Tuesday, January 25, 2011

Modul Penulisan Karangan Pengajian Am Kertas 2

Setiap tahun laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam buku laporan peperiksaan STPM, antara kelemahan calon yang dikenal pasti oleh kebanyakan pemeriksa kertas khususnya bagi mata pelajaran pengajian am kertas 2 ialah mutu karangan calon yang agak lemah dari segi penyampaian isi.

KARANGAN SEBAGAI WACANA YANG LENGKAP

Dalam konteks penulisan karangan untuk tujuan peperiksaan, lazimnya asas-asas binaan sebuah karangan yang lengkap telah pun diketahui, iaitu terdiri daripada tiga bahagian utama.

· Bahagian pendahuluan

· Bahagian isi

· Bahagian penutup

Perenggan pendahuluan mengandungi beberapa ayat rangsangan yang memberi pengenalan tentang tajuk yang akan dibicarakan.

Ayat-ayat rangsangan ini mungkin terdiri daripada ayat Tanya (persoalan), sedutan kata-kata pujangga atau pendapat tokok, tarikh-tarikh peristiwa yang berkaitan, berita terkini, atau pendefinisian. Ayat tersebut diikuti pula dengan ayat fokus yang menyentuh isi khusus tajuk yang dipilih.

Pelajar digalakkan menulis ayat arah, iaitu ayat yang mengandungi arahan tentang kehendak soalan dan kemudiannya menjadi kandungan badan karangan berasaskan konsep kesatuan. Melalui konsep ini, satu isi atau idea hendaklah dihuraikan dalam satu perenggan yang kemudiannya berkembang dengan ayat-ayat yang jelekit dan berkesinambungan. Kedua-dua aspek tersebut sangat penting kerana perenggan isi harus berfokus dan mengandungi maklumat yang berkaitan dengan kehendak soalan.

Keseimbangan saiz perenggan bukanlah didasarkan kepada jumlah perkataan atau himpunan ayat tetapi yang lebih penting ialah pernyataan idea utama yang jelas dengan sokongan. Oleh yang demikian, idea utama hendaklah diutarakan dalam ayat tajuk (AT) sementara sokongannya hendaklah diperjelas dalam beberapa ayat huraian (AH) dan ayat contoh (AC). Selanjutnya, perenggan tersebut harus diperkukuh dengan ayat simpul (AS). Perenggan penutup merupakan pendirian pelajar tentang tajuk yang dibicarakan. Pendirian tersebut boleh digambarkan dalam bentuk sokongan, cadangan, pandangan dan gambaran masa hadapan.

No comments:

Post a Comment