Sunday, November 13, 2011

Melayu Sudah Lupa Sejarah


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan parti-parti politik tertentu yang baru ditubuhkan tidak ubah seperti pengemis apabila sanggup meminta sokongan pihak antarabangsa untuk kepentingan diri.

Pemimpin-pemimpin parti terbabit, jelas beliau, tidak berjuang untuk kepentingan bangsa dan tanah air, sebaliknya mahu menjadi pemimpin negara walaupun pada hakikatnya langsung tidak mempunyai kekuatan dari segi ekonomi, senjata (tentera) dan politik.

"Orang Melayu hari ini sudah lupa sejarah, kita ada kekuatan, ada pendidikan tapi hanya kerana kita cepat lupa maka, kita sudah berpecah kepada banyak kumpulan, lalu siapa yang akan mempertahankan tanah air kita," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran buku bertajuk Selagi Hayat Dikandung Badan terbitan Alaf Baru (M) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Buku setebal 311 muka surat tersebut telah dimulakan penulisannya oleh tiga penulis daripada Alaf Baru pada penghujung 2006 dengan dibimbing oleh budayawan, Tan Sri Abdul Aziz Tapa.

Dr. Mahathir berkata, tidak mustahil rakyat negara ini melakukan kesilapan dan dijajah sekali lagi sekiranya mereka terus lupa tentang sejarah tanah air.

Jelasnya, negara mempunyai ramai cerdik pandai tetapi masih ada yang tidak boleh bersatu hati malah, merelakan untuk dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan tertentu.

"Kita tahu ada pihak sekarang tidak bangga lagi dengan status sebagai 'orang Melayu'. Pada masa depan, apa akan jadi dengan anak cucu jika terus berpendirian begitu," ujarnya.

Beliau berkata, rakyat juga jangan terkejut sekiranya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti lebih banyak parti-parti baru diwujudkan kerana ada yang mahu menjadi Perdana Menteri.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment