Friday, March 30, 2012

Bahasa cerminan identiti, ilmu bangsa


PUTRAJAYA 29 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata, bahasa bukan sahaja mampu memainkan peranan untuk mengenal pasti identiti sesuatu bangsa tetapi menjadikan sesuatu bangsa itu terpelajar.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bagaimana sesebuah tamadun itu berkembang pesat apabila rakyatnya berusaha mendalami mana-mana bahasa untuk menguasai ilmu pengetahuan.
"Kegemilangan Tamadun Islam sebelum ini berpunca daripada sikap orang Arab yang memeluk Islam ketika itu berusaha mendalami bahasa Greek yang dianggap sebagai bahasa ilmu dan mereka telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab.
"Keadaan itu telah menyebabkan bahasa Arab dikenali sebagai bahasa ilmu sehingga menarik ramai orang Eropah mendalaminya bagi menguasai ilmu yang ada," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Mohd Rustam; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Seminar tiga hari itu yang bermula hari ini bertemakan Mentransformasi Aspirasi Pendidikan, Menginovasi Penciptaan Warisan.
Justeru, Dr. Mahathir berkata, masyarakat yang fanatik kepada bahasa sendiri akan menyebabkan mereka ketinggalan bukan hanya dari segi pembangunan tetapi juga penguasaan ilmu pengetahuan.
Malah beliau menambah, sikap sedemikian juga akan menyebabkan bahasa tersebut sukar untuk berkembang dan dikuasai oleh bangsa lain.
"Walaupun bahasa ilmu hari ini adalah bahasa Inggeris tetapi tidak bermakna bahasa Melayu perlu kita pinggirkan, kita mesti pupuk bahasa itu kerana mungkin satu masa nanti, ia akan menjadi bahasa ilmu," katanya.

Sumber Utusan Malaysia - 29 Mac 2012

Tuesday, March 27, 2012

'Amal sikap suka membaca'


KUALA LUMPUR 26 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak masyarakat negara ini termasuk para pembaca blog beliau supaya sentiasa menggunakan masa terluang untuk melakukan aktiviti berfaedah seperti membaca buku.
Perdana Menteri berkata, melalui pembacaan, seseorang antaranya boleh mempelajari ketabahan ikon dunia dan seterusnya mampu menyemarakkan aspirasi pembaca dalam menghadapi masa depan yang lebih baik.
"Bagi anda yang mempunyai masa terluang, saya harap anda akan terus membaca sekerap yang anda mampu.
"Saya amat rindukan kepuasan membaca buku dari semasa ke semasa," katanya dalam entri terbaru di http://1malaysia.com.my bertajuk Kepuasan Membaca Sebuah Buku Yang Ditulis Dengan Baik hari ini.
Dalam entri tersebut, Najib turut berkongsi kepuasan yang dikecapi beliau setelah selesai membaca buku biografi mengenai pengasas syarikat Apple Inc. Steve Jobs.

Friday, March 9, 2012

Hadiah untuk penjawat awam


PUTRAJAYA 8 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Minimum-Maksimum Sistem Saraan Malaysia (SSM) berikutan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Menurut Perdana Menteri, jadual baru struktur gaji SSM itu diubah suai daripada Jadual Gaji Matrik bagi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kakitangan awam.
‘‘Ia selaras dengan komitmen kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2012,’’ katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.




Sumber : Utusan Malaysia 8 Mac 2012