Tuesday, October 4, 2011

Membaca bukan budaya rakyat Malaysia


Isu tabiat tidak suka membaca dalam kalangan rakyat di negara ini, sudah lama malah sudah banyak kajian yang dibuat oleh para ahli akademik, namun tabiat negatif ini masih berterusan. Sungguhpun banyak kempen telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan, akan tetapi sehingga ke hari ini, budaya membaca hanya wujud apabila musim peperiksaan semakin hampir tiba. Hal ini bukan sahaja dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah, para mahasiswa di pusat pengajian tinggi juga majoritinya membaca hanya untuk lulus peperiksaan.

Antara dapatan hasil kajian para ahli akademik di negara ini tentang budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia ialah:

1. Membaca tidak menjadi budaya orang Malaysia

Faktor ini mungkin didorong oleh kesibukan masa yang diperuntukkan untuk bekerja. Sekurang-kurangnya dua jam atau lebih dihabiskan di atas jalan raya untuk pergi ke tempat kerja dan kembali ke rumah. Apabila sampai di rumah, penat dan letih. Mungkin juga kerana semasa di bangku sekolah, tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Mungkin juga kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya membaca. Tidak pernah dihadiahkan buku, dan tidak pernah terfikir bahawa buku itu penting dan membaca itu penting. Mungkin juga kerana pengaruh media massa yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku, sebaliknya menjadikan artis itu sebagai idola utama mereka.

2. Pengaruh suasana dan faktor sekeliling

Mungkin telah menjadi amalan kita untuk membaca dalam keadaan sunyi. Seperti mana yang seringkali menjadi amalan di dalam sesebuah perpustakaan disuruh diam. Memang amalan itu tidak salah tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh untuk membaca di dalam keadaan sunyi. Kerana itulah agak sukar untuk kita membaca di dalam LRT, bas atau di tempat-tempat awam.

Malah mungkin persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca (terutamanya di tempat-tempat awam) adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan memberikan gambaran ‘negatif’ bahawa pembaca itu ‘ulat buku’ yang tidak boleh dibuat kawan (kerana hanya berkepit dengan buku). Ulat buku mungkin dianggap antisosial atau antisukan. Persepsi-persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia akan menjauhkan buku dengan masyarakat.

3. Harga buku yang dianggap mahal

Mungkin ini juga antara faktor utama untuk tidak membaca. Harga buku yang mahal mungkin disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti kadar tukaran wang asing yang tinggi yang menyebabkan harga buku import menjadi mahal, kos penerbitan dan percetakan yang tinggi, dan keengganan kita sendiri untuk keluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Apatah lagi dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, maka perbelanjaan perlulah dirancang dengan memasukkan elemen buku sebagai belanja wajib seperti mewajibkan makanan lain yang sentiasa dibeli.

4. Merasakan membaca tidak penting

Mungkin sifat untuk merasakan tidak ada kepentingan untuk membaca merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas mahasiswa universiti atau bekas pelajar sekolah, kebanyakan daripada kita tidak mahu memegang buku apatah lagi membacanya. Ini juga satu kemungkinan. Hasil pemerhatian penulis, didapati amat kurang daripada mereka yang mahu membaca. Dan tidak ada satu perasaan gembira dan keseronokan untuk membaca. Sehingga seterusnya memberikan alasan kerana pengaruh masa (kerja) yang membatasi mereka daripada membaca. Mungkin kerana memikirkan bahawa buku tidak akan memberi sebarang faedah secara langsung kepada mereka, jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Misalnya, dengan membeli 'handphone' (bertukar-tukar handphone baru) secara langsung memberikan kepuasan kepada mereka dari segi nilai estetik dan kemewahan.

Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu dalam usaha kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya.

Sumber : Utusan Malaysia 2007

1 comment:

  1. Terima kasih atas maklumat yang amat bernas ini.

    ReplyDelete