Internet Adalah Medium Pengetahuan Masa Kini

Wednesday, November 13, 2013

Berikan lebih kuasa kepada PPD

 


TRANSFORMASI pendidikan dan usaha mengkaji semula sistem pendidikan yang sedang giat dilaksanakan sekarang tidak hanya menjurus kepada aspek kurikulum tetapi turut melibatkan sistem penyampaian dan tadbir urus organisasi pendidikan.
Cadangan memperkasakan lebih 150 buah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilihat bergerak dan menuju ke arah tersebut.
Langkah ini dianggap sebagai sebahagian daripada usaha penting bagi memperkemas dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Tambah beliau PPD juga perlu diperkukuh dari sudut organisasi, bidang kuasa serta prasarana bagi membolehkan institusi itu menjadi punca kepada pusat perkembangan ilmu dan pemantauan terhadap pencapaian pendidikan peringkat daerah di seluruh negara.

Sesungguhnya peranan PPD sangat penting kerana organisasi itu berada pada kedudukan yang paling hampir dengan sekolah. Langkah ini perlu dibuat kerana kajian awal pendidikan mendapati tumpuan di peringkat bawah merupakan prasyarat bagi memastikan peningkatan kualiti pendidikan. Oleh itu PPD yang dilihat seolah-olah tidak penting satu ketika dahulu perlu diperkasakan sekiranya ingin melihat perubahan yang positif terhadap sistem pendidikan kita.
Kajian dan penilaian semula sistem pendidikan yang telah pun bermula seharusnya tidak hanya melihat kepada aspek kurikulum sahaja iaitu yang melibatkan kandungan pengajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran, alat dan bahan yang digunakan, sistem penilaian dan peperiksaan serta aktiviti sokongan melalui kokurikulum.
Ia perlu juga melihat sistem penyampaian dan tadbir urus yang melibatkan institusi dan organisasi yang berada dalam lengkungannya. Sudah sampai masanya dibuat penilaian dan perubahan terhadap bidang kuasa dan memberikan tanggungjawab yang lebih luas kepada organisasi yang difikirkan dapat membantu peningkatan kualiti pendidikan terutama di peringkat akar umbi.
Sejak dilaksanakan Laporan Razak 1956 diikuti Laporan Rahman Talib 1961 dan yang terakhir Laporan Kabinet 1970 sistem pendidikan kita sangat berpusat yang segala-galanya ditentukan oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Semua dasar, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian datangnya daripada Putrajaya akan diturunkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kemudiannya kepada PPD dan akhirnya barulah sampai ke peringkat sekolah.
Segala-galanya seperti one size fit all tanpa mengambil kira bahawa terdapat perbezaan dari segi infra struktur atau fizikal sekolah, latar belakang murid, lokaliti dan persekitarannya. Misalnya apa yang diajar kepada murid sekolah di Kuala Lumpur adalah sama juga yang diberikan kepada murid di Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah. Demikian juga sistem penilaian dan peperiksaan yang digunakan di SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur adalah juga dilaksanakan di SK Ulu Lubai atau SK Long Persia, Sarawak.
Dengan bilangan sekolah melebihi 10,000 buah adalah sukar untuk memastikan semua maklumat daripada pusat dapat sampai ke sekolah dengan lengkap dan sempurna. Demikian juga data maklumat sekolah tidak dapat dipantau dan dinilai sepenuhnya oleh pihak pusat kerana bilangannya terlalu banyak. Mungkin berlaku situasi terlepas pandang tentang kekurangan di sekolah terutama yang terletak di luar bandar atau kawasan jauh di pedalaman. Maka di sinilah peranan penting yang boleh dimainkan oleh PPD bagi mengatasi kekurangan tersebut.
Demikian juga dengan bilangan guru yang hampir mencecah 400,000 orang perlu mendapat bimbingan, pemantauan dan penilaian yang berterusan terutama bagi memastikan keberkesanan dalam melaksanakan hala tuju serta tugas pengajaran dan pembelajaran. Bagi menjalankan tugas ini terutama yang berkaitan dengan pemantauan dan penaziran akan lebih berkesan jika dilakukan oleh pegawai pelajaran yang lebih hampir dengan sekolah kerana mereka lebih tahu tahap daya saing dan keperluan penambahbaikkan prestasi guru.
Demikian juga dari segi penempatan guru, kursus dalam latihan, pertukaran, pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat menjadi lebih mudah, berkesan dan teratur jika dikendalikan oleh pegawai-pegawai PPD yang dianggap lebih mengenali dan memahami secara lebih dekat akan guru-guru di daerah mereka. Namun demikian urusan hal perkhidmatan dan perjawatan selanjutnya tetap akan dikendalikan oleh pihak JPN dan KPM.
Memperkasakan PPD boleh dilakukan dengan kaedah ‘desentralisasi’ iaitu melalui penurunan dan penambahan kuasa dan autoriti. Dengan kedua-dua elemen ini membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lancar dan penuh keyakinan. Misalnya penentuan peruntukan kewangan untuk membaik pulih, ubah suai dan penyelenggaraan sekolah perlu ditentukan dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai PPD.
Dengan kuasa yang ada pada mereka bagi menyedia peruntukan dan membelanjakannya maka sekolah-sekolah yang terletak jauh di luar bandar dan pedalaman akan lebih mendapat perhatian dan penjagaan yang lebih baik. Dengan peranan baru dan tanggung jawab yang lebih mencabar maka sudah tentu struktur organisasi PPD memerlukan penambahan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai PPD hendaklah dilantik daripada mereka yang berpengalaman, mempunyai kekananan dan berkemahiran tinggi.
Lawatan ke sekolah hendaklah dilakukan sekerap mungkin dan secara berkala. Penambahan tersebut boleh diselaraskan dengan mengurangkan bilangan pegawai di JPN dan KPM. Diharapkan melalui kaedah ini semua sekolah akan mendapat bimbingan, perhatian dan pemantauan yang lebih kemas dan teratur.
Akhirnya peneraju PPD hendaklah dipilih dan dikenal pasti dari mereka yang terbaik dan terkanan di daerah itu. Moga-moga saranan Timbalan Perdana Menteri untuk memperkasakan PPD akan dapat melonjakkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz2kX5ZUmUR
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment