Wednesday, May 9, 2012

76,200 siswazah menganggur tidak mahir


KUALA LUMPUR 8 Mei - Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah siswazah yang menganggur di negara ini adalah seramai 76,200 orang disebabkan tidak memiliki kemahiran untuk mencari pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, hasil kajian Jabatan Tenaga Kerja menerusi portal Jobstreet Malaysia ke atas 1,994 responden mendapati 77.14 peratus mengaku memerlukan bimbingan bagi mencari pekerjaan.
"Hasil kajian itu juga mendapati hanya 42.59 peratus bersetuju sepatutnya siswazah tidak menghadapi masalah untuk mencari kerja berbanding 57.41 peratus mengaku mempunyai masalah untuk berbuat demikian.
"Ini jelas menunjukkan ketiadaan kemahiran mencari pekerjaan telah menyebabkan ramai daripada siswazah gagal mendapat kerja," katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Senator Khoo Soo Seang mengenai tindakan yang telah diambil bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah yang semakin meningkat setiap tahun.
Maznah turut menjelaskan bahawa kadar pengangguran di negara ini sekarang ialah 3.1 peratus dan menunjukkan ia terkawal serta masih boleh diuruskan.
"Untuk makluman semua, kadar pengangguran di Jepun adalah 4.5 peratus, Amerika Syarikat (8.1 peratus) dan Kanada (7.2 peratus) menunjukkan masalah ini tidak begitu serius di Malaysia.
"Bagaimanapun, kementerian sentiasa prihatin dengan masalah pengangguran ini dengan menjalankan pelbagai program untuk memastikan semua rakyat mempunyai pekerjaan," ujarnya.
Jelasnya, antara program yang dilaksanakan untuk tujuan tersebut ialah menyediakan kemudahan pendaftaran serta mencari pekerjaan secara percuma melalui portal JobsMalaysia.
"Perkhidmatan itu bukan saja untuk kemudahan penganggur tetapi juga boleh digunakan oleh pekerja yang mahu mencari kerja yang lebih baik," katanya.


Sumber : Utusan Malaysia Mei 2012

No comments:

Post a Comment