Sunday, November 20, 2011

Tips Selepas dan Sebelum Menjawab Soalan STPM

Walau apapun yang telah anda lakukan ketika menjawab soalan peperiksaan, lakukan 3 perkara yang berikut:

1. Berdoa, Bersyukur dan bertawakkal kepada Allah s.w.t
2. Teruskan membuat ulangkaji mata pelajaran yang akan dijawab pada hari berikutnya
3. Sebelum melangkah keluar dari rumah, mohon restu daripada ibu bapa atau penjaga anda



Sunday, November 13, 2011

Melayu Sudah Lupa Sejarah


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan parti-parti politik tertentu yang baru ditubuhkan tidak ubah seperti pengemis apabila sanggup meminta sokongan pihak antarabangsa untuk kepentingan diri.

Pemimpin-pemimpin parti terbabit, jelas beliau, tidak berjuang untuk kepentingan bangsa dan tanah air, sebaliknya mahu menjadi pemimpin negara walaupun pada hakikatnya langsung tidak mempunyai kekuatan dari segi ekonomi, senjata (tentera) dan politik.

"Orang Melayu hari ini sudah lupa sejarah, kita ada kekuatan, ada pendidikan tapi hanya kerana kita cepat lupa maka, kita sudah berpecah kepada banyak kumpulan, lalu siapa yang akan mempertahankan tanah air kita," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran buku bertajuk Selagi Hayat Dikandung Badan terbitan Alaf Baru (M) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Buku setebal 311 muka surat tersebut telah dimulakan penulisannya oleh tiga penulis daripada Alaf Baru pada penghujung 2006 dengan dibimbing oleh budayawan, Tan Sri Abdul Aziz Tapa.

Dr. Mahathir berkata, tidak mustahil rakyat negara ini melakukan kesilapan dan dijajah sekali lagi sekiranya mereka terus lupa tentang sejarah tanah air.

Jelasnya, negara mempunyai ramai cerdik pandai tetapi masih ada yang tidak boleh bersatu hati malah, merelakan untuk dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan tertentu.

"Kita tahu ada pihak sekarang tidak bangga lagi dengan status sebagai 'orang Melayu'. Pada masa depan, apa akan jadi dengan anak cucu jika terus berpendirian begitu," ujarnya.

Beliau berkata, rakyat juga jangan terkejut sekiranya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti lebih banyak parti-parti baru diwujudkan kerana ada yang mahu menjadi Perdana Menteri.

Sumber : Utusan Malaysia

Saturday, November 12, 2011

Waktu Kerja Guru Perlu Dikekalkan


Cadangan waktu kerja guru 9 jam yang akan bermula pada tahun 2012, harus dikaji semula. Mungkin masih ramai yang tidak jelas waktu kerja guru yang sebenarnya.

Umumnya seorang guru mula sampai ke sekolah seawal jam 6.30 pagi kerana ada sekolah yang menetapkan waktu pertama sessi pengajaran guru ialah jam 7.00 pagi.

Sekolah satu sessi biasanya akan tamat pengajaran dan pembelajaran pada jam 1.20 petang. Sebelum jam 2.00 petang iaitu lebih kurang 40 minit guru akan menyelesaikan tugasan peribadi seperti menghantar anak ke sekolah agama, menukar pakaian untuk aktiviti sukan atau ko-kurikulum, makan, solat dan sebagainya.

Situasi ini berbeza dengan kakitangan yang bertugas di pejabat misalnya guru yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah atau Negeri. Waktu kerja mereka ialah bermula jam 8.00 pagi dan akan rehat untuk makan, solat jam 12.30 tengahari, kemudian masuk ke pejabat (ada juga yang hilang entah ke mana) semula pada jam 2.00 petang sehingga jam 4.30 atau 5.00 petang.

Jika kita bandingkan waktu rehat guru di sekolah dan guru yang bertugas di pejabat pelajaran jelas menunjukkan tidak sama. Guru di sekolah hanya 40 minit rehat sebelum menyambung tugas pada sebelah petang. Manakala guru yang bertugas di pejabat pelajaran mempunyai 1 jam 30 minit untuk rehat sebelum menyambung kerja (jika ada) pada jam 2.00 petang.

Sikap suka membanding dan memperlekehkan bidang tugas orang lain perlu dihentikan dengan segera. Realitinya semua bidang kerjaya di dunia ini mempunyai cara atau budaya kerja yang tersendiri. Misalnya pasukan keselamatan seperti Polis dan Tentera. Waktu kerja mereka tidak sama dengan kakitangan kerajaan yang lain. Jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan sangat mahal untuk kita bandingkan waktu kerja mereka. Mana mungkin Tentera yang berkawal di sempadan negara mula berkerja jam 8.00 pagi dan berhenti jam 5.00 petang. Tugas menjaga keselamatan negara tidak pernah mengira waktu. Jadi biarkan ia kekal seperti biasa supaya sistem pekerjaan yang telah lama kita praktikan tidak terganggu hanya kerana perasaan iri hati atau hanya kerana melayan tuntutan-tuntutan pihak yang gila kuasa.

Biarlah guru dengan cara kerja mereka, jururawat dengan cara kerjanya, pegawai-pegawai kerajaan gred DG52 dengan cara kerjanya, orang-orang politik dengan cara kerjanya dan sesiapa pun mereka, yang penting kita sama-sama berkerja dengan 'Bersih, cekap dan Amanah" demi untuk negara.


Monday, November 7, 2011

Program tv yang berkualiti


Sudah agak lama kita disajikan dengan rancangan realiti tv yang menjurus kepada bidang nyanyian. Tentu sekali anda masih ingat dengan 'Akademi Fantasia". Para pemenang daripada program ini ada yang terserlah bakat nyanyiannya, namun pada masa yang sama ada juga yang hanyut hilang tanpa album.

Kini muncul pula satu lagi program realiti tv yang pada saya sangat menarik dan patut sudah lama dianjurkan. Bidang masakan sangat penting dalam kehidupan kita. Semua orang suka makan. Program 'master chef' sangat baik untuk disertai dan ditonton oleh kita semua. Walaupun program ini meniru program tv dari luar negara, namun tidak salah untuk dianjurkan oleh stesen-stesen tv di negara kita, kerana ia dapat mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang masakan. Kerjaya dalam bidang masakan sangat baik untuk dijadikan kerjaya tetap khususnya kepada golongan yang masih gagal mencari pekerjaan.

Friday, October 21, 2011

TEKNOLOGI hijau pemacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan lestari


Oleh Dr Zaini Ujang

WARNA hijau mempunyai konotasi politik tersendiri dalam konteks Malaysia. Itulah sebabnya ketika melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) pada 24 Julai tahun lalu, secara berseloroh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa dukungan terhadap 'dasar hijau' tidak disalah tafsirkan kepada dukungan warna parti politik. 

Sebaliknya, Najib menegaskan betapa teknologi hijau akan dibangunkan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan lestari. Najib juga menjelaskan harapannya “... supaya suatu hari nanti kita boleh hidup dalam persekitaran bersih, sihat dan berkualiti tinggi, yang semua bandar, perbandaran dan komuniti dibina berasaskan konsep teknologi hijau”.

Mungkin itulah rasionalnya ketika majlis pelancaran Melaka maju bulan lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menegaskan sasaran menjadi ‘negeri hijau’ menjelang 2020. Putrajaya pula diasosiasikan sebagai ‘bandar lestari’. Pada peringkat antarabangsa, bandar raya Seoul mula dikenali kerana inisiatif hijau sebagai kosmopolitan yang maju dalam kehijauan taman. Istilah ‘hijau’ adalah buzzword antara yang paling sensasi ketika ini khususnya dalam konteks pembangunan, teknologi dan inovasi. Ia ketara sekali dalam bidang teknologi. 

Selain teknologi hijau, teknologi bersih, eko-teknologi atau teknologi lestari sering digunakan merujuk kepada konsep hampir sama, iaitu teknologi yang memberi kesan paling minimum kepada kemudaratan, pencemaran dan penurunan kualiti alam sekitar secara holistik bermula daripada konsep produk, bahan mentah, proses penghasilan, bahan buangan, penggunaan produk atau perkhidmatan sehinggalah pelupusan. 

Dalam buku Budaya Inovasi (Penerbit UTM, 2010) saya menggariskan tiga komponen penting memastikan tahap ‘kehijauan’ sesuatu teknologi, iaitu (a) kesan kepada alam sekitar (b) manfaat kepada pengguna dan (c) pemangkin kehidupan lestari. 

Kesan kepada alam sekitar boleh ditentukan menerusi kaedah analisis kitar hayat (LCA) atau pengiraan tapak ekologi. Manfaat kepada pengguna pula membabitkan bukan saja pengurangan kos modal dan operasi malah turut meningkatkan ciri keselamatan, kemudahan dari segi penggunaan dan praktikal. Misalnya ‘bangunan hijau’ seharusnya lebih murah, menjimatkan dari segi penyelenggaraan dan penggunaan tenaga.  Selain itu, reka bentuk bangunan itu mestilah lebih selamat, menarik dan memenuhi keperluan penghuninya. 

Justeru, teknologi hijau yang juga pemangkin hidup lestari perlu direkabentuk untuk menyubur minda lestari, kehidupan mesra alam, mengurang pembaziran, menyemarak budaya, mementing agama dan memugar ekosistem. Sebagai contoh ‘kereta hijau’ bukan saja dihasil menerusi bahan mentah dan proses pembikinan mesra alam, malah perlu lebih selamat dan mengurangkan pelepasan bahan cemar seperti gas rumah kaca. Dalam konteks ketenteraman awam, kereta hijau tidak bising, kecil dari segi saiz dan mudah diselenggara. 

Semua aspek ini mendefinisikan ‘teknologi hijau’ bukan saja dari segi kaedah dan alat pembikinan sesuatu produk atau perkhidmatan malah cara hidup lestari. 

Teknologi hijau semakin diperlukan bagi menangani keperluan setempat seperti pengurangan tahap pencemaran dalam sektor perkhidmatan air dan penjanaan tenaga lestari. Malah teknologi hijau juga boleh dibangunkan sebagai industri strategik seperti dimulakan Jerman dan Jepun sejak 1990-an.

Ketika hampir semua sektor memerlukan komitmen pelestarian termasuklah industri kelapa sawit menerusi Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO). Disebabkan teknologi hijau ialah suatu konsep berkaitan ciri teknologi dan idealism lestari, maka penggunaannya semakin meluas dalam seluruh sektor.

Ketika ini, konsep ‘ICT hijau’, ‘bandar lestari’, ‘korporat hijau’ dan ‘kerajaan lestari’ semakin berkembang dari perkakasan, sistem perolehan, peraturan, tata cara sehingga kerangka dasar dan budaya kerja. 

Dalam konteks pembinaan infrastruktur baru misalnya, tumpuan tidak hanya kepada penyediaan bangunan atau kelengkapan tetapi turut membabitkan konsep, kaedah dan barang binaan, penggunaan tenaga serta utiliti lain, dan pemantapan budaya lestari di kalangan penghuni bangunan berkenaan.

Hal ini saya sorot kerana dalam banyak keadaan, bukan saja di Malaysia bahkan di serata dunia, ‘hijau’ hanya sekadar slogan untuk tampak canggih dan kompetitif. Itulah sebabnya banyak inisiatif pelestarian hanya sekadar berakhir di peringkat sesuatu projek atau program. 

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia 

Tuesday, October 18, 2011

Kerja Sepasukan

Budaya kerja sepasukan penting bagi mengangkat kecemerlangan organisasi. Sekiranya terdapat perbezaan pendapat atau pandangan, kita perlu ketepikan, sebaliknya kita cuba cari di mana terdapat persamaan walaupun kecil. Dengan sedikit persamaan itu, kita sama-sama bergerak ke hadapan. Jika terdapat perbezaan yang kecil, maka menjadi tanggungjawab semua ahli organisasi bagi mengelak daripada diperbesar. Perkara kecil yang diperbesar bakal meruntuhkan organisasi, lebih-lebih lagi sekiranya pihak-pihak yang terlibat enggan mengalah. Justeru, utamakan pemimpin yang cekap bukan menentang.

Sumber: Guru Pemimpin 360 darjah
             99 kisah benar
         

Sunday, October 16, 2011

Memahami Masalah Banjir di Beaufort



 Masalah banjir di Beaufort bukan baru. Hampir setiap tahun wilayah di selatan pantai barat Sabah itu pasti dilanda musibah alam berkenaan. Paling tidak, sekali dalam setahun.
Apa yang pelik, banjir di situ tidak mengira musim, baik musim tengkujuh mahupun ketika cuaca elok sepanjang tahun.
Keadaan itu amat menyukarkan kehidupan penduduk. Selain kerosakan harta benda, penduduk daerah itu yang kebanyakannya petani turut kehilangan hasil tanaman masing-masing.
Setiap kali hujan lebat yang berlarutan untuk tempoh lama, perasaan bimbang segera menyelubungi penduduk daerah itu khususnya mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Padas.
Mereka sedar, banjir tidak lama lagi akan berlaku. Sama ada kali ini lebih besar daripada sebelumnya, hanya dapat diketahui selepas bencana alam itu berlaku.
Mengulas mengenai fenomena itu, Pensyarah Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Rosalam Sarbatly berkata, sebenarnya banjir adalah lumrah bagi kebanyakan penduduk di daerah itu.
''Bagi penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Padas separti Kampung Bingkul, Limbawang, Bangkalalak, Bintuka, Lajau dan Gadong, limpahan air masuk ke dalam rumah adalah perkara biasa.
''Cuma banjir yang melanda pertengahan Mac lalu, agak berbeza kerana ia turut menenggelamkan jalan-jalan raya sehingga menyebabkan perhubungan dari daerah ini ke daerah lain terputus,'' katanya.
Beliau menambah, banjir bulan lalu menyebabkan jalan pintasan Kelias Baru-Limbawang ditenggelami air seperti sebuah kolam tanpa ikan. Ketiadaan terowong-terowong pintasan air yang mencukupi di jalan raya berkenaan memburukkan lagi keadaan.
''Limpahan air daripada Sungai Padas yang bermuara di Pekan Weston kali ini bukan saja menyebabkan banjir di kawasan tebing sungai berdekatan malah telah menenggelami kawasan 20 sehingga 30 kilometer (km) radius,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rosalam yang berasal dari Beaufort menambah, satu persoalan besar yang boleh dibangkitkan daripada peristiwa itu ialah bagaimana kampung yang terletak berhampiran dengan Sungai Kota Kelias, yang bermuara di Kuala Penyu dilanda banjir walaupun aras air di sungai berkenaan masih di peringkat selamat.
Katanya, untuk memahami fenomena itu serta mengemukakan cadangan mengatasinya, perkara pokok yang perlu diketahui adalah memahami bagaimana banjir boleh terjadi?
Menurut beliau, di bahagian hulu Sungai Padas, terdapat empangan hidro elektrik, Empangan Pangi yang membekalkan sebahagian besar tenaga elektrik sekitar Kota Kinabalu, Keningau, Tenom, Beaufort dan Wilayah Persekutuan Labuan.
''Secara lazimnya, empangan akan menggalas tekanan takungan air sepanjang masa. Pada musim hujan lebat yang berterusan khususnya di sekitar Tenom, aras takungan meningkat melepasi aras selamat.
''Bagi mengelak tekanan berlebihan ke atas empangan yang boleh menyebabkan empangan pecah serta limpahan air di hulu yang menyebabkan banjir berterusan, aras air perlu disalurkan secara terkawal dengan membuka aliran pintas.
''Limpahan air ini perlu mampu ditampung oleh bahagian hilir Sungai Padas untuk mengelak banjir berlaku di daerah Beaufort. Bagaimanapun, jika hujan lebat berterusan, jumlah air dilepaskan akan meningkat menyebabkan kegagalan bahagian hiliran sungai menampung jumlah air yang banyak,'' katanya.
Jelas Rosalam, pekan Beaufort dan kawasan di sekitar tebing hiliran Sungai Padas akan dinaiki air walaupun tidak dilanda hujan dan banjir sebegini dinamakan sebagai banjir limpah.
Menurut beliau, apabila Tenom dan Beaufort ditimpa hujan lebat berterusan serentak seperti pertengahan bulan lalu, jumlah limpahan air akan bertambah.
Tambahnya, fenomena itu akan menyebabkan limpahan air Sungai Padas akan mengalir lebih jauh menyusuri anak sungai, parit di sepanjang jalan raya dan ladang kelapa sawit seterusnya masuk ke sungai kecil seperti Sungai Malabau, Pilajau Lama, Pilajau Baru dan Kelias Kecil.
Beliau memberitahu, sungai-sungai buatan itu seterusnya mengalir merentasi tembok jalan Beaufort-Kota Kelias dan terowong konkrit yang dilengkapi pintu kawalan pasang surut di Kampung Malabau, Pilajau Lama dan Pilajau Baru serta sebuah jambatan di Kampung Kelias Kecil, sebelum masuk ke Sungai Kota Kelias.
''Limpahan air Sungai Padas, parit-parit monsun serta tiga terowong utama itu menyebabkan Sungai Kelias Kecil gagal menampung jumlah aliran air yang banyak menyebabkan kawasan sekitarnya mengalami limpahan dan seterusnya banjir.
''Banjir akan menjadi lebih buruk sekiranya aliran air keluar bertembung dengan air pasang besar yang boleh menyebabkan kegagalan Sungai Kota Kelias menampung jumlah air yang banyak,'' ujarnya.
Kata beliau, kejadian sebegini akan menyebabkan banjir besar seperti mana pernah melanda Beaufort pada tahun 1981 dan 1996.
Berbanding banjir besar pada tahun 1981 dan 1996, banjir yang kerap melanda Beaufort termasuk pada pertengahan Mac lalu berlaku ketika kedudukan aras air Sungai Kota Kelias pada tahap berjaga-jaga tetapi selamat.
''Oleh itu, sekiranya sistem tebatan banjir dilakukan dengan baik, banjir yang melanda kampung-kampung berhampiran Sungai Kota Kelias misalnya Kampung Takuli, Malabau, Rancangan Kelias, Pilajau, Kelias Kecil dan Laba boleh dielak. Jalan pintasan menghubungkan Kelias Baru-Limbawang juga tidak akan terputus,'' katanya.
Menurut Rosalam, sistem tebatan yang dimaksudkan termasuk membina terowong pintasan merentasi jalan raya yang mencukupi serta sungai-sungai kecil dan parit-parit di sekitar kawasan tersebut mesti sentiasa dibersihkan bagi memastikan aliran air tidak tersekat.
Bagaimanapun, jelasnya, topografi Beaufort yang rendah, rata dan berada hampir sama dengan aras laut semasa pasang besar juga perlu difahami sebagai salah satu penyebab banjir di daerah berkenaan.
Hakikatnya, ujar beliau, tebatan banjir hanya boleh membantu sebahagian daripada usaha untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
''Memandangkan pasang-surut merupakan fenomena alam, kaedah terbaik mengurangkan ancaman banjir adalah dengan membuat lebih banyak sungai pintasan bagi mempercepatkan aliran keluar air ke muara sungai.
''Aktiviti penebangan hutan mesti dikurangkan agar dapat menakung sebahagian air hujan yang banyak turun di kawasan berkenaan. Usaha membersih sistem perparitan dan sungai-sungai mesti dilakukan secara berterusan,'' jelas beliau.
Rosalam berkata, walaupun banjir telah menyebabkan banyak kerugian tetapi pada masa sama bencana alam itu telah menjadikan tanah-tanah di kawasan itu subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian.
Malah, katanya, melihat kepada bentuk muka bumi yang sering dinaiki air, sesetengah kawasan di Beaufort mungkin berpotensi menjadi lokasi takungan gas asli yang besar.
Sehubungan itu, beliau berkata, selain mengatasi masalah banjir, sebenarnya ada pelbagai kemungkinan dan potensi boleh diteroka di sebalik musibah yang melanda daerah itu.


Sumber : Utusan Malaysia April 2011