Wednesday, December 16, 2009

Apabila Facebook Menguasai Dunia





Oleh JOHARDY IBRAHIM


AFILA dan Azira, masing-masingnya berusia 23 dan 20 tahun mungkin gelihati bila mendapati 'akhirnya' pak usu mereka menyertai laman sosial interaktif, Facebook pada April lalu iaitu pada tahun kelima kewujudan Facebook. Ini kerana hanya beberapa minggu sebelum itu, bapa saudara mereka ini 'sibuk menasihati' mereka supaya berhati-hati di alam maya dan tidak mendedahkan identiti diri.
Faktor kedua mendorong penulis menyertai Facebook ialah kerana 'dipujuk-paksa' oleh rakan yang enggan menghantar gambar kami di Phuket menggunakan e-mel, sebaliknya meminta mengambilnya dari akaun Facebook miliknya.
Maka penulis pun membuka akaun Facebook. Dan jika anda pun baru menyertai Facebook dalam waktu yang bersamaan dengannya, ketahuilah kita membentuk 350 juta pengguna Facebook di seluruh dunia sekarang ini.
Angka luar biasa besar itu yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pada 1 Disember lalu, tidaklah memeranjatkan kerana minat untuk memiliki akaun Facebook sudah menjadi fenomena di mana-mana.
Meskipun mendapat saingan daripada beberapa rangkaian sosial lain seperti Friendster dan Twitter, sekurang-kurangnya di Malaysia Facebook kekal teratas sebagai pilihan utama.
Menurut mashable.com, Facebook mencatat sekurang-kurangnya 500,000 pengguna setiap hari. Ini kerana untuk menjadi pengguna adalah cukup mudah dan percuma.
Banyak juga kelebihan yang boleh diperoleh daripada Facebook seperti menemukan kembali rakan-rakan sekolah yang berdekad lamanya terpisah, menyambung persahabatan dan membuat kawan baru, walaupun penulis menolak beberapa permintaan bila mendapati mereka lahir sebelum 1991.
Bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa Facebook hanyalah satu daripada bentuk permainan Internet yang melekakan, ia kini diguna secara meluas untuk tujuan komersial bagi sektor perniagaan dan platform propaganda bagi entiti politik untuk sampai ke sasaran audiens.
Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan akaun Facebook baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama media.
media
Kebelakangan ini, media-media arus perdana Barat tidak teragak-agak memetik kenyataan seseorang individu atau selebriti dalam Facebook sebagai bahan berita. Bulan lalu, bekas calon Naib Presiden AS, Sarah Palin menulis dalam akaun Facebook kepada sejuta 'rakan-rakannya', membidas penggunaan gambarnya yang berseluar pendek di muka depan sebuah majalah. Jelas, Palin tidak memerlukan agensi perhubungan awam lagi.
Pada Rabu lalu, Facebook melaksanakan kawalan tambahan bagi privasi atau 'bebas dari gangguan atau perhatian awam'. Pengguna Facebook tentu perasan kepada soalan mengenai penetapan arahan pada kerahsiaan butir-butir peribadi yang terpampang semasa membukanya minggu ini.
Kawalan tambahan itu terpaksa dilakukan oleh Facebook setelah menerima banyak kritikan mengatakan syarikat itu tidak cukup sensitif terhadap privasi pengguna. Usaha Facebook sebelum ini menerusi inisiatif Beacon turut dikritik, apabila pengguna mendapati mereka secara tidak semena-mena menjadi 'orang penghubung' bagi servis atau laman-laman web dalam Facebook yang kerap mereka sertai.
Kawalan tambahan ini memberikan pengguna alat yang mudah tetapi lebih berkuasa untuk mengehadkan perluasan maklumat peribadi mereka. Paling signifikan dalam penambahbaikan itu ialah keupayaan untuk mengehadkan sesiapa untuk melihat tulisan atau gambar atau video yang disiarkan oleh pengguna di dalam rangkaian termasuk. Maknanya, tiada lagi sesiapa yang tidak berkenaan (terutama pengiklan) daripada menyalahgunakan maklumat peribadi pengguna.
Dalam konteks ini, sesetengah pejuang privasi berkata, senarai rakan-rakan ini sama sensitif dengan maklumat peribadi kerana dengan meninjau pada senarai rakan-rakan yang dikenali itu pun boleh mendedahkan maklumat sulit.
Mengapa Facebook melakukan perubahan ini? Jawapannya mudah. Ia adalah atas nama perniagaan semata-mata dan elemen utama perniagaan Internet ialah menarik lebih banyak trafik dan mencipta dagangan daripada sekurang-kurangnya satu maklumat yang didedahkan oleh pengguna.
Satu lagi tarikan dalam Facebook ialah permainannya seperti FarmVille - yang secara umumnya begitu mudah dimainkan tanpa perlu banyak berfikir, asalkan rajin 'bercucuk tanam' atau realitinya, menekan tetikus berjam-jam.
Menurut Daniel Lyons menerusi artikelnya dalam Newsweek, permainan FarmVille walaupun mengasyikkan, ia sebenarnya meletakkan pengguna dalam keadaan 'dipergunakan' secara tidak langsung oleh kelompok yang diistilahkan sebagai Scammers.
Facebook meraih keuntungan dengan menjual ruang iklan, sesetengahnya kepada scammers," katanya.

Tuesday, November 24, 2009

Ramai Rakyat Malaysia Tidak Faham Kedudukan Raja-Raja



SHAH ALAM 23 Nov. - Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, ramai rakyat di negara ini tidak memahami kedudukan Raja Berperlembagaan walaupun wujud pindaan Perlembagaan terhadap peruntukan itu sebelum ini. Beliau berkata, walaupun pindaan terhadap kedudukan raja dibuat, ia tidak bermakna kedaulatan raja diserahkan kepada rakyat secara keseluruhannya.


Menurutnya, raja masih mempunyai fungsi penting dalam Perlembagaan melibatkan perkara seperti agama Islam dan menjaga hak serta kedudukan istimewa orang-orang Melayu di bawah fasal 153. Malah, katanya, raja juga turut mempunyai kewajipan memelihara kepentingan orang bukan Melayu yang menjadi warganegara Malaysia.


"Selepas lewat 1957, peranan raja dalam masyarakat mengalami pindaan. Kalau sebelum tahun 1957 raja mempunyai kuasa mutlak, akan tetapi untuk mewujudkan negara bangsa sebahagian kedaulatan raja itu dipindahkan kepada rakyat. Ini kerana dalam sistem demokrasi ia membawa maksud 'kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat'. Bagaimanapun, ramai orang Malaysia tidak memahami bahawa walaupun kedudukan raja dari segi perlembagaan telah dipinda, bukan keseluruhan kedaulatannya diserahkan kepada rakyat.


"Ini kerana raja masih mempunyai fungsi penting sebagai ketua agama Islam, menjaga kedudukan istimewa orang Melayu. Satu aspek lagi yang jarang disebut adalah raja juga ada kewajipan memelihara kepentingan orang bukan Melayu kerana raja adalah ketua kepada semua warganegara Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Raja dan Peranannya Dalam Sebuah Negara Berbilang Bangsa' pada program Wacana Kedaulatan Raja-Warisan Yang Mesti Dipertahankan di Dewan Jubli Perak di sini hari ini. Hadir sama dalam program itu ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.
Dalam pada itu, Kay Kim berkata, berdasarkan keadaan politik negara yang sering memperlihatkan keadaan tidak stabil, kemungkinan besar rakyat sudah mula berharap ada satu 'pihak' yang boleh memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa. Maka, katanya, raja perlu lebih pro-aktif berperanan sebagai 'pihak' tersebut bukan untuk menyebelahi mana-mana bahagian tertentu, tetapi menjamin kecekapan serta kestabilan di antara kehakiman, perundangan dan eksekutif di negara ini.


Malah menurutnya lagi, peranan raja juga adalah untuk memastikan tidak wujud campur tangan di antara tiga badan itu."British pada lewat abad ke-19 mengakui peranan raja sangatlah penting dalam masyarakat tempatan.


Tanpa raja, 'the people will be just a mob' (rakyat akan menjadi seperti samseng)," ujarnya.

Senarai Laman Web Penting Pengajian Am 1


PERLEMBAGAAN MALAYSIA



SISTEM KEHAKIMAN MALAYSIA



PEJABAT PERDANA MENTERI

PEJABAT PEGUAM NEGARA
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
MULTIMEDIA SUPER CORIDOR
SATU MALAYSA


Wisel Ajaib Di Jakarta



PRIIIT!, PRIIIT!... bunyi wisel yang membingitkan telinga dan mengganggu tumpuan orang ramai. Tiba-tiba terpacul dari mulut rakan penulis, "Di Jakarta ni siapa ada wisel boleh buat duit tau," katanya rakan penulis yang telah 10 tahun tinggal di Jakarta dan bekerja dengan sebuah syarikat dari Singapura.
Di Jakarta, jangan terkejut apabila diberitahu polis tidak akan kelihatan di jalan raya apabila kesesakan teruk berlaku. Kekosongan itu diisi oleh orang awam yang hanya berbekalkan wisel.
Di setiap simpang pasti ada orang awam yang menggunakan wisel bagi menghuraikan kesesakan trafik.
Di simpang-simpang yang lebih kritikal kesesakannya kadang kala terdapat tiga orang bertugas. Semuanya dilakukan tanpa sebarang arahan atau secara sukarela.
Buatlah pusingan 'U' di mana-mana sahaja, tidak ada yang marah, pengawal trafik sukarela berkenaan akan bermati-matian menahan kenderaan bagi memberi laluan kepada anda dengan hanya berbekal wisel.
Bayarannya tidak banyak, cuma seikhlas hati dan kebanyakan orang memberi tidak lebih daripada 35 sen atau kira-kira Rp1,000, tetapi ramai juga yang berlalu begitu sahaja. Walaupun bayaran tidak seberapa tetapi ucapan "Terima kasih om (pakcik)" tidak pernah putus daripada mulut penjaga trafik sukarela itu.
Sejak kebelakangan ini apabila bekalan elektrik sering terputus di Jakarta akibat kegagalan Perusahaan Letrik Negeri (PLN) memperbaiki alat ubah (transformer) yang terbakar, lampu isyarat sering terpadam, jadi peranan peniup wisel itu semakin penting.
Dan ketika situasi begini, peranan pengawal trafik tanpa gaji itu memang cukup bererti, tanpa mereka mungkin kenderaan di Jakarta tidak dapat bergerak sama sekali.
Bukan niat hendak merendah peranan polis trafik di Jakarta, tetapi itulah hakikat yang sering berlaku, ketika pengawal trafik sukarela bertungkus-lumus mengawal trafik, kebanyakan anggota polis lebih memilih untuk berehat dan berbual-bual sesama rakan sepasukan di pondok-pondok yang disediakan.


Ertinya Kehidupan di negara kita (Malaysia) 100 kali lebih baik daripada negara jiran Indonesia.

Jadi hargailah KEAMANAN KEMAKMURAN KEMAJUAN dan KEMERDEKAAN yang kita miliki. 1 Malaysia kesejahteraan untuk rakyat.

Friday, November 20, 2009

Pelihara Institusi Demokrasi Berparlimen



Oleh DR. SIVAMURUGAN PANDIAN


SEWAKTU merasmikan pameran "Demokrasi Berparlimen Tonggak Pemerintahan Negara" di bangunan Parlimen pada 2007, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, "status Parlimen kekal penting kepada tadbir urus negara". Perlembagaan Persekutuan Bahagian 4 Fasal 44 menyatakan, kuasa undang-undang Persekutuan Tanah Melayu terserah kepada Parlimen yang merangkumi Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Tahun ini merupakan tahun bersejarah bagi amalan demokrasi berparlimen Malaysia. Ini kerana genap 50 tahun amalan tersebut dipertahan dan diberi pengiktirafan sewajarnya. Ia bersesuaian dengan perkara yang dipersetujui dalam rundingan kemerdekaan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956.
Pembinaan negara ini walaupun tidak melalui proses pertumpahan darah, tetapi ia juga tidak datang dengan mudah.
Sejarah kelahiran demokrasi di Tanah Melayu menunjukkan ia adalah demokrasi terpimpin walaupun ada sarjana menamakannya sebagai quasi-democracy ataupun semi-democracy. Ini bermakna, demokrasi berparlimen wujud dengan adanya nilai pengorbanan, kompromi, sifat tolak-ansur, hormat dan fahami komposisi kependudukan dan alam Tanah Melayu.
Jika ideologi diutamakan, tidak mungkin Demokrasi Berparlimen akan menjadi matlamat asas penubuhan sebuah negara-bangsa berdaulat. Ideologi diketepikan agar masyarakat pelbagai kumpulan etnik dapat hidup rukun dalam satu keluarga besar.
Bagi Raja-raja Melayu yang telah menghadiahkan cokmar kepada Majlis tersebut pada 1952, ia dilihat sebagai simbol pengukuhan kerajaan berparlimen yang demokratik dan memartabatkan kedudukan Perlembagaan.
Permulaan kepada sistem kerajaan berparlimen adalah pengenalan Sistem Ahli pada 1951 yang merupakan asas kepada usaha melatih rakyat membentuk dan mentadbir kerajaan sendiri yang seterusnya membawa kepada pembubaran Majlis Perundangan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum 1959; titik permulaan sejarah Demokrasi Berparlimen dengan sidang pertama pada 12 September 1959.
Parlimen bertanggungjawab ke atas hal- ehwal penggubalan undang-undang di samping menjalankan tugas memantau perbelanjaan am kerajaan.
Kesemuanya masih berpusatkan kepada kuasa rakyat dalam menentukan jenis, bentuk dan pemerintahan yang mahu dilihat berdasarkan kepada pilihan raya yang menjadi mekanisme terpenting menentukan pentadbiran negara.
Selepas 50 tahun, adakah ia masih menjadi simbol kebanggaan? Adakah peranan Parlimen sudah berubah hari ini disebabkan kelangsungan politik? Yang nyata, demokrasi berparlimen masih merupakan sistem terbaik negara ini yang mempertahan tanggungjawab pemimpin dan hak rakyat ke atas kerajaan.
Perlembagaan menjadi dokumen terpenting mendasari hubungan ini dan lebih daripada itu, ia menjadi asas kemuafakatan masyarakat negara ini.
Demokrasi berparlimen membolehkan rakyat menyalurkan pandangan dan kritikan melalui wakil yang terpilih. Adakah wakil mereka memain peranan yang signifikan dalam konteks kemasyarakatan perlu pertimbangan sewajarnya.
Suara kepentingan ramai perlu diutamakan daripada menjadikan Parlimen sebagai perdebatan emosi. Kesucian Parlimen perlu diiktiraf sebagai ruang untuk mengelak dari membuat pembohongan, fitnah mahupun mencari kepopularan.
Pemimpin mesti bertanggungjawab ke atas hak dan kedudukan mereka. Pembunuhan karakter berlebihan dalam Parlimen boleh merencat proses perjalanan persidangan.
Demokrasi berparlimen tidak bermakna imuniti digunakan bagi meraih publisiti tetapi ia untuk memperjuang, memperkukuh dan memantapkan dasar atau hala tuju kesejahteraan masyarakat.
Demokrasi bersifat mulia dan tidak boleh dirosakkan dengan amalan rakus untuk berkuasa. Kemajuan dan demokrasi sepatutnya bergerak seiring.
Keyakinan dan kepercayaan melalui mandat sebagai wakil di Parlimen penting untuk dituruti. Kesejahteraan masyarakat tidak boleh dikompromi.
Pemimpin akan dinilai daripada kewarasan perwatakan sebagai pemimpin yang bersedia berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengira batasan kepercayaan, agama, keturunan mahupun gender.
Selama 50 tahun penubuhan Parlimen, pengisian ke atasnya cukup hebat. Ia telah melihat kelahiran pemimpin yang berjiwa rakyat, juga pada waktu yang sama berjiwa emosi kepentingan diri.
Tempoh itu juga menyaksikan penerimaan negara lain ke atas sistem kita dan turut dijadikan model. Malaysia masih dihormati kerana amalan demokrasi berparlimen dianggap suatu yang workable ke atas status kependudukan. Demokrasi berparlimen harus melahirkan kerajaan yang stabil dan boleh meneruskan tradisi pembangunan, pemodenan dan industrialisasi.
Jika ada kelemahan dasar, ia boleh dibetulkan dan ruang secukupnya perlu ada untuk memperbaharui. Amalan demokrasi hanya dapat berfungsi jika ada kesungguhan dalam kalangan kesemua pihak, bukan pemimpin semata-mata.
Setiap anggota masyarakat dalam mana-mana stratifikasi sekalipun ada tanggungjawab mereka. Kita bertanggungjawab ke atas sistem yang ada. Nilai moral dan integriti menjadi persoalan asas dalam demokrasi berparlimen hari ini. Ia dapat berkembang jika dilihat secara rasional dan bukan emosional.
Selama 50 tahun Parlimen, ada kegemilangan dan ada pasang surutnya. Ada pencapaian yang mendapat pengiktirafan dan ada cabaran yang dilaluinya.
Walau apa pun, ia masih merupakan sistem terbaik dan sama ada dapat bertahan untuk 50 tahun lagi, ia bergantung kepada tahap kematangan dan kesungguhan masyarakat untuk menjamin hak dan tanggungjawab mereka.
Hubungan antara institusi raja, kerajaan, pemimpin dan masyarakat mampu memastikan Parlimen kukuh berdiri kerana tanpa Parlimen, maka akan berkubur kebebasan dan institusi yang telah membawa kedudukan Malaysia hari ini.
Kuasa rakyat menentukan ketinggian Parlimen hari ini dan ia juga merupakan kuasa yang amat besar signifikasinya kepada kemakmuran dan kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan,Pusat Pengajian Sains KemasyarakatanUniversiti Sains Malaysia

Wednesday, November 18, 2009

Cara Mengenalpasti Jenis Media dalam Soalan Bahagian D

1. GRAF BAR PIRAMID
*terdapat 3 elemen dalam soalan dan 1 elemen mesti berpasang.
Contoh soalan :Berdasarkan maklumat dalam petikan yang diberikan, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan nilai eksport barangan keluaran kilang mengikut jenis ke negara-negara terpilih pada 2004 dan 2005
Elemen :
1. nilai eksport barangan keluaran kilang mengikut jenis ke negara-negara terpilih.
2. Tahun 2004
3. Tahun 2005
Elemen berpasang :
1. jenis barangan2. negara-negara

2. GRAF BAR GABUNGAN
*terdapat 2 elemen dan nilai yang berbeza
Contoh soalan :Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah ini, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan kuantiti pengeluaran, eksport, dan import serta harga petroleum mentah Malaysia dari tahun 2001 hingga tahun 2006.

Elemen :
1. Kuantiti pengeluaran, eksport dan import
2. Harga petroleum mentah
Nilai :
1. nilai untuk kuantiti pengeluaran, eksport dan import
2. nilai untuk harga petroleum mentah

Tips pemilihan media:

GRAF GARIS SAMA SAHAJA
graf garis.perbandingan atau kompaun- pola,perubahan , aliran turun naik, petunjuk,indeks, trend petunjuk

GRAF BAR ADA 2 :
1.GRAF BAR KOMPAUN
2.GRAF BAR KOMPENEN

kata kunci graf bar kompaun - bilangan, kuantiti, kebiasannya nilai, pengeluaran peratus @ kadar,
graf bar komponen - kumulatif @ jumlah

Pemarkahan Bahagian C : Kefahaman Petikan dan Ulasan

Bahagian C terdiri daripada Soalan 5 dan Soalan 6.

Soalan 5 merupakan petikan kefahaman laras sastera dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu 5(a) dan 5(b). Pelajar hendaklah menjawab salah satu soalan sahaja.

Soalan 6 merupakan petikan kefahaman laras sains dan juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu 6(a) dan 6(b). Pelajar hendaklah menjawab salah satu sahaja.

Ini bermakna untuk bahagian C pelajar perlu menjawab:

SATU SOALAN 5(a) ATAU 5(b) DAN
SATU SOALAN 6(a) ATAU 6(b).

Di sini ada beberapa panduan untuk pelajar menjawab Bahagian C (Petikan).

1. Baca seluruh soalan dalam Bahagian ini dan kenal pasti soalan yang para pelajar dapat menjawab dengan sangat baik. Kegagalan mengenal pasti soalan yang anda yakini akan menjejaskan tumpuan para pelajar.
Contohnya tanpa membaca soalan lain dalam bahagian ini pelajar terus menjawab, katakan soalan 5(a). Apabila selepas menjawab dan kemudian membaca pula soalan 5(b), pelajar dapati dapat memberikan idea dan huraian yang lebih baik. Ini akan menjejaskan tumpuan para pelajar. Oleh itu sila berhati hati.

2. Setiap soalan terbahagi kepada dua bahagian soalan iaitu
Roman i dan Roman ii.
(a) Roman i (2 Markah)
Oleh kerana markah yang kecil, calon diminta membina SATU ayat sahaja.(mencukupi dengan jumlah markah diperuntukkan).
Jawapan hendaklah berdasarkan petikan dan telah diubahsuai yang mempunyai maksud yang sama/seakan sama dengan perkataan asal untuk menyampaikan dan menyambung frasa. Satu ayat ini hendaklah menjawab soalan dengan tepat.

MENYALIN SEMULA PETIKAN (DARI AWAL HINGGA AKHIR) TIDAK AKAN DIBERI MARKAH.

(b). Roman ii (8 Markah)
Aspek pemarkahan:
Idea(2 idea) - 2 Markah
Huraian - 4 Markah
Bahasa - 2 markah