Saturday, March 5, 2011

Nasib Guru Disiplin

MERUJUK kepada artikel oleh Datuk Rejal bertajuk ‘Hukuman melampau bukan cara mendidik’, secara dasarnya saya bersetuju dengan saranan beliau agar guru perlu bijak dalam menangani masalah disiplin di sekolah.

Namun agak mengecewakan apabila berlaku kes salah laku disiplin, pihak sekolah terutama guru disiplin akan dipersalahkan. Ya, tidak dinafikan ada segelintir guru disiplin yang melakukan kesilapan sedemikian namun harus diberi perhatian dalam beberapa perkara yang saling berkait rapat mempengaruhi tindakan guru berkenaan. Antaranya:

  • Apakah punca guru mengambil tindakan yang sedemikian? Adakah ia berpunca daripada bebanan tugas (masih lagi dalam kajian) atau masalah lain. Apakah guru berkemampuan untuk menyelesaikan semua masalah yang berlaku, bagaimana pula peranan kaunselor di sini?
  • Apakah wajar guru dipersalahkan sekiranya berlaku kes disiplin di sekolah, sedangkan di dalam penjara sekali pun tetap berlaku rusuhan dan pergaduhan; malah ada juga ibu bapa yang gagal mendisiplinkan anak-anaknya sehingga menjadi perompak, penagih dadah, perogol ( apa tindakan untuk ibu bapa seperti ini ).
  • Adakah guru akan melaksanakan hukuman sesuka hati. Kalau begitu cuba bayangkan sekiranya ada pelajar memaki hamun anda di dalam kelas ketika anda mengajar. Apa reaksi anda? Kalau anda dimaki hamun di restoran sekali pun adakah anda akan tersenyum? Guru juga manusia yang ada perasaan... jangan lupa.
  • "MENDISIPLINKAN PELAJAR" merupakan antara tugas guru BUKAN jawatan yang dilantik oleh SPP. Semua guru adalah wajib mendisiplinkan murid yang bermasalah. BUKAN tugas seorang guru sahaja. Tidak ada guru yang benar-benar mahu memegang tugas guru disiplin melainkan terpaksa atau dipaksa.
Untuk membuat tuduhan memang mudah. Hasil siasatan juga tidak semestinya tepat kerana banyak faktor yang perlu diambil kira. Kadang-kadang sikap pelajar itu sendiri yang mengundang padah. Ada yang teraniaya tetapi tidak bersuara, yang tahu menyembunyikan fakta, sudah tentu menyukarkan guru untuk menyiasat.

Perlu kita ingat tugas utama guru bukan menyiasat kes. Cuba anda bayangkan bagaimana untuk menyelesaikan kes curi yang berlaku di sekolah jika tiada yang tampil memberi maklumat. Kita harus ingat bahawa anak-anak sekarang cukup bijak dan mereka ini terdedah dengan pelbagai unsur negatif dalam masyarakat kita hari ini.

Apakah pula peranan pihak universiti dalam hal ini, adakah cukup sekadar kajian ilmiah semata-mata. Apa salahnya pakar kita turun padang dan bantu guru dalam menangani masalah disiplin di sekolah, bukan sekadar memberi cadangan dan teori saja dan menyalahkan orang lain.
Bagaimana pula dengan masalah sosial dan jenayah yang dilakukan oleh siswa dan siswi, siapa pula yang harus dipersalahkan?

Perlu ditegaskan sekali lagi, jawatan guru disiplin tidak ada apa-apa keistimewaan, hanya sukarela atau terpaksa rela. Tanpa bayaran khas, namun diharapkan mereka tetap berdedikasi mendidik anak bangsa dan berhati-hati dalam sebarang tindakan, kerana keburukan itu lebih senang dicari berbanding kebaikan.

Pada pendapat saya, apa yang pihak sekolah perlukan ialah bantuan dan sokongan daripada masyarakat, bukannya meletakkan beban mendidik digalas guru saja dan untuk dipersalahkan semata-mata.

Thursday, March 3, 2011

Guru Disiplin

Guru disiplin adalah guru yang menjalankan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar di sekolah. Secara teori semua guru adalah guru disiplin. Tetapi dalam banyak perkara guru disiplin tidak diberi taklimat dan kursus serta isu perundangan berhubung dengan bidang tugas sebenar.

Guru-guru di Malaysia jeran dengan tugas ini. Guru diingatkan tidak menghukum pelajar dengan tangan seperti lempang, sepak, sepak, cubit, pukul dan lain-lain. Ibu bapa yang dikatakan cendekiawan dan lebih lebih bijak daripada guru mengugut akan membawa guru ke mahkamah dan menuntut pampasan. Laporan doktor dan laporan polis akan dikemukakan sehingga akhirnya guru-guru muda ini dihantar ke pulau atau ke hulu.

Kementerian Pelajaran Malaysia pernah mencadangkan polis ditempatkan di sekolah untuk membendung kes kecurian, pergaduhan, perkauman, buli, merokok, ponteng dan sebagainya. Ada juga yang mencadangkan polis mengawasi kawasan luar sekolah. Kawasan luar sekolah yng menjadi tempat lepak dan ponteng seperti pusat beli-belah, rumah kosong, kawasan semak dan sebagainya bukan dalam bidang tugas sekolah. Malangnya ibu bapa dan masyarakat menyalahkan sekolah kerana tidak mengambil sebarang tindakan.

Seseorang guru tidak minta jawatan guru disiplin. Tetapi mereka dipilih kerana jantina mereka lelaki, garang dan berani. Di bandar-bandar besar, kebanyakan guru besar dan pengetua terdiri daripada perempuan. Biasanya mereka enggan merotan dan diserahkan tugas merotan kepada guru disiplin.

Kebanyakan guru di Malaysia menganggap tugas guru disiplin berisiko tinggi. Seorang guru disiplin mestilah tahu membaca mood pelajar, mententeramkan pelajar, tahu selok-belok jenayah juvenil dan bijak bertikam lidah dengan ibu bapa. Guru yang tidak mahir berhujah seperti seorang peguam janganlah menjadi guru disiplin.Kebanyakan ibu bapa dan pakar pendidikan tidak dapat menerima kehadiran guru disiplin. Tutur bahasa dan perangai anak mereka berlawanan sekali jika dibanding semasa di rumah atau di sekolah rendah.

Monday, February 28, 2011

Pencapaian Pengajian Am Pelajarku STPM 2010

Beginilah keputusan pengajian am stpm beberapa orang pelajarku tahun 2010. Apakah target anda untuk tahun ini.

Sunday, February 27, 2011

Bahaya Bahan Plastik Terhadap Kesihatan Manusia



Kecenderungan penduduk negara ini menggunakan botol air mineral plastik secara berulang kali untuk menjimatkan kos, sebenarnya boleh mengundang maut.

Ini kerana kajian menunjukkan penggunaan botol dan pembungkus plastik polyvinyl chloride (PVC) berulang kali akan mendedahkan penggunanya terhadap unsur kimia seperti ‘vinyl cloride monomer’ (VCM) dan ‘phthalates’. VCM dikenalpasti mengandungi karsinogen yang boleh menyebabkan barah.

Pensyarah Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jamal Hisham Hashim, berkata botol plastik air mineral atau minuman ringan hanya boleh digunakan semula sekali atau dua sebelum dibuang.

Selain VCM dan phthalates, bekas plastik mengandungi bahan logam berbahaya seperti kadmium yang digunakan sebagai ‘plastisizer’ iaitu untuk meningkatkan kualiti plastik supaya warnanya cerah dan tidak kekuningan biarpun lama digunakan. Penggunaan secara berulang boleh menyebabkan kadmium di dalamnya terhakis dan mencemarkan makanan atau minuman,” katanya.

“Pembungkus makanan daripada bahan PVC sepatutnya tidak boleh mengandungi lebih daripada satu miligram per kilogram (mg/kg) VCM.

“Makanan yang dibungkus dengan PVC dan dicemari VCM melebihi 0.05mg/kg tidak sesuai dimakan kerana boleh mendatangkan kesan mudarat pada kesihatan,” katanya.

Dr Jamal berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE) dan PE tidak mengandungi VCM. Jadi penggunaannya tidak menyebabkan barah, namun masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.

Katanya, botol minuman diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET) selamat digunakan dalam keadaan biasa, namun memanaskannya boleh mengeluarkan ‘phthalates’.

Phthalates disyaki boleh meniru hormon manusia, tetapi ia tidak menyebabkan barah, namun ia boleh mengganggu fungsi hormon manusia.

“Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna. Peraturan mengenai pembungkus dan bekas makanan daripada PVC terkandung di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

“Namun tidak ramai menyedarinya kerana kesedaran terhadap penggunaan barangan plastik untuk pembungkusan atau menyimpan makanan atau air masih rendah,” katanya.

Dr Jamal berkata, penggunaan botol plastik mengundang bahaya lain seperti jangkitan kuman kerana bakteria boleh membiak berikutan bahan itu sukar dicuci bersih dan melekat daki.

“Jika ragu-ragu mengenai jenis plastik yang boleh digunakan secara berulang untuk menyimpan makanan, sila rujuk kepada Bahagian Kawalan Mutu Kementerian Kesihatan,” katanya.

Kenyataan Dr Jamal mengesahkan laporan Buletin Pengguna mengenai bahaya penyalahgunaan botol plastik serta bekas makanan diperbuat daripada stirofom dan polisterin.

Buletin itu diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Pengarah Komunikasi Fomca yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang Buletin Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya mengetengahkan bahaya penggunaan botol plastik berulang kali kerana ramai menggunakan botol air mineral sebagai bekas minuman di dalam peti sejuk.

“Lebih berbahaya, ramai menjadikan botol itu sebagai bekas minuman anak ke sekolah, bekal ke pejabat atau untuk beriadah. Sedangkan botol berkenaan hanya boleh digunakan sekali atau dua atau paling lama seminggu sebelum perlu dibuang,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kurang pengetahuan dan kesedaran menyebabkan banyak lagi amalan rakyat negara ini mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit kronik.

Katanya, penggunaan kertas akhbar dan majalah, selain bekas makanan diperbuat daripada stirofom atau polisterin, juga boleh mengakibatkan tersebarnya logam ke dalam tubuh.

“Kertas akhbar dan majalah mengandungi timah hitam melebihi had dibenarkan. Apabila timah hitam ini ada dalam tubuh, ia masuk ke saluran pernafasan dan pencernaan, seterusnya sistem peredaran darah sebelum tersebar ke bahagian lain seperti ginjal, hati, otak, saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya dan tidak boleh dijadikan pembungkus makanan.

“Bahan pembungkus stirofom dan polisterin pula kini cukup popular, tetapi kajian mendapati ia mengandungi bahan unsur karsinogen,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohamed Siraj Razack, turut memberi amaran mengenai bahaya penggunaan botol plastik, bekas menyimpan makanan serta bahan pembungkus jenis stirofon atau polisterin yang disifatkannya pembunuh senyap.

“Bahan berasaskan plastik itu boleh digunakan sekali dua saja. Jika dibasuh berulang kali, bahagian dalamnya terhakis dan mengeluarkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, bahan kimia dalam bekas plastik mudah terhasil apabila terkena cahaya matahari, misalnya botol mineral bagi mengisi air minuman yang ditinggalkan dalam kereta.

“Bekas plastik terbabit sepatutnya dikitar semula untuk dijadikan barangan berasaskan plastik lain yang tiada kaitan dengan makanan.

“Sebaiknya, untuk menyimpan makanan atau minuman, gunakan bahan dibuat khusus untuk digunakan berulang kali, misalnya termos atau jenis plastik tahan panas dan khusus untuk menyimpan makanan,” katanya.

Mohamad Siraj berkata, kepanasan makanan atau minuman yang disimpan dalam bekas plastik tertentu juga boleh menghasilkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan, misalnya amalan minum teh tarik bungkus.

“Teh tarik seeloknya diminum menggunakan cawan kerana wap yang keluar daripada plastik pembungkus yang bercampur dengan teh boleh menyebabkan tindak balas kimia.

“Kari panas dibungkus menggunakan bahan plastik juga amalan tidak baik dan kesannya sama seperti teh tarik bungkus,” katanya.

Mohamed Siraj berkata, semua barangan plastik diterima oleh pusat kitar semula. Sehubungan itu, kesedaran terhadap bahaya penggunaan bekas plastik secara berulang akan mengalihkan perhatian pengguna untuk mengitar semula barangan terbabit dalam menjaga alam sekitar.

Rujukan/sumber: Harian Metro 22 Januari 2006

Monday, February 21, 2011

Yang Mana Satu Pilihan Anda


Setiap kali keputusan peperiksaan PMR, SPM atau STPM diumumkan suasana seperti ini seringkali ditunjukkan oleh pelajar yang lulus dan yang gagal. Sebagai manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran oleh Allah s.w.t, buatlah pilihan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga anda. Ingatlah pepatah orang tua "Menyesal Dahulu Pendapatan, Menyesal Kemudian Tidak Berguna".

Friday, February 18, 2011

Andainya Tidur Tiada Erti Lagi


Mimpilah kematian

andainya tidur tiada erti lagi

kerana malam yang indah

dengan cahaya terang bulan di langit

hanyalah untuk mereka yang tahu

bersyukur atas nikmat Tuhan

Tuesday, February 15, 2011

Atas Dasar "Kasih Sayang"


Saya bangga jadi ANAK MALAYSIA. Hidup di negara ini sungguh istimewa. Banyak perkara yang dapat dikongsi oleh pelbagai kaum yang mempunyai gaya hidup berbeza terutamanya dari segi pegangan agama, namun tetap kekal hidup aman damai dalam satu negara MALAYSIA. Walau bagaimanapun, tidak semua aktiviti sosial yang boleh disertai rakyat Malaysia lantaran kerana disiplin agama itu sendiri. Kebebasan beragama di negara ini bukan bermakna rakyat Malaysia khususnya yang beragama ISLAM bebas turut serta menyambut perkara-perkara yang yang dilarang oleh agama ISLAM. Misalnya "PERAYAAN HARI KEKASIH" atau lebih popular disebut Valentine's Day. Memang benar semua agama mengajar penganutnya berkasih sayang. Namun janganlah kerana atas dasar kasih sayang...amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama ISLAM menjadi ikutan atau kegilaan nafsu untuk menunjukkan betapa sayangnya kita kepada seseorang itu sehingga sanggup melakukan dosa.