Wednesday, February 15, 2012

Nasib Golongan Pelajar Tercicir


Golongan pelajar tercicir boleh menjadi beban sekiranya tidak “dijaga” dan “dipantau” dengan sebaik-baiknya. “Dijaga” dalam konteks ini bermaksud membimbing mereka menjadi insan yang berguna kepada negara dan bukannya mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat.
Jika dibiarkan mereka terus tercicir, natijahnya buruk kepada masyarakat dan negara. Masakan tidak, kes jenayah yang berlaku sering kali melibatkan golongan pelajar yang tercicir dalam pelajaran. Oleh sebab ingin cepat hidup mewah dan ditambah pula dengan pengaruh rakan sebaya, mereka berisiko tinggi melakukan jenayah.
Namun, tidak dinafikan ada juga mereka yang tidak menamatkan pelajaran di peringkat asas atau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading, berjaya dalam kerjaya yang diceburi. Contohnya salah seorang bilionair Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mampu membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau boleh berjaya tanpa melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Malangnya, “klon” Syed Mokhtar bukan mudah dicari. Tanpa usaha, iltizam diri yang tinggi, bukan mudah mereka yang tercicir dalam pelajaran berjaya dalam hidup.
Pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan formal dianggap berada dalam keadaan yang berisiko. Golongan ini memerlukan bimbingan serta pendidikan alternatif bagi menggantikan pendidikan formal yang tidak diteruskan.
Menurut Pelan Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada 1999 dianggarkan sebanyak 106 juta orang kanak-kanak tidak bersekolah. Manakala pada 2008, jumlah ini menurun kepada 69 juta orang. Di Amerika Syarikat (AS), dianggarkan setiap tahun sebanyak 1.2 juta orang belia tidak menamatkan persekolahan di sekolah tinggi (menengah).
Di Malaysia, laporan yang dikemukakan oleh Cawangan Pencegahan Jenayah, Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, pada 2010 menunjukkan bahawa sebanyak 1.43 peratus kes disiplin direkodkan di sekolah seluruh negara. Sebanyak 0.30 peratus daripada kes disiplin ini melibatkan kes jenayah seperti pergaduhan dan kes kecurian. Majoriti pelajar yang terlibat dalam kes disiplin yang serius dikenakan tindakan tatatertib seperti dibuang sekolah.
Angka yang diberikan bukan sahaja membimbangkan, malah mampu menggugat sistem pendidikan yang berperanan sebagai mangkin melahirkan masyarakat yang berguna. Walaupun ada segelintir pihak menganggap jumlah mereka yang tercicir dalam pelajaran di negara ini masih dalam kawalan, harus diingatkan bahawa jumlah kecil inilah sebenarnya perlu ditangani dengan segera agar tidak menjadi lebih serius.
___
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat September 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

No comments:

Post a Comment