tertentu untuk dinilai. Namun untuk bergelar jurugambar profesional seseorang itu harus faham, mahir menilai gambar, memeroses filem dan gambar. Selebihnya jurugambar mampu menilai gambar yang baik hasil penyusunan teknik komposisi.

Saturday, February 5, 2011

80 tahun penjara, 40 sebatan akibat rogol anak sendiri


KUALA LUMPUR 2 Feb. - "Tugas bapa melindungi dan menjaga anak, sebaliknya kamu telah merosakkan masa depan zuriat sendiri."

Demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini, sebelum menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 80 tahun dan sebatan 40 kali ke atas seorang peniaga gerai makan yang mengaku bersalah atas empat tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya, tahun lalu.

Mohamad Sekeri Mamat memerintahkan bapa sembilan anak itu menjalani hukuman penjara secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Tertuduh yang berusia 47 tahun itu hanya menundukkan kepalanya selepas mendengar hukuman, seperti tiada apa yang berlaku.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anak kelimanya berusia 15 tahun di rumah mereka di Cheras pada pukul 2 petang, 23 Januari lalu.

Dia mengulangi perbuatan terkutuk itu sebanyak tiga kali antara bulan November dan Disember tahun lalu di rumah yang sama.

Lebih memalukan, dia tergamak menodai mangsa di sebelah isterinya walaupun dihalang oleh wanita itu dan apabila keinginannya disekat, tertuduh akan memukul ibu mangsa.

Selain itu, tertuduh pernah memaksa mereka berdua meraba alat sulitnya di dalam bilik utama.

Setelah sekian lama, isteri tertuduh meminta pertolongan jiran untuk membuat laporan polis pada malam terakhir kejadian itu.

Dia yang berjaya diberkas oleh polis, didakwa pertama kali hari ini mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan maksimum 10 kali.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, lelaki yang berjambang dan nampak lemah itu, merayu hukuman ringan kerana menghidap penyakit darah tinggi, gout dan lemah jantung.

Dia yang tidak diwakili peguam, mendakwa bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan dan memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Loon Jia Yin memohon hukuman berat kerana ia kesalahan yang serius selain menghancurkan masa depan mangsa.

Di samping itu, beliau memohon supaya kesan trauma yang dialami mangsa sepanjang hidupnya, diambil kira dalam menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Sumber Utusan Malaysia.

Friday, February 4, 2011

Harga Buku Rujukan Peperiksaan Bertambah Mahal


Apabila kita bercakap tentang peperiksaan, lazimnya buku rujukan pasti akan dibeli sebagai bahan bacaan kepada anak-anak sekolah. Tanpa buku rujukan anak-anak sukar untuk membuat ulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Walau pun kerajaan telah membekalkan buku teks sebagai pinjaman kepada hampir semua pelajar di negara ini, namun buku rujukan tetap dibeli. Bahkan setiap guru yang mengajar, pasti akan membeli dan menggunakan buku rujukan mata pelajaran yang diajarnya di sekolah. Ibu bapa pula akan berbelanja lebih membeli buku-buku rujukan PMR, SPM atau STPM, demi untuk kejayaan anaknya. Perlukah buku rujukan? Tidak cukupkah buku teks yang telah kerajaan sediakan?
Hari ini buku rujukan yang dijual di kedai-kedai buku bertambah mahal harganya.

Berdasarkan pengalaman membeli buku rujukan untuk anak saya yang akan mengambil peperiksaan PMR tahun ini, untuk tiga buah buku sahaja, saya membayar sejumlah RM78.00. Anak saya minta lagi 5 buah buku untuk melengkapkan 8 mata pelajaran yang bakal dijawab dalam peperiksaan PMR kelak. Ini bermakna setiap ibu bapa akan berbelanja lebih RM200.00.
Bayangkan jika ada anak yang akan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun yang sama. Tentulah ibu bapa akan merasa terbeban dengan harga buku rujukan yang dijual di negara ini.

Bagi pelajar yang datang dari keluarga miskin, tentulah sukar untuk ibu bapanya membeli buku-buku tersebut. Kerajaan harus menetapkan dan mengawal harga buku-buku rujukan di negara ini, agar ibu bapa yang mempunyai pendapatan sedikit tidak merasa terbeban. Walau pun kerajaan ada memberi bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa, namun tidak semua pelajar yang akan memperolehinya.

Seperkara lagi sistem peperiksaan PMR di negara ini agak menghairankan kerana pelajar yang kurang cemerlang pun pasti akan dapat meneruskan persekolahan ke tingkatan empat. Keadaan ini boleh mempengaruhi pemikiran pelajar untuk tidak menggunakan sepenuhnya buku-buku rujukan yang telah dibeli oleh ibu bapanya tadi. Harga buku mahal tetapi nilai peperiksaan PMR semakin menurun. Lulus cemerlang atau kurang cemerlang, tetap akan meneruskan persekolahan ke tingkatan empat. Lebih baik peperiksaan PMR dimansuhkan.