Thursday, August 19, 2010

Minda Orang Melayu

Oleh : JUPILIN RANGIN

Isu bahasa Inggeris (BI) sebenarnya bukannya perkara baru di negara kita. Cuma yang membezakannya ialah kaitan isu BI dengan suasana politik dan sosial semasa. Jika di zaman sebelum merdeka, isu BI lebih menjurus kepada pegangan akidah dan sentimen agama kerana kita pada masa itu masih dibelenggu kuasa penjajah British. Sehinggakan ada pihak yang mengeluarkan fatwa sesiapa yang belajar di sekolah aliran BI adalah kafir dan bukan Melayu lagi.

Bahasa Melayu dan orang Melayu amat kuat pautannya antara satu sama lain. Sudah tentu ada kebaikan dan keburukannya. Baiknya bahasa kerana ia menunjukkan kekuatan jati diri dan semangat kebangsaan sesuatu kaum.

Sifat bangsa yang kuat pada adat dan istiadat yang mendaulatkan bahasa Melayu, telah memberi kesan yang begitu kuat sekali. Sehinggakan boleh ditakrif sesiapa yang memperlekehkan bahasa Melayu akan ditentang dan dikritik dengan begitu kuat dan padu sekali.

Walaupun ketika ini hangat diperkatakan penggunaan BI dalam mata pelajaran Matematik dan Sains itu telah menjurus kepada kemerosotan mata pelajaran berkenaan dalam pencapaian murid yang menduduki ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR), kita tidak seharusnya cepat malatah dengan mendesak kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan tersebut yang mewajibkan subjek matematik dan sains di ajar dalam BI.

Dengan kata yang lebih keras lagi, mereka mahu kerajaan menarik balik pembelajaran subjek tersebut dalam BI dan kembali kepada asal iaitu diajar dalam bahasa Melayu. Sememangnya terdapat suatu semangat yang cepat berputus asa di hati dan fikiran segelintir orang Melayu.
Akibat sikap dan sifat orang Melayu yang malas membaca dan mengejar ilmu menyebabkan isu BI menjadi penyebab utama pencapaian pelajar merosot. Sedangkan dasar tersebut lebih kepada penguasaan bahasa lain kepada pelajar agar generasi seterusnya boleh mengusai lebih daripada satu bahasa terutamanya orang Melayu.

Ilmu matematik dan sains jika sudah ada asas dalam BI amat memudahkan anak kita untuk pergi lebih jauh lagi ke pembelajaran sains tulen dan teknologi kerana dua subjek asas ilmu teknologi ini amat kurang bahan rujukan dalam bahasa Melayu.
Itulah yang diimpikan oleh kita semua untuk melahirkan generasi bangsa Malaysia yang berilmu tinggi untuk bersaing dengan pasaran global.

Sepatutnya ahli politik Melayu yang hebat bersuara yang mahukan BI dalam subjek Sains dan Matematik dikaji semula perlu menekankan supaya kajian terperinci dilakukan untuk mencari sebab kelemahan tersebut dan bukannya menghapuskannya.

Orang Melayu sepatutnya iri hati terhadap diri sendiri kerana hanya kita sahaja yang sebahagian besarnya mempunyai kemahiran menguasai satu bahasa berbanding dengan kaum lain di negara ini. Kaum Cina dan India kebanyakannya boleh menguasai dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Tamil atau Mandarin.Lebih beruntung lagi, mereka yang boleh menguasai BI sudah menjadi jumlah tiga bahasa yang dapat mereka kuasai. Sedangkan kebanyakan orang Melayu masih tertinggal jauh dengan hanya boleh menguasai bahasa Melayu sahaja.

Jelas menunjukkan kita sebenarnya sudah tewas dalam soal bahasa di negara kita sendiri. Bagaimana harapan yang gagah dicanangkan untuk melihat orang Melayu menjadi 'glokal' di persada dunia? Tujuan murni supaya anak bangsa mahir dalam BI amat jauh untuk melihat pencapaiannya. Melayu yang malas membaca dan menimba ilmu adalah salah satu sebab mengapa kita tidak berjaya menguasai lebih dari satu bahasa. Melayu harus malu dengan kaum Cina dan India di negara kita sendiri.

Lebih buruk lagi akibat sindrom malas dan cepat berpuas hati dan ditambah dengan kedudukan kita yang selesa kerana terlalu berharap sangat dengan bantuan kerajaan, sudah ramai orang Melayu sendiri yang tidak boleh bertutur dalam bahasa suku kaum mereka sendiri.
Kini nama Jawa, Banjar, Bugis dan Minang (sebagai contoh) hanya tinggal nama sebutan dan megah sahaja kita berketurunan suku kaum tersebut tetapi hakikatnya langsung tidak boleh bercakap dalam bahasa tersebut.

Jika bahasa ibunda suku kaum dan keturunan sendiri pun kita sudah gagal untuk menguasainya, maka tidak hairanlah orang Melayu malas untuk belajar dan menguasai bahasa 'kaum lain'.
Lebih hebat lagi masih ada mentaliti yang kuat ditanamkan kepada anak-anak kita bahawa belajar BI adalah menyokong dan menggalakkan kembali Inggeris menjajah kita. Pemikiran kuno sebegini masih ada di kalangan segelintir orang Melayu. Malah ada yang mengaitkan mempelajari BI bermakna kita semakin hampir dengan agama Kristian.

Walaupun kita sudah 50 tahun merdeka dan sudah lapan tahun memasuki abad ke-21, mentaliti sebegini sebenarnya masih ada di kalangan orang Melayu.

Apakah kuat sangat jati diri dan semangat kebangsaan orang Melayu sehinggakan soal bahasa menjadi isu pokok untuk menilai jati diri dan kemelayuan seseorang? Jika benar kita kuat sangat dengan sifat dan semangat sebegitu, di tambah pula dengan agama Islam yang kita anuti, berapa ramai pula di kalangan orang Melayu yang faham dan boleh menguasai bahasa Arab?
Kita jangan malu untuk mengakui hakikat bahawa ramai orang Melayu yang beragama Islam yang hanya tahu membaca tulisan Arab di dalam al-Quran tetapi langsung tidak tahu maknanya dalam bahasa Melayu. Jika ramai orang Melayu sudah seperti burung kakak tua kerana hanya tahu mengikut dan menghafal apa yang diajar tetapi tidak tahu makna sebenarnya, pasti ramai yang akan mencela.

Mengapakah tiada inisiatif dalam diri kita sendiri untuk belajar maksud dan terjemahan bahasa Arab di dalam al-Quran dan ditambah dengan belajar menulis dalam tulisan Arab?.
Tulisan Jawi yang suatu ketika dahulu menjadi perlambangan orang Melayu pun semakin terhakis. Sehinggakan akhbar tunggal tulisan Jawi terpaksa diselamatkan oleh kerajaan. Syukur juga kerana kini kita masih dapat membaca dalam tulisan Jawi walaupun diterbitkan sebagai sisipan seminggu sekali. Kajilah berapa ramai yang boleh menguasai dengan membaca dan menulis jawi?

Tradisi
Itulah gambaran dan budaya orang Melayu yang malas membaca dan menuntut ilmu. Jika dikaji begitu maka tidak hairan generasi kini seperti sudah 'kematu' dan terikut-ikut dengan tradisi buruk orang Melayu sendiri sejak dahulu lagi.
Tidak hairan kita susah sangat untuk merelakan diri kita supaya boleh menguasai bahasa lebih daripada satu kerana bahasa pertuturan harian apabila kita menghadap Allah pun kita abaikan dan tidak tahu apa sebenarnya yang kita tuturkan.

Kerana malas belajar bahasa lain, ramai yang boleh berbahasa Arab semasa sembahyang dan majlis doa selamat tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang diperkatakan.
Kehidupan seharian kita yang dikelilingi oleh bangsa lain pun masih tidak mahu kita manfaatkan untuk belajar 'secara percuma' bahasa kaum lain.

Jika satu hari satu perkataan bahasa Tamil dan Mandarin yang kita belajar daripada rakan atau jiran, kiralah berapa banyak sudah kita belajar dan mendapat ilmu bahasa?
Pokok pangkal diri kita sendiri. Orang Melayu perlu mengubah sikap untuk belajar bahasa lain selain bahasa Melayu. BI yang diajar di sekolah kepada anak-anak kita yang meliputi subjek Bahasa Inggeris itu sendiri, Sains dan Matematik sewajarnya diberi galakan kepada anak-anak kita menguasainya.

Memang benar ada ibu bapa yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Tetapi apakah kita mahu anak-anak kita mengikut tradisi yang kita warisi itu? Berubah demi kebaikan tidak akan mengurangkan identiti kita sebagai orang Melayu walaupun belajar BI, Tamil dan Mandarin.
Sifat kuno dan ketinggalan zaman yang bermaksud belajar bahasa bangsa lain boleh membuatkan kita 'menjadi bangsa' tersebut perlu dihakis. Belajarlah sebanyak mana pun bahasa lain selain dari bahasa Melayu. Belum cuba belum tahu. Anda akan merasa lebih selesa sebagai manusia jika anda boleh menguasai lebih daripada dua bahasa.

No comments:

Post a Comment