Saturday, March 5, 2011

Nasib Guru Disiplin

MERUJUK kepada artikel oleh Datuk Rejal bertajuk ‘Hukuman melampau bukan cara mendidik’, secara dasarnya saya bersetuju dengan saranan beliau agar guru perlu bijak dalam menangani masalah disiplin di sekolah.

Namun agak mengecewakan apabila berlaku kes salah laku disiplin, pihak sekolah terutama guru disiplin akan dipersalahkan. Ya, tidak dinafikan ada segelintir guru disiplin yang melakukan kesilapan sedemikian namun harus diberi perhatian dalam beberapa perkara yang saling berkait rapat mempengaruhi tindakan guru berkenaan. Antaranya:

  • Apakah punca guru mengambil tindakan yang sedemikian? Adakah ia berpunca daripada bebanan tugas (masih lagi dalam kajian) atau masalah lain. Apakah guru berkemampuan untuk menyelesaikan semua masalah yang berlaku, bagaimana pula peranan kaunselor di sini?
  • Apakah wajar guru dipersalahkan sekiranya berlaku kes disiplin di sekolah, sedangkan di dalam penjara sekali pun tetap berlaku rusuhan dan pergaduhan; malah ada juga ibu bapa yang gagal mendisiplinkan anak-anaknya sehingga menjadi perompak, penagih dadah, perogol ( apa tindakan untuk ibu bapa seperti ini ).
  • Adakah guru akan melaksanakan hukuman sesuka hati. Kalau begitu cuba bayangkan sekiranya ada pelajar memaki hamun anda di dalam kelas ketika anda mengajar. Apa reaksi anda? Kalau anda dimaki hamun di restoran sekali pun adakah anda akan tersenyum? Guru juga manusia yang ada perasaan... jangan lupa.
  • "MENDISIPLINKAN PELAJAR" merupakan antara tugas guru BUKAN jawatan yang dilantik oleh SPP. Semua guru adalah wajib mendisiplinkan murid yang bermasalah. BUKAN tugas seorang guru sahaja. Tidak ada guru yang benar-benar mahu memegang tugas guru disiplin melainkan terpaksa atau dipaksa.
Untuk membuat tuduhan memang mudah. Hasil siasatan juga tidak semestinya tepat kerana banyak faktor yang perlu diambil kira. Kadang-kadang sikap pelajar itu sendiri yang mengundang padah. Ada yang teraniaya tetapi tidak bersuara, yang tahu menyembunyikan fakta, sudah tentu menyukarkan guru untuk menyiasat.

Perlu kita ingat tugas utama guru bukan menyiasat kes. Cuba anda bayangkan bagaimana untuk menyelesaikan kes curi yang berlaku di sekolah jika tiada yang tampil memberi maklumat. Kita harus ingat bahawa anak-anak sekarang cukup bijak dan mereka ini terdedah dengan pelbagai unsur negatif dalam masyarakat kita hari ini.

Apakah pula peranan pihak universiti dalam hal ini, adakah cukup sekadar kajian ilmiah semata-mata. Apa salahnya pakar kita turun padang dan bantu guru dalam menangani masalah disiplin di sekolah, bukan sekadar memberi cadangan dan teori saja dan menyalahkan orang lain.
Bagaimana pula dengan masalah sosial dan jenayah yang dilakukan oleh siswa dan siswi, siapa pula yang harus dipersalahkan?

Perlu ditegaskan sekali lagi, jawatan guru disiplin tidak ada apa-apa keistimewaan, hanya sukarela atau terpaksa rela. Tanpa bayaran khas, namun diharapkan mereka tetap berdedikasi mendidik anak bangsa dan berhati-hati dalam sebarang tindakan, kerana keburukan itu lebih senang dicari berbanding kebaikan.

Pada pendapat saya, apa yang pihak sekolah perlukan ialah bantuan dan sokongan daripada masyarakat, bukannya meletakkan beban mendidik digalas guru saja dan untuk dipersalahkan semata-mata.

No comments:

Post a Comment