Saturday, March 30, 2013

Pakar pendidikan temui jawapan pelajar lelaki lemah dalam SPM


KUALA LUMPUR 29 Mac - Prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin menurun sejak 15 tahun lalu dipercayai berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan itu yang memihak kepada pelajar perempuan.
Profesor di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Siti Rahayah Arifin berkata, kajian pihaknya mendapati, soalan SPM ketika ini lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik sekali gus memberi kelebihan kepada pelajar perempuan.
Sebaliknya, kata beliau, pelajar lelaki lebih menguasai soalan berkaitan angka, grafik, visual, logik, matematik dan penaakulan aras tinggi iaitu elemen yang tidak ditekankan dalam SPM.
Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggantikan pendekatan Teori Ujian Klasik (CTT) dalam peperiksaan SPM ketika ini dengan teori yang dibangunkannya, Teori Tret Pendam (IRT).
"Menerusi IRT itu, soalan peperiksaan SPM akan direka berdasarkan kemampuan dan kemahiran pelajar lelaki dan perempuan mengambil kira perbezaan pengetahuan kedua-dua golongan berkenaan," katanya ketika berucap dalam program Syarahan Perdana Profesor Ke Arah Kesaksamaan Penilaian dan Pendidikan di sini hari ini.
Program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan dan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak.
Sementara itu, peserta forum, Nita Salina Abu Bakar, 35, berkata, modul pembelajaran sekarang perlu diubah supaya tidak hanya tertumpu kepada akademik tetapi turut mengetengahkan aspek kemahiran.
Katanya, perkara itu bagi memastikan kemampuan pelajar tidak hanya diukur daripada keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti SPM sebaliknya dinilai berdasarkan kemahiran dimiliki.
"Corak peperiksaan yang berat sebelah memberi peluang kepada pelajar perempuan mendapat keputusan lebih baik berbanding pelajar lelaki dan ini sudah semestinya tidak adil kepada pelajar lelaki," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130330/dn_21/Pakar-pendidikan-temui-jawapan-pelajar-lelaki-lemah-dalam-SPM#ixzz2OyZOr1oC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, March 16, 2013

Bahasa Inggeris Wajib Lulus 2016

SPM: Wajib lulus BI lahir pelajar bermutu

KUALA LUMPUR 11 Mac - Pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016 mampu melahirkan pelajar berkualiti dalam pelbagai bidang, sekali gus membantu membangunkan negara ke arah negara maju.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Dr. Rafiah Salim berkata, tindakan tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing di peringkat global.
"Rakyat Malaysia disarankan lebih berfikiran terbuka untuk menerima sesuatu perubahan yang positif demi kebaikan negara dan bangsa dan inilah salah satu caranya iaitu menguasai Bahasa Inggeris dengan cekap.
"Walaupun sektor ekonomi terutamanya menuntut penguasaan Bahasa Inggeris, namun ini tidak bermakna kita harus mengetepikan kepentingan bahasa kebangsaan. Perlu ada keseimbangan dalam melaksanakan kedua-duanya supaya bahasa kebangsaan tidak diketepikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang berkemungkinan besar Bahasa Inggeris akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus SPM bermula 2016.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130312/pe_01/SPM-Wajib-lulus-BI-lahir-pelajar-bermutu#ixzz2NeljsZBE
© Utusan Melayu (M) Bhd