Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Monday, December 12, 2011

Kecemerlangan Guru Malaysia


GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri (SMKTBM), Kuala Lumpur, Zainuddin Zakaria mengharumkan nama negara apabila menjadi pendidik tempatan pertama memenangi tempat ketiga pada Forum Rakan Pembelajaran Global 2011 di Washington, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Zainuddin mengemukakan projek pendidikan bertajuk KODU Di Dalam Kelas Seluruh Dunia, meraih tempat ketiga bagi Kategori Anugerah Khas Penggunaan Mantap Teknologi Microsoft Dalam Pembelajaran. Pada projek berkenaan, Zainuddin melatih sekumpulan pelajar SMKTBM mencipta permainan komputer bertemakan isu alam sekitar dengan menggunakan Makmal Permainan KODU, suatu perisian pembangunan permainan oleh Microsoft khusus untuk pendidikan.
Sementara itu, lima sekolah dipilih menjadi rakan kerjasama iaitu Russia State School, Russia; Milseong Jeil High School, Korea Selatan; Lawrence S Ting School, Vietnam; Odogbolu Grammar School, Nigeria dan Hawkesdale P12 College, Australia. Sekolah itu turut dilatih membangunkan permainan komputer masing-masing. Tiga permainan pendidikan terbaik dipilih daripada setiap sekolah untuk ditukar dengan permainan yang dihasilkan pelajar SMKTBM. Menurut Zainuddin yang juga guru pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), projek itu membolehkan pelajar mempelajari dan memahami nilai murni serta pengajaran yang terdapat dalam setiap permainan, seperti kepelbagaian masalah alam sekitar dan cara mengatasinya. Menerusi permainan komputer yang memang menjadi kegilaan remaja, katanya, pelajar boleh bermain sambil belajar dengan cara interaktif dan menyeronokkan. “Sebagai contoh, pelajar SMKTBM berjaya menghasilkan permainan yang mudah tetapi menyeronokkan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai masalah alam sekitar antaranya pembasmian hutan, pemburuan penyu secara haram dan kesan pencemaran alam oleh kilang. “Pelajar sekolah lain pula mengenal pasti pelbagai masalah lain berkaitan yang terdapat di negara mereka. Sambil bermain, pelajar mempelajari pengajaran yang terdapat dalam permainan itu,” katanya kepada Berita Harian. Selain itu, Zainuddin berkata, penggunaan Makmal Permainan KODU untuk mencipta permainan menggalakkan pelajar membina dan membangunkan program sendiri sejak peringkat awal selain mempelajari aspek kerjasama, logik dan kreativiti. Pada tahun ini, Forum Rakan Pembelajaran Global anjuran Microsoft yang masuk tahun ketujuh penganjurannya itu disertai kira-kira 700 pendidik daripada lebih 70 negara di seluruh dunia. Sebanyak 115 projek pendidikan terpilih ke peringkat akhir daripada lebih 200,000 penyertaan diterima pada peringkat awal. Daripada jumlah itu, hanya 18 projek pendidikan terbaik dipilih menerima anugerah bagi enam kategori yang dipertandingkan.

Ucapan tahniah dari saya dan seluruh warga pendidik di Malaysia atas kejayaan Cikgu Zainuddin. Syabas!!

Sumber dipetik daripada : Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment