Tuesday, November 24, 2009

Ramai Rakyat Malaysia Tidak Faham Kedudukan Raja-Raja



SHAH ALAM 23 Nov. - Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, ramai rakyat di negara ini tidak memahami kedudukan Raja Berperlembagaan walaupun wujud pindaan Perlembagaan terhadap peruntukan itu sebelum ini. Beliau berkata, walaupun pindaan terhadap kedudukan raja dibuat, ia tidak bermakna kedaulatan raja diserahkan kepada rakyat secara keseluruhannya.


Menurutnya, raja masih mempunyai fungsi penting dalam Perlembagaan melibatkan perkara seperti agama Islam dan menjaga hak serta kedudukan istimewa orang-orang Melayu di bawah fasal 153. Malah, katanya, raja juga turut mempunyai kewajipan memelihara kepentingan orang bukan Melayu yang menjadi warganegara Malaysia.


"Selepas lewat 1957, peranan raja dalam masyarakat mengalami pindaan. Kalau sebelum tahun 1957 raja mempunyai kuasa mutlak, akan tetapi untuk mewujudkan negara bangsa sebahagian kedaulatan raja itu dipindahkan kepada rakyat. Ini kerana dalam sistem demokrasi ia membawa maksud 'kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat'. Bagaimanapun, ramai orang Malaysia tidak memahami bahawa walaupun kedudukan raja dari segi perlembagaan telah dipinda, bukan keseluruhan kedaulatannya diserahkan kepada rakyat.


"Ini kerana raja masih mempunyai fungsi penting sebagai ketua agama Islam, menjaga kedudukan istimewa orang Melayu. Satu aspek lagi yang jarang disebut adalah raja juga ada kewajipan memelihara kepentingan orang bukan Melayu kerana raja adalah ketua kepada semua warganegara Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Raja dan Peranannya Dalam Sebuah Negara Berbilang Bangsa' pada program Wacana Kedaulatan Raja-Warisan Yang Mesti Dipertahankan di Dewan Jubli Perak di sini hari ini. Hadir sama dalam program itu ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.
Dalam pada itu, Kay Kim berkata, berdasarkan keadaan politik negara yang sering memperlihatkan keadaan tidak stabil, kemungkinan besar rakyat sudah mula berharap ada satu 'pihak' yang boleh memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa. Maka, katanya, raja perlu lebih pro-aktif berperanan sebagai 'pihak' tersebut bukan untuk menyebelahi mana-mana bahagian tertentu, tetapi menjamin kecekapan serta kestabilan di antara kehakiman, perundangan dan eksekutif di negara ini.


Malah menurutnya lagi, peranan raja juga adalah untuk memastikan tidak wujud campur tangan di antara tiga badan itu."British pada lewat abad ke-19 mengakui peranan raja sangatlah penting dalam masyarakat tempatan.


Tanpa raja, 'the people will be just a mob' (rakyat akan menjadi seperti samseng)," ujarnya.

No comments:

Post a Comment